BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Thursday, January 9, 2014

[BUKU] Maulidur Rasul: Menyorot Sekilas Pandangan Ulama


Segala Puji Bagi Allah Tuhan Sarwa Alam. Selawat dan Salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w dan juga ahli keluarganya (Ahlul Bait). Semoga Allah melimpahi rahmat dan kasih sayang-Nya atas para sahabat, tabi' dan tabi'in serta orang-orang yang ikhlas menuntuni tauladan baginda s.a.w yang mulia sehingga Hari Kiamat.

Menjelang sambutan Maulidur Rasul 1435H, terdapat beberapa orang bertanyakan kepada saya akan hukum menyambut perayaan tersebut. Ini kerana mereka inginkan kejernihan atas kekeliruan yang ditimbulkan dengan laungan sesetengah pihak yang mempertikaikan sambutan Maulidur Rasul s.aw.


Saya bukan ustaz. Adapun penjelasan ringkas ini adalah mengambil manfaat daripada majlis-majlis para ulama dan cendiakawan dan menatap karya mereka semasa menuntut di Kuala Lumpur dahulu. Tetapi apa yang dapat saya tolong adalah menunjukkan kepada para ahlinya dan kitab penjelasan mereka yang benar. 

Perkara ini merupakan perkara khilafiyyah (yang menjadi perselisihan para ulama), dan telah dijawab dengan tuntas dan kemas oleh para ulama berwibawa sejak zaman dahulu. Hanya pada zaman masakini, terdapat golongan yang suka membongkarkan hal ini kembali dan memerangi amalan yang baik ini. Hal ini menimbulkan kerumitan dan kekeliruan yang tidak sepatutnya dalam masyarakat.

Para ulama Ahli Sunnah wal Jamaah menyambut baik dan membolehkan amalan menyambut Maulidur Rasul yang berlandaskan kepada syarak. Sambutan ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menghubungkan kembali masyarakat kepada Rasulullah s.a.w dan kecintaan kepada baginda s.a.w. 


Terdapat segolongan mereka yang tidak bersetuju, tetapi banyak di kalangan para ulama berwibawa membolehkan, seperti Imam Suyuthi, Imam ibnu Hajar Asqalani, Syeikh Ali Jumaah, Prof. Dr. Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi antaranya. Bahkan menurut al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Joll dalam kitab Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama (2011), m/s 761-762 menyatakan bahawa Syeikh ibnu Tahmiyyah (yang menjadi rujukan golongan Salafi-Wahabi yang menentang amalan ini) sendiri memandang baik amalan ini. 

Sesiapa yang tidak senang dengan sambutan ini, maka usahlah berbantah-bantah. Segalanya dah dikupas dan dijelas oleh para ulama. Jawapannya sudah terpampang dengan penjelasan dan dalilnya berlandaskan ilmu yang benar. 

Dalam masalah ini juga, al-Muhaddith Prof. Dr. Muhammad bin Alawi al-Maliki, seorang pendidik tersohor dunia Islam yang mempertahankan sistem pengajian agama melalui metod halaqah talaqqi (belajar berguru) pernah mengarang akan syarah (huraian) dalam sebuah kitab maulid yang masyhur, iaitu Maulid ad-Daiba'. Maulid ad-Daiba' ini dikarang oleh al-Hafiz Imam Abdur Rahman ibn ad-Daiba'. Maulid ini tersebar luas dan dibaca di merata-rata tempat di dunia ini. 

Kenang-kenangan... al-Musnid Dato'
Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin
al-Maliki ketika Kuching Berselawat
julung-julung kalinya pada 2011.
Kitab tersebut (dalam gambar di kiri) adalah versi terjemahan oleh anak murid kepada Prof. Dr. Muhammad bin Alawi al-Maliki, iaitu al-Musnid Dato' Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki beliau sendiri dalam mukadimah syarah tersebut memandang bahawa perbahasan ini bukanlah begitu mustahak (kerana persoalan cabang ataupun khilafiyah), akan tetapi atas desakan suasana dan permintaan yang tinggi daripada orang yang mengenali beliau, maka atas dasar amanah dan tidak mahu menyembunyikan ilmu, maka beliau mengarang kitab tersebut. Dalam kitab ini, persoalan ini dihuraikan oleh Prof. Dr. Muhammad bin Alawi al-Maliki, begitu jelas tentang hukum, peringatan dan manfaat daripada penganjuran amalan baik yang diamalkan ini.

Beberapa persoalan ingin dilontarkan kepada golongan yang amat suka menimbulkan kontroversi ini:

1. Jika kita mengenal biografi para ulama yang pernah pengarang syair maulid/qosidah, adakah kita harus insaf di manakah letaknya diri kita? Sedangkan orang yang kita cerca dan hina itu kita tidak sedar, imannya, taqwanya, ilmunya, zuhudnya, tawaduknya dan khidmat mereka untuk agama tiada tolok bandingnya dengan kita pada zaman sekarang. Apakah sumbangan kita berbanding para alim ulama terdahulu? Adakah ada sebuah kitab yang telah kita karang yang berupaya dijadikan rujukan yang muktabar? Tanyalah diri.


2. Adakah hanya membaca sesetengah artikel yang kita baca dalam beberapa minit di-'copy paste' daripada Syeikh Google dan Wikipedia sama dengan pengamatan dan adab para Imam berwibawa ini? Seluruh hidup para imam ini telah diserahkan untuk mengukuhkan ilmu, mempertahankan akidah, dan menyambung kesinambungan ilmu dengan cara yang benar. Adakah kita berwibawa seperti itu? 


Adakah dengan cacian, maki hamun, cercaan kita yang memuaskan hati kita membantu agama Islam?  Kebenaran beserta dengan adab. Kebenaran tidak menyalahi adab. Tidak ada satu dalil pun bahawa Nabi Muhammad s.a.w pernah mencela sekalipun bapa saudaranya Abu Lahab. Sunnah yang mana kita amalkan? Tanyalah diri.


3. Persoalannya adalah, mengapa amalan yang disepakati bermanfaat ini diperangi, dikatakan bid'ah, haram, syirik dan bermacam-macam lagi, akan tetapi mengapa majlis berisikan maksiat tidak kita serius dalam menanganinya? 
Tanyalah diri.


4. Adakah itu bermaksud sambutan seperti maulid di banyak tempat di negara ini sama darjatnya seperti konsert yang melalaikan? Apakah sumbangan kita dengan mengherdik orang lain kerana tidak sependapat dengan pendirian kita? Adakah pertimbangan itu berdasarkan logik akal yang dangkal, ataupun adakah kenyataan tersebut adalah bersandarkan kepada para imam dan ijmak (kesepakatan) ulama? Tanyalah diri.

                              
Akhir kata, kita renunglah kalam-kalam yang terbit daripada ulama yang berwibawa ini. Kita mendoakan agar beliau bahagia di Alam Barzakh dan moga Allah mengganjari nikmat yang tidak terhingga atas khidmat beliau berjuang mencetak dan melahirkan ratusan bahkan ribuan para ulama...



Bersama kita fikirkan...

Mohon teguran daripada ahlinya...

No comments:

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...