Thursday, September 25, 2008
SATU LAGI BEDAH BUKU: Galaksi Muhsinin - Azrul Jaini
Saya rasa tercas setelah habis membacanya! Mungkin itulah perkataan yang sesuai sebagai gambaran perasaan saya untuk novel sci fi Galaksi Muhsinin.
Suatu ketika dahulu, ketika saya membaca 1511 [Kombat], Ayat-Ayat Cinta dan Hafalan Shalat Delisa, saya juga merasakan perasaan seperti ini, tercas. Hari ini, saya merasakan semula perasaan itu!
Pada mulanya, saya khuatir juga, Galaksi Muhsinin akan ada bayangan 1511 [Kombat] karya Faisal Tehrani. Namun begitu setelah habis membacanya, saya berasa lega kerana jangkaan saya tidak betul. Berbaloi saya tunggu novel ini dari bulan Julai 2008 dan hanya berada di pasaran pada bulan September 2008.
Galaksi Muhsinin dan 1511 [Kombat] mungkin berkongsi tema yang sama iaitu perjuangan Islam dan menggunakan watak-watak orang muda, tetapi dari segi plot cerita, latar belakang dan gaya penyampaian berbeza total. Novel ini ada identitinya tersendiri dan tidak perlu dibayangi oleh 1511 [Kombat], walaupun kekadang saya rasa, akan ada pembaca yang akan cubacuba menyamakan Galaksi Muhsinin dengan 1511 [Kombat].
Galaksi Muhsinin adalah salah satu galaksi yang wujud di alam angkasa,jauh daripada galaksi bima sakti , dihuni oleh penduduk bertakwa, undang-undang Islam tertegak, kemajuan ekonomi, sains dan teknologi tercapai dan rakyat hidup aman damai. Pergerakan manusia bukan lagi dari daerah ke daerah, negara ke negara tetapi dari planet ke planet.
Plot cerita dimulakan dengan pengenalan Khalifah Zulqarnain, seorang pemuda yang memimpin Galaksi Muhsinin. Serangan ke atas planet Ferum ( Planet Hadid Hd-57) telah membawa kepada campur tangan Galaksi Muhsinin untuk membebaskan planet itu daripada kekejaman Empayar Sibernatik Cyborg yang diketuai oleh Maharaja Legion. Legion dan pengikutnya adalah cyborg. Mereka merupakan entiti kombinasi manusia dan mesin. Empayar sudah memerintah hampir 100 tahun dan menguasai 8 galaksi.
Planet Ferum, tempat tinggal koloni Athens sasaran mereka seterusnya. Mereka menyerang bandar-bandar utama, Hierapolis, Knossos dan Blomberg. Namun tiada manusia dijumpai melainkan hanya kemenangan memusnahkan tempat-tempat itu.
Proba spioniereen dilancarkan untuk mencari koloni Athens. Ia mengesan medan tenaga yang dijangka berasal daripada janakuasa di Puncak 363, timur bandar Blomberg planet Ferum.Mereka mengesyaki itulah tempat persembunyian koloni. Jeneral Furious mengarahkan Skuadron Geir, Auge dan pemintas Vormund dihantar untuk membedil kedudukan musuh.
Leftenan Kolonel Sturm, pemimpin sementara koloni Athens merangkap komander tentera koloni iaitu Rejimen Infrantri Phalanx ke-2 dan Batalion Tentera Rakyat Volkssturm ke-7 bimbang. Planet itu akan hancur. Mereka akan ditawan, diperintah oleh cyborg yang zalim. Dia dan koloninya tidak berseorangan di situ. Batalion Mujahidin Jurutera ke-451 ada di sana untuk pembinaan stesen Generetor Impuls Hiper yang masih belum siap lagi. Medan tenaga yang dikesan tadi adalah berpunca dari janakuasa ini.
Mereka menghantar isyarat kecemasan kepada Pusat Radar Kosmik Furqan Fr-25. Mereka mahu bantuan segera!Planet Furqan Fr-25 adalah stesen komunikasi Galaksi Muhsinin. Ia tidak didiami sesiapa melainkan hanya pegawai , krew pusat radar dan batalion mujahdiin.
Khalifah Zulkarnain menghantar Detasmen Mujahidin Elit ke-15 seramai 14 orang yang diketuai oleh Komander Abu Yusuf. Mereka ini orang muda yang menyintai syahid. Mereka ini orang muda yang berjuang untuk memburu syurga. Dan jangan sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; sebenarnya mereka itu hidup di sisi Tuhannya mendapat rezeki, mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepadanya , dan bergirang hati terhadap orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati (Ali-Imran 169-170).
