“Cinta kepada Rasulullah s.a.w itu bukanlah cinta biasa seperti cinta kepada diri sendiri, tetapi ia adalah cinta yang diusahakan (ikhtiyari).” –Imam Abu Sulaiman al-Khattabi rahimahullah[1]
Cinta - Leluhur yang suci menghiasi setiap sendi yang menjadi tema dalam
kehidupan. Bahkan, alam ini diciptakan oleh Allah Tuhan Sarwa Alam dengan
cinta, rahmat dan kasih sayang-Nya.
Maka dengan itu, Allah kenalkan diri-Nya melalui perutusan Nabi dan Rasul. Cinta
itu bersambung adn bersambung dan bersambung kepada generasi demi generasi, dan
ditutupi dengan indah oleh Sebaik-baik Makhluk, Seagung-agung Manusia, Penghulu
Makhluk Dunia dan Akhirat, iaitu Sayyidul Anbiya’ Penghulu Segala Rasul, iaitu
Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w.
Selawat dan salam moga berkekalan selagi ada tulisan ini buat Baginda s.a.w,
ahli keluarganya (Ahlul Bait) dan para Sahabat. Semoga Allah melimpahi Rahmat-Nya
atas para ulama-ulama yang benar dan orang-orang yang soleh dan ikhlas menuntun
jalan Baginda s.a.w sehinggalah Hari Kiamat.
al-Fadhil Ustaz di TV Hijrah |
Bagindalah harapan pada Hari Pembalasan di kala manusia berbondong-bondong
mencari pertolongan. Disebutkan dalam sebuah hadith panjang dalam nota kaki
kitab kecil Puji-pujian Imam Abu Hanifah[2],
bahawa dalam kedahsyatan hari tersebut, maka berbondong-bondonglah manusia
mencari orang yang memberikan syafaat kepada mereka. Maka mereka berduyun-duyun
berjumpa kepada Nabi Adam, kemudian Nabi Nuh, Nabi Ibrahim dan Nabi Musa. Kesemua
Rasul yang hebat ini mengatakan mereka tidak dapat membantu apa-apa. Sehinggalah
mereka bertemu dengan Nabi Isa, maka Baginda a.s pun menunjukkan bahawa hanya
seorang sahaja yang dapat menolong mereka, iaitu Sayyidul Anbiya’ Nabi Muhammad
s.a.w.
Di sanalah manusia mendapati bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah khabar
gembira buat mereka, harapan memohon syafaat, meminta keluar daripda
kesengsaraan dan keresahan Hari Akhirat. Sesungguhnya, keselamatan dan
kesejahteraan Akhirat kelak adalah bagaimana kita mencintai Nabi Muhammad
s.a.w. Bagindalah yang menjadi harapan kita pada suatu hari kelak, memohon
syafaat kepada Allah agar diringankan derita dan diberi bahagia.
Di tengah-tengah kegersangan jiwa nurani dipenuhi dengan figur-figur,
tokoh-tokoh yang melalaikan, maka saat ini menjadi satu keperluan yang mustahak
manusia mengenal kembali model sebaik-baik insan yang dikasihi Tuhan: Nabi
Muhammad s.a.w. Telah termaktub dalam al-Quran dan hadith yang menjadi sandaran
para ulama bersepakat bahawa mencintai Rasulullah s.a.w adalah wajib:
“Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbangkan akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya; kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang fasik.” (Surah at-Taubah, 9:24)
Hadith Nabi s.a.w:
“Maka demi jiwaku dalam kekuasaan-Nya, tidaklah
(sempurna) iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihi daripada anaknya,
ibu bapanya dan manusia seluruhnya.” (Riwayat
Bukhari, Muslim dan Nasa’i)
Buku karya al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Joll yang berjudul Ingin Kubalas
Cintamu Ya Rasulallah: Langkah-langkah Mencintai Nabi s.a.w ini amat
bertepatan pada masanya. Buku ini amat istimewa kerana memberikan garis panduan
yang telah ditunjukkan dan diamalkan oleh para ulama terdahulu dan masakini. Buku
ini sederhana tebal dan mudah difahami oleh peringkat awam. Dalam pendahuluan
buku ini, jelas sekali jalan pengenalan, penghayatan dan kecintaan kepada Nabi
Muhammad s.a.w yang beliau tempuh adalah melalui para murabbi ataupun para guru
beliau di kalangan ulama.
Kenang-kenangan...Ustaz Muhadir bin Joll mengiringi Dato' Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki ketika Kuching Berselawat 2011 |
Buku beliau ini berguna sekali dalam membimbing jiwa-jiwa yang kosong ini
untuk memulakan langkah pertama mencintai Sayyiduna Rasulullah s.a.w. Antara
keistimewaan buku beliau:
1. Pengarang memberi penjelasan bertahap-tahap
mengenai topik yang dibicarakan melalui definisi, disusuli dengan dibentangkan
dalil daripda al-Quran dan Hadith. Beliau menjelaskan hubungan dua hala cinta
agung ini daripada Rasulullah s.a.w, juga yang ditonjolkan oleh para Sahabat,
ulama dan orang soleh sepanjang sejarah Islam.
