Saturday, September 19, 2009
Syawal (1): Salam Idulfitri Dari Pujut 9
“Udah tek (sudah)?” aku baru tiba dan bergegas ke tempat mengambil wuduk.
Balas Usu, “Belom. Gik nunggu tok (Belum. Masih tunggu).” Kemudian ia menyambung ceritanya, “Kami di Negara Pakistan ada nuklear... ”
“Apa ndak dikelakarnya ya. Ada ajak usu tok mbak loya (Apakah yang dibualnya? Ada saja ceritanya).” Ujarku dalam hati, kemudian terlihat ke bahagian dalam surau.
Aku hairan seorang jiranku, Faiz berbahasa isyarat kepadaku. Ia di dalam, aku di dalam terpinga-pinga. “Napa? Napa (Apa? Apa)?” kataku. Seorang berbahasa isyarat. Seorang lagi tidak faham-faham maksudnya. Kemudian perhatianku teralih. Ada seorang jiran menghampiri.
Tanya Usu kepada jiran itu, “Bah. Udah umum tek (Sudah umum)?”
Jawabnya, “Bisok raya eh. Ya lah aku balit tek, ndengar pengumuman (Besok raya. Sebab itulah saya balik rumah tadi, dengar pengumuman).”
“Bah. Ju takbir (Mari bertakbir)!”
Hatiku melonjak. Sudah lama aku nantikan saat ini. Lantas aku mengambil wuduk. Aku baru tiba dari Piasau, belum menunaikan solat Isyak lagi.
“Yoh, kamboh la malam tok (Tentulah meriah malam ini),” kataku kepada Pak Syamsul.
Balasnya, “Nya lah ya. Bisok dah raya tek nak (Itulah, bukankah besok sudah raya)?”
Para jemaah sedang sibuk mengatur diri. Ada yang mengambil mikrofon. Ada pula yang tidak diam duduk kerana teruja menyambul Syawal. Ada pula yang mencari-cari risalah takbir raya. Maka alunan takbir pun bermula. Bergemalah surau itu hendaknya apabila takbir tekong dibalas oleh jemaah.
Suasana ini ceria sekali. Tidak kudapati seumpamanya di tempat lain. Kemesraan sudah terserlah kerana sudah lama hidup bersama. Bersama dalam kelompok ini adalah jiran-jiran di kalangan komuniti terpinggir di ceruk perumahan ini. Kebanyakan hidup dalam serba sederhana. Tidak kurang juga yang dihimpit dengan kesusahan. Apabila berada di rumah Allah ini, susah senang hidup dikongsi bersama.
Kampung Pujut 9 secara lokasinya tersepit antara perumahan dan sungai Miri. Populasinya tidak ramai, hanyalah dalam beberapa keluarga. Kampung ini sudah bertapak sejak lebih 30 tahun yang lalu. Sewaktu datukku Haji Morni membeli tanah-tanah di kawasan ini, penduduk asal kampung sudah menetap di sini. Namun diiktiraf oleh pihak berkuasa sebagai ‘setinggan.’
Kegembiraan melaungkan alunan takbir tidak terjangkau. Terpampang pada wajah-wajah ini cahaya kegembiraan bertakbir bersama-sama menyatakan kesyukuran kepada Allah yang Maha Besar. Tuhan yang Esa, yang empunya Kemuliaan, Kemegahan dan Kasih Sayang. Tidak kira kecil, besar, tua, muda masing-masing mengambil kesempatan untuk menjadi ‘tekong’ takbir secara berduet.
Setelah beberapa lama mikrofon berkisar di kalangan kami Usu telah mengumumkan, “Assalamualaikum,” orang lain diam dan senyum menantikan beliau.
“Saya bagi pihak jawatankuasa Surau al-Jariyah Pujut 9 ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat seluruh jemaah surau dan orang-orang kampong.”
Ia menyudahi, “Maaf zahir dan batin atas segala salah dan silap.”
