Sunday, November 16, 2008
Kembara Tanah Air (6): Mengelak Zarah Bahaya
Kembara Tanah Air (1): Permulaan yang Keliru
Kembara Tanah Air (2): Bersama Saudagar Cencaluk
Kembara Tanah Air (3): Pilu di Simpang Niah
Kembara Tanah Air(4): Solat Jumaat di Tatau
Kembara Tanah Air (5): Bukit Bintang Sarawak?
Siang bakal berganti diselimuti malam. Langit membiru kian dilakar dengan coret merah mega. Langit seolah merekah. Maha Suci Allah, begitulah alam dicipta Tuhan. Segalanya diatur dengan susunan yang menakjubkan. Namun tidak ramai yang menekur akan lukisan alam yang mempesonakan.
Kami bertiga berada di dalam bilik hotel, menunggu waktu maghrib. “Dah azan tek kah (Sudah azankah)?” tanya Si Ayah.
“Mun ekotkan, dah masok waktu (Kalau diikutkan, sudah masuk waktu),” jawabku.
“Sekda azan o? Jaohlah ngkali masjid ya (Tidak ada azan. Mungkin masjid agak jauh).”
“Ngkali juak (mungkin juga),” kataku dalam hati, “Ya Allah, sekda harapanlah berjumpa urang di mesjid tok (Ya Allah, tidak ada harapanlah untuk berjumpa dengan orang di masjid nanti).”
Kami solat jamak takdim Maghrib dan Isyak. “Ju, carik makanan. Siney bah (Jom, kita pergi makan. Di mana ya)?” tanya Si Ayah kepada Pakcik Musa.
Jawab Pakcik Musa, “Oh, ada. Ju kita jalan (Oh, ada. Mari kita jalan).”
“Kita jalan kaki. Sik pasti lagik mun kita berkereta parking ada lagik. Sibu tok kenak hati-hati. Banyak cerita udah (Kita jalan kaki. Kita tidak pasti, jika kita berkereta, ada lagi tempat parking. Di Sibu ini kena hati-hati, banyak cerita sudah didengar),” saran Si Ayah.
Kami meredah kegelapan malam, disuluhi lampu-lampu jalanan dan kaki jalan. Bandar Sibu agak sunyi pada ketika ini. Banyak kedai telah tutup, namun masih banyak kenderaan di jalanan.
Akhirnya kami tiba di satu tempat, kira-kira sepuluh minit perjalanan dari Hotel Bahagia. “Toklah satu-satunya tempat urang Melayu ada masa malam. Lain tempat ada, tapi siang bukak (Inilah satu-satunya tempat (kedai) orang Melayu pada waktu malam. Tempat lain ada, tapi buka pada waktu pagi).”
“Boleh ajak (Boleh saja).” Kami pun menghampiri salah satu kedai makanan; R.J Corner. Beberapa orang muslimah yang memakai hijab dan tanda-tanda pelekat ‘bismillah’, ‘tiga qul’[1] dan ‘ayat seribu dinar’[2] sudah menunjukkan bahawa kedai ini dimiliki oleh orang Islam. Terdapat beberapa orang perempuan, mereka tidak mengenakan busana muslimah; berhijab dan menutup aurat, tetapi raut wajah dan perwatakan mereka menunjukkan mereka adalah orang Melayu dan juga, beragama Islam.
“Aih, cikgu! Apa khabar kitak? Kitak ingat kamek (Eh, cikgu! Cikgu apa khabar? Cikgu ingat lagi saya)?” kata seorang perempuan. Ia tidak mengenakan hijab.
“Alhamdulillah, sehat. Maju kitak, dah berniaga sitok (Alhamdulillah, sihat. Maju awak, sudah berniaga di sini),” jawab Si Ayah sambil melemparkan senyuman. Aku berdiri di sisinya terpinga-pinga. Lantas, Si Ayah memperkenalkan aku dan menceritakan perjalanan kami. Mereka terus berbual sehingga beberapa ketika.
