Berikut merupakan mukadimah kepada Kuliah Tauhid yang disampaikan oleh Dr. Farid Shahran, pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Kuliyyah (fakulti) Ilmu Wahyu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 19 Januari yang lepas. Kata-kata beliau mengingatkan kembali akan orang-orang yang berjasa dan telah menyerahkan segala kemampuan mereka demi redha Tuhan: Imam Ghazali rahimahullah.
“Segala puji bagi Allah, kepada-Nya kita memuji-Nya, kepada-Nya kita memohon pertolongan dan memohon keampunan. Dan kami berlindung daripada kejahatan daripada diri kami sendiri dan amal-amal kami yang kurang baik. Sesiapa yang ditunjuki-Nya, maka tidak akan disesatkan baginya. Barang siapa yang disesatkan-Nya, maka tidak ada petunjuk baginya. Dan kami bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah dan kami bersaksi bahawa Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasallam – salam sejahter atasnya) adalah hamba-Nya dan rasul-Nya. Ya Allah, limpahkanlah selawat atas penghulu kami, Muhammad (sallallahu alaihi wasallam) dan atas ahli keluarganya, sahabatnya dan sekalian yang mengikutinya.
Kita bersyukur kepada Allah, dengan izin-Nya kita dapat berkumpul dan bertemu dalam keadaan yang sejahtera. Kita bersimpati, ada antara saudara seagama kita tidak bernasib baik sebagaimana kita sekarang, baik di Gaza mahupun di serata dunia ini (awal 2009 menyaksikan siri pengeboman tentera udara Israel - IAF atas Gaza. Peristiwa itu dikenal juga sebagai Intifada yang Ketiga). Kerana Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam pernah menyebut,
“Orang-orang Islam umpama satu jasad. Jika satu anggotanya sakit, maka seluruh badan akan menanggung kesakitan.”
Hadis ini menunjukkan bahawa seorang Islam harus prihatin akan keadaan mereka kerana kita mempunyai perkongsian rasa bersama seakidah (seagama). Kita harus menyayangi saudara kita sebagaimana kita menyayangi diri kita sendiri. Justeru, menjadi kewajipan bagi kita untuk menolong mereka yang dalam kesusahan. Ini terpulanglah dengan kapasiti masing-masing, baik dengan harta ataupun jiwa kita.
Janganlah kita merasakan bahawa pelajaran akidah tidak ada perkaitan dengan peristiwa di Gaza. Bahkan memang ada perkaitan yang kuat. Kita harus bersedia seperti dengan ilmu ini, kerana kita mungkin akan menghadapi keadaan atau kerumitan yang lebih besar.
Kita lihatlah usaha Imam Ghazali. Dalam satu buku yang berjudul Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Jerusalem ke Pangkuan Islam karangan Dr. Majid Irsan Kailani (terbitan Thinker's Library, cetakan tahun 2000) bahawa Imam Ghazali sebenarnya memainkan peranan yang besar dalam penawanan Baitul Maqdis. Mengapa pula?
Menurut kajian tersebut, sebenarnya kelahiran generasi Salahuddin al-Ayyubi merupakan kelangsungan daripada tarbiyyah (pendidikan) awal daripada kitab Ihya’ Ulumuddin yang dikarang oleh Imam Ghazali. Kesan daripada sekolah pemikiran Imam Ghazali memberikan impak yang besar terhadap cara berfikir dan sistem tarbiyyah umat pada ketika itu.
Antara ulama yang lahir setelah Imam Ghazali ialah Syeikh Abdul Qadir Jailani (seorang yang dikenal sebagai ulama sufi ulung) yang secara langsung telah menerbitkan generasi baru, iaitu lahirnya generasi Salahuddin.
Masyarakat pada hari ini pula tidak dapat melihat perkaitan antara keilmuan dengan politik ataupun siasah. Ada sebilangan pihak yang menyalahkan Imam Ghazali kerana tidak berjuang melalui saluran tersebut, seperti Ibnu Tahmiyyah. Padahal, Imam Ghazali sebenarnya telah menyediakan asas keilmuan kepada generasi yang telah melahirkan pahlawan seperti Salahuddin.
