BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Tuesday, September 23, 2008

Perang Ramadhan 1973...


Dikau berbunga di hatiku,
Berkembang mekar abadi selamanya,
Engkau yang kukenang dan kurindu,
Bagaimana dapat kubuktikan cinta,

Aku merana lihat engkau derita,
Angkara durjana dikau digenang darah,
Dirimu saksi perjuangan Anbiya’,
Amanmu sebentar cuma,

Telah takdir engkau pusara Syuhadaa’,
Tiada yang bermakna melainkan merdeka,
Ku yakin inilah saatnya...
Ku yakin inilah waktunya...
Syahid impianku engkaukan bahagia...
Buatmu Al-Quds...

Salahudin bin Mahmoud,
Skuadron MiG-21 "Khalid al-Walid",
1394 Hijrah / 1973M.

*****************

6 Oktober 1973,
Jam 1430.

“Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!”

Takbir mengagungkan Tuhan yang Maha Perkasa bergema menaungi perairan Terusan Suez. Molekul-molekul air dan butiran-butiran pasir Suez seolah-olah bersama-sama mengagungkan kalimah yang Maha Tinggi. Sekumpulan manusia berkayuh laju menuju ke seberang Sinai.

“Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!”

Inilah laungan berbisa. Bak arus elektrik merenjat ke seluruh badan. Kalimah pendek yang mampu membuatkan seseorang menjadi luar biasa. Kalimah yang menjadi bateri perjuangan. Kalimah yang menggetarkan hati-hati yang mempersekutukan Tuhan, lalu menyebabkan mereka berundur ke belakang. Kalimah yang pernah menggoncang dunia. Dua pertiga dunia tertawan dengannya. Kerana kalimah inilah Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad s.a.w Rasul Allah bergema di pelosok sarwa alam.

Inilah laungan yang ditakuti Yahudi dan sekutunya. Inilah yang digeruninya. Apabila Muslimin menghayati sepenuh hatinya, seraya jiwa dan raganya demi Tuhan, nescaya walau sejuta halangan pun, tiadalah ia goyah. Terperinci manapun rencana mengganyang Muslimin, ia tetap gagal.
Kali ini lain. Kali ini bukan seperti tahun-tahun malang 1948, 1956 dan 1967. Ruh Islami sudah meresap ke dalam jiwa-jiwa yang bergelar Mujahid. Gerakan Ikhwanul Muslimin meniupkan kembali ruh-ruh yang mati dengan hembusan seruan keimanan. Hati berlapang dada menerima tusukan pancaran sinar Qur’an dan siraman air baja Sunnah. Mereka mengejutkan ruh-ruh yang masih tidur dan mengetuk pintu hati agar beriman sebenar-benarnya terhadap Tuhan yang Satu, Allah S.W.T. Inilah yang ditakutkan Si Yahudi dan sekutunya laknatullah ‘alaihim!

“Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!”

Mujahid-mujahid muda bertenaga dengan penuh disiplin berkayuh menggerakkan rakit getah sambil melaungkan kalimah suci. Berlalu di atas mereka helikopter-helikopter Mil Mi-8 menghantarkan pasukan komando al-Saqaa ke seberang sana. Mereka bakal mengkucar-kacirkan jaringan komunikasi musuh sewaktu serangan bermula. Mujahid-mujahid di hadapan sudah mendarat tanpa tentangan. Jurutera-jurutera memancutkan air yang deras merobohkan benteng pasir Bar-Lev. Benteng yang menjadi kebanggaan musuh roboh dengan hina. Khabarnya hanya senjata nuklear sahaja yang layak memusnahkannya. Nah! Hinanya ia, hanya dirobohkan oleh sekadar air!?

Seramai 4000 tentera Mesir menaiki 720 rakit getah telah menyeberangi Terusan Suez bermula pada jam 1400. Runtuh benteng, jambatan apungan segera disambungkan. Kereta kebal T-55 dan T-62 serta kenderaan perisai pengangkut infantri mekanis BMP-1 mula menyeberangi Terusan Suez. Mujahid-mujahid menggempur maozim yang merupakan pos-pos kawalan musuh. Posisi bertahan dikoordinasikan dengan cekap di sekitar benteng Bar-Lev bagi menghadapi kemungkinan serangan balas daripada pasukan armor pihak lawan.

Kedaulatan negara mesti dipertahankan. Penjajah berhak dihalau keluar. Sinai mesti didapatkan kembali. Begitu juga di Bukit Golan di medan utara. Dengan penjajah terusir, mudah-mudahan terbukalah jalan untuk membebaskan al-Quds, iaitu Baitul Maqdis yang juga dikenal sebagai Jurusalem; tempat ketiga paling suci dalam tamadun sebaik-baik umat. Operasi Badr mencapai kejayaan awal. Perang Ramadhan telah bermula...



NOTA: Sedutan daripada Syuhada' Awanan 1973, dikarang oleh penulis pada 19 Jamadil Awal 1427H / 16 Jun 2006. Belum pernah diterbitkan.

No comments:

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...