BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Sunday, June 29, 2008

Prolog 23 Julai: Skuadron Abu Dujanah



//Transmisi Data Bermula

//Misi : Rondaan Rutin
//Skuadron : Abu Dujanah
//Kapital : Kelas Saifullah No. 3
//Tarikh : 25 Jamadil Akhir 1626H

Empat buah pejuang angkasa Ababil Skuadron Abu Dujanah kelihatan di sebalik kepekatan gelap angkasa raya. Kesemuanya meluncur laju ke satu arah. Kelihatan Bulan Qamar memantulkan cahaya bintang Tariq Tq-86.

"Shhh... Kapten Zaid melaporkan. Skuadron Abu Dujanah meminta untuk kembali berlabuh di Saifullah No. 3."

"Anda lupa memberi salam." Tegur transmisi pintar. "Sistem hanya akan menerima transmisi yang ada salam."

"Maaf. Assalamualaikum. Kapten Zaid melaporkan. Skuadron Abu Dujanah selesai meronda."

"Transmisi disahkan. Sila teruskan penerbangan anda," jawab transmisi pintar Ababil kepada Kapten Zaid.

"Kapten!" seru salah seorang ahli skuadron.

"Ya, Luqman?"

"Lihat di sebelah kiri kita!"

"Ya, sebentar!" Kapten Zaid memeriksa instrumen penerbangannya. Kemudian ia mengendalikan sebentar radar kosmik. Setelah itu ia menyelenggara sistem penerbangan do paparan maya.

Kapten Zaid menoleh ke arah kiri kokpit Ababil, "Subhanallah!" Ia tergamam. Sebuah jasad bebola biru nan indah, Planet Ihsan H-2 kelihatan jelas di anak matanya. Mulutnya terkumat kamit menyebut akan kebesaran Tuhan.

"Sudah lama kita tidak kembali ke planet ini, Tuan. Terasa rindu benar!"

"Tuan, kita meninggalkan Planet Ihsan H-2 sejak kita tamat latihan jihad di Planet Anfal An-8." Seorang lagi pilot Ababil mencelah.

"Benar," jawab Kapten Ziad. Sambungnya lagi, "Tetapi kerinduan saya kepada bumi semakin membara. Saya tidak pernah ke Mekah melihat Kaabah. Saya teringin sangat menziarahi baginda Nabi Muhammad di Masjid Nabawi," sayu kedengaran melalui interkom pesawat. Air mata meleleh membasahi pipinya.

Perhubungan terhenti sebentar, "Ya, kami pun, tuan."

"Baitul Maqdis masih dalam genggaman Zionis. Selagi nyawa di kandung badan, selagi itu menuntut kita untuk berjuang. Begitu juga Masjid Cordoba."

”Tuan, juga masjid-masjid serata alam...”

”Benar, Tuan. Sudah terlalu lama umat menunggu saat ini.”

Kata seorang pilot, ”Menunggu untuk dibebaskan daripada belenggu manusia rakus. Sejak generasi pertama Galaksi Muhsinin kita bina kekuatan untuk kebenaran dan keadilan.”

Seorang lagi pilot bersuara, ”Adakah mereka akan menjumpai kita?”

”Siapa?” tanya Kapten Zaid.

”Maharaja Legion, maharaja kepada Empayar Sibernatik Cyborg dan tentera mekanikalnya.”

”Allah Maha Tahu. Angkasa ini luas. Yakinlah, kita serahkan kekuatan kita hanya kepada Allah. Sebagai usaha kita sebagai hamba, kita perkukuhkan kekuatan kita dan sentiasa bersedia.”

”Hampir seratus tahun generasinya mencengkam sembilan galaksi. Kini ia telah sampai di Galaksi Thylakuid. Galaksi itu hanya bersebelahan dengan kita. Dia cyborg, setengah mesin, setengah manusia. Hatinya sedingin besi, sekeras waja. Tidak hairan ia akan datang juga ke sini.”

”Skuadron, lebih saya bimbangkan ialah Orang Zion. Dalam sejarah Galaksi Muhsinin, merekalah dalang utama segala konflik yang terjadi.”

"Tuan, ingatlah, Allah bersama kita!"

"Ya, terima kasih ingatkan saya. Moga Allah bersama kita!"

Kedengaran bunyi transimisi pintar, ”Skuadron Abu Dujanah.”

”Sila bergerak ke dek nombor 44. Jarak anda ialah seribu kilometer, kelajuan Mach 2. Sila sesuaikan dengan halaju relativiti kapal Saifullah.” Kelihatan pintu dek dibuka perlahan-lahan. Lampu pendaratan menyala berkelip-kelip.

”Skuadron Abu Dujanah, bersedia untuk mendarat, ” skuadron Ababil menyesuaikan kelajuan pesawat mereka dengan halaju relativiti kapal induk Saifullah mereka. Daya tujah ekzos Enjin Ion Berganda buatan Industri Arsenal Muhsinin dikurangkan perlahan-lahan. Mereka mula memasuki Saifullah. Kelihatan krew dek sibuk menservis pesawat-pesawat angkasa yang lain.

Ababil perlahan memulakan pendaratan. Nyala biru ekzos vertikal keluar. Cangkuk pautan statik dihulurkan dari lantai dek dan akhirnya menyentuh badan Ababil. Ababil terhenti sepenuhnya. Wasap putih memancut kuat. Pendaratan telah berjaya.

”Alhamdulillah Tuan, misi berjaya.”

”Alhamdulillah, syukur pada Allah. Misi ini berjaya. Tetapi Misi Rahmatan lil Alamin akan tetap diteruskan!”

”Semoga Allah bersama kita! Allahu Akbar!”

”Allahu Akbar!”

”Allahu Akbar!”

"Shhh...." bunyi interkom padam...

//PTS Fortuna
//RM 19.00 / RM 22.00 (Sabah & Sarawak),

//978-967-5136-06-1;
//Tarikh Terbit: 23 July 2008 ;
//Jumlah Muka Surat : 320 halaman

//Transmisi data bertakhir......

No comments:

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...