BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Saturday, November 1, 2008

Kembara Tanah Air (4): Solat Jumaat di Tatau


Kembara Tanah Air (1): Permulaan yang Keliru
Kembara Tanah Air (2): Bersama Saudagar Cencaluk
Kembara Tanah Air (3): Pilu di Simpang Niah

“Ya Allah, siney ndak dah tok (Ya Allah, di manakah saya)?” Si Insan sekali lagi tersedar dari lena.

“Sik jaoh lagik Bintulu (Tidak jauh dari Bintulu),” jawab Si Ayah yang sedang memandu. Tiga insan masih meniti perjalanan ke destinasi: Kuching. Si Ayah menemani anaknya Si Insan. Dalam beberapa hari lagi, Si Insan perlu melapor diri pejabat Telekom bertempat di Kuching. Seorang lagi yang turut mengembara ialah Pakcik Musa. Beliau bertanggungjawab sebagai penunjuk jalan perjalanan ini.

“Sempat ka sampei?”

“InsyaAllah.”

“Tok udah kawasan ladang sawit.”

“Oh, sik lamaklah aku tido tek,” desis Si Insan. “Bintulu... tiga tahun lamaknya.” Kenangan Kembara Amal II bersama Angkatan Belia Islam Malaysia, ABIM kembali menerjah ingatannya. Tika itu tahun 2005, Kampung Jepak merupakan destinasi kedua terakhir sebelum kembara tamat di Miri.


“Nang sawit ajak sitok, Pakcik,” kata Si Insan.

“Pak Musa kitak toklah tauke sawit. Ada ladangnya (Pakcik Musa ini taukeh sawit, dia ada ladang),” kata Si Ayah dengan nada gurau. “Ney ada (mana ada),” Pakcik Musa cuba menafikan, walaupun akhirnya dia mengaku.

Kelapa sawit... Sarawak merupakan antara pengeluar utama di Malaysia. Buktinya; adalah ladang di kanan dan kiri jalan, mungkin berpuluh-puluh kilometer jauhnya. Tidak termasuk lagi bahagian dalam. Kadang-kadang terbit persoalan di hati Si Insan, ke manakah perginya kekayaan ini? Mustahil, ladang yang maha luas ini tidak ada bahagian langsung untuk anak watannya? Ataupun hanya dilapah oleh sebilangan orang? Hanya Tuhan yang tahu.

Panorama kian berubah, kata Si Insan, “Sawit... sawit... sawit... baruk toklah ada lain dikit (Sawit... sawit... sawit... sekarang barulah lain sedikit).”

“Daktok bertanam padi. Tanggar ya. Kunin jak padi ya (Penduduk di sini menanam padi. Lihat, padi itu kekuningan),” kata Pakcik Musa.

Dalam perjalanan, akan didapati banyak rumah panjang. Kadang-kadang teringat gurauan ‘sarkastik’ yang mengatakan bahawa orang Sarawak masih tinggal di atas pokok, pakai cawat dan bermacam-macam lagi.

Lihatlah sendiri. Rumah panjangnya mengagumkan. Ada yang tersergam indah, mengalahkan saiz banglo orang kenamaan. Dindingnya batu, pintunya kayu keras, jalan masuknya bertiangkan gerbang indah. Dan, atapnya dipasangkan dengan piring-piring antena ASTRO. Mereka mempunyai juga mempunyai ladang. Tidak semua rumah panjang sedemikian, tetapi kebanyakannya adalah seperti itu. Seingat Si Insan, rumah panjang didiami oleh kaum bumiputra; seperti Iban, Kenyah, Bidayuh dan Kayan.

Tidak kisahlah dengan gurauan picisan itu. Sekiranya diamati sebenar-benar... apakah agama yang mereka anut? Anda akan dapat jawapannya apabila melintasi kediaman-kediaman ini... gereja. Ke manakah sinar agama Allah di hati mereka? Siapakah yang akan menunjuki mereka?

Walau bagaimanapun, sebahagian cara hidup mereka masih seperti nenek moyang mereka; pergi ke hutan untuk mencari bahan, mengail ikan dan sebagainya. Di kaki jalan, dapat diperhatikan mereka berjalan kaki menggalas sejenis bakul unik (setiap kaum mempunyai corak tersendiri), berbekalkan sebotol air dan sebilah parang. Pemandangan ini adalah kebiasaan yang dilihat di kawasan berhampiran rumah panjang.

Lebih kurang pukul 10.30 pagi. “Alhamdulillah, sampei Bintulu.”

“Kita singgah sitok lok Musa. Kita berenti makan sekali (Kita singgah di sini dahulu, Musa. Kita berhenti makan sekali),” kata Si Ayah.



