Tuesday, September 29, 2009
Syawal (3): Misi Siratulrahim (1): Destinasi Marudi
“Udah siap sidaknya (Mereka sudah bersiap)?” tanyaku kepada Usu Shahril. Ibuku pula di sisi. Kami bertiga berdiri di depan pagar rumah. Jawab Usu, “Sidaknya tengah bersiap lagik (Mereka sedang bersiap).”
Balas ibuku, “Harap-harap sempat. Takut tertinggal lagik kedak marek (Harap-harap sempat. Bimbang pula terjadi seperti semalam).” Wajahnya tergambar kebimbangan.
Sambil mengimbas persekitaran, tiba-tiba Usu berkata, “Aku ngekot sidak ari tok. Aku pergi pulang ari (Saya ikut mereka. Saya pergi pulang hari).”
Aku menjawab secara spontan, tidak menyangka kata-katanya, “Apa?”
Usu mengulang, “Aku ngekot sidak. Pegi sama. Balit ngekot ekspres kol tiga kelak (Saya ikut mereka. Balik nanti naik ekspres pukul tiga petang).”
Hatiku melonjak-lonjak. Sudah beberapa tahun kebelakangan ini teringin benar berhari raya di kampung halaman saudara-mara, Marudi. Ya, hasrat itu telah tersimpan buat sekian lama. Kerana sudah berbelas tahun tidak menziarahi keluarga di sana. Mungkin juga kerana kekangan keluarga beberapa tahun ini, tidak berkesempatan untuk bertandang ke sana. Juga, kehidupan keluarga nukleus yang berpusat kepada keluarga kecil adakalanya terasa sempit; kerana tidak mengenal saudara-mara yang lain. Siapalah diri ini jika bukan saudara-mara yang ada di sekeliling kita. Bak kata pepatah, air dicincang tidak akan putus. Walau bagaimana jauh terpisah, kenal ataupun tidak, mereka tetap saudara sedarah sedaging.
Ada hikmah yang besar tersingkap akan peristiwa semalam. Kisahnya begini. Saudara daripada Kuching, Ngah Saleh dan Ngah Epot sekeluarga juga sekian lama tidak berhari raya bersama keluarga besarnya di Marudi. Mereka telah bertolak dari Kuching pada tengah malam sebelumnya dan dijangka tiba untuk menaiki bot ekspres dari Kuala Baram terakhir pada pukul 3 petang.
Allah Maha Merancang dan Maha Mengetahui rahsia segala rahsia. Waktu telah pun menjangkaui pukul 3 dan ekspres terpakasa bertolak. Namun di sebalik kelewatan itu terkandung rahsia yang besar – mereka bermalam di Miri dan akan berangkat pada keesokan harinya. Maka sempatlah kami bersua dengan sepupunya Ngah Epot walaupun sebentar (Ngah Epot merupakan sepupu ibu).
Rancangan spontan Usu pada pagi hening itu begitu mengujakan. Mengenangkan diri yang telah lama mahu ke kampung halaman bertemu sanak saudara bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Dek terlalu lama tidak berjarah, inilah peluang keemasan untuk menghubungkan kembali talian siratulrahim yang lama tidak dihiasi dengan sapaan kasih sayang. Inilah peluang untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas apakah pertalian diri ini dengan ibu dan bapa saudara, dan juga kazen-mazen (saudara mara). Maklumlah, sudah berbelas-belas tahun tidak berjumpa.
Aku bergegas bersiap. Pagi itu kelam kabut juga jadinya. Tidak ada perancangan langsung, tiba-tiba sahaja mengambil keputusan untuk bermusafir jauh. Marudi bukannya dekat – jika dikirakan dengan menggunakan jalan sungai, kira-kira 2 jam setengah.
Desisku dalam hati, “Ancor aku. Mun adikku tauk ke Marudi ari tok, abis aku kenak marah. Pegi sik madah-madah urang (Habis aku. Andai kata adik tahu aku ke Marudi hari ini, habis nanti dimarahnya. Pergi ke sana tidak beritahu orang).”
Ketika itu mahu berangkat. Barang-barang keluarga Ngah Epot dipunggah dengan cermat. Kepala dihitung dengan tepat.
Usu menyapa di luar pagar rumahnya, “Gago kau tok. Napa gap gilak tok? Malu aku bah (Awak menyibuk betul. Kenapa segak sangat? Buat malu saya sahaja)!” Ngah dan ibu ketawa kecil. Usu tersengih menggalas begnya. Gayanya santai, tidak ada rupa orang berhari raya. Berbaju kemeja dan seluar jeans.
