Sebuah Pemerhatian Peribadi
Miri telah diisytihar sebagai Bandaraya kedua negeri Sarawak pada 20 Mei 2005 yang lalu. Semenjak itu, pembangunan berjalan dengan begitu pesat. Lebih banyak kawasan perumahan dibuka, premis perniagaan dibina dan berlaku penghijrahan yang besar daripada kawasan lain ke bandaraya ini.
Setakat statistik yang diperoleh penulis – iaitu sewaktu pilihanraya 1998 komposisi penduduk Miri adalah 60% Cina, kira-kira 20% Melayu (atau Islam) dan selebihnya adalah kaum lain. Walaupun majoriti penduduk adalah daripada kaum Cina, namun keharmonian dan kesantunan masih hangat dirasa.
Dengan meningkat umur, penulis sedar sejak di bangku persekolahan bahawa umat Islam Sarawak adalah minoriti. Kuantiti ini adalah dalam purata 20% daripada keseluruhan orang Sarawak di seluruh negeri. Ini pun termasuk orang Islam daripada Semenanjung Malaysia yang terlibat dalam sektor pendidikan, tentera, polis ataupun sebagai jurutera di syarikat petroleum (Shell dan Petronas). Unik di Miri khususnya ataupun di Sarawak amnya, ‘Islam’ menjadi ukuran, bukan bangsa. Kerana penganut Islam di negeri ini terdiri daripada pelbagai kaum (majoriti adalah Melayu, Melanau, Kedayan, Jati Mirek dan kaum lain). Maka, dalam memperkatakan ‘orang Islam’, tidak dapat disamakan dengan ukuran seperti di Semenanjung Malaysia. Di sana, boleh dianggap ‘Melayu’ adalah Islam. Maka, kuantiti ‘Melayu’ secara kasar boleh menggambarkan kuantiti umat Islam.
Namun yang demikian, dalam kuantiti umat Islam Miri yang minoriti, umat ini dibayangi dengan pelbagai isu seperti isu pendidikan, sosial, tanah dan pelbagai isu yang lain.
Terdetik kebimbangan semenjak kebelakagan ini. Perubahan mendadak berlaku ketara dengan mata sendiri. Petempatan orang Islam semakin tersesar, terpinggir dan mengecil.
Mana tidaknya, empayar perniagaan tempatan yang memonopoli ekonomi mahu membuka kawasan baru. Mereka mampu membeli di mana sahaja yang mereka mahu.
Akibatnya, ada kawasan yang pernah menjadi petempatan asal penduduk hanya diiktiraf sebagai ‘setinggan’. Paling dekat, adalah perkampungan berhampiran rumah saya yang berumur lebih 30 tahun. Kampung ini merupakan petempatan berjajar di sepanjang tebing sungai Miri (sebelah Lutong). Jika diteliti dengan saksama, kampung-kampung ini akhirnya terasing dikelilingi oleh rumah-rumah mewah yang bertembok. Amat janggal sekali tatkala di hujung lorong taman perumahan ada beberapa rumah usang yang menanti masa untuk roboh.
Perubahan ketara juga diperhatikan di Kampung Luak. Kampung ini ialah kediaman keluarga orang Islam suku kaum Kedayan. Penulis pernah bersekolah di sana selama 3 tahun (1994-1997). Dahulunya terasa suasana kampung. Tetapi sekarang, semakin banyak rumah-rumah mewah (ataupun istana-istana) gah dibina di kaki bukit menghadap Laut Cina Selatan. Tanah di kawasan ini nyata semakin susut.
Beberapa kilometer daripada Kampung Luak pula ialah Kampung Lusut. Kampung ini juga didiami oleh orang Islam daripada suku kaum Kedayan. Dahulunya kawasan didominasi oleh rumah-rumah kampung. Tetapi kini, kampung tersebut telah membentuk satu ‘pulau’ dikelilingi oleh ‘lautan’ rumah baru.
Bagaimanakah nasib Kampung Lereng Bukit yang hampir terjual pada suatu masa dahulu? Bagaimanakah nasib Kampung Haji Wahid di Bukit Kanada? Bagaimanakah kawasan lain? Di manakah Kampung Dagang yang terletak di tengah-tengah bandar Miri? Adakah anda tahu akan kewujudan kampung orang Islam ini? Ya, mungkin tidak ada lagi dalam sebutan sesiapa. Saya mengetahui akan petempatan ini daripada penghuninya sendiri, yang terpaksa berpindah kerana ‘pembangunan.’ Walhal, mereka adalah penduduk asal tanah ini.
