BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Tuesday, June 10, 2008

Resit Merah (2)

Penambang mula bergerak merentasi Sungai Kuching. “Aku harus cepat. Sebelum segalanya terlambat. Lihat, mereka bergurau!” Si Insan seakan terdesak mendepani kejadian mungkar di depan matanya.

“Resit. Ya, gunakan resit tadi!” ia mengeluarkan kertas merah berlipat empat dari poketnya.

Hatinya berdegup kencang, "Bagaimanakah harus aku mulakan?"

Suara arahan ke destinasi terngiang-ngiang di telinganya, “Naik penambang, selepas itu jalan lurus melintasi kedai-kedai kraftangan sampailah sampai di satu simpang dan bangunan berwarna ungu. Kedai itu dekat-dekat itulah.”

“Macam mana boleh gunakan resit ini untuk mulakan perkenalan? Ya Allah, boleh sahaja telefon kakak dan pergi terus.Mati akal juga.” Matanya pantas menjeling pasangan muda yang duduk sebangku dengannya.

“Ingat, sekali sudah bersemuka, mulakan perbualan dan kekalkan perbualan. Tanya tiga soalan mudah. Kemudian disusuli oleh tiga soalan yang lain.” Begitulah ilmu yang didapatnya dari satu kursus suatu ketika dahulu. Amat bermakna, terutama saat sekarang.

Pengayuh penambang kuning mengerah segala kudratnya mendayung sekuatnya. Kemudian ia berpaling sebentar. Ia menarik-narik tali di hujung atap penambang. Ditariknya berkali-kali. Rupa-rupanya sang pengayuh cuba menghidupkan enjin di bahagian belakang.

“Jikalau enjin hidup, maka komunikasi nanti mungkin terganggu. Aku harus cepat!”
Mahu tidak mahu bertindak, jantungnya bergoncang kuat. Berat hatinya tidak mahu. “Itu hanyalah nafsu!”

Tetapi digagahi jua ia mengensot badannya mendekati ‘Si Jejaka’. ‘Si ayu’ berada di sisi yang lain. Di tangan Si Insan resit merah yang masih terlipat.

Sambil tersenyum, “Assalamualaikum. Tumpang tanyak (tumpang tanya).” Ia membuka helaian resit.

“Ya?” perhatiannya terganggu.

Anehnya goncangan jantung Si Insan beransur normal. “Giney mok pegi sitok o (macam mana mahu ke sini)?” kata Si Insan sambil menunjukkan alamat kedai.

Si Jejaka seolah terpinga-pinga, “Oh.”

“Rrruummm!” enjin penambang berjaya dihidupkan.

“Tidaklah kuat sangat, boleh dengar lagi antara satu sama lain,” desis Si Insan.

“Kamek mok ke sitok. Kakak kamek mesan barang mok diambik. Lagikpun kamek baruk lagik sitok bah. Kamek dari Miri. Jadi sik brapa tauklah tek (Saya mahu ke tempat ini. Kakak saya pesan untuk ambil barang. Saya pun masih baru di sini. Saya dari Miri. Jadi, masih belum tahu sangat).”

“Oh,” kata Si Jejaka mengangguk. Di wajahnya kelihatan terkesima.

“Sori, kamek sik tauklah bang (maaf, saya tidak tahu, Abang).”

“Bena deh (betul)?” Si Jejaka membalas dengan anggukan.

Perbualan terhenti seketika. Canda mesra pasangan muda begitu juga. Entah mengapa, aneh sekali.

“Kamek Azrul. Kamek dari Miri. Kinek tok praktikal di Telekom di Bintawak ya (saya Azrul. Saya dari Miri. Sekarang sedang praktikal di Telekom di Bintawa),” perbualan harus diteruskan.

“Kitak tek eh (awak bagaimana pula)?”

“Kamek fulan. Nya tok fulanah, kazen kamek (Saya fulan. Dia fulanah, sepupu saya).”

“Kitak sekolah nak, o (awak masih sekolah, kan)?” Si Insan inginkan kepastian, bahawa mereka adalah remaja-remaja yang masih bersekolah.

“Aok.” Si Jejaka mengangguk. Si ayu menoleh ke arah yang lain.

“Kitak sekolah siney (awak sekolah di mana)?” soalan sudah lebih daripada tiga.

“Sekolah XXX. Nya pun sama juak (dia pun sama juga).”

“Oooo... paduhal. Dekat ajaklah dengan rumah kamek. Rumah kamek di Taman YYY ya.”

“Kitak sekolah XXX tek o? Kitak kenal ZZZ? Nya sekolah di sia juak (Awak sekolah di sekolah XXX kan? Awak kenal orang bernama ZZZ? Dia bersekolah di sana juga).”

Si Insan teringat juga, pengetahuan berkenaan sesuatu, seperti sekolah sangat membantu dari segi mendapatkan maklumat latar belakang sasaran dakwah.

“Aih, nya tok bah,” Si Insan cuba memberi bayangan pelajar Sekolah XXX yang pernah ia jumpa semasa program Baramij Taakhi wa Talahum di Lundu.

Namun soalannya dijawab dengan gelengan kepala. Penambang sudah ke tengah sungai. Mungkin penambang akan sampai dalam tiga minit lagi. Sang pengayuh memilih jeti yang agak jauh.

