Segala puji bagi Allah, Tuhan Sarwa Alam. Selawat atas Junjungan Mulia Sayyidina Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.
Anakku, dengarlah bicaraku ini. Mungkin suatu masa nanti engkau mencariku sudah tiada, dapatlah engkau menatap coretku pada saat ini.
Anakku,
Dahulu nendamu pernah berbicara kepadaku. Ia mengkhabarkan kepadaku bahawa sejak awal nadimu bergerak, terasa lama benar menunggumu tiba di dunia. Maka nendamu berkata jua, tatkala masanya hampir tiba, saat itu cepat benar berlalu. Kelahiranmu kami tunggu-tunggu.
Anakku,
Benar kata nendamu yang bijaksana. Dahulu terasa bilakah kunjung tiba harinya. Namun kini detik kelahiranmu aku dan bondamu tertunggu-tunggu saat pertemuan kita. Nenda-nendamu, guru-guruku, saudara-saudaramu, taulanku, mendoakan sejahtera hendaknya engkau lahir ke dunia.
Anakku,
Ingatlah asal-usulmu. Tika ini engkaulah seperti yang dikata firman yang Allah Maha Esa dengan Kalam-Nya yang Mulia, tertera dalam Surah al-Mukminuun:
12. Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada pati (yang berasal) daripada tanah.
13. Kemudian Kami jadikan pati itu setitis air benih di tempat penetapan yang kukuh.
14. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku; lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan Allah sebaik-baik Pencipta.
Anakku,
Ketahuilah bahawa engkau diciptakan oleh Allah Tuhanmu dari asal yang hina. Dia telah mengkhabarkan asal-usulmu sejak awal lagi. Engkau wujud daripada tiada kepada ada. Suatu hari wujud engkau daripada ada kepada tiada. Akan tetapi Tuhanmu adalah Qadim dan Baqa’. Dialah yang wujud sejak azali lagi dan tetap hidup tiada mati azali selama-lamanya. Engkau pernah berjanji kepada-Nya sebelum alam rahim lagi. Engkau keluar ke dunia mengotakan janjimu. Ingat asal-usulmu itu.
Anakku,
Saat pertama aku melihat nadimu berdenyut, aku sudah tertawan akan dirimu. Engkau adalah bukti Tuhan itu Maha Esa lagi Berkuasa. Dia-lah yang Menciptakan. Dia-lah yang Menghidup dan Mematikan. Betapa takjubku melihat, ada denyut nadi nyawa berkelip-kelip dalam rahim ibumu. Kerlipan jantungmu yang sudah berentak berirama menunjukkan kewujudanmu.
Anakku,
Sungguh engkau adalah berita gembira. Syukur tidak terungkap kepada Tuhanmu Allah. Semoga engkau menjadi tali turunan yang menyambungkan amalku ketika aku di alam barzakh. Ketahuilah, tidak bermanfaat amalku kelak melainkan tiga perkara apabila aku di alam kubur. Aku harap engkaulah anak yang soleh yang mendoakan kesejahteraan daku dan ibumu suatu hari kelak.
Anakku,
Aku pernah mendengar daripada guruku yang mulia. Namanya Habib Mohamad bin Alawi al-Attas. Semoga Allah merahmati tuan pendidikku itu. Semoga engkau sempat bersua dengannya. Guruku pernah berkata, bahawa ahli ilmu hayat pernah berbicara. Mereka menyatakan bahawa janin itu lantas bersujud dalam rahim ibunya apabila dibacakan kalimat Tuhan yang Maha Esa. Aku pernah mendengar, daripada seorang guru yang jauh. Namanya hampir sama, iaitu Habib Mohammad al-Saqqaf. Ia berkata bahawa kalimat Tuhanmu membawa cahaya kepadamu. Engkau tahu apakah itu? Adakah engkau merasanya?
Anakku,
Kata-kata guruku itu aku turuti. Aku usap dirimu mungkin tanpa engkau rasa. Maka aku cuba menuturkan alunan ratib, zikir, selawat dan kitab Quran yang mulia kepadamu. Lantas dirimu tidak pernah cuai berolak-olak selolah-olah dirimu keriangan. Adakah benar engkau sujud kepada Tuhanmu? Adakah benar ada cahaya dalam hatimu? Adakah benar, wahai anakku?
