BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Friday, September 5, 2008

Warna-warni Rindu Para Du’ah: Pada Tuhan, Pada Umat!


Dalam diam hatiku berlari,
Tegaku kikis dosa hina;
Sabar musibah kuatkan diri,
Sakit derita sebentar cuma!
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Tempat-Nya kita bergantung,kepada-Nya ku memohon keampunan. Selawat dan salam atas junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, insan yang amat menyayangi kita, yang kasih kepada kita. Semoga Allah merahmati para ahli keluarganya, sahabat-sahabatnya, dan orang-orang yang ikhlas sehingga ke hari kiamat.
Duduk aku termangu,
Mengenang kembali kisah berlalu,
Saat hati bermuram durja,
Perlu ditekur agar kembali teruja!

Ya. Kadang-kadang kita bersemangat. Kadang-kadang kita tertekan atau dalam keadaan yang memerlukan penyelesaian bijaksana. Itulah nikmat yang Allah berikan kepada manusia. Iaitu nikmat akal yang tidak terhingga banyaknya. Akal berupaya mengenang kembali peristiwa lama. Dan peristiwa yang diingati itu, adakalanya pengecas ‘bateri’ diri. Saat mengenangkan kembali kisah-kisah lampau, bahawa harapan masih ada, taubat sedia terbuka dan Tuhan tetap ada!

Di kala sepi keseorangan setelah ditemani sahabat-sahabat, ingin juga mengenang kembali. Saat yang berbahagia pada tahun ini. Aku memaksudkan salah satu peristiwa yang paling ku tunggu-tunggu dalam setahun: Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) ataupun digelar sebagai Muktamar PKPIM. Pada tahun ini, PKPIM menjangkau usia yang agak matang, iaitu tahun ke-47 akan kewujudannya. Syukur kepada Allah, atas keizinan-Nya melahirkan tokoh-tokoh yang bersemangat membela Islam semenjak hampir lima dekad yang lampau, masyarakat dan negara telah menerima perubahan yang besar hasil pengorbanan mereka.
Muktamar merupakan satu medan refleksi keluarga besar badan dakwah PKPIM yang merangkumi aktivis daripada Badan Gabungan Negeri (BGN), kampus dan lain-lain. Pertemuan penuh dengan warna-warni idea dan fikiran serta peluang untuk bersemuka dengan rakan-rakan daripada badan yang lain. Masing-masing menyuarakan seruan-seruan dakwah, berkongsi pendekatan dakwah dan mengupas mengenai masalah yang dihadapi umat. Sesungguhnya, seumpama pendekatan ‘revolusi’ bukanlah cara ‘bijaksana’ lagi ‘sejati’ dalam menghadapi cabaran semasa. Yang ada, adalah tuntunan daripada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam...

Namun, muktamar sememangnya ditunggu-tunggu. Tetapi yang paling aku nanti-nanti adalah Malam Tautan Anak Negeri yang diadakan pada malam Ahad. Pada saat inilah rasanya saat yang berbahagia.

Aku pun menjulurkan diri di rostrom dewan, “Assalamulaikum. Kepada semua aktivis-aktivis Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak, PERKEPIS. Anda dijemput untuk naik ke pentas,” sambil aku tersenyum. Senyum yang tidak dapat ku bendung lagi. Senyum yang diiring oleh sahabat-sahabat yang besinar-sinar cahaya matanya menanti saat berbahagia ini.


Semuanya naik pentas dengan berbekalkan kerusi. Mereka mengalihkan meja-meja kegunaan majlis pada siang hari. Mereka seolah-olah faham, seperti kebiasaan; mereka duduk dalam bulatan. Aku kemudian naik ke pentas. Pentas hampir-hampir penuh. Para sahabat berhimpit-himpit. Aku mula-mula mengira kesemuanya.

“Masih ada yang masih kurang. Ya Allah, ada lagi di bawah,” ujarku. “Bagaimana nak atur lagi?” Lalu, masing-masing memberikan ruang keselesaan kepada sahabat-sahabat yang baru tiba.

“Azrul, mulalah. Dah pukul 11 lebih, ” kata Bang Syed. Beliau merupakan Yang Dipertua (YDP) PERKEPIS. “Insya-Allah.”

