Thursday, November 13, 2008
Kembara Tanah Air (5): Bukit Bintang Sarawak?
Kembara Tanah Air (1): Permulaan yang Keliru
Kembara Tanah Air (2): Bersama Saudagar Cencaluk
Kembara Tanah Air (3): Pilu di Simpang Niah
Kembara Tanah Air(4): Solat Jumaat di Tatau
Segala puji bagi Allah, pencipta langit dan bumi. Dialah yang menjadikan perjalanan ini selamat dan sejahtera. Setelah lebih kurang tiga jam perjalanan, kami akhirnya sampai di bandar Sibu. Tibanya di sini, menandakan separuh perjalanan telah dilalui, memakan masa sekitar enam jam. Tiga pengembara – dengan Kancil yang sarat muatan bak treler tiba di bandar ini dalam jam 5.30 petang.
Perjalanan sememangnya menduga kekuatan diri. Cuaca panas, jauh perjalanan dan suasana perjalanan kadang-kadang mendesak kelopak mata ini untuk berehat seketika. Bimbang juga, silap perhitungan lain perginya. Namun azam dalam diri untuk bersabar seketika menjadi penyegar perjalanan. Syukur kepada Tuhan, perjalanan yang seolah-olah tiada penghujung ditamatkan di sini.
Kali terakhir ku menjejakkan kaki ke sini ialah kira-kira tiga tahun yang lepas, iaitu pada tahun 2005. Pada ketika itu, Kembara Amal II menjelajah tanah air, dari Kuching sehinggalah ke Miri. Kampung Baru di pinggir bandar telah menjadi destinasi kami dan telah berkampung di sana selama dua hari satu malam. Pada dua hari sebelumnya, kami singgah di sini untuk ke Kapit dengan menaiki bot ekspres ke Kapit. Sungguh, Kembara itulah telah membuka mataku – umatku merintih dan menangis tidak kedengaran.
Sibu merupakan persimpangan jalan utama di zon tengah Sarawak. Juga, sebagai pusat pengangkutan, perdagangan, perindustrian dan pembalakan di kawasan. Bandar ini terletak di tebing Batang atau Sungai Rajang; sungai terpanjang di Sarawak, sekaligus negara ini. Justeru, Sibu merupakan pangkalan pengangkutan utama untuk ke kawasan pedalaman, terutama bandar Kapit yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan menaiki bot ekspres. Dilihat dari segi zahir, Sibu merupakan sebuah bandar yang pesat membangun – walaupun tidaklah sepantas di mana-mana pembangunan di Semenanjung. Penduduk di sini adalah majoriti kaum Cina. Kaum-kaum yang lain, seperti Melayu (Islam) dan bumiputera menempat di pinggiran bandar dan kampung.
“Jalan ke Sibu tok, jalan di Selangau paling terok. Jalan jaik (Dalam perjalanan ke Sibu, jalan melalui Selangau adalah yang paling tidak baik),” aku terkenang kata-kata Pakcik Musa. Ya, memang benar. Jalannya bergelombang dan berlubang-lubang. Tidak lain dan tidak bukan kerana itulah satu-satunya jalan utama dan digunakan sepenuhnya, termasuk kenderaan berat.
“Mbak barang perlu jak. Kita parking kereta debah. Dah dapat parking tok, iboh dikaleh lagik. Mun mok jalan, kita jalan kaki jak (Hanya bawa barang yang perlu (ke bilik). Kereta diletak di tempat letak kereta di bawah, tak perlu kita alihkan lagi di tempat lain. Kalau kita nak jalan, kita jalan kaki sahaja),” kata Si Ayah. Kami menetap di Hotel Bahagia, terletak di tengah bandar ini.
Setelah siap menguruskan penginapan, kami pun mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di bandar. Satu pilihan yang tepat; kerana tersangat ingin menjelajah dan melihat sendiri bagaimanakah corak masyarakatnya. Mulanya kami agak bimbang untuk bersiar-siar dengan menaiki kereta, kerana tempat letak kereta berhampiran dengan hotel amat terhad. Lantaran kesibukan bandar ini sendiri – tempat letak kereta sentiasa penuh.
“Siney masjid, pakcik (Di manakah masjid di sini, pakcik)?” tanyaku.