Aku membalas, “Apa ya? Kita beraya bah. Polah lah kedak beraya (Kita mahu berhari raya. Buatlah seperti berhari raya)!”
Suasana keberangkatan menjadi kecoh. Kali ini Usu pula menjawab, “Kau tok, kau gap kedak ya terpaksa aku makei songkok. Aku tok adventure. Bila-bila aku boleh balit (Kamu ini, kerana segak sangat, terpaksa saya pakai songkok. Saya ini ‘adventure.’ Bila-bila balik pun tidak kisah),” ujarnya sambil memakai songkok.
Tegur Usu, “Napa diembak kau ya? Kita pegi tok sehari jak bah (Apa yang awak bawa? Kita hanya pergi sehari sahaja).”
Jawabku, “Aih, mun kitak haus, tok juak dicarik kitak (Nanti haus, ini juga yang Usu cari)!” aku memasukkan minuman ke dalam beg.
“Mana ajaklah. Sukati kau. Aku sik duli. Aku jalan, jalanlah (Mana sahajalah. Suka hati awak. Saya tidak peduli. Suka hati saya berjalan)!” kami semua ketawa mendengar jawapannya.
Sebelum segalanya bersiap berangkat, ujar Usu dengan nada rendah dan berwajah agak serius, “Yang penting, kita molah sunnah Nabi sallallahu alaihiwasallam. Baruklah kita kenal sudara kita (Apa yang penting, kita buat sunnah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Baru kita kenal saudara-saudara kita).”
Aku sudah mengagak kata-katanya itu. Itulah yang selalu disebutnya. Usu, seorang yang bijaksana menyelitkan isi-isi ajaran agama dalam perbuatan dan percakapannya. Di sebalik gurauan dan pembawaannya, orang mudah menerima nasihat dan tegurannya. Begitulah antara cara yang berhemah untuk orang-orangku, orang Sarawak yang ramah dan penyantun. Lenggok dakwah di sini harus disantuni dengan baik, dengan memahami konteks bahasa, budaya dan cara fikirnya. Biarlah dengan gaya dan bahasa yang difahami dan boleh diterima, bahasa yang melangit tinggi tanpa ada dasarnya tidak ke mana. Oleh yang demikian, orang mudah menerima dengan baik teguran, ajaran mahupun nasihat dengan difahami dengan bahasa yang baik. Terkadang kerana silap memahami konteks yang amat penting ini, kadangkala tidak sampai isi dakwah. Perkara ini aku perhatikan bukan sahaja dalam kitaran keluarga, tetapi kebanyakannya ku perhatikan apabila beliau bergaul dengan masyarakat setempat.
Balasku, “Mena ya. Menyambongkan siratulrahim. Nyambong tali yang terputus.” Kami pun beredar ke terminal ekspres Kuala Baram, terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari Pujut 9.
Bersyukur kepada Tuhan memberikan peluang sekali lagi untuk berdiri di terminal ini –sebuah jeti ringkas yang terdiri daripada platform, atap dan tayar penampan daratan ekspres. Kami tiba di lokasi ini kira-kira pada pukul 7.25 pagi. Kami tidak sempat untuk menaiki bot ekspres 7.30 kerana tidak semua sampai tepat pada masanya. Kami mengambil keputusan untuk berangkat dengan bot pukul 8.00 pagi nanti.
Angin berpuput lembut mengibarkan bendera Bumi Kenyalang di atas pelantar ekspres. Ekspres terapung-apung dibuai ombak kecil. Di tengah sungai pula kelihatan sebuah kapal penunda menarik tongkat yang memmbawa muatan balak. Kedua-dua kenderaan terapung perlahan, mungkin kerana sarat muatan dan melawan arus Sungai Baram pula. Air sungai berwarna perang bak teh tarik kurang manis. Secara zahirnya, sungai ini kelihatan berkelodak; airnya mengandungi banyak pasir.
Aktiviti pula memperlihatkan bermacam-ragam manusia. Rata-rata mereka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Pada pemerhatianku, mereka adalah orang sederhana dan pinggiran bandar ataupun yang tinggal di ceruk terpencil Baram ini. Ada yang baru tiba dan terus menaiki bot. Ada pula yang berbual dengan kenalan-kenalan. Ada yang menunggu seseorang. Ada pula yang mengail udang di hujung jeti. Ada pula yang sibuk menyelenggara bot masing-masing.
Tidak kurang juga terdapat saudara dan kenalan yang juga bermaksud berjarah ‘pulang hari.’ Maklumlah, hari ini baru hari ketiga hari raya, oleh yang demikian, aktiviti berjarah dipanjangkan. Pada awal-awal pagi ini sudah terasa kehangatan persaudaraan iaitu bertanya khabar dan bertukar-tukar berita antara satu sama lain.
