Sebuah Pemerhatian Peribadi
Hari yang baru bermula. Hari ini bermula di masjid Kampung Sungai Chinchin. Malam bersama saudara-saudara Turki malam tadi cepat sekali berlalu. Kami telah dihidangkan dengan lauk sup daging masakan Turki yang enak sekali. Nasi disuruh ditambah beberapa kali. Siap untuk kami satu periuk nasi jika mahu ditambah. Tetapi atas kapasiti yang terhad kantung makanan dalam badan ini, maka menyerah kalah adalah langkah yang terbaik.
Semalam juga kami telah berpeluang melihat tulisan Uthmani bahasa Turki. Tulisan Uthmani ialah bentuk tulisan huruf-huruf Arab dalam lafaz bahasa Turki. Seperti juga Bahasa Melayu, asalnya adalah tulisan jawi yang terbentuk daripada huruf-huruf Arab. Tetapi tulisan dapat dibaca dalam Bahasa Melayu. Terharu juga rasanya terhadap saudara-saudara ini. Demi mempertahankan tulisan Uthmani ini, mereka belajar menulis dan membaca dengan bersungguh-sungguh. Mengapa?
Kerana dengan penghapusan tulisan ini di Turki dan diganti kepada rumi, maka untuk umat Turki memahami dan mendekati al-Quran menjadi sangat sukar. Kerana tulisan Uthmani ini sangat hampir kepada bahasa al-Quran, bahasa Arab, maka jika dimansuhkan akan menjadikan generasi buta al-Quran. Seperti juga di negara ini, kesan digubah buku teks agama daripada tulisan jawi kepada tulisan rumi, maka generasi sukar untuk membaca al-Quran. Tidak perlu jauh, saya menderita dek dasar itu. Bacaan al-Quran saya syukur, selamat. Tetapi saya sangat sukar untuk membaca bahasa Melayu dalam tulisan jawi. Hendak membaca kitab Melayu dalam tulisan jawi, memerlukan kesabaran dan kesungguhan yang tinggi. Bagaimana pula rakan sebaya saya yang lain?
Said Nursi Badiuzzaman (1876-1960), seorang mujaddid sufi yang mempertahankan Islam daripada arus bencana sekularisme di Turki. Beliau telah menekankan kepada umat Turki betapa pentingnya tulisan ini meskipun kerajaan sekular bersungguh-sungguh untuk menghapuskannya. Maka menyahut seruan itu, sahabat-sahabat saya ini belajar dengan menekap tulisan itu atas kertas turih. Saya merasa kasihan juga. Mereka boleh menulis, tetapi tidak begitu lancar memahami isinya ketika menerangkan kepada kami maksud ayatnya. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada mereka!
Tidak sangka kedatangan di masjid Kampung Sg Chinchin ini telah mempertemukan diri dengan mereka. Asalnya adalah untuk duduk berehat di masjid tersebut sambil-sambil menjenguk adik-adik PKPIM Pusat Asasi UIAM menganjurkan program latihan mereka. Kampung ini diasaskan oleh seorang syeikh ulamak (saya tidak ingat namanya). Berdekatan dengan masjid ini, makam beliau didirikan. Apa yang menarik di sekitar masjid ini ialah sebuah lubang replika liang lahat. Khabarnya pada waktu malam, syeikh ini akan duduk bermunajat dalam liang itu untuk bermujahadah (melatih) membersihkan hatinya sentiasa mengingati kematian. Bagaimanakah diri kita, pernahkah memikirkan seketika saat yang kunjung tiba pada bila-bila masa?
Pada pagi itu kami berangkat untuk balik ke UIA Gombak. Disebabkan saya salah menyangka bahawa mungkin bekalan elektrik akan terputus sepanjang hari di mahallah kediaman, maka saya mengajak saudara Azizan untuk turut serta ke Bengkel Penulisan KJ Metod oleh Pn Ainon. Menemani kami juga ialah saudara Fazril.
Kami menaiki bas untuk ke UIA. Sesudah kami duduk, saya membuka cerita, “Aok eh. Kitak tauk ari tok tek (Ya, awak tahu hari ini ada apa)?”
