BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Friday, February 21, 2014

Kehadiran TG Syeikh Nuruddin di Miri (2014)


Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w, Ahli Keluarganya. Moga Allah melimpahi Rahmat atas para Sahabat, para ulama yang muktabar serta orang-orang yang ikhlas mengikuti jalannya sehingga Hari Kiamat.

Menjadi satu anugerah di satu-satu tempat apabila didatangi oleh seorang ulama. Nabi Muhammad s.a.w banyak mengisyaratkan bahawa para ulama yang benar adalah para pewarisnya. Tidak diwarisi oleh para Nabi dan Rasul, melainkan ilmu dan hikmah. Mereka tidak mewarisi harta, akan tetapi mewarisi dan mengamanahkan kepada para ulama agar menjaganya dengan teguh.

Alhamdulillah, moga tercapailah hajat kali ini, bumi Miri bakal diziarahi oleh seorang ulama Nusantara yang disayangi dan disegani, pendidik dan pembimbing umat, iaitu Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki pada 22 (Sabtu) dan 23 (Ahad) Februari 2014 ini.                                                              
Sedikit latarbelakang biografi beliau, didapati di kitab karangan beliau, Martabat Ilmu &; Ulama dan Ringkasan Nasihat Agama & Wasiat Iman:

Beliau dilahirkan pada 1 September 1960 dan berasal dar Banjarmasin, Indonesia. Kemudian, beliau dan keluarganya menetap di Tanah Suci Makkah pada tahun 1974. Pada tahun 1983, beliau telah melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir di peringkat ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah Islamiah.       

Setelah menamatkan pengajian di Universiti al-Azhar, beliau menumpukan perhatian untuk mencurahkan ilmu kepada ribuan penuntut yang datang dari Asia Tenggara, termasuklah Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand yang menimba ilmu di sana, sehingga beliau telah mendapat gelaran al-Azharus Tsani (al-Azhar yang Kedua), satu gelaran yang terhormat dan tulus daripada masyarakat Universiti al-Azhar sendiri. 

Antara keistimewaan beliau ialah beliau mewarisi metodologi pengajian berasaskan sanad. Menurut al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll, antara keistimewaan menghadiri majlis beliau adalah keutamaan menjaga adab dalam majlis ilmu. Peranan Syeikh sebagai pendidik menekankan disiplin kepada para pendengar dan penuntut agar menghormati majlis ilmu yang sedang berjalan.

Beliau telah menubuhkan rangkaian pondok di Bogor, Indonesia, Kelantan, Kedah, dan Johor. Setakat ini, beliau telah menghasilkan lebih 80 buah buku dan manuskrip, termasuklah 40 Mutiara Hadith daripada 40 Buah Kitab, al-Ilhatah - Menyingkap Persoalan Haid, Nifas dan Istihadah, at-Tamassuk bil Kitab was-Sunnah dan banyak lagi.

Syeikh Nuruddin merupakan seorang ulama yang tinggi ilmunya. Namun demikian, seperti yang dinyatakan tadi, beliau sangat menjaga adab dalam majlis ilmu. Inilah keistimewaan beliau, dalam mendisiplinkan masyarakat agar meraih barakah dengan menjaga adab-adabnya. Ini kerana, berkat ilmu yang disampaikan adalah dengan menjaga adab-adab yang diajar oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w dan para ulama.

 Pesan beliau tentang kepentingan menjaga adab menuntut ilmu dalam 'Kata-kata Aluan' buku Q&A Bersama TG Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki (yang disusun oleh anak murid beliau al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll):


"Saya ingin mengingatkan para penuntut ilmu agar menjaga adab ketika menuntut ilmu kerana ilmu tidak akan diperoleh dan ia tidak akan bermanfaat kecuali setelah memelihara adab-adabnya dan memuliakan ahlinya (para guru / masyaikh) dan orang yang menyibukkan diri dengannya.
Ramai penuntut ilmu pada zaman sekarang tidak sampai kepada tujuan yang dimaksudkan, malah terhalang daripada mendapat manfaat-manfaat ilmu dan buahnya - iaitu beramal dan berdakwah dengannya. Mereka seperti yang disebutkan oleh Syeikh az-Zarnuji:
'Sesungguhnya mereka telah tersalah jalan-jalannya (ilmu) dan meninggalkan syarat-syaratnya. Setiap yang tersalah jalan, dia tersesat. Dan tidak akan mendapat apa yang dimahunya sama ada sedikit atau banyak.'"
Berdasarkan pengalaman sebelum ini di Bintulu (Disember 2012) dan semasa belajar di Semenanjung Malaysia, beberapa saranan ingin saya anjurkan sebagai panduan ketika berada dalam majlis beliau. Beberapa cadangan ini adalah bagi melancarkan perjalanan program. Semuanya pernah ditegur oleh Syeikh untuk mendidik pendengarnya yang tersilap pandang dalam menjaga adab majlis ilmu: 


1. Niat belajar ikhlas kerana Allah.

2. Matikan telefon anda, ataupun dalam mod senyap. Jangan melayan telefon ataupun seumpamanya. Jika mahu juga melayan telefon, sila keluar dari lingkungan pengajian untuk berurusan.

3. Tumpukan perhatian anda sepenuhnya dalam majlis. Jangan bercakap dengan sesiapa di sebelah anda. 

4. Jika anda anda anak-anak kecil, kawal mereka agar tidak terlalu bising bermain sehingga mengganggu perhatian majlis. Apatah lagi bermain-main dan berlari-lari.

Ayuh, bawalah ahli keluarga, jiran tetangga, komuniti, rakan sepejabat dan sahabat-sahabat anda untuk menghadiri taman-taman syurga iaitu majlis ilmu...

Sebelum terlupa, jika ada wang lebihan bulan ini, bawalah untuk membeli kitab-kitab al-Fadhil Syeikh yang selalunya dijual ketika program berjalan. Bawalah sebagai ole-oleh untuk ditatap dan disimpan sebagai khazanah yang digunakan sehingga ke generasi-generasi mendatang. Amiin... 

Sebarkan makluman program ini. Semoga kita juga mendapat kelebihan beramal kerana memaklumkan para pencari majlis ilmu ini. 


Mohon maaf atas salah dan silap. Sekian, terima kasih. 

                   


No comments:

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...