“Ada, sebelah nun, tapi jaoh dikit jalan (Ada di sebelah sana, tapi jalan jauh sedikit), ” jawab Pakcik Musa.
Sememangnya ada harapan untuk melihat sendiri tempat manusia sujud kepada Allah di sini; di kala tidak ramai orang Islam. Mungkin pada malam nanti dapat berjumpa dengan penduduk kawasan ini. Mudah-mudahan, Allah makbulkan.
“Sibu tok, petang-petang kedak tok kedei nang dah mok tutup. Sekda apa gilak. Jangan ndak berjalan (Di Sibu, kedai sudah tutup pada petang. Tidak ada apa sangat pada waktu sekarang. Kita saja jalan-jalan),” kata Si Ayah.
Kami berjalan melintasi kawasan tengah bandar. “Ingat dolok ada gereja besar sitok. Tapi dekat dengan terminal ekspres (Dahulu saya ingat ada sebuah gereja besar di sini, tapi dekat dengan terminal ekspres),” desisku.
“Nya ya nah (Itu dia)!” aku menjangkau kamera digitalku dan mengambil gambar dari jauh. Apabila difokus, kuamati semula bangunan yang kusangka gereja.
“Eh, ya terminal ekspres. Salah. Palang ya kedak salib jak (Bukan, itu ialah terminal ekspres. Palang itu seperti salib).”
Kami terus berjalan. Terkadang terasa juga seperti pelancong. Tetapi bagiku tidak demikian. Bagiku, di mana-mana di tanah air ini, adalah tanah tumpahku sendiri. Ayah memang seorang yang berjalan laju. Tidak menjadi masalah, kerana aku sudah terbiasa. Menjadi lumrah, keluargaku, apabila meneroka satu tempat, kami berjalan dengan langkah yang deras, biasanya dalam jarak yang jauh. Mungkin ringkasnya, ‘maraton keluarga.’
Kami melintasi pasar Sibu. Sudah lengang. Kebanyakan gerai telah tutup. Kami sempat melihat-lihat beberapa gerai dan membeli buah-buahan untuk bekalan. Penjual rata-rata sedang mengemas-ngemas gerai mereka. Majoriti adalah di kalangan kaum Cina, sedikit sekali yang beragama Islam, yang boleh dikenal melalui hijab yang mereka pakaikan.
Tiga orang masih berjalan; ke mana-mana arah yang dipandu Ayah.
“Allah, nya ya!” lantas, aku mengambil gambar beberapa kali, sehinggalah menghasilkan imej yang memuaskan. Gereja yang agak besar, mungkin adalah gereja mazhab Methodist. Ini memandangkan, pemerhatianku, mazhab Methodist secara dominan dianuti oleh kaum Cina. Itu baru satu. Aku ingin mencari yang lain. Dalam fikiranku, di manakah masjid? Bagaimanakah wajah-wajah orang Islam di sini?
Kami berjalan... berjalan... berjalan... melewati blok demi blok, jalan demi jalan, kedai demi kedai. Hampir kesemuanya telah tutup. Sehinggalah kami tiba di satu kawasan, suasananya tidak seperti di tempat lain. Bangunan baru, jalannya dihias dengan elok, dengan pohonan bunga dan pokok-pokok renek yang lain.
Kami singgah di beberapa kedai – sekadar melihat-lihat.
“Macam di Bukit Bintang jak, pak.”
Si Ayah ketawa, “Nya kah (Ya kah)?” Pakcik Musa pula berjalan di sisi kami dengan selamba. Beliau sudah biasa dengan tempat ini. Terkadang ada juga komennya.
“Sik kitak nangga ya? Bangunan baru-baru, tepi-tepi ya pokok-pokok palma. Hamper di setiap sudut, ada jak karaoke, pub, kedei minum ngan hotel. Bukit Bintang di sinun, iboh kiralah. Hebat lagik (Ayah tidak lihat? Bangunan serba baru, tepinya banyak pokok palma. Hampir di setiap sudut, ada saja karaoke, pub, kedai minum (arak) dan hotel. Bukit Bintang di sana (Kuala Lumpur), jangan kiralah. Hebat lagi).” Jumlah premis seperti terlalu banyak, sehinggakan aku sangat terasa suasananya.