“Bah, kitak dudoklah cikgu, kitak order jak (Cikgu duduklah dulu, cikgu pesan saja),” kata perempuan itu sambil tersenyum. Kami pun duduk di salah sebuah meja.
Kata Pakcik Musa, “Aku jalan-jalan kat sitok lok, nangga-nangga (Saya nak jalan-jalan di sini, tengok-tengok).”
“Bah (baiklah),” jawab Si Ayah. “Pakcik Musa kitak ya nang kedak ya. Nya jenis yang ‘adventurous,’ suka jalan-jalan (Pakcik Musa memang macam itu. Dia orang jenis ‘adventurous,’ suka jalan-jalan).”
“Sapa nya tek pak (Siapa perempuan tadi)?”
“Nya student bapak lok di IPTP (Dia pelajar Ayah di IPTP dahulu),” jawab Si Ayah. Hatiku segera bergetar, alangkah mulianya tugas seorang guru! Berkat jasa seorang guru yang membimbing peribadi seseorang, dirinya tetap dikenang, walau di ceruk manapun ia berada.
Lantas aku teringatkan, ibuku juga demikian. Saat aku menemani mereka di pasar di Miri, ada sahaja orang yang menyapa. Boleh kukatakan, setiap inci berjalan, ada sahaja yang menyapanya. Kadangkala terbit persoalan di hati kami cahaya matanya, “Sik lelahkah kitak duak melayang urang di siney-siney (Tidak penatkah melayan orang di mana-mana)?”
Dengan senyuman mesra ibuku menyahut, “Dengki?” Pokok pangkalnya, alangkah mulianya guru!
Makanan tersedia dan Pakcik Musa pun datang. Kami menikmati hidangan dalam hawa kota. Aku sudah menjangkakan, memang banyak cerita yang timbul tentang mereka berdua, diselang seli dengan gelak ketawa.
Selesai makan, Si Ayah pergi ke kaunter kedai. Kemudian Si Ayah kembali sambil menggelengkan kepala, “Adeh, deh, sik moknya nerimak, puas ku mujok (Dia tidak mahu terima (bayaran) saya, puas saya pujuk).”
Sekali lagi hatiku bergetar, “Alangkah mulianya guru!” Itulah tanda terima kasih seorang murid kepada gurunya. Sekalipun dirasakan tidak mampu membalas jasa gurunya, namun ada secebis rasa penghargaan dan hormat tidak terhingga. Kerana berkat tunjuk ajarnya, ia berada di jalan yang benar.
“Ada pasar malam di sinun,” kata Pakcik Musa.
Balas Si Ayah, “Ju, kita nanggar sia.”
Kami pun merentas rimba batu kota Sibu. Tidak jauh daripada kompleks kedai makanan tadi, kami berada di lapangan yang agak luas. Di situ terdapat ramai orang – daripada pelbagai kaum. Di tengah- tengah lapangan itu, terdapat gerai-gerai pasar malam.
Kata Si Ayah, “Tok tempat yang kita tanggar petang tadik. Kedei elektrik tempat kita meli periok nasik ya di depan ya jak (Ini adalah tempat yang kita lihat tadi. Kedai elektrik tempat kita beli periuk nasi di depan itu saja).”
“Sik jaoh dari hotel lah (Maksudnya, tempat ini tidak jauh dari hotel),” jawabku.
“Sik besar Sibu tok (Sibu ini bukanlah besar sangat),” kata Pakcik Musa.
Kami meredah kumpulan-kumpulan manusia. Rata-ratanya adalah daripada bangsaku, memandangkan jasadku juga mengalir darah mereka, orang Cina. Ibu kepada ibuku adalah seorang Cina berketurunan Hokkien. Tidak ada yang perlu dibanggakan sangat tentang bangsa; kerana Tuhan hanya memandang terbaik di kalangan mereka yang punyai taqwa.
