Suasana sekitar program Malam Penghargaan Rasulullah s.a.w anjuran kerjasama Halaqah Kemajuan Muslim (HIKAMS), Madrasah al-Khairat, Kuching dan Pustaka Negeri Sarawak. Program telah diadakan pada 3 Februari 2013, Ahad yang lepas. Tahniah diucapkan atas penganjuran. Semoga usaha seumpama ini dapat diteruskan dan disusuli dengan rajin menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan di sekitar Kuching.
Saya terimbau kata-kata Dato' Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki dalam kitab "40 Hadith Keistimewaan Rasulullah s.a.w" oleh al-Allamah Syeikh Siddiq al-Ghumari, memperkatakan bahawa cinta kepada Allah dan Rasul adalah cinta yang diusahakan. Berbeza dengan cinta ataupun naluri semulajadi manusia mencintai ayah dan bonda, suami isteri dan anak-anak, cinta tersebut datang dengan sendirinya. Akan tetapi, cinta kepada Allah dan Rasul adalah cinta yang dicari, dipupuk dan disemai, boleh jadi menentang kemahuan peribadi dirinya, kerana cintanya itu adalah berlandaskan cinta yang hakiki kepada Allah dan Rasul...
Para guru Ahlul Bait... Habib Mohamad bin Alwi al-Attas, mudir Madrasah al-Khairat (paling kanan) dan Habib Izzudin bin Wan Kamaludin al-Aidrus, mudir Rubat Raudhatul Mustofa (memegang mikofon). Semoga Allah memberi petunjuk kepada para guru-guru ini, meneguhkan dakwah mereka, dan membuka hati-hati anak muda untuk mendekati dan mendapatkan manfaat daripada mereka... amiin.
Marilah tanam benih-benih cinta kepada Sang Kekasih-Nya, Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w. Semailah ia, jagalah ia dan lindungilah cinta itu dengan ilmu...
Allahumma solli wasallim wabaarik 'alaih!
No comments:
Post a Comment