Satu kebanggaan yang aku perhatikan ialah yang masih dipertahankan oleh orang Melayu (dan Islam) Sarawak ialah mengenakan baju melayu lengkap bersabok (bersamping) dan bersongkok hitam pekat masih dipertahankan. Berbeza dengan masyarakat Melayu-Islam Semenanjung, baju melayu lengkap hanya dipakai hari pertama sahaja. Walaupun hari raya telah seminggu ataupun lebih berlalu, masyarakat masih memakai baju melayu lengkap semasa berjarah (walaupun kini tidak semua masih mengekalkan, tetapi masih dipertahankan dan terasa keberadaan suasana tersebut).
Teringat tika berjarah pada Hari Raya Idul Adha anjuran PERKEPISMA beberapa tahun lalu, kami menaiki LRT dan komuter untuk ke Bangi. Kami seramai beberapa orang mengenakan pakaian baju Melayu lengkap. Dengan sengaja kami berbisik dan berpakat untuk menyaksikan respon daripada penumpang lain. Hari tersebut – Hari Raya Idul Adha yang mulia disunatkan memakai pakaian terbaik terasa amat asing sekali apabila dipandang-pandang dan dijeling-jeling orang. Rasanya bukannya pakaian naik ke bulan. Setakat pemerhatian kami pada waktu tersebut, hanya kami sahaja yang berpakaian sedemikian! Berbeza di Sarawak, masyarakat amat selesa dengan pemakaian ini.
Matahari semakin tinggi di atas ufuk timur. Sinarannya dipantulkan oleh kocak-kocak air yang menerbitkan keindahan tiada taranya. Sinarnya menebar ke serata alam tanpa mengira sama ada makhluk itu patuh ataupun tidak, turut ataupun ingkar. Rahmat-Nya menebar tanpa diskriminasi. Tetapi menjadi suratan alam ini, hanya dua bangsa boleh jadi taat dan ingkar; selebihnya tunduk secara sukarela. Iaitu bangsa jin dan manusia yang diberikan pilihan dan ikhtiar. Kedua-dua bangsa ini seringkali angkuh melangit tidak sedarkan diri.
Waktu Dhuha – waktu yang berkat untuk mendirikan solat sunat Dhuha dengan matahari baharu naik dan terasa sedikit kepanasannya. Kilauan air sungai disusuli dengan bayu mendayu Laut China Selatan menghasilkan irama keanggunan yang begitu mengasyikkan. Tidak hairanlah tika aku berada di perantauan, andai ada angin lembut seperti ini, pasti aku akan teringatkan tanah air.
Tidak terjadinya keindahan yang menakjubkan ini melainkan oleh yang Maha Pencipta. Dialah yang empunya lukisan alam ini. Seringkali manusia takjub akan binaan-binaan yang mengagumkan. Tetapi jarang sekali merekai memuji-muji yang Mencipta, Memelihara dan yang Empunya alam, apatah lagi akur dengan penuh rasa cinta. Tidak berkurang Kuasanya, Kerajaan-Nya andai tidak ada yang Memuji-Nya. Tidak akan bertambah Kuasa dan Kerajaan-Nya, dengan puji-pujian kita yang selalunya ingin diketahui dan didegari oleh orang lain. Alangkah... alangkah... alangkah... di manakah diri ini?
Arus Sungai Baram tidaklah sederas Batang Rajang; sungai terpanjang negara. Tiba-tiba terimbau kembali saat bersama rakan-rakan Kembara Amal ABIM II tahun 2005; tika berada di tebing Batang Rajang, Sibu untuk menaiki feri. Ketika itu jambatan yang merentasi sungai masih dalam pembinaan. Kami kemudiannya berangkat ke Kapit untuk berambeh di sana dua hari semalam untuk menyebarkan siratulrahim sesama insan bergelar Muslim. Batang Rajang arusnya lebih deras dan memakan lebih masa untuk tiba ke Kapit.
Rakan-rakan Kembara Amal ABIM II (YDP PERKEPIS pertama, Dr Saifullah-beliau merupakan graduan UNIMAS berdiri, dua dari kiri)
Lokasi pilihan Kembara di KapitKenangan bersama Bang Syed, Bang Zack (sekarang di New Zealand, mahasiswa perubatan) dan pasukan fasilitator Kembara di Surau Kampung Beleteh, Kapit bersama muda-mudi Muslim; 2005.