Janganlah kita memisahkan antara hal-hal keilmuan dengan hal-hal di luar sana. Kita sering dengar kata-kata,
“Apa yang penting adalah kita berjuang di Palestin.”
Bahkan kita harus memahami bahawa Islamisasi merupakan satu proses jangka masa panjang. Usaha jangka masa pendek seperti saudara kita di Gaza pula, sebagai contoh adalah kita menghulurkan derma. Ini kerana, Islam bergantung kuat kepada kekuatan ilmu dan kekuatan dalaman seseorang individu. Terjadinya sikap tidak sensitif akan perihal Gaza adalah kerana individu itu tidak mempunyai pandangan Islam yang sebenar yang berhubung kait dengan akidah, kerohanian dan tatacara hidup.
Sebaliknya, kita harus bijaksana terhadap isu Gaza. Kita harus mempersiapkan kekuatan umat ini terlebih dahulu dalam bentuk dalaman. Ini disebabkan musuh-musuh Allah terus melakukan kerosakan. Orang Yahudi pula, ini bukanlah pertama kali mereka menyerang orang Palestin. Bahkan mereka telah menyerang dan membunuh para nabi. Meskipun diutus rasul demi rasul, namun mereka tetap angkuh dengan membunuh mereka. Kalau para rasul ini pun dibunuh, inikan pula orang Palestin? Kelompok Zionis pula, telah memasakkan kepercayaan bahawa kita dianggap sebagai binatang dan mereka pula adalah ‘orang-orang pilihan Tuhan’ ataupun the chosen people.
Namun demikian, kita harus ada perencanaan yang baik dengan melahirkan generasi-generasi yang mendalami agama. Melalui strategi yang ampuh, insya-Allah, tidak mustahil tanah suci Baitul Maqdis dapat kembali semula ke pangkuan kita dalam 100 tahun.
Kita harus bersabar dengan orang yang mahukan perubahan yang cepat. Ini adalah golongan yang mahu politik sebagai wadah utama merubah masyarakat. Kita harus ingat, bahawa kekuatan tradisi Islam bergantung kepada kekuatan tarbiyyah dengan melahirkan insan-insan yang berkualiti. Rasullah sallallahu alaihi wasallam memilih orang yang diletakkan paling hadapan di kalangan orang yang kuat beribadah. Melalui hubungan yang rapat antara kekuatan fizikal dan kekuatan ilmu dan spiritual, kita mampu membuat sesuatu yang lebih terencana dalam menyelesaikan masalah umat.”
Begitu besar saham Imam Ghazali di akhirat kelak. Berkat keikhlasan ilmunya, ia secara langsung telah melahirkan sebuah umat yang kembali kepada penghayatan agama dan memiliki ilmu serta iman yang kental.
Saya mengandaikan, Imam Ghazali berharapan agar Baitul Maqdis akan kembali ke pangkuan umat Islam. Ia telah berusaha pada zamannya. Namun Allah telah menjemputnya kembali kepada-Nya terlebih awal. Walau bagaimanapun, hasilnya adalah seratus tahun kemudian apabila impian umat terlaksana. Walau jasadnya telah berada di kubur namun satu bintang telah terbit di ufuk timur yang membebaskan Baitul Maqdis: Salahuddin al-Ayyubi!
Mungkin kita punyai sumbangan kepada umat yang dikira kecil oleh manusia kini. Boleh jadi besar pada pandangan Allah. Mungkinkah usaha sekelumit kita, yang ikhlas, akan menyumbang sekali kepada kebangkitan yang mungkin akan menjelma seratus bahkan beratus-ratus tahun akan datang? Fikir-fikirkan…..
Berjasa Kepada Masyarakat
No comments:
Post a Comment