“Sitok (Sini),” tunjuk Si Ayah yang berjalan di depan. Pakcik Musa sudah menghilang. Pasti ia berjalan sendirian meneroka pasar malam. Aku tercegat.
“Pak, jangan kitak masok sia!” laungku.
Si Ayah tersedar, ia menoleh ke belakang. “Eh. Patutlah rasa lain jak.”
Aku merasa kami hampir-hampir memasuki ‘zon bahaya’. Zarah-zarah ini bertebaran di udara, bagaimanakah mengelaknya?
“Ya Allah, sitok nya manggang (Ya Allah, mereka memanggang di sini).” Kulihat, daging yang terlarang disebut dalam Quran dipanggang dan disalai secara terbuka di gerai-gerai ini. Asapnya berterbangan di mana-mana. Syukur, kami berdiri dalam jarak yang dirasakan selamat. Lalu kami membatalkan hasrat kami dan memilih lorong yang lain.
Sambil kami berjalan melihat-lihat barangan pasar malam, aku terperasan sesuatu. Aku terlihat beberapa deretan gerai muslim. Masih ada orang-orangku di sini. Tetapi... adakah mereka sedar? Gerai mereka terlalu hampir dengan barisan gerai memanggang daging bXXX itu.
Timbul persoalan di hatiku. Bagaimanakah keadaan mereka terdedah dengan asap panggang itu? Adakah makanan jualan orang Islam ini menjadi haram kerana terdedah dengan asap itu? Jika ya, haram, bagaimana jika ramai orang Islam yang berkunjung dan membeli makanan di gerai itu? Jika mereka membeli, berapa ramai yang akan memakan makanan yang bercampur halal dan haram? Tidakkah mereka sedar? Ataupun, adakah sesiapa yang sedar tentang ini?
Aku bukanlah orang yang alim dalam masalah ini. Aku tidak berani mengeluarkan kenyataan, ataupun fatwa. Hendak ditegur, aku ini orang asing. Dan mungkin inilah sumber pendapatan utama mereka. Tiba-tiba pula datang dan mengatakan sesuatu yang mungkin akan mendatangkan kemarahan mereka.
“Ya Allah, tunjukilah hamba-hamba-Mu ini!”
Terdetik di hatiku, bagaimanakah umatku ini dapat ditolong? Pendapatku, perkara ini berlaku mungkin kerana kurangnya pengetahuan dan kepekaan tentang perkara ini. Halal itu jelas dan haram itu jelas. Tetapi cabaran pada masa kini, terlalu banyak syubhah atau keraguan yang timbul. Tidak dapat dipastikan dengan jelas, terkadang perkara yang halal masih ada kesamaran bercampur dengan yang haram.
Bagaimanakah perkara ini dapat diatasi? Tidak lain, tidak bukan, ialah ilmu. Adanya ilmu yang mantap serta kesungguhan melaksanakan syariat agama Allah, insya-Allah, perkara ini dapat dielak.
Tetapi, siapa yang akan melakukannya? Bagaimanakah dapat dikumpulkan kekuatan? Ya, kekuatan sebenar adalah daripada Allah. Tetapi manusia harus menunjukkan usahanya. Sungguh, Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu mengubah nasib mereka sendiri (ar-Ra’d, 13:11).
Umatku masih ketinggalan dengan ilmu. Kerana inilah umat ini masih jauh terkebelakang berbanding bangsa yang lain. Perkara asas sebegini tidak menjadi perhatian. Tetapi di sudut yang lain, aku cukup geram ada suara-suara sumbang yang memukul canang, bahawa umat tanah airku ini (pasti slogan mereka memasukkan diriku) adalah ‘bodoh’, ‘marhaen’ dan ‘ketinggalan zaman’ dan sebagainya.
