Tersebutlah kisah seorang wanita warga emas yang baru sahaja kembali dari Tanah Suci Makkah dan Madinah. Beliau kini dalam umur lewat 70-an, namun masih dikurniakan kesihatan yang baik dan tetap cekal membanting tulang mencari nafkah. Satu ketakjuban adalah di sebalik kehidupan beliau yang tidaklah sesenang orang lain, berkat kegigihan beliau mencari rezeki yang halal, dianugerah pula rezeki menjejakkan kaki untuk melaksanakan ibadah umrah.
Antara cerita yang didengar daripada beliau adalah, pada satu masa semasa beliau berada di Masjid Nabawi s.a.w di Madinah, beliau telah terpisah daripada rombongan. Hendak dicari kembali, terlalu ramai orang berlegar. Maka beliau pun nekad meneruskan perjalanan menziarahi makam Nabi Muhammad s.a.w.
Beliau bukanlah seorang yang mengerti akan papan tanda dalam Bahasa
Inggeris, akan tetapi beliau terpandu dengan tulisan Arab. Ini tidak lain dan
tidak bukan adalah kerana pengetahuan beliau yang sudah terbiasa dan mampu
membaca tulisan jawi. Ini tidak menghairankan, kerana banyak perkataan ataupun
istilah bahasa Arab dikekalkan ejaannya dalam tulisan jawi. Orang yang berumur seperti beliau, lebih kenal dan menghayati Berbahasa Melayu dengan tulisan jawi daripada tulisan rumi. Beliau ‘selamat’
bergerak dari satu tempat ke satu tempat berpandukan pengetahuan tersebut. Alangkah
beruntungnya beliau, dapat menjekakkan kaki ke Makam Nabi Muhammad s.a.w yang
mulia!
Hal ini mencetuskan diri berfikir dan mengenang akan nasib tulisan jawi di
kalangan orang Melayu sendiri. Mengapa? Saya yakin ramai di kalangan ahli
masyarakat sudah tidak mengenal huruf apatah lagi tulisan jawi. Pengalaman
sebagai guru KAFA melihat sendiri bahawa penguasaan tulisan jawi akan membantu
langsung kepada pembiasaan seseorang terhadap bahasa asal tulisan tersebut,
iaitu bahasa Arab. Terbiasa dengan bahasa Arab, maka dekatlah seseorang itu
dengan al-Quran.
Sumber di pautan ini. |
Tulisan jawi-Melayu merupakan tulisan zaman-berzaman yang menjadi kekuatan,
identiti dan jatidiri serta wahana penyebaran Islam dengan tersebarnya ilmu
pengetahuan yang dikarang oleh para alim ulama Melayu. Tidak dinafikan, selain
daripada rangka penulisan perihal asas agama seperti Tauhid (Metodologi Sifat
20 ataupun al-Asya’irah), hukum Fekah, Tasawuf (akhlak), orang Melayu yang bijak
pandai menyimpan khazanah yang berharga. Mereka aktif bergiat menulis dalam pelbagai
bidang, antaranya, kesusasteraan hikayat, ilmu bedil, ilmu falak, ilmu
perubatan, sejarah para nabi dan ketatanegaraan. Selama ratusan tahun,
masyarakat Melayu begitu kukuh dan rapat dengan tulisan jawi.
Sumber daripada pautan ini. |
Nampaknya misi dan visi Stamford Raffles berjaya. Sungguhpun tulang-belulangnya
sudah hancur dimamah bumi, namun beliau telah berjaya memisahkan umat Islam
Melayu daripada agamanya perlahan-lahan. Ramalan dan pengamatan beliau lebih
daripada 200 tahun yang lampau tampak benar, iaitu buta huruf jawi yang
bermaharajalela sekarang. Beliau telah memulakan usaha sejak zaman beliau lagi
dengan memisahkan umat Islam Melayu daripada tulisannya.
Pada tahun lepas, diri telah berpeluang untuk mengikuti satu kursus
pemantapan guru KAFA. Salah satu slot yang ditunggu-tunggu adalah bagaimanakah
menggunakan tulisan jawi dengan pengejaan yang tepat. Dalam slot tersebut,
sedikit demi sedikit kerisauan semakin membesar. Satu keanehan apabila melihat
bahawa pengejaan tulisan jawi yang baru (yang diguna pakai kini dan digunakan
di sekolah-sekolah) ini mengguna-pakai kaedah sebagaimana dalam Bahasa
Inggeris.
Seorang rakan seangkatan berbisik kepada saya, “Tulisan jawi bukan seperti
ini asalnya.”
Mungkin juga saya dapat mengagak maksud beliau, “Saya pun rasa pelik. Mengapa
tulisan jawi mesti ikut peraturan seperti Bahasa Inggeris? Ini satu
pensekularan tulisan jawi!”
Kami berbisik-bisik. Beliau berkata lagi, “Saya setuju dengan awak. Tulisan
jawi adalah tulisan yang sangat rapat dengan Bahasa Arab.”
Tanya saya lagi, “Mengapa?”
Jawab beliau, “Kerana tulisan jawi dahulu ada nahunya yang tersendiri. Sesetengah
tulisan jawi dahulu-kala menggunakan baris (baris atas, bawah dan depan) bagi
memaksudkan perkataan tersebut.”
Maka saya pun mengangguk. Tiba-tiba
tersedak di hati bahawa nampak sahaja tulisan jawi ini diajar, patut pula tidak
memberi kesan kepada pengamalnya. Terbit di hati bahawa nasib tulisan jawi yang
mulia ini juga senasib dengan pelbagai persoalan lain dalam kehidupan kita,
mengalami proses pensekularan yang dahsyat, iaitu pemisahan segala sesuatu
daripada ruh keagamaannya.
Justeru saya merasakan bahawa perlu ada kesedaran di peringkat orang awam
agar kembali semula menitikberatkan penguasaan penulisan dan kelancaran
pembacaan tulisan jawi. Satu sebab adalah, umat Islam Melayu mempunyai khazanah
warisan yang diperturunkan oleh para alim ulama dan cerdik pandai melalui kitab
dan hikayat mereka.
Mari kita rombak stigma pemikiran kita, bahawa kitab-kitab yang tidak ternilai ini bukanlah semata-mata buat tatapan para penuntut ilmu khususnya di kalangan pelajar pondok/madrasah. Malah terlebih mustahak, masyarakat juga menemui kembali kekuatan ini. Apakah jalannya? Iaitu menempuh jalan orang-orang terdahulu dengan menghadiri majlis pengajian ilmu, sambil menatap kitab dan di hadapan kita seorang guru. Itulah proses yang telah terbukti menjaga ketuanan Islam zaman-berzaman. Manakan tidak, kitab yang kandungannya berusia ratusan tahun, masih ditatap oleh generasi sehingga hari ini.
Mari kita rombak stigma pemikiran kita, bahawa kitab-kitab yang tidak ternilai ini bukanlah semata-mata buat tatapan para penuntut ilmu khususnya di kalangan pelajar pondok/madrasah. Malah terlebih mustahak, masyarakat juga menemui kembali kekuatan ini. Apakah jalannya? Iaitu menempuh jalan orang-orang terdahulu dengan menghadiri majlis pengajian ilmu, sambil menatap kitab dan di hadapan kita seorang guru. Itulah proses yang telah terbukti menjaga ketuanan Islam zaman-berzaman. Manakan tidak, kitab yang kandungannya berusia ratusan tahun, masih ditatap oleh generasi sehingga hari ini.
No comments:
Post a Comment