Anakku,
Sebelum mengakhiri warkah sederhana ini, ingin aku pesan sesuatu. Harapanku, engkau ketahuilah, rangkulkanlah dan hayatilah, agar ia bermanfaat pada dirimu kelak. Aku ingin perkenalkan kepadamu seorang masyhur lagi agung teladan sepanjang zaman. Aku berharap benar engkau beriman kepadanya pada suatu hari kelak.
Anakku,
Sungguh, orang yang aku perkenalkan ini insan yang mulia. Ia juga manusia, tetapi tiadalah sama sepertimu. Janganlah engkau dengar dakwaan bahawa ia manusia biasa sepertimu jua. Sungguh, ia dalam kandungan tidak pernah menyusahkan atau membebankan bondanya yang mulia. Terpancar dari perut ibunya cahaya yang menampakkan istana-istana Syam.
Anakku,
Saat kelahiran insan itu, terpancar dari rahim ibunya cahaya yang gemilang. Lantas keluarlah seorang bayi yang suci, bersih dan wangi yang lantas bersujud kehadrat Ilahi-Nya. Ia telah berkhatan dan terpotong tali pusatnya. Api biara Majusi menyala seribu tahun terpadam. Takhta istana Kisra dan Kaisar menjadi puing-puing. Tahi bintang menembus sang pengintip menjaga perkhabaran langit. Sungguh ia istimewa daripada mana-mana bayi sekalipun. Ia adalah insan agung. Insan yang dipilih Tuhan daripada nenek moyangmu Nabi Adam. Dialah sebaik-baik makluk-Nya, juga Khatimul Anbiya, iaitu Penyudah segala Nabi. Dialah penyebar rahmat ke serata alam. Engkau tahu siapakah dia?
Anakku,
Engkau pangil ia Sayyidina Rasulullah Nabi Muhammad. Jangan engkau lalai sebutkan selawat atas nama baginda ‘sallallahu alaihi wasallam.’ Kerana engkau umatnya. Ia Penghulu di dunia ini. Semoga dia mengenalimu pada Hari Penantian nanti. Dia juga Penghulu di Alam sana. Maka engkau berimanlah kepadanya sekalipun engkau tiada pernah bersua dengannya. Agar engkau dapat meneguk Telaga Haudh ketika engkau haus pada Hari Itu. Dan engkau jangalah jemu berselawat atasnya. Semoga ia mengenalimu dan memberi syafaat pertolongan kepadamu. Ia sungguh kasih kepadamu!
Anakku,
Engkau cintailah dia sepenuh hatimu. Kerana mencintainya bermakna mencintai Allah Tuhan yang Maha Esa. Sungguh, guruku Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki pernah berkata, cinta kepada Rasulullah selawat atasnya bukanlah cinta yang semulajadi. Bahkan, cinta itu bukan sebarang cinta. Cinta itu adalah dengan usaha dan pengorbanan yang bukan sedikit. Bagaimanakah engkau meraih cinta?
Anakku,
Aku sedang mencari-cari cinta nan agung itu. Jawapan itu mungkin juga engkau terjawab suatu hari kelak. Aku mengambil pesan guruku Habib Izzuddin al-Idrus, bahawa carilah cinta itu dengan ilmu. Ilmu engkau amal menimbulkan yakin. Yakin itu menimbulkan iman. Iman itu menimbulkan taqwa. Semoga taqwa itu menghias dirimu, dan pendorong untukmu mencari cinta ulung itu.
Anakku,
Aku pohon kemaafan atas panjangnya bicaraku ini. Sekadar ingin aku dan bondamu khabarkan, saat kelahiranmu kami tunggu-tunggu. Kami doakan agar engkau selamat sejahtera lahir ke dunia yang fana ini. Semoga engkau menjadi berita gembira, cahaya mata, penyejuk hati kami berdua. Aku pohon kemaafan daripada Allah yang Maha Pemurah. Semoga Dia mengampuni kami, ibu bapa kami yang telah berpenat lelah bertarung nyawa membesarkan kami daripada kecil tapak tangan sehinggalah menjadi seorang manusia. Amiin.
No comments:
Post a Comment