Perbualan terhenti sekali lagi. Si Insan berfikir-fikir lagi, “Apakah topik yang boleh dibawa untuk menghidupkan perbualan?”

Sekali sekala Si Jejaka bertanyakan soalan. Namun hanya dijawab dengan balasan yang ringkas.

“Sekurang-kurangnya dengan pertemuan ini, aku dapat sampaikan nilai-nilai Islam kepada kedua-dua mereka,” desis Si Insan.

“Alhamdulillah, ada idea!”

Si Insan tunduk sebentar, ia menoleh kepada sang pengayuh. Awanan berarak di langit. Angin sepai-sepoi bahasa menghembus, “Giney sehari-hari sidak idup o (agak-agak, macam mana mereka hidup)?”

Perhatian pasangan remaja teralih sebentar. “Kerjanya susah. Tanggar ajak, tambang sorang-sorang pun 30 sen ajak. Ya pun, lekak ngayoh lelah-lelah dibah matahari terit (kerja mereka susah. Lihat sahaja, tambang seorang paling banyak 30 sen sahaja. Itu pun, setelah penat-penat berkayuh di bawah terik matahari).”

Pasangan mengangguk. Mereka tidak berbual lagi, “Tanggar dirik kita. Kita senang-senang ajak, kan? Handphone kita dapat, duit mak bapak merik. Sidak? (Lihat pada diri kita. Kita ini hidup senang, bukan? Handphone kita dapat, duit mak dan ayah yang beri. Mereka?)”

“Ya lah kita tok, kenak banyak-banyak bersyukur.”

Perbualan terhenti lagi. Hanya kedengaran bunyi enjin penambang. Adakalanya juga terdengar perbualan bahasa Jerman pelancong berpakaian tidak cukup kain. Hairan. Mahu dikatakan daif, tentu banyak belanja terbang ke bumi Sarawak ini. Mungkin mereka masih jahil tentang syariat.

Penambang semakin menghampiri jeti. Sang penambang memegang dua wayar terjuntai di bahagian depan perahu. Tangannya sebelah lagi memegang dayung. Ia mencantumkan kedua-dua wayar. Lalu enjin serta merta berhenti.

“Bahaya juga, enjin dimatikan dengan cantuman dua wayar itu. Agaknya litar pintas sengaja digunakan untuk mematikan enjin. Kalau waktu hujan, bagaimana? Mahu juga kena renjatan elektrik daripada bateri,” fikir Si Insan.

“Mok pegi siney kaktok (mahu ke mana selepas ini)?” tanya Si Insan pada Si Jejaka.

“Pegi jalan-jalan. Ya di Jugah ya,” Si Insan mendengar dan mengangguk. ‘Jugah’ merujuk kepada kompleks membeli belah Tun Jugah di Kuching.

“Ooo... kamek pun mok ke Jugah juak. Kak ngambik barang, terus ke sia. Pegi POPULAR, lamak sik nanggar buku (saya pun mahu ke Jugah juga. Selepas ambil barang, nanti terus ke sana. Mahu pergi ke POPULAR, sudah lama tidak ‘lihat’ buku).”

“Oh,” angguk Si Jejaka.

“Jumpa sia kelak a!” kata Si Insan sambil ketawa kecil. Perahu sudah berlabuh. Sang penambang menahan perahu di jeti dengan kakinya.

Perbualan terhenti begitu sahaja. Si Jejaka terus menaiki jeti bersama pasangannya lalu membayarkan tambang.

“Maha Suci Allah. Kuatnya. Umur sudah senja. Tapi boleh tahan perahu yang sarat penumpang dengan satu kaki sahaja.”

“Oh, 30 sen.” Si Insan menyeluk syiling dalam poket seluarnya.

“Makseh (terima kasih),” dihulurnya 30 sen.

Ia terus menaiki jeti. Resit merah di tangannya dilipat kembali dan dimasukkan ke dalam poket. Sekali ia melihat kepada sang penambang tua.

“Ya Allah, tergamaknya aku beri 30 sen sahaja!” Amanah menuntut barang daripada resit merah harus diteruskan. Kedai itu akan tutup sebelum pukul lima petang.

“Tidak ada masa lain lagi. Mesti cepat. Petang ini harus melapor diri untuk KAFI di Seketariat PERKEPIS. Hujung minggu yang lain sudah tentu sangat sibuk.”

“Masalahnya tempat sebenar masih tidak pasti. Malu bertanya sesat jalan. Walau apapun, amanah mesti ditunai!”

Waterfront di hadapan. Kedai itu ada di rantau ini. Jalan bukan miliknya seorang. Banyak ragam manusia harus ditempuh. Ia cuba-cuba mencari-cari pasangan tadi.
“Itu dia!” dilihatnya si ayu bersama kelompok rakan yang lain. Manakala Si Jejaka pula menyimpang bersama teman yang lain.

“Ya Allah, bukanlah aku yang memberi petunjuk. Tetapi Engkaulah yang memberi petunjuk kepada orang yang Engkau kehendaki. Tunjukilah aku, adik-adik tadi dan adik-adikku yang lalai di tempat ini. ameen.”

Bersambung, insya-Allah

No comments:

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...