Rindu terbuku di hati terubat jua. Sekian lama tiada bersua, inilah wajah-wajah yang mencintai Allah dan Rasul. Penyatuan menyayat hati.Penyatuan sehati sejiwa cinta sesama saudara, cinta atas umat.Penyatuan insan-insan hebat yang mewarnai bumi Sarawak dengan warna indah Islam!

Aku mula-mula terpaku tidak berkata apa-apa. Terpaku lantaran kebahagiaan berbunga di hatiku. Aku merasa sebak, kerana inilah nikmat yang Allah berikan kepadaku: Dia berikan daku, teman-teman yang ikhlas, yang sudi menolongku, sudi menemankanku, yang sudi menegurku. Aku tidak keseorangan.

Mereka datang tanpa menuntut apa-apa. Mereka datang dengan wang poket sendiri, meski mereka yakin mereka mungkin terpaksa mengikat perut nanti. Semuanya datang dari segenap pelosok negara. Ada yang datang dari Lembah Kelang. Ada yang datang dari Melaka. Ada yang datang dari Batang Berjuntai. Ada yang datang dari Kelantan. Ada yang datang dari Kuantan dan Johor.

Amat-amat kuhargai, adalah sahabat-sahabat yang berjuang tanpa penat lelah di lapangan sebenar; iaitu sahabat-sahabat yang datang dari Kuching dan Miri.

Mereka datang tanpa ada hasrat mendingin beku inginkan kedudukan, kebanggaan dan nama.Tidak ada apa yang mereka dapat daripada semua ini. Mereka datang dengan meninggalkan kesenangan dan pekerjaan mereka sementara semata-mata ingin bertemu. Semata-mata ingin meluahkan rasa kerinduan ingin kembali berbakti kepada agama. Semata-mata ingin menggenggam semangat dan harapan, untuk berkorban jiwa dan raga di tanah air.

Aku tidak memukul rata semua orang adalah sama... Tetapi... ada yang peduli tentang kami? Tiada siapa yang bertanyakan tentang hal kami. Bagaimanakah keadaan kami? Bagaimakah umat kami di sana? Bagaimanakah nasib kami? Berapa ramaikah yang sedar dan ingin berjasa kepada masyarakat? Tiada yang bertanya kecuali seorang dua. Yang ramai hadir ini pun hanyalah sekerat kecil daripada keratan-keratan yang kian mengecil! Melainkan kesemuanya diluahkan bersama dalam pertemuan yang singkat ini. Cuma ku hairan, ada suara-suara yang tidak sedap didengar melempari semangat suci ini. Tuhan Maha Tahu apa yang kami rasakan...

“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh! Kita mulakan majlis dengan al-Fatihah!” aku memberi salam. Aku tidak dapat membendung senyumku kepada teman-teman. Dan bicara pun bermula, “Pertama-tama dan selama-lama kita panjat rasa syukur kepada Allah...”

Suasana ceria mula terasa. Terasa kehangatan rasa persaudaraan seakidah. Apabila bertutur dalam bahasa ibunda, tidak terasa lagi asing di bumi orang, bahkan sudah terasa di rumah. Sesi perkenalan dimulakan sebelum melangkah jauh. Saat ini masing-masing memperkenalkan diri. Ada juga yang nakal mengusik. Terkadang berselang-seli dengan gelak ketawa yang terkawal.

Namun, pertemuan ini kupastikan tidak kosong. Benar, pada masa inilah untuk meluahkan segala kerinduan kepada teman-teman. Ada masa bergurau. Dan ada juga masa untuk serius. Serius dalam memikirkan keadaan masyarakat, terutama di tanah air. Adakah bersedia menghadapinya? Bagaimanakah menghadapi cabaran kelak? Apakah yang harus dilakukan? Bagaimanakah cara pendekatan terbaik untuk menhadapi dalam konteks masyarakat di Sarawak? Pandangan-pandangan dibawakan oleh Bang Naim (Setiausaha Agung PKPIM Pusat), Bang Afif (graduan Universiti Malaya, Timbalan YDP), Bang Ikhram (graduan Universiti Malaysia Sarawak, mantan amir PERKEPIS UNIMAS) dan Kak Hamas (Pengerusi HEWI) dan Bang Syed (YDP).
Tiada apa yang diluah, dikongsi, disampai, diberita, melainkan perhatian terhadap berjasa kepada masyarakat. Aku tidak mendengar yang lain daripada itu. Ataupun mendengar omong kosong. Ataupun laungan retorik yang tidak mengakar kepada apa-apa.