Tiba-tiba Ajim bertanya, suaranya serak-serak basah, “Aih, dah maok abis ka? Boleh kamek urang sambong lagik (Sudah habis? Boleh kami sambung bertakbir)?”
“Sukati toranglah. Sampei malam pun boleh. Yang penting aku mok minum (Suka hati kamu. Sampai malam pun boleh. Apa yang penting ialah saya mahu minum).” Kami semua tergelak mendengar respon itu. Beliau bingkas dan mendapatkan minumannya di bahagian belakang surau.
Maka kekal bergemalah Kampung Pujut 9 dengan alunan takbir memuji Tuhan. Alangkah indahnya, andai muhasabah Ramadhan dan kesyukuran bertakbir dapat diterjemahkan dalam segenap kehidupan ini. Alangkah indah andai komuniti sekelumit ini kembali kepada Allah dengan sepenuh hati. Alangkah... beratnya tanggungjawab ini mendidik jiwa-jiwa ini agar bersama membersihkan jiwa dan kembali kepada-Nya. Kembali meraih cinta-Nya. Kembali menurut ajaran Rasul-Nya secara benar dan bersih.
Sebelum melangkah ke rumah, aku bersalaman dengan anggota jiran yang hadir, mengucapkan salam Hari Raya dan memohon maaf segala yang khilaf. Alangkah indahnya suasana ini. Meski mungkin berbeza dari segi status kehidupan pada pandangan zahir, namun agama-Nya telah menyatukan hati-hati ini tanpa ada perbezaan kebendaan. Tidak ada beza antara kami apabila bersama menghadap Tuhan, bersama melaungkan kalimah-kalimah memuji-Nya. Kerana Dia hanya memandang hati dan amalan kami. Adakah suci bersinar hati ini ataupun sebaliknya. Ataupun amalan diterima atapun tidak. Hanya itu pada pandangan Tuhan.
Aku tersentuh akan permintaan Pak Amin, imam surau, katanya, “Doakanlah agar hidup saya ini dipertemukan dengan Ramadhan yang akan datang. ” Ramadhan ini telah berlalu. Dan Syawal menjelma. Menjadi harapan yang besar agar diberikan kesempatan mengaut ganjaran berharga langsung daripada Tuhan pada bulan Ramadhan.
Aku meninggalkan surau menuju ke rumah di luar simpang kampong. Takbir masih lagi bergema. Adunan suara-suara ayah-ayah dan anak-anak sangat menggamit perasaan. Alangkah indahnya kesyukuran dilafazkan dengan memuji Tuhan selayaknya. Alangkah indah andai kita dikurnia kesempatan bertemu akan Ramadhan 1431H (12 Ogos 2010) tahun mendatang. Bersama kita panjatkan doa. Moga Tuhan makbulkan.
Selamat Hari Raya Idulfitri 1430H
Maaf zahir dan batin kupinta
Berjasa Kepada Masyarakat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol
"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...
-
*Artikel ini telah saya tulis sebagai alat bantu mengajar kelas KAFA untuk murid-murid Tahun 2 beberapa bulan yang lepas. Mohon teguran da...
-
Habib Mohamad bin Alwi al-Attas (kiri) dan Habib Izzuddin al-Idrus (kanan) Jika berbicara tentang dakwah, pemerhatian saya para guru A...
-
Bisikan Tanjung Lobang (1) Bisikan Tanjung Lobang (2) Bisikan Tanjung Lobang merupakan cetusan andaian ataupun simulasi kepada pertem...
1 comment:
Assalamualaikum wrh bkth, abang asrul. Ada kmk singgah suro tok and jumpa Pakcik Amin, sian tedah nangga suro ya...macam suro di RPR juak...masing2 tempat ya dipadah setinggan... padahal dah lebih 20 tahun daknya diam ya...RPR ya, belum wujud gk rumah2 taman...dah ada...ALLAHUAKHBAR...ne lah gaya, sikda orang nak memperjuangkan nasib sidak....
Post a Comment