BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Monday, January 30, 2012

[Buku] Singa Podium: Biografi Habib Umar bin Hafiz


“Engkau penyihir orang-orang muda!” tempik seseorang.

Orang yang ditempiknya lantas sujud ke tanah. Kemudian orang bersama (bersujud) bertanyakan, “Mengapakah tuan terus sujud ke tanah, sedangkan dia menuduh tuan seorang penyihir?”

Lantas, insan tertuduh itu tersenyum, lalu berkata, “Kerana aku menempuhi jalan yang telah dilalui oleh baginda moyangku.” Ya, moyangnya telah dicemuh. Bukan sekadar ahli sihir. Bahkan, bermacam-macam lagi tuduhan yang tidak benar lagi berasas. Kerana insan agung tersebut adalah Utusan Terakhir Allah adalah penyempurna akhlak manusia, maka ia tidak membalas sedikitpun yang diterimanya. Moyang beliau adalah Sayyidina Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Begitulah saya dengar daripada sahabat saya daripada Madrasah al-Khairat, Kuching yang pernah menimba ilmu daripada majlis yang disampaikan didakwa sebagai sang penyihir tadi. Siapakah orang ini?

Beliau adalah Habib Umar bin Hafiz. Beliau merupakan ulama keturunan Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w dan merupakan pengasas sebuah institusi pengajian agama Darul Mustafa. Institut tersebut mempertahankan sistem tradisi ilmuan Islam secara bersanad yang menjadi tonggak kepada kukuhnya ilmu agama berlandaskan kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah. Darul Mustafa terletak di sebuah tempat bernama Tarim, Hadhramaut, Yaman.

Buku Singa Podium: Biografi Habib Umar bin Hafiz telah saya beli beberapa minggu yang lepas di Mybookstore, Kuching. Bimbangkan buku ini cepat habis, maka saya segera menyambarnya tanpa banyak fikir. Buku ini diterbitkan oleh Inteam Publishing pada November 2011 yang lepas. Buku ini membentangkan pengenalan ringkas tentang sosok dakwah yang tersohor ini. Usaha menerbitkan buku seperti ini amat bertepatan sekali, iaitu dalam keadaan umat Islam perlu mengetahui figur-figur yang boleh dijadikan sebagai tauladan, terutama sekali pemuda-pemudi Islam.
Habib Umar bin Hafiz ketika berada di Masjid Sultan Ahmad Shah, UIAM pada Januari 2010. Oleh sebab tidak ramai hadirin menghadiri kuliah subuh beliau, maka kesemua di kalangan mereka berkesempatan untuk bersalaman dengan beliau. Walaupun saya tidak hadir, tetapi sykurlah gambar ini telah dimbil dengan kamera saya! (Huhu)

Namanya bergema di hati-hati pemuda pemudi yang beriman kepada Allah di serata dunia. Dirinya mengikut jejak langkah nenek moyangnya Sayyidina Rasulullah s.a.w. Beliau merantau ke ceruk-ceruk dunia untuk menyampaikan dakwahnya mengajak manusia kembali kepada Allah dan mencintai Rasulullah s.a.w. Saya pernah mendengar, bahawa sekali majlis sahaja di Indonesia, manusia yang hadir mencecah lebih sejuta di sebuah dataran. Dikhabarkan, beliau keluar berdakwah ke serata dunia selama 6 bulan setahun. Manakala menjelang Ramadhan, beliau kembali ke Tarim, Hadhramaut. Saya teringat kata-kata seorang kenalan:
“Kita berasa penat sekali usai pulang daripada majlis Habib Umar. Akan tetapi, sebenarnya beliau tanpa mengeluh dan rasa lelah meneruskan dakwahnya di negara-negara lain. Daripada manakah beliau beroleh kekuatan?”
Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian:
1.Biografi ringkas hidup Habib Umar bin Hafiz
2.Pengenalan tentang Darul Mustafa
3.Intisari ceramah dan nasihat beliau ketika berada di Indonesia
4.Biografi ringas anak murid beliau, Habib Ali Jufri
Satu tradisi ulama Hadhramaut adalah menziarahi makam Nabi Allah Hud pada bulan Syaaban.
Alhamdulillah, dengan nikmat yang Allah berikan kepada saya, saya sempat mengikuti majlis bersama Habib Umar di pondok Baitul Qurra, Melaka pada Januari 2010. Pengalaman hadir dalam majlis tersebut luar biasa sekali. Dikatakan, lebih 10,000 hadirin membanjiri dataran pondok tersebut. Pengisian tausiyah beliau tidaklah lama. Tidak sampai sejam pun. Namun demikian, sentuhan ruhani beliau luar biasa sekali; saya yakin ribuan hadirin juga mengalirkan air mata ketika kami berdoa bersama-sama beliau kepada Allah.


