BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Wednesday, January 18, 2017

Cerita Cincin dan Manisan


Tersebutlah kisah ada seorang ibu dan seorang anak. Kata Si Ibu, “Wahai anak, aku ingin engkau simpan dan jaga cincin ini.”

Si Anak pun bersetuju dan cincin itu diberikan kepadanya. Pada suatu hari, Si Anak berjalan-jalan ke pasar. Ia pun sekali-sekala berhenti dan membelek cincin yang diberikan ibunya. Gelagatnya diperhatikan oleh seorang lelaki. Lantas, orang itu pun menghampirinya.

Lelaki itu berkata, “Wahai anak, saya adalah seorang saudagar.”

Si Anak pun mengangguk seraya berkata, “Saudagar? Apa itu?”

“Saudagar maknanya orang yang membeli dan menjual barang kepada orang lain. Cincin itu nampak cantiklah, wahai adik!” puji lelaki itu.

“Ini cincin yang diberi oleh ibu saya.”

Kata orang yang mengaku saudagar itu, “Apa kata... kita bertukar barang. Seperti berdagang. Adik dapat manisan ini, dan adik tukarkan dengan cincin itu.” Si Saudagar mengeluarkan sejenis manisan yang berupa kuih.

Si Anak berasa berbelah bahagi, ujarnya, “Tak boleh. Ibu suruh saya simpan cincin ini.”

“Baiklah, cuba kamu jilat cincin kamu. Apakah rasanya?” Si Anak pun melakukan seperti yang disuruh.

“Rasa cincin ini tawar.”

“Cuba kamu rasa manisan ini. Sedap bukan?” tergiur akan manisan yang ditunjukkan Si Saudagar, Si Anak mahu juga mencuba.

“Wah, sedapnya! Saya memang lapar juga!”

“Bagaimana, kalau manisan-manisan ini menjadi milik kamu?” tanya Si Saudagar. Tanpa berfikir panjang, Si Anak pun mengambil manisan. Cincin pula sudah berada di tangan Si Saudagar.

Kisah yang dibicarakan ini merupakan isi daripada khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Ustaz Suhadi bin Roslan (Maulana Abdullah) di Masjid an-Naim Lutong pada suatu Jumaat yang lepas. Beliau mengatakan bahawa begitulah tamsilan (perumpamaan) yang digunakan oleh para ulama dalam mengungkapkan keadaan iman yang sewajarnya dipelihara.

Apabila seseorang tidak mengenal akan hakikat nilai sesuatu, ia akan mengabaikan atau memilih sesuatu yang rendah nilainya. Si Anak lebih mengenal nilai manisan yang hakikatnya lebih rendah daripada nilaian sebentuk cincin. Maka manisan itu yang dipilihnya daripada cincin mahal harganya.

Begitulah dengan kehidupan kita. Perumpamaan cincin adalah kalimah iman atau kalimah Tauhid iaitu pengakuan syahadah Laa ilaha illallah (Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah). Kalimah tauhid ini merupakan kunci untuk seseorang memasuki syurga Allah dengan Rahmat-Nya. Syaitan dalam kisah ini diibaratkan sebagai saudagar yang licik itu. Syaitan akan ada pada setiap masa sebagai pencuri yang tidak putus asa memperdaya dan mencuri kunci syurga itu. Ia sentiasa menghias dunia begitu indah agar kita lupa akan hakikat iman yang membawa kepada keselamatan akhirat.

Sayyidina ‘Itban bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Nabi bersabda, “Seseorang yang bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku (Nabi Muhammad ) ialah pesuruh Allah tidak akan dimasukkan ke dalam neraka atau dimakan oleh neraka. (Hadith Riwayat Imam Muslim)[1]

Oleh itu, setiap orang yang beriman hendaklah sentiasa menuntut ilmu dan mengamalkan dalam kehidupan sebagaimana yang dianjurkan oleh al-Quran dan Sunnah melalui para ulama yang muktabar. Agar dengan kesungguhan kita meniti jalan Sunnah Nabi Muhammad , kita diberikan kekuatan untuk taat kepada-Nya, diampuni dosa, dipelihara daripada melakukan maksiat dan memasukkan kita ke dalam syurga...semoga kita tergolong dalam sebutan Nabi yang mengakhiri tulisan ini, insya-Allah, amiin, Amiin...

Daripada Anas bin Malik r.a, beliau berkata Rasulullah bersabda:

“Akan datang kepada umatku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api.” (Hadith Riwayat Imam Tirmizi)[2]


*Saya mengharapkan agar dalam artikel ini makna yang disampaikan oleh Maulana Abdullah menepati kandungan yang beliau bicarakan. Jika ada kesilapan, berpunca daripada kelemahan saya mengingat atau memahami sepenuhnya ungkapan beliau.



[1] Hadith ke-48 bab Kalimah Tayyibah: Iman dalam kitab Muntakhab Ahadith (Hadith-hadith Pilihan), 2015 susunan Hazrat Maulana Muhammad Yusuf al-Kandahlawi m/s 20 terbitan Maktabah Ilmiah, Sri Petaling.

[2] Hadith ke-22 dalam kitab Edisi Istimewa 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman (2013) disusun oleh Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam an-Nadwi al-Maliki al-Banjari yang dikompilasikan oleh penerbit Galeri Ilmu.

No comments:

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...