BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Thursday, May 7, 2009

Miri (9): Hidupku Bersama Roti (1)

Sebuah Pemerhatian Peribadi


Pautan siri Miri sebelum ini:

Miri(1): Tanah Tumpahku
Miri(2): Di Satu Sudut Kehidupan
Miri(3): Entreport Silang Bangsa
Miri(4): Wireless dan Golf
Miri(5): "Siney mok ncarik duit?"
Miri(6): Kenang-kenangan Salah 'Tune'
Miri(7): Keluhku
Miri(8): Malam Jemat


Segala puji bagi Tuhan. Dialah Allah yang menciptakan langit dan bumi ini dengan Kekuasaan, Kebijaksanaan dan Kasih-Nya. Selawat dan salam atas junjungan mulia, baginda Nabi Muhammad Rasul-Nya, para sahabat dan ahli keluarganya. Semoga Allah melimpahi rahmat ti rahmat yang tidak terhingga kepada orang-orang ikhlas yang mengikuti jalan-Nya yang lurus sehinggalah ke hari kiamat.

Tika aku mendongak ke langit saat ini, pasti aku terkenangkan tanah airku. Keadaan panas terik nan membakar, tanah merekah, awan putih melepak berlari pantas dihembus sang angin di daerah Gombak ini mana mungkin dapat menandingi suasana indah tanah airku. Namun setiap kali tiupan lembut di sini, akan membuatku terpaku seketika dan terkenangkan Miri. Miri, sebua kota yang diberi rahmat oleh Allah: bayu laut, sebaik-baik penyaman udara. Ini lantaran Bandaraya Miri terletak di pesisir menghadap Laut Cina Selatan. Cuacanya sentiasa berangin, tidak kira siang ataupun malam. Itulah yang membuatkanku sukar melupakannya.



Aku terkenang saat singkat berada di Miri dua minggu lepas. Tika itu jam berputar sekitar dua petang. Pada saat itu mungkin aku sedang membelek-belek rangka sinopsis novel fiksyen sejarah yang baru di kaunter kedai utama di Permyjaya. Sambil-sambil itu, jadi jurujual sementara menunggu masa penghantaran.

Aku mencari ilham melalui telitian peta besar Operasi Uranus yang dilancarkan oleh Tentera Merah Kesatuan Soviet menentang Wehrmacht (Angkatan Tentera Jerman)pada penghujung tahun 1942. Peta ini beserta majalah yang dibeli ayah kira-kira 10 tahun yang lepas. Maha Suci Allah, dahulu aku tidak faham apa sangat gunanya. Dialah yang mengilhamkan ayahku membelinya; kemungkinan besar ia ketika itu tidak tahu akan dimanfaat sepenuhnya kini oleh puteranya.

Kali ini rasanya hanya mampu membelek sahaja kerana aku perlu menyimpan tenaga untuk memandu. Aku mendapati bahawa hari ini – juga seperti hari-hari sebelumnya, aku hampir sepanjang hari berada di jalan raya. Hari ini sudah berapa kali berulang alik menyusuri jalan Miri-Permyjaya. Termasuk juga menghantar ke koperasi Hospital Umum Miri pagi tadi.

Sedang aku khusyuk mengamati peta, tiba-tiba terdengar suara, “Ooo... minum sorang aa (Oh, minum seorang ya)!” kata seorang wanita berwajah jelita. Wajahnya mirip seorang Cina. Dialah Ngah Zakiahku.

Aku hanya mampu ketawa, “Mok (Mahu)?”

Sikit eh,” lalu meneguk sedikit air 100 PLUS. Tentunya beliau juga penat, hampir sepanjang hari menguli berkilo-kilo adunan roti.

Tanyaku, “Roti apa ada, ngah?”

Tanggarlah (tengoklah).”

Angin bertiup nyaman sekali. Oleh sebab itu, aku sering mematikan kipas kerana lebih nyaman menikmati hembusan bayu daripada gerakan angin yang dipaksa oleh bilah-bilah kipas.

Aku melihat rak pameran barangan. Tidak ada yang berkenan dengan seleraku. Lantas, aku masuk ke dalam dapur di bahagian belakang kedai. Kedengaran bunyi enjin mesin pemotong roti. Ayah sedang menyusun roti yang sedang dihiris oleh bilah mesin. Roti-roti tersebut bakal dihantar sebentar nanti.

Adikku Wani dan Mak Arbin sedang sibuk membungkus dan mengikat bungkusan roti. Kulihat semuanya roti paon (roti bantal / sandwich bread). Tidak ada yang menarik perhatian.

Apa o?” keluhku.

Aku kembali ke bahagian luaran dan datag pula selera di lidahku lalu menggarap roti ‘Twist’.