Jawab Azizan, “Ari tok ari Minggu lah. Ada apa Bang Azrul?” Ia tersengih. Begitulah karenah orang ahli fasilitator, ada saja lenggok skil ‘helah’nya (kadang-kadang humor).
“Ari tok ada program dipolah oleh persatuan anak Sarawak Semenanjong (Hari ini ada program dianjurkan oleh persatuan anak Sarawak Semenanjung).”
“Nok Bang Rafique ya kah (Maksudnya persatuan yang disertai oleh Bang Rafique)?”
Balas saya, “Aok. Yang kamek dengar program ramah tamah. Garuk palak juak kamek. Ngkali kamek salah dengar. Tok dah separoh Zulkaedah. Hehehe (Ya. Setahu saya program itu ialah program ramah tamah. Pening kepala juga saya. Mungkin saya salah dengar. Sekarang sudah separuh bulan Zulkaedah).”
Tanya Azizan, “Kitak sik ekot tek (Awak tidak pergi)?”
“Sik merancang pun. Lagikpun sekda kawan yang pegi. Masing-masing dah sebok aher sem. Lagikpun dah lamak juak sik jumpa Puan Ainon (Saya tidak merancang untuk ke sana. Tambahan lagi, tidak ada kawan yang ikut serta. Masing-masing sudah sibuk menghadapi akhir semester. Lagi pun saya sudah lama tidak berjumpa dengan Puan Ainon).”
“Mena juak ya.”
Perbualan terhenti sebentar. Hanya terdengar deru enjin bas. Tiba-tiba saya teringat sesuatu, “Tauk kitak, ada sorang ya nanyak program ya ngan kamek (Awak tahu, ada seseorang telah bertanya tentang program itu kepada saya).”
“Apa ditanyaknya (Apa yang dia tanya)?”
“Orang ya sik payah sebutlah namanya. Nya nanyak kamek, ya program apa (Tidak perlulah saya menyebut namanya. Dia telah bertanya kepada saya, apakah program itu).”
“Sebab kamek pun ndengar-dengar daripada kawan-kawan dan kamek sik main Facebook, jadi kamek padah nya program berambeh berjumpa sama-samalah (Disebabkan saya ada mendengar juga daripada kawan-kawan dan tidak melayan Facebook, maka saya beritahu setakat pengetahuan saya program itu adalah untuk berkumpul dan bersua).”
Sambung saya lagi, “Ya lah nya nanyak. Tok program sapa? Ada YB Fulan bin Fulan datang kah (Itulah yang ditanyakannya. Ia bertanya lagi, program itu siapa yang anjurkan? Adakah YB Fulan bin Fulan datang juga)?”
“Kamek njawab, kamek rasa ada YB datang sekali (Kemudian saya menjawab, ‘saya rasa YB ada datang sekali’).”
“Orang ya njawab, ‘Oooo... mun YB ya datang, kamek sik mok datanglah. Nya BN (Barisan Nasional) bah (Orang itu menjawab, ‘kalau YB datang, saya tidak mahu pergi. Dia orang BN).’”
Kemudian saya menyimpulkan perbualan dengan orang tersebut, “Kamek pun... aok jak lah. Yang kamek kesal ialah, orang yang tipon tok, urang agama. Nya ngekot sidak lambing ijo (Saya pun... berdiam sahajalah (tidak mahu member komen lanjut). Saya berasa agak kesal kerana dia yang mengatakan sedemikian adalah orang agama. Dia ikut mereka yang berlambang hijau).”
Saya menggelengkan kepala, “Apa ndak dipikei sidaknya sampei kedak ya sekali? Siney nya engkah prinsip dakwahnya? Kata ngambik Islam keseluruhan, tetapi kenak hal penting tok diketepikan (Apakah yang difikirkannya? Di manakah beliau meletakkan prinsipnya? Jikalau mengaku mengambil Islam secara keseluruhan, mengapakah hal penting –pertemuan berharga- ini diketepikan)?”