“Awal gik tok. Boleh jak kita terus ke Tatau. 40 menet jak dari sitok (Sekarang masih awal. Kita boleh bergerak terus ke Tatau, 40 minit sahaja dari sini).”

“Bah, boleh juak. Isik minyak lok (Boleh juga, kita isi minyak dahulu).”

Mendengar perbualan itu, Si Insan tidak dapat berkata sepatah pun. Jauh di sudut hatinya, ia ingin melihat bandar Bintulu. Di sinilah letaknya kawasan perindustrian Kidurong yang terkenal dengan pemprosesan gas asli dan baja kimia.

Jikalau tadi, terbayang akan bersolat Jumaat di Masjid as-Syakirin yang tersergam megah di pinggir jalan. Tidak mengapa, asalkan terubat hati melihat dari jauh. Syukur kepada Tuhan, ada sinar-Nya di sini.



Juga tidak jauh dari masjid itu adalah bangunan pentadbiran bandar Bintulu. Begitulah khabar yang didengarnya daripada Pak Musa.



Mereka bertiga meluncur laju. Lebih kurang pukul 11.15 pagi. Mereka tiba di Tatau.

“Singgah lok. Ada mesjid di belakang nun (Kita singgah dahulu, ada masjid di belakang sana),” kata Pakcik Musa. Mereka beristirehat di sebuah restoren pemiliknya Islam, tidak seperti keadaan di Niah tadi.

“Sup tulang ngan nasik puteh, tiga.” Daripada bahasa pelayan, nyata bahawa dia adalah orang berbangsa Indonesia. Bugis, barangkali.

Mereka menunggu hidangan siap. Si Insan sekali lagi memerhati suasana. “Mbiak sekolah eh (Budak-budak sekolah), ” kata Si Ayah. Perhatian Si Insan bertumpu ke arah kumpulan-kumpulan pelajar sekolah menengah yang berjalan menuju ke pekan Tatau. Bagaikan gerombolan tentera; berbaju putih.

“Dikitnya yang bertudung. Yang lelaki, ndak tauk nok ne Islam, nok ne sik. Sik ramilah Muslim sitok (Sedikitnya yang pelajar perempuan yang bertudung. Kalau di kalangan lelaki, tidak dapat dibezakan, yang mana Islam dan yang mana bukan),” desis Si Insan.

“Sidak ne jak di sitok Pakcik (Kaum apa yang ada di sini, Pakcik)?”

“Sidak Melayu, Iban, Bugis. Sidak tok udah banyak campor (mereka adalah Melayu, Iban, Bugis. Banyak percampuran).”

Tiba-tiba terbit satu suara kuat. Perhatian Si Insan teralih. “Ya Allah. Dangdut!” Dia mengalihkan pandangannya dari skrin televisyen kedai. Walau bagaimanapun, mereka kenyamanan menjamah hidangan berlatarkan kebingitan muzik.

“Kol brapa Zohor (Zuhur pukul berapa)?” tanya Si Ayah.

“Dalam 15 menet lagik,” jawab Si Insan. Sejurus selepas itu, mereka melalui pekan Tatau sebelum sebelum sampai ke masjid yang dimaksudkan oleh Pakcik Musa.

“Ney masjid ya (Masjid itu di mana)?” tanya Si Insan.

“Belakang nun (belakang sana).”

“Pekan tok, siney-siney jak kedei hanpon (Di mana-mana sahaja di pekan ini terdapat kedai telefon bimbit).”

“Sidak Indon pun rami sitok, keja ladang (orang Indonesia juga ramai di sini, kerja ladang),” ujar Pakcik Musa.

Mereka tiba di masjid. Masjid ini terletak berhampiran dengan sebatang sungai. “Mun sempat, klaka ngan urang sitok (Harap-harap ada peluang untuk berbual dengan penduduk di sini),” kata Si Insan dalam hati.

“Dah mok azan, sik sempat. Dudok belakang, senang nangga urang (Sudah hampir azan. Duduk belakang, lebih senang perhatikan gelagat orang).” Setelah azan tibalah khatib menaiki mimbar.

“Ya Allah, kesian nangga urang tua ya. Sekdakah urang mudak, mun ndak pun ustaz-ustaz yang ngajar di sekolah sitok merik khutbah. Ngkali cun tok imam nak (Ya Allah, kasihan orang tua itu. Tidak ada lagikah orang-orang muda memberi khutbah, setidak-tidaknya di kalangan ustaz yang mengajar di sekolah-sekolah. Ataupun mungkin kebetulan kali ini giliran tok imam itu)?”