Bang Syed menggulung medang perbincangan. Pesannya, “Tempat sebenar-benarnya kita berbakti adalah di Sarawak. Benar. Tapi, apabila berada di tempat lain, kita jalankan tugas kita di tempat itu. Islam harus kita tegakkan di mana-mana kita berada, ” perlinya, “sik lah kita tok Serawak-Serawak ajak (tidakkanlah kita ini hanya bergaul dengan orang Sarawak sahaja)!”

Aku tidak dapat mengawal majlis dengan baik. Masa cukup mencemburui kami. Terlalu banyak perkara yang perlu dikongsi dan dihadam. Tibalah masa untuk menyampaikan salam, baik dari sini ataupun dari seberang. Sekali lagi, aku cukup terharu dan berterima kasih kepada Allah, ada lagi orang yang peduli dengan kami semua. Ramai yang menyatakan kesedihan yang teramat kerana kehilangan saat bahagia ini. Dan tidak kurang juga, ramai yang mengirimkan salam dari seberang.

Majlis terlajak kepada lebih 12.30malam. BGN yang lain sudah bersurai. Kami sudahi dengan alunan selawat yang indah. Dan kami tutupi dengan doa...

Ya Allah...

Ampunilah dosa kami ya Allah...

Ampunilah dosa kami ya Allah...

Ampunilah dosa kami ya Allah...

Bersihkanlah hati kami ya Allah...

Engkau kikiskan daripada kepentingan dunia...

Jadikanlah kami pejuang agamamu yang ikhlas di jalan-Mu...

Jadikanlah kami orang-orang yang cintakan-Mu...

Mengikut Rasul-Mu...

Ikatkanlah hati-hati kami ini ya Allah...

Hanya kepada Engkau kami bermohon dan berserah...

Amiin...

Kemudian semuanya bersalaman memohon kemaafan antara satu sama lain. Itulah detik yang berbahagia. Saudara berpelukan sesama saudara tanpa ada rasa hasad, iri hati dan dengki. Semoga dengan kemaafan, Tuhan memberikan keberkatan atas para hamba-Nya....

Mudah-mudahan dengan hati yang ikhlas, bersih dan bebas daripada kepentingan agenda tertentu, mudah-mudahan Allah mengekalkan ikatan hati ini sehingga ke akhir hayat, di jalan-Nya yang sukar ini. Buat rakan-rakan seperjuangan di medan lain, teruskan perjuangan!

“dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman), walaupun kamu belanjakan semua (kekayaan) yang berada di muka bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Anfaal, 8:63)


Allahu'alam.

Berjasa Kepada Masyarakat

5 comments:

Ummu Fateh said...

Nangis sik beraek mata maca entri tok...


TANGIS TAK BERAIR MATA...
MEREKA DI SANA RINDU TERASA...
MENYUBUR SEMANGAT MELAPANG JIWA...
MOGA AKHIRNYA BERSATU JUA...
AMIN...

Muhammad Rusydi Banahsan As-Saqaf said...

SUBHANALLAH...
AKU MENCINTAI, MERINDUI KALIAN, UKHWAH YANG KU SENANTIASA RINDU...
YA ALLAH,
AMPUNI KAMI, MUDAHAN DI BUMI KENYALANG KAMI YANG SUBUR INI, DAKWAH KAMI TIDAK TERHENTI, HATI KAMI TETAP BERTAUT, AMEEN YA ROBBAL ALAMEEN...

Jango Fett said...

Allahuakbar..
ikatkanlah hati2 kami ya Rahim,teguhkanlah hati kami dalam mghadapi ujian-Mu..

Khairul Anwar Shazali said...

hmmm...

Muhammad Rusydi Banahsan As-Saqaf said...

SEBAGAI INSAN, AKU MUDAH LUPA, NAMUN SEBAGAI TEMAN BERSAMA-SAMALAH MENGINGATI ANTARA SATU DENGAN LAIN SUPAYA KEALPAAN DAN KELUPAAN ITU HAPUS IA OLEH TUHAN YANG QADIM..

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...