Alhamdulillah, segala Puji bagi Allah Tuhan sarwa alam. Selawat dan salam atas Junjungan Mulia, Penghulu segala Nabi dan Rasul, Sayyidna Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.
Syukur nikmat Islam dan Iman yang Allah masih berikan. Dengan nafas dan nyawa yang disambung kepada jasad, dan dengan taufik dan hidayah-Nya, masih lagi diberikan kesempatan melakukan ketaatan.
Namun demikian, ketaatan itu pernah diajarkan oleh hamba-Nya yang mulia. Bahkan, bukan sebarangan manusia, tetapi Guru yang Agung, iaitu Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. Selawat dan salam selama-lamanya atas baginda dan ahli keluarganya di kalangan Ahlul Bait. Semoga Allah mememelihara, meneguhkan mereka dan umat Muslimin secara keseluruhannya.
Alhamdulillah, kita telah beranjak sekali lagi bertemu dengan bulan yang mulia, iaitu bulan Rabiul Awal 1433H. Bulan yang dikatakan oleh ahli sufi yang tiada rupa asalnya. Akan tetapi dengan kelahiran baginda Rasulullah s.a.w ia menjadi mulia kerananya.
Ingin saya mewar-warkan satu majlis 'Marhaban ya Rasulullah!' anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sarawak dengan kerjasama Masjid Darul Abidin (Astana, Kuching), Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS), Madrasah al-Khairat, Sukarelawan al-Falah YADIM dan Hawary Consultants pada 11 Februari 2012, Sabtu mendatang.
Dalam program tersebut, para hadirin akan bersama-sama meruntunkan bait-bait syair memuji Allah dan berselawat atas Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w melalui Maulid Daiba' serta qosidah-qosidah yang indah. Juga terdapat penceramah yang dijemput khas, mengutarakan akan keindahan Rasulullah s.a.w.
Oleh yang demikian, amat mustahaklah kita mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan ilmu tentang baginda Rasulullah s.a.w dengan cara yang benar, daripada guru dan ilmu yang benar. Dan juga, jadikanlah bulan ini sebgai bulan permulaan untuk kita menghayati mahabbah (kecintaan yang mendalam) terhadap baginda Rasulullah s.a.w dengan hak. Jika sesiapa yang tidak berkenan menyambut Maulidur Rasul ini, silakanlah. Tetapi usahlah membuang masa dan tenaga hanya semata-mata mengatakan ini sungguh terlarang yakni bid'ah yang boleh menjerumus kepada kesesatan.
Sesungguhnya telah terbit daripada kalam-kalam ulama muktabar yang merupakan mata rantai ilmu dan cahaya daripada baginda Rasulullah s.a.w telah mengulas dengan panjang lebar, bahawa sambutan ini adalah sambutan mulia. Jika anda berminat, saya pohon agar boleh dirujuk kitab Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’: Inilah Jawapannya oleh yang berbahagia Ustaz Muhadir bin Joll.
Bahkan, melihat kepada umat Islam kini yang semakin hari semakin jauh daripada tauladan ulung daripada baginda s.a.w, tidak keterlaluan jika sambutan Maulidur Rasul ini sampai ke tahap wajib. Pandangan tersebut merupakan pandangan daripada seorang ulama tersohor, Syeikh Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani (w. 2004), pengajar Masjidil Haram di Makkah. Perkara ini telah disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Joll dalam siaran di Radio IKIM.fm pada Jumaat, 20 Januari 2012.
Kenang-kenangan bersama Ustaz Muhadir bin Joll (tengah, berjubah biru, berselendang warna perang) ketika majlis ceramah bersempena Maulidur Rasul 1432H di masjid Kpg. Senari, Bako, Kuching.
Marilah kita mengimarahkan majlis-majlis yang mengenang, memperingati, menghayati kasih sayang baginda Rasulullah s.a.w yang bakal berlangsung menjelang tarikh tersebut. Ini kerana dalamnya terkandung zikir, selawat dan nasihat serta pengajaran daripada pecinta-pecinta baginda s.a.w. Semoga kita meraih kecintaan, mahabbah kita kepada Rasulullah s.a.w, sekaligus meraih cinta kepada Allah... Amiin.
Sebagai renungan penghayatan sambutan, kita dengar kisah tentang kecintaan kepada Rasulullah s.a.w daripada keturunan Ahlul Bait baginda, iaitu Habib Ali Jufri:
Allahu'alam.
Wassalam...
No comments:
Post a Comment