“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh,” khatib memberi salam. Suaranya terketar-ketar. Begitulah kebiasaan corak khutbah di negeri ini. Sang khatib kebiasaannya adalah orang-orang yang sudah tua. Dia berdiri dengan menyandarkan cokmar di sisi kanannya, sambil membaca teks khutbah.

“Di manakah muda-mudi para remaja?”

Si Insan sekali sekala menoleh kanan dan kiri. Kebanyakannya makmum memilih untuk duduk di belakang. Golongan tua pula berada di saf hadapan. Dan... mereka ‘khusyuk’ mengangguk-angguk akan khutbah yang didengarkan. Kasihan sang khatib berdiri di hadapan membaca sekuat kudratnya menyampaikan khutbah, tetapi sedikit sekali yang mendengarnya.

Iqamat dilaungkan. “Saf depan skali!” dengan senang Si Insan mendapatkan barisan pertama, lantaran banyak ruang kosong di saf hadapannya. Dan saf pun dirapatkan.

“Ne urang mudak? Aku sorang di depan tok (Ke manakah perginya orang-orang muda? Saya seorang sahaja di sini)?” di kedua-dua belah sisinya, adalah peringkat ayah-ayah dan datuk-datuk di saf pertama.

“Ya Allah, rasa bersalah lah pulang. Heran ajak urang tua di sitok. Tempatnya kenak rebut. Saf pertama adalah hak semua urang (Ya Allah, tiba-tiba rasa bersalah pula. Nanti hairan pula orang tua di sini. Tempat mereka telah diambil. Saf pertama ada hak semua orang).”

Dan solat pun langsai, Si Insan meneruskan dengan solat jamak takdim Asar. Tidak lama setelah selesai solat jamaknya, masjid hampir-hampir lengang. Hanya ahli masjid sahaja yang tinggal mengurus masjid. Si Insan pula mengambil kesempatan beristirehat sebentar. Matanya terasa terlalu kantok. Selepas ini gilirannya pula memandu.

Dia tersedar, ayahnya sudah tidak ada dalam masjid. “Mesti nya dah di luar (Tentu dia berada di luar).”

“Ju!” kata Si Ayah. Pakcik Musa pula berada di sisi Kancil. “Jaoh gik ya.”

“Kita ke Sibu lok. Kita bermalam di sia. Kecualilah mok ke Kuching terus.
Tapi malam baruk sampei (Kita ke Sibu dahulu dan bermalam di sana. Kecualilah awak mahu ke Kuching terus. Tapi, malam baru sampai).”

“Kitak derep (Awak pandu)?”

“Insya-Allah,” Si Ayah menyerahkan kunci.

“Jalan lalu Selangau tok jaik. Lekak ya ok sikit (Jalan melalui Selangau tidak berapa baik. Selepas itu agak lancar sedikit).”

“Pakcik, rasa-rasa brapa lamak kita sampei?”

“Dalam tiga jam kedak ya. Nangga rupa (Lebih kurang tiga jam. Bergantung kepada keadaan).”

Kata Si Ayah, “Pakcik Musa kitak di depan. Nya nunjok jalan key kitak (Pakcik Musa duduk di depan. Dia akan tunjukkan jalan untuk awak).”

Pakcik Musa ketawa kecil, “Jalan jak. Mun sesat, kelak musin (Jalan saja. Kalau sesat, nanti kita pusing-pusing),” dengan selamba ia memakaikan cermin mata hitam.

Si Insan teringat kembali suasana di masjid tadi. Perasaannya, suasana itu tidak ubah seperti masjid lain di tanah airnya ini. Tidak kira di Miri, tidak kira di Piasau, tidak kira di Luak, tidak kira Tatau atau di mana-mana, keadaannya hampir-hampir sama. Adakah perkara ini harus dibiarkan berlarutan?

Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Hari kekuatan umat Islam. Pada hari itu tersimpan pelbagai rahsia keagungan. Tidak dapat dipersalahkan kerana hegemoni Yahudi semata-mata, menjadikan sistem ini begini; Jumaat hari bekerja dan hari Sabtu dan Ahad adalah hari cuti. Tetapi umat ini perlu bangkit sendiri menyelongkar kekuatan mereka yang hilang.



Bila saatnya kebangkitan? Siapakah yang akan menggeraknya? Tentulah orang-orang, terutama pemuda pemudi yang bertenaga, berkesedaran dan cintakan agama...

“Ya Allah, mudahkanlah, redhakanlah, selamatkanlah perjalanan ini!”

Berjasa kepada Masyarakat

Insya-Allah, seterusnya, Kembara Tanah Air (5): Bukit Bintang Sarawak?

1 comment:

afidalina said...

salam azrul. senang akak nk baca and paham bila awak letak translation. =)

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...