Bagaimanakah nasib Masjid Jamek Miri? Seandainya tidak kerana tanah wakaf, nescaya, tidak akan ada lagi azan berkumandang dari masjid bersejarah ini. Kerana sudah boleh dijangka, kemungkinan besar tanah itu pasti akan ‘disapu’ sekali.
Beberapa kawasan petempatan orang Islam yang lain juga diancam bahaya. Zon ini semakin mengecil ataupun terancam kehilangan sama sekali tempat tinggal mereka. Orang Islam kini nyata semakin tersesar. Di sebalik belenggu kemiskinan, keciciran dalam pendidikan, kurang penghayatan beragama, mampukah anak watan yang beragama Islam ini mengekalkan survival mereka?
Di manakah lagi tempat bumi dipijak? Kenapa harus menjadi pelarian di bumi sendiri? Ke manakah tujunya hasil bumi yang sepatutnya dinikmati oleh peribumi sekian bergenerasi? Adakah dimiliki oleh hanya sekumpulan kecil manusia yang mahukan tanah sekangkang kera ini? Ataupun ada orang lain yang mahu poket dan tabung keluarga mereka penuh melimpah-limpah?
Jangan salahkan orang lain akan keadaan ini. Ya, kita menderita kerana tangan-tangan kita sendiri, berat sekali menghayun mengibar panji kemengangan. Kita sebenarnya punyai kekuatan. Ayuh, mari kita muhasabah dan bergerak sama-sama! Kita sudah tidak ada masa lagi!
Berjasa Kepada Masyarakat
NOTA:
Petempatan orang Islam di Miri:
1. Kampung Bakam
2. Kampung Lusut
3. Kampung Luak
4. Kampung Wireless
5. Kampung Haji Wahid
6. Kampung Lereng Bukit
7. Kampung Tanjung Batu
8. Kampung Pujut Padang Kerbau
9. Kampung Pujut 2
10. Piasau
11. Kampung Piasau Utara
12. Kampung Pulau Melayu
13. Kampung Pengkalan
14. Kampung Senadin
15. Senadin
16. Permyjaya
17. Kampung Batu Satu
Banyak lagi petempatan ini masih dijejak... sebelum jejaknya hilang tidak bertanda...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol
"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...
-
*Artikel ini telah saya tulis sebagai alat bantu mengajar kelas KAFA untuk murid-murid Tahun 2 beberapa bulan yang lepas. Mohon teguran da...
-
Habib Mohamad bin Alwi al-Attas (kiri) dan Habib Izzuddin al-Idrus (kanan) Jika berbicara tentang dakwah, pemerhatian saya para guru A...
-
Bisikan Tanjung Lobang (1) Bisikan Tanjung Lobang (2) Bisikan Tanjung Lobang merupakan cetusan andaian ataupun simulasi kepada pertem...
1 comment:
Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Airmata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang
Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesama kita
Cinta lenyap di arus zaman
Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintis sendiri
Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang
Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri
Kita sudah tiada masa
Majulah dengan Maha Perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayu kan gagah di Nusantara...3x
- Salam. Mungkin lagu "Warisan" ini lebih berunsurkan Melayu. Ya, Melayu itu Islam, bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adat/budaya Melayu dan salah satu salasilah keluarga berbangsa Melayu. Kita sebenarnya berada di alam Melayu. Nusantara ini milik Melayu pada suatu ketika dahulu. Kemungkinan Australia itu juga merupakan nusantara Melayu. Suatu masa dahulu, Melaka gah! Kuat! Sehinggalah Maharaja China tidak mengiktiraf Portugis(untuk berdiplomasi) kerana telah menyerang Melaka. Lihat dan kaji kembali sebab sebab kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Atas sebab kehilangan segalanya di bumi sendiri, masjid pertama hanya dapat dibina 200lebih tahun selepas dari kejatuhan Melaka. Kini Melayu atau Islam itu sendiri di sini punyai apa-apa lagi kah? Seperti beberapa bait lagu ini, mengatakan kita hanya tinggal kuasa yag akan menentukan nasib kita. Kita tidak menyalahkan orang lain dalam hal ini, mereka juga mempunyai hak untuk berjaya. Lebih elok kita lihat diri kita dahulu yang kerap kali leka dan lalai atau lupa bila sudah "besar" seperti yang terjadi dengan Kesultanan Melayu Melaka suatu ketika dahulu. Terlalu bersenang-lenang mungkin. Marilah kita sama-sama berusaha mengembalikan jati diri kita, teman dan anak bangsa kita.
Post a Comment