"Lembut jak gayanya tok. Mesti nyaman (Rasanya lembut. Mestilah sedap dimakan)." 'Twist' sekeping roti yang seakan-akan dipintal, disalut dengan keju. Aku membayar sendiri di kaunter – akulah pembeli dan akulah juga yang menerima bayaran. Tetapi tekakku masih kering. Tekak ini teringin dilegakan dengan 100 PLUS dan dbeli di Restoran al-Asna, di sebelah pintu sahaja.

Aku kembali duduk di kaunter lalu membuka bungkusan. Tabiatku sering mencium wangi makanan, terutama roti untuk membangkit selera.

Nafas kutarik. Kemudian aku hembus, ujarku “Ya rabbi... dahla baunya nyaman. roti pun nang lembut. Tuhan jak tauk nyamannya!”

Kemudian aku mengunyah cebisan lembut yang bersalut keju. Sedap. Nyaman. Terasa di lidah. Di balik kepanasan tengahari ini, dihirup dengan air 100 PLUS yang sejuk, aku begitu menikmati ruang rehat ini.

Tanpaku sedar rupanya gelagatku diperhatikan.“Ooo... makan sorang o?” tiba-tiba Wani datang menjengah tersengih-sengih.

Lapar bah. Maok?” kataku tersenyum.

Hehehe... Mintak sikit aek.”

Maok roti?” Aku menghulurkan rotiku. Wani menggeleng dan kemudian beredar. Aku menghabiskan roti sehingga akhirnya. Air yang kubeli tadi aku habiskan sehingga akhirnya.

Bah, udah?” ayahku menjenguk.

Aku mengangguk tanda faham. Aku mengemaskan barang-barangku dengan pantas dan menyusun di dalam beg. Terdetik di hatiku, “Ya Allah, hari-hari kedak tok, bila lah dapat nulis o? Malam ari dah senpei (Ya Allah, seandainya setiap hari seperti ini, bilakah ada masa untuk menulis? Waktu malam sudah sangat penat).”

Aku harap itu adalah berbunyi harapan, bukannya keluhan menyesal dek kerja ini. Tugas yang sama, jalan yang sama dan waktu yang sama perlu ditempuh lagi.



Kata ayahku lagi, “Kita kenak laju tok. Pak Musa madah, roti dah mok abis di kedei nun. Kaktok ngantar gik ke Mael, Rosiah dengan Ning (Kita harus cepat. Pak Musa beritahu, roti sudah hampir di kedai (satu lagi). Selepas ini kita harus hantar lagi ke Mael, Rosiah dan Ning).”

Kedai satu lagi terletak di pusat Bandaraya Miri, kira-kira 15 kilometer dari kedai Permyjaya ini. Roti harus dihantar ke sana terlebih dahulu. Kemdian barulah baki yang ada dihantar ke kedai-kedai runcit Mael, Rosiah dan Ning yang terletak dalam lingkungan 5-7 kilometer yang terletak di Kampung Tanjung Batu.

Balasku, sambil menolak bakul berat supaya dapat diluncurkan ke belakang dapur kedai. Tanyaku, “Petang ada SM Sains?”

Jawab ayah, “Ada, roti bun nak?”

Aku merapati kakakku Kak Zura, kataku, “Ari tok ada ngantar SM Sains (Hari ini ada penghantaran ke SM Sains)?”

Beliau yang sedang sibuk membancuh ramuan muffin coklat seraya menoleh,“Aok.”

Bah, lekas.” Kami berdua menyorong bakul berat sarat dengan roti ke hujung pintu belakang. Tiba-tiba, Pak Kreng sampai. Beliau pula akan menghantar roti ke kedai lain.

Beginilah rutinku, hampir setiap hari. Aku mengambil masa berhari-hari untuk menyesuaikan diri. Terkadang terasa terlampau letih dan balik betul-betul sebelum waktu Maghrib. Namun demi ‘amanah berharga’ yang aku bawa, kepenatan itu kurasakan kecil berbanding tugas yang aku bawa; makanan bersih, makanan halal untuk umatku di sini.

Ayah dan aku menyusun bakul roti ke dalam kereta Kancil. Aku sebagai pemandu menghidupkan enjin. Bermula lagi kitaran yang baru...

Wahai manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh nyata bagi kamu.” (al-Baqarah, 2:168)

Berjasa Kepada Masyarakat



Insya-Allah, bersambung...



NOTA: Nama 'Morni' adalah bersempena dengan nama Allahyarham Morni bin Yusof, nendaku. Namanya jugaku abadikan dalam novel Galaksi Muhsinin, watak Abu Yusuf, supaya aku sering ingat asal-usulku...

No comments:

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...