Berkerut juga dahi Azizan membalas, “Payah juak dah bersentimen kedak ya. Walhal, mun nya mok ngembak dakwahnya pun, nya dah merugikan peluang berjumpa dengan rami urang (Susah juga kalau dakwah bersentimen begitu. Walhal, jika beliau mahu membawa dakwahnya, tidak hadir ke program itu semata-mata perbezaan sentiment politik telah merugikan peluang untuk berjumpa dengan ramai orang).”
Saya duduk menyandar, sambil mengeluh, “Ya lah kamek berbincang dengan seseorang hal tok. Antara duak pegangannya: politik ya atas dakwah ataupun dakwah nya ya atas politik (Berhubung dengan persoalan ini, saya telah berbincang dengan seseorang. Dia telah mengulas: di manakah letak dakwahnya? Adakah politik itu atas dakwah ataupun dakwahnya atas politik)?”
Kata Azizan, “Nampak gaya, dakwah urang ya nampak gilak atas politik.”
Saya berkata lagi, “Susah menar mun dakwah atas politik tok. Terpaksa pilih kaler, pilih bulu. Mun ada urang tok, sebab ada urang musuhnya politiknhya di sia, maka tolak secara total (Sukar benar kalau dakwah atas politik. Terpaksa pilih wana, pilih bulu. Disebabkan seorang musuh politiknya berada di sana, maka tindakannya akan menolak seteru itu secara total).”
Sudah lama juga dipendam hal ini atas pemerhatian dan interaksi selama beberapa tahun, “Apa yang dalam hati ialah bencik habis-habisan kepada pihak sigek ya. Masalahnya, mun dah hati benci, lamak-lamak kita pun sebarkan kebencian terhadap urang lain. Masa ceramah, nganok urang. Hati pun... jadi keras (Apa yang di dalam hati adalah kebencian terhadap pihak lawan. Masalahnya, jika hati sudah benci, maka lama-lama pun kita akan sebarkan semata-mata kebencian terhadap orang lain. Ceramah pun, cemuh orang. Akhirnya... hati menjadi keras).”
Saya melontarkan soalan kepada Azizan, “Ahernya, apa yang jadi?”
Jawabnya, “Dakwah sik sampei!”
“Mun kita berjalan atas landasan ilmu, sepatutnya sik akan terjadi kedak ya. Aok, mungkin ada salah urang ya. Tapi kerana kebencian atas dasar kepartaian tok telah menutup ruang yang boleh dimanfaatkan. Last-last, keja nanggar salah urang. Salah dirik sik nampak (Jika kita berjalan atas landasan ilmu, sepatutnya perkara ini tidak terjadi. Ya, mungkin ada silap orang itu. Tetapi kerana kebencian atas dasar kepartaian sebegini telah menutup ruang yang boleh dimanfaatkan. Akhirnya, kerja kita ialah melihat salah orang. Salah sendiri tidak sedar pula).”
“Ingin juak mok nanyak, Nabi sallallahu alahi wasallam dolok, apa yang mula-mula ditunggahnya? Nya ajak urang bina daulah (negara) ataupun tunggah urang kepada Allah dolok (Ingin juga bertanya, apakah seruan pertama (yang paling penting) yang Nabi sallallahu alaihi wasallam seru? Ajak orang bina Negara ataupun ajak orang kepada Allah)?”
“Mestilah nya tunggah kepada Allah.”
Bas sudah melepasi Sekolah Menengah Teknik Gombak dan berhenti di lampu isyarat. Saya menyambung lagi, “Sedangkan kerajaan Demak yang hebat kesan tarbiyah oleh wali-wali Songo di Jawa ya kesannya ngambik masa seratus tahun. Ulamak dolok sidaknya nunggah urang kepada Allah. Orang dah beramal dengan Islam atas ilmunya, negara ya secara semulajadi terbina (Sedangkan kerajaan Demak yang hebat itu telah terdiri hasil daripada dakwah oleh wali-wali Songo berdakwah mengajak masyarakat kepada Allah. Ulamak terlebih dahulu memanggil manusia kepada Allah. Sesudah orang Islam telah beramal dengan Islam atas ilmunya, Negara itu terbentuk secara semulajadi).”