2. Perbahasan beliau berlegar dengan perbicaraan
daripada ulama-ulama muktabar dalam membincangkan Mahabbah (kecintaan) kepada
Nabi s.a.w.
3. Diutarakan juga aspek yang penting dalam amali
(praktikal) kita untuk sampai kepada Mahabbah kepada Rasulullah s.a.w. Untuk itu,
beliau memasukkan sebahagian daripada sifat diri dan peri akhlak luhur daripada
kitab Syamail Muhammadiyyah yang disusun oleh Imam Tirmizi. Untuk ini juga, beliau
menyelitkan amalan-amalan selawat, qosidah bahkan amalan khusu yang ditunjukkan
oleh para ulama bagaimana untuk bermimpi berjumpa Nabi Muhammad s.a.w.
4. Penulis menggunakan laras bahasa yang mudah
difahami oleh pembaca orang awam. Beliau meletakkan makna sesetengah istilah
Bahasa Arab yang digunakan.
5. Umum dalam kebanyakan karya al-Fadhil Ustaz
Muhadir adalah nota-nota kaki terutamanya biografi para Sahabat, ulama, pemimpin
dan orang soleh yang disebutkan. Justeru ini adalah sarana yang baik bagi
memperkenalkan kita kepada himpunan tokoh-tokoh yang berjasa dalam sumbangan
terhadap umat Nabi Muhammad s.a.w melalui ilmu dan usaha mereka.
Perkara ini adalah mustahak kerana mereka ini
adalah insan-insan yang berjaya, cemerlang takwa mereka di sisi Allah, diberi
keberkatan umur dan hasilnya mengalir sehingga hari ini. Merekalah pelita yang
menerangi jiwa kita yang menjadi penguat berharga untuk beramal serta sanggup
berkorban membantu agama. Terlebih-lebih lagi, kata seorang ulama sufi
terkemuka, Sufyan bin Uyaynah rahimahullah disebutkan dalam kitab
Fadhail Amal karangan Hazrat Maulana Zakariyya al-Kandahlawi rahimahullah:
“Menyebut nama orang soleh menurunkan rahmat.”
Antara karya al-Fadhil Ustaz |
Buku terbaru Ustaz Muhadir, terjemahan daripada kitab seorang ulama tersohor, al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki |
Oleh yang demikian, saya berpandangan bahawa buku ini perlu ditatap dan
dihayati oleh segenap lapisan masyarakat Islam, terutamanya di kalangan
golongan pendidik. Buku ini sesuai dijadikan hadiah yang begitu bermakna dan
kita mengharapkan pahala daripada Allah moga orang yang menerima dapat juga
mendapat keberkatan dalam mencintai Baginda s.a.w. Jadikanlah buku ini sebagai
pedoman yang tidak ternilai dalam kita mencintai Sayyidina Rasulullah, Nabi
Muhammad s.a.w. Selawat dan salam buat baginda s.a.w selama-lamanya selagi
tulisan ini masih ada, selawat dan salam moga digandakan sebanyak-banyak adanya
zarah di langit dan di bumi.
Amiin ya Rabbal ‘Alamin.
Bibbliografi:
1. Imam Abu Hanifah, Dato' Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki (pent.), (2009). Puji-pujian Imam Abu Hanifah. Yayasan Sofa: Ampang.
2. Al-Fadhil Ustaz
Muhadir bin Hj. Joll, (2013). Ingin kubalas cintamu Ya Rasulallah: Langkah-langkah
mencintai Nabi s.a.w. Galeri Ilmu Sdn. Bhd: Kota Damansara, KL
[1] Menurut
buku Ingin kubalas cintamu Ya
Rasulallah, nama penuh
Imam Abu Sulaiman adalah Imam
al-Hafiz al-Lughawi, Abu Sulaiman, Hamd bin Muhammad bin Ibrahim al-Khattabi.
Antara kitab beliau yang masyhur ialah Ma’alim as-Sunnan. Beliau wafat pada tahun 388H.
[2]
Kitab kecil ini merupakan tulisan bait-bait syair yang dikarang oleh Imam Abu
Hanifah ketika berdiri di makam Nabi Muhammad s.a.w. kitab ini diterjemahkan
oleh Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki terbitan Yayasan Sofa,
2009. Syeikh Muhammad Fuad menyatakan dalam pendahuluan kitab ini bahawa:
“Syair ini
menjadi dalil kepada kita bahawa memuji Rasulullah s.a.w adalah perkara yang
harus di dalam syariat Islam. Tidak sepertimana dakwaan sesetengah pihak, yang
mendakwa bahawa memuji Rasulullah s.a.w akan membawa kepada kesesatan dan
syirik.”
No comments:
Post a Comment