Jawab Si Ayah, “Mena juak. Maksiat.”
Selama kami di sisi jalanan, selama itulah aku terasa ingin menangis. Pembangunan yang pesat sebegini, ada juga sudut-sudut khas tempat maksiat berleluasa dilakukan. Pada malam nanti kami akan menjelajah kota ini lagi; tetapi kami tidak melalui kawasan ini.
Apabila orang yang bukan selayaknya memegang tampuk pimpinan, inilah yang terjadi. Pembangunan sememangnya pesat, tetapi pohonan duri maksiat dibiarkan subur tumbuh di jurang-jurang gelap kehidupan, malah dibajai dengan ketidakpedulian akan ‘malapetaka’ ini. Mengapa ini terjadi? Kerana tidak ada orang yang layak memegang tampuk pimpinan itu di kalangan orang Islam, maka orang lainlah yang memenuhinya. Lantas usaha menyuruh yang makruf dan menegah yang mungkar menjadi kian sukar. Natijahnya, adalah seperti yang kulihat sekarang.
Di manakah umat Islam? Di manakah kepimpinan mereka yang hebat suatu masa dahulu? Suatu ketika, siapakah yang mula-mula mentadbir tanah air ini? Ya, zaman itu telah berlalu. Sarawak Bumi Kenyalang pernah berada di bawah pemerintahan Islam selama beberapa abad bawah Kesultanan Melayu Brunei, sehinggalah satu persatu wilayahnya dirobek dan dirompak oleh penjajah Inggeris durjana.
Kesultanan Melayu Brunei telah mentadbir dari Kuching di Selatan dan ke pinggiran Barat Sabah di Utara. Antara sebab Islam berkembang di Sarawak adalah melalui usaha dakwah kesultanan ini. Islam yang telah mereka anut mengangkat martabat orang Islam. Kerana dengan Islam, mereka hidup dengan lebih sistematik, mengamalkan cara hidup yang bersih dan lebih berorganisasi berbanding kaum peribumi yang lain pada ketika itu. Oleh yang demikian, mereka diberikan kepercayaan memerintah.[1]
Zaman itu telah berlalu. Isu Sarawak milik siapa bukanlah persoalan. Apa yang penting adalah survival agama Allah ini yang mentadbir segala urusan manusia. Bagaimanakah umat ini mampu bertahan menongkah arus ‘kemajuan’ dan ‘pemodenan’? Siapakah yang akan mengisi kepimpinan umat ini, yang rata-ratanya sekarang sudah beruban? Siapakah yang akan membela nasib generasi ini pada masa yang akan datang, melihatkan generasi muda masih terumbang ambing tanpa tujuan?
Kami kembali ke Hotel Bahagia menjelang hampir Maghrib. Hatiku merintih sepanjang jalan. Sebak. Hiba. Bimbang, akan masa depan masih kabur di balik kabus buat umat kerdil seperlima tanah airku ini. Siapakah yang peduli?
Tetapi kuyakin, tetap akan ada cahaya cemerlang yang menembus. Aku telah melihat benih-benihnya kian subur di balik racun-racun jahiliah. Kuyakin, Islam tetap akan kembali lagi ke pangkuannya, dengan izin Tuhan, Insya-Allah!
Berjasa kepada Masyarakat
Insya-Allah bersambung: Kembara Tanah Air (6): Mengelak Zarah Bahaya
NOTA: [1] Analisis Penilaian Semula Penjajahan Sepanyol dan Portugis di Asia Tenggara,(2007). Karisma Publications.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol
"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...
-
*Artikel ini telah saya tulis sebagai alat bantu mengajar kelas KAFA untuk murid-murid Tahun 2 beberapa bulan yang lepas. Mohon teguran da...
-
Habib Mohamad bin Alwi al-Attas (kiri) dan Habib Izzuddin al-Idrus (kanan) Jika berbicara tentang dakwah, pemerhatian saya para guru A...
-
Bisikan Tanjung Lobang (1) Bisikan Tanjung Lobang (2) Bisikan Tanjung Lobang merupakan cetusan andaian ataupun simulasi kepada pertem...
No comments:
Post a Comment