Kini Azizan pula mengulas, “Ya lah Bang Azrul, perkara tok dah berlaku di siney-siney. Kamek mok molah artikel kelak: Antara Mengisi atau Menguasai (Benar juga Bang Azrul. Perkara ini sudah berlaku di mana-mana. Saya teringin untuk menulis sebuah artikel: ‘Antara Mengisi atau Menguasai’)?”
Bas mula memasuki UIA. Kami sudah bersedia mengeluarkan kad matriks seandainya pengawal UIA mahukan pengesahan. Perbincangan terhenti , kami masing-masing melayan fikiran. Mengengangkan perbualan ini, terimbau kepada mesej penting yang saya pelajari daripada Allahyarham Ustaz Awang Pon (semoga Allah merahmatinya – al-Fatihah). Sehingga sekarang prinsip beliau ‘dakwah is beyond, above politics’ begitu berpengaruh. Beliau sering meletakkan asas ilmu dan hikmah apabila berhadapan dengan sesuatu perkara.
Tiba-tiba kenangan tazkirah beliau di Masjid Wan Alwi, Tabuan usai waktu Asar menjelma. Itulah kali pertama mendengar beliau member nasihat secara umum di khalayak itu. Beliau membacakan ayat al-Quran yang mengatakan bahawa agama umat manusia itu satu dan Akulah (Allah) Tuhan kamu. Rupa-rupanya beliau membacakan ayat yang terpampang di salah satu sudut masjid.
Saya tidak dapat menumpukan perhatian perbincangan beliau kerana seorang sahabat telah bertanya sesuatu. Namun kandungan yang saya ingat adalah beliau menghuraikan bahawa agama anak-anak Adam ini asalnya satu dan mengaku yang Allah adalah Tuhan mereka. Kemudian mereka berpecah belah kerana berselisih pandangan dan pendirian. Begitulah konteks ayat yang beliau maksudkan. Seandainya terpampang ayat lain, saya bersedia menerima teguran.
Pada akhir tazkirah tersebut, beliau menyimpulkan dengan kalimat pendek tetapi bermakna sekali. Saya ingat kata-kata beliau dengan nada yang penuh berhikmah, “Kalau kita fahamkan ayat ini, mun mok ngembak (sentimen parti) politik di sitok, minta maaf; terpaksa tinggal di luarlah. Tok rumah Allah bah. Semua orang adalah sama di hadapan-Nya.” Saya tersenyum sendirian mengenangkan peristiwa tersebut.
Jika kita mengaku membawa bendera dakwah, apakah pendirian kita benar-benar menuruti sebagaimana yang dikehendaki oleh Nabi s.a.w? adakah tindakan kita atas dasar ilmu ataupun emosi? Ataupun kita berlumba-lumba mencanang diri mendabik dada menuntut digelar sebagai pelopor tajdid (pembaharu)?
Kami pun tiba di mahallah dan harus bergegas ke stesen LRT Putra Gombak. Kami mengejar masa – kerana sangat maklum bilik kelas Bengkel PTS di Sekolah al-Ikhlas sangat cepat penuh!
AMARAN kepada Azizan: Bila lagik artikel ya mok siap?! {bunyi marah... hohohoho}
Rujukan:
1.HAMKA, (2002). Sejarah umat islam (edisi baru). Pustaka Nasional Pte Ltd: Singapura
2.Ihsan Kasim Salih, (2003). Said nursi: pemikir & sufi besar abad 20 membebaskan agama dari dogmatism & sekularisme. PT RajaGrafindo Persada: Jakarta
3.Abdullah Azzam, (2007). Turki Negara dua wajah: Pengkhianatan Ataturk terhadap dunia islam. Alam Raya Enterprise :Gombak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol
"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...
-
*Artikel ini telah saya tulis sebagai alat bantu mengajar kelas KAFA untuk murid-murid Tahun 2 beberapa bulan yang lepas. Mohon teguran da...
-
Habib Mohamad bin Alwi al-Attas (kiri) dan Habib Izzuddin al-Idrus (kanan) Jika berbicara tentang dakwah, pemerhatian saya para guru A...
-
Bisikan Tanjung Lobang (1) Bisikan Tanjung Lobang (2) Bisikan Tanjung Lobang merupakan cetusan andaian ataupun simulasi kepada pertem...
No comments:
Post a Comment