Saya masih ingat, untuk keluar lorong pondok ini memakan masa yang agak lama, kerana terlalu ramainya manusia! Walaupun tidak berkesempatan untuk mencium tangan beliau, namun saya sempat melihat manusia berduyun-duyun, berebut-rebut untuk bersalaman dengan beliau. Saya teringatkan perbualan saya dengan seorang sahabat, beliau mengatakan:

“Habib Umar tidak membawa sepuluh sen pun, dia dapat (menyara hidup) teruskan dakwahnya. Orang sanggup menjaga kasut beliau sehinggalah menyarungkan kasutnya ke kaki. Begitulah, orang yang begitu hampir kepada Allah, dunia di bawah telapak kakinya.”
Perwatakan beliau yang lemah lembut dan berhikmah, keluasan ilmu dan menyentuh hati-hati pendengar mengangkat wibawa beliau. Lantas, tidak hairanlah beliau menjadi sebutan di kalangan muda-mudi.

Menurut daripada kisah yang saya dengar daripada orang-orang yang pernah menuntut ataupun hadir di majlis beliau ketika di Hadhramaut, beliau merupakan seorang yang amat berpegang dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Betapa besarnya perhatian beliau terhadap ilmu, masa tidur sehari purata tidak lebih daripada sejam. Dikatakan juga, adakalanya tidur beliau hanyalah ketika terlelap seketika semasa beliau menelaah kitab pada sepanjang malam. Siangnya beliau mengajar dan berdakwah mengajak manusia kembali kepada Allah.

Habib Umar bin Hafiz ditemani anak murid beliau, Habib Ali Zainal Abidin (calon PhD UIAM) ketika di Masjid al-Falah USJ9, Subang, Januari 2010. Dianggarkan dihadiri oleh 10,000 orang
Satu kekaguman yang saya dengar di kalangan penuntut beliau adalah cara beliau yang amat berhikmah mencontohi Sayyidina Rasulullah s.a.w.Beliau tidak mencela dan menghina orang lain. Sekalipun orang-orang yang berbeza aliran mazhab ataupun akidah, beliau tidak pernah menyebutkan nama-nama orang tertentu dalam majlisnya, hanya sekadar menyebutkan ciri-ciri fahaman yang menyimpang daripada agama. Saya dengar juga, tidak sedikit tokoh-tokoh Syiah dan Wahabiyah yang telah insaf dan bertukar aliran menjadi penuntut beliau menegakkan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Habib Umar bin Hafiz ditemani oleh Habib Ali Zainal Abidin yang menterjemahkan tausiyah beliau. Di Baitul Qurra', Melaka, Januari 2010.
Marilah bersama-sama kita menjadi pencinta para ulama yang merupakan rantaian dakwah daripada baginda Rasulullah s.a.w. Ulama keturunan beliau, yang digelar sebagai Habib telah bergiat cergas setiap masa dan ketika membawa manusia kembali kepada-Nya. Hakikat fakta sejarah mengatakan bahawa rantau ini telah disinari dengan cahaya Islam oleh para ulama sufi daripada Hadhramaut sejak ratusan tahun yang lampau. Syukur kepada Allah, hubungan tersebut telah disambungkan kembali oleh penerus generasi ulama Hadhramaut.
Disebutkan sebuah hadith dalam kitab Empat Puluh Hadith Kelebihan Ilmu dan Ulama susunan KH. Muhammad Syukeri bin Unus al-Banjari (diterjemah oleh Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam an-Nadwi al-Maliki), daripada Abdullah bin 'Amar bin ‘Ash radiallahu’anhuma berkata:

Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya Allah Taala tidak menghilangkan ilmu agama itu dengan dicabutkan sekaligus daripada manusia, tetapi Allah Taala akan menghilangkan ilmu itu dengan mematikan para ulama. Sehingga apabila sudah tiada para ulama, manusia akan melantik pemimpin mereka daripada kalangan orang-orang yang jahil, lalu mereka ditanya hukum sesuatu masalah, maka mereka menjawab atau berfatwa tanpa ilmu pengetahuan, maka mereka tersesat dan menyesatkan orang lain.” (Hadith Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi)
Mengakhiri pengenalan buku kali ini, dalam kesempatan yang ada kita perdengarkan mutiara-mutiara hikmah daripada Habib Umar bin Hafiz. Semoga kita beroleh manfaat daripada beliau, amin.

Habib Umar berbicara akan kasih Rasulullah s.a.w terhadap umatnya:


Habib Umar berbicara tentang ciri umat Islam yang sejahtera:


Dokumentari kembara dakwah Habib Umar di Andalusia, Sepanyol:


Allahu’alam. Wassalam.

NOTA: Khas buat orang-orang di Kuching, bersempena sambutan Maulidur Rasul 1433H ini, YADIM dengan kerjasama beberapa pertubuhan lain akan mengadakan program 'Marhaban ya Rasulallah s.a.w!' yang akan dihadiri juga oleh para Habaib jemputan pada 11 Februari 2012 di Majid Darul Abidin, Astana. Anda dijemput hadir bersama keluarga, jiran-jiran dan rakan taulan. Jumpa di sana!

2 comments:

NORA MOHAMAD said...

subhanallah... tiada kata yg dpt mluahkan prasanku....

laksamana angkasa said...

subhanaallah....

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...