Pengalaman pada 2005 tersebut merupakan pengalaman pertama kali menjejakkan kaki di bumi Kapit. Tidak terbayang, bagaimanakah agama Allah yang luhur suci, Islam telah tiba di penjuru ini yang dilingkungi oleh hutan tebal dan dihubungkan hanya dengan jalan sungai. Begitu juga di ceruk-ceruk terasing di susur sungai, denai mahupun hutan belantara serata Bumi Kenyalang. Tentunya perintis dakwah di sini terdiri daripada sosok-sosok yang dipilih oleh Tuhan, iaitu orang-orang yang sanggup berjuang di jalan-Nya tanpa banyak berkira. Ya Allah... jauhnya diri ini setegar seperti itu. Dengan izin dan cahaya-Nya jua lah agama-Nya telah bertapak di sini. Andai tidak ada seorang pun yang sanggup, Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
“Bah, dah mok kol lapan dah tok, ” ujar ibu. Ayah pula masih rancak berbual bersama Ngah Saleh, Usu dan Pakcik Kaderi. Lamunanku serta-merta terhenti. Kami bersalam-salaman.
Perjalanan menyelusuri Sungai Baram bakal memakan kira-kira 2 jam setengah menaiki bot ekspres. Aku menjangkakan perjalanan ini mungkin memenatkan – tidak ada penghawa dingin seperti dalam belon dan gegaran enjin bot yang akan meletihkan badan. Tetapi segalanya itu tidak terasa. Perasaan ingin tiba di sana melebihi daripada sedikit kepayahan yang mungkin ditempuh.
Diri jangan sentiasa dimanja dengan limpahan kesenangan. Melalui yang dilalui oleh orang-orang kebanyakan pasti akan menerbitkan suasana dan pengalaman yang hampir-hampir sama seperti mereka. Oleh yang demikian, diharapkan akan dapat menimbulkan keinsafan, menghargai nikmat kurniaan Tuhan dan melatih diri membiasakan dengan kehidupan yang penuh sederhana.
‘Genggamlah dunia di tanganmu, bukan di hatimu,’ itulah pegangan Imam Abu Hassan as-Syazuli; seorang ulamak tersohor pada suatu zaman dahulu.
“Siney kita tok (Kita hendak ke mana)?” tanyaku anak buahku. Ia duduk di kerusi belakang. Dagunya tepat di atas hujung kerusi. Mula-mula agak kekok juga bersama dengan orang-orang yang berbelas-belas tahun ataupun baru sahaja berjumpa sekalipun sama saudara.
Ia seorang kanak-kanak perempuan yang ramah dan responnya celoteh, “Sik tauk kamek eh. Bukan kita sampei Australia ka (Saya tidak tahu. Bukankah kita sampai di Australia nanti)?”
Aku tergelak sendirian. “Jaoh na kitak ke sia. Kita tok ke Marudi’. Boleh tahan jaoh. Tapi sik lah sampei ke Australia. Hehe. Aih, sapa nama kitak tek (Jauhnya adik mahu ke sana (Australia). Kita akan ke Marudi, agak jauh juga. Tetapi kita tidak sampai ke Australia. Eh, nama adik, siapa)?”
“Nama kamek, Riza,” jawabnya dengan ramah.
Perjalanan bakal bermula. Misi warisan menyambung rahmat ke serata alam. Misi siratulrahim. Destinasi: Marudi.
"Orang-orang yang berakal ialah mereka yang memperhubungkan apa yang diperintahkan
untuk diperhubungkan oleh Tuhan (yakni siratulrahim)" (ar-Ra'd, 13:21)
Insya-Allah bersambung...
Berjasa Kepada Masyarakat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol
"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...
-
*Artikel ini telah saya tulis sebagai alat bantu mengajar kelas KAFA untuk murid-murid Tahun 2 beberapa bulan yang lepas. Mohon teguran da...
-
Habib Mohamad bin Alwi al-Attas (kiri) dan Habib Izzuddin al-Idrus (kanan) Jika berbicara tentang dakwah, pemerhatian saya para guru A...
-
Bisikan Tanjung Lobang (1) Bisikan Tanjung Lobang (2) Bisikan Tanjung Lobang merupakan cetusan andaian ataupun simulasi kepada pertem...
2 comments:
Ya Allah...subhanallah...semangat kmk timbul bila baca entri tok.sarawak alu terbayang2 di mata...tanggungjawab alu tertimbang oto metik berat di bahu....huhu....tok cita menaka imaginasi ka...?
Mun lah ada gambar2 ya.. dan kamek dirik jadi watak ya... mena lah ya =)
Post a Comment