Menjadi rutin di sebuah surau dihadiri oleh seorang alim muda mengajarkan kepada kariah penduduk kampung pada Ahad antara waktu Maghrib dan Isyak. Kerana kealiman beliau yang pernah belajar agama dan terlibat dalam usaha dakwah, sebagai penghormatan, beliau digelar Maulana.
Usai solat Isyak, maka salah seorang jemaah surau ke hadapan mimbar dan membuka kitab Muntakhab Hadith yang berbunyi:
“Sayyidina Abu Darda’ berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang bersolat sunat Dhuha dua rakaat tidak akan ditulis dalam kalangan orang-orang yang lalai daripada beribadat.
Sesiapa yang mengerjakan empat rakaat akan ditulis dalam kalangan ahli ibadat dan sesiapa yang mengerjakan enam rakaat maka dia akan dibantu dalam segala urusannya pada hari itu.
Sesiapa yang mengerjakan lapan rakaat maka akan ditulis dalam kalangan ‘qanitin’ (orang-orang yang taat).
Sesiapa yang mengerjakan dua belas rakaat maka Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga.
Allah S.W.T sentiasa memberi kurniaan dan sedekah kepada hamba-hamba-Nya setiap siang dan malam dan tiada kurniaan Allah S.W.T yang lebih afdal ke atas salah seorang hamba-hamba-Nya lebih daripada taufik untuk berzikir kepada-Nya.
Maulana dan para hadirin pun dijemput untuk menjamu selera, dan mereka duduk bersama. Salah seorang yang duduk bersama Maulana bertanya, “Maulana, nak tanya sikit boleh?”
Maulana yang sedang makan mengangguk lantas si penanya pun berkata, “Tadi kita dengar Ta’lim hadith fadilat solat dhuha. Terfikir sikit, misalan kita solat dua rakaat, kita dapat sekian ganjaran, enam rakat Allah mudahkan urusan kita pada hari itu. Dan terakhir kita dapat mahligai syurga. Jadi, kalau kita buat enam rakaat, adakah kita hanya dapat ganjaran enam rakaat itu ataupun kesemua yang di bawahnya sekali?
Maulana mengangguk-angguk dan menyisip secawan teh yang terhidang untuknya. Lantas beliau berkata, “Ya, kalau kita buat macam itu, kesemua kita dapat. Misalan kita buat solat Dhuha dua belas rakaat, maka kesemua ganjaran dua sehingga lapan rakaat pun dapat.”
“Oh… macam itu. Masya-Allah, luasnya rahmat Allah,” ujar si penanya.
Kata Maulana lagi, “Umpama kita minum teh. Kalau teh sahaja tanpa gula, kita minum teh sahaja. Apa kata kalau kita nak tambah lagi. Contoh kita tambah gula, susu, dan lain-lain.”
Sambung Maulana, “Kalau kita dah campurkan ramuan lain, kita minum, kita akan dapat teh, gula, susu, kesemuanya sekali. Begitu juga, buat dua belas rakaat, maka akan dapat kesemua ganjaran dua hingga dua belas rakaat sekali..”
“Terima kasih, Maulana!”
Sudahkah kita mengamalkan solat Sunat Dhuha pada hari ini? Ayuh kita ambillah sedikit kelapangan masa untuk kita rebut peluang yang besar ini!
Sayyidina Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang mengambil berat menjaga dua rakaat solat sunat Dhuha maka dosa-dosanya akan diampunkan walaupun sebanyak buih-buih di lautan.”
(Hadith Riwayat ibnu Majah)
Rujukan:
Hazrat Syeikh Maulana Muhammad Yusuf al-Kandahlawi (peny.), (2014). Muntakhab hadith, hadith bab solat sunat, no. 180, m/s 198-199. Maktabah Ilmiah Sdn. Bhd.: Sri Petaling.
No comments:
Post a Comment