Ya, aku akui, dari segi ilmu dan pembangunan masih ketinggalan, tetapi janganlah dituduh melulu sedemikian. Jika umatnya kurang penghayatan ilmu, maka tanggungjawab yang mengetahui sepatutnya membantu. Aku berani katakan, masih ada orang yang sedar dan berusaha membaiki kelompongan ini. Masih ada orang yang berjuang, tetapi deras langkah mereka tidak didengar. Berapa ramaikah mereka? Dibanding nisbah bilangan mereka dengan luas tanah air ini, cukupkah itu untuk melakukan perubahan yang drastik? Jangan angkuh dikata saja kata-kata itu. Tetapi kotakanlah.
Tentunya ada hikmah Tuhan menjadikan demikian. Dia mahu hamba-hamba-Nya berebut menanam benih-benih untuk ia tuai di akhirat nanti! Inilah lubuk dakwah. Tanah air inilah lubuk dakwah yang paling subur...
Perjalanan dekat tapi singkat membelah kegelapan malam memaksa akal ini berfikir. Sehinggakan, terlupa, rupa-rupanya sudah sampai di pintu hotel.
“Aku di debah tok jak, njaga kereta (Saya di sini saja, jaga kereta),” kata Pakcik Musa. Naiklah aku dan Ayah ke bilik.
Aku menarik nafas. Suasana tadi benar-benar membuatku bingung.
“Hooo laaaaa hoooo laaaaa!!!” kedengaran bingit muzik dan nyanyian yang lari habis daripada tune, rentak dan irama lagu. Terasa juga getaran di lantai.
“Ya Allah..... berentam karaoke sidaknya (Ya Allah, mereka ini habis-habisan berkaraoke)!” aku menggaru kepala.
“Sidaknya sebelah nun (Mereka di sebelah sana),” kata Ayah sambil melihat televisyen.
“Nasib juak di sebelah nun, mun ndak kuat lagik ya (Nasib baik di sebelah sana, kalau tidak, kuat lagi suara mereka),” kataku sambil menggelengkan kepala.
“Maksiat,” kata Ayah.
Ia berkata lagi, “Kitak sik tido lagik? Isok jaoh lagik berjalan ya. Kenak bangun awal. Lepas suboh kita kenak jalan terus (Awak tidak tidur lagi? Perjalanan besok masih jauh, kena bangun awal. Selepas subuh kita terus berangkat).”
“Aok, kaktok lok. Agik ada idea tok (Ya, sekejap lagi. Masih ada idea).”
“Sambongan novel kitak kah (Sambungan novel awak)?”
“Bab satu, novel keduak Galaksi Muhsinin, Projek Zenzaburo,” jawabku. Sekurang-kurangnya dapat melepas tekanan kebimbangan tadi. Suasana malam tadi, rupanya telah mencambahkan idea untuk bab ini. Itulah hikmahnya. Semuanya aturan Tuhan yang Maha Perkasa.
“Ya Allah, tambahkanlah ilmuku, jadikanlah ilmuku, ilmu yang bermanfaat. Berikanlah keberkahan ilmu yang Engkau beri, agar sempatku berjasa kepada masyarakat. Selamatkanlah kami dalam perjalanan ini, hanya kerana redha-Mu.”
Berjasa Kepada Masyarakat.
InsyaAllah akan datang, Kembara Tanah Air (7): Merentasi Alur Rajang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol
"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...
-
*Artikel ini telah saya tulis sebagai alat bantu mengajar kelas KAFA untuk murid-murid Tahun 2 beberapa bulan yang lepas. Mohon teguran da...
-
Habib Mohamad bin Alwi al-Attas (kiri) dan Habib Izzuddin al-Idrus (kanan) Jika berbicara tentang dakwah, pemerhatian saya para guru A...
-
Bisikan Tanjung Lobang (1) Bisikan Tanjung Lobang (2) Bisikan Tanjung Lobang merupakan cetusan andaian ataupun simulasi kepada pertem...
2 comments:
Sik sabar mauk baca sambungan. Apa ndak jadi kat Rajang ya kelak...?
mn rajang msti cita hal ckei..hihihi
Post a Comment