Sudah-sudahlah tu Welma. Nanti, habis satu novel Galaksi Muhsinin dicerita. Mujurlah tidak cukup masa. Saya nak "publish" cepat-cepat resensi ini. Kalau tidak, saya mahu sambung lagi, kisah Liga Lanun, Federasi Generasi Zenzaburo dan orang bumi Zion termasuk Maharaja Legion. Keempat-empat mereka ada misi tersendiri tetapi mempunyai cita-cita yang sama iaitu mahu menghancurkan Galaksi Muhsinin. Lagipun, memang saya tidak berniat mahu cerita secara terperinci, seperti biasa, saya syorkan anda membelinya sendiri.
Saya suka gagasan pemikiran penulis yang cuba disampaikan melalui Galaksi Muhsinin. Saya katakan ia sebagai "gagasan perjuangan Islam" dan Galaksi Muhsinin adalah sebuah novel perjuangan Islam. Satu perjuangan bermisi rahmatan lil alamin yang datang bukan untuk memusnahkan tetapi membawa kesejahteraan untuk umat dunia.
Gagasan pemikiran ini menekankan bahawa umat Islam tetap akan cemerlang selagi mana mereka berpegang kepada ajaran Quran dan sunnah Rasulullah. Hidup ini adalah untuk membina amal kebajikan dan harus kreatif memanfaatkan di sekelilingnya untuk misi sebagai insan soleh. Dunia ini hanya tempat sementara, tempat untuk kita bercucuk tanam amal kebajikan dan ini semua bukan alasan untuk kita melupakan akhirat.
Islam datang sebagai pelengkap kehidupan untuk mengatur kehidupan manusia dan kita sebagai manusia harus melengkapkan diri kita dengan Islam. Misi rahmatan lil alamin ini bukan untuk golongan tertentu sahaja tetapi untuk semua, ya, kemakmuran dan kesejahteraan itu untuk semua, tidak mengira bangsa, agama, jantina atau rupa paras. Kewajipan itu terlalu banyak berbanding dengan masa yang ada. Jadi gunakanlah setiap masa yang ada, setiap umur yang ada, setiap nafas yang ada untuk diinfakkan kepada perjuangan yang panjang ini, perjuangan yang bermisi rahmatan lil alamin.
Pada satu-satu ketika, kekadang saya merasakan membaca Galaksi Muhsinin seolah-olah membaca sejarah Islam dan kisah-kisah para sahabat dan kisah-kisah ini cuba dibawa semula dalam konteks dunia baru Galaksi Muhsinin, dunia yang penuh dengan kecanggihan teknologi.
Juga pada satu-satu ketika, saya merasakan pada halaman 68-69 mengandungi terlalu banyak dialog sehingga melenyapkan situasi saspen di mana situasi pada masa itu memerlukan tindakan yang "urgent" atau "jangan banyak cakaplah, sekarang kamu berada dalam keadaan genting, nanti sembang balik". Saya berpendapat, mungkin ada baiknya jika mesej itu tidak diterjemahkan secara dialog. Lagi satu, watak Khalifah Zulkarnain yang saya kurang nampak keperwiraannya. Memang saya akui, wataknya yang paling banyak dari segi menyampaikan nasihat-nasihat, tetapi dari segi pertempuran, entah, saya tidak dapat mengatakan kekagumaan untuk watak itu berbanding dengan Komander Abu Yusuf.
Ya, mungkin satu lagi, sebelum saya terlupa, Galaksi Muhsinin, novel yang ada humor, terutama untuk watak Maharaja Legion. Dia digambarkan sebagai cyborg yang ganas dan tidak berperikemanusiaan tetapi dalam satu-satu keadaan yang genting dan pembaca tengah khusyuk membaca , kekadang dia mengeluarkan "lawak selambanya". Contohnya, "ayam itu apa", "ayam itu dari spesies manok". Nasihat saya, belajarlah bahasa Sarawak untuk pembaca belajar ketawa apabila membaca kenyataan "ayam itu dari spesies manok".
Wallahu alam
Nota : Saya menanti sekuel kedua Galaksi Muhsinin - Galaksi Muhsinin:Projek Zenzaburo
Ralat :
15 - Zulqanain, 17- kerana (2X), 50 -bago, 63 - vagi, 103 - lua, 179 - mujahddin
__________________________
NOTA: Terima kasih kepada Welma La’anda, seorang rakan blogger.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol
"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...
-
*Artikel ini telah saya tulis sebagai alat bantu mengajar kelas KAFA untuk murid-murid Tahun 2 beberapa bulan yang lepas. Mohon teguran da...
-
Habib Mohamad bin Alwi al-Attas (kiri) dan Habib Izzuddin al-Idrus (kanan) Jika berbicara tentang dakwah, pemerhatian saya para guru A...
-
Bisikan Tanjung Lobang (1) Bisikan Tanjung Lobang (2) Bisikan Tanjung Lobang merupakan cetusan andaian ataupun simulasi kepada pertem...
No comments:
Post a Comment