
Lama benar tidak menjengah
sawang ini. Maaf sudah setahun lebih tidak dikemaskini. Jika rumah yang lama
tidak dihuni, lazimnya ada penghuni kerdil yang membina rumah sawangnya
merata-rata di dalam rumah. Kini sawang itu dibersihkan dan harus diceriakan
kembali.
Pada suatu petang, sedang saya mahu merebahkan diri
berehat, ada sebuah buku yang terdampar di atas lantai: nampaknya anak-anak
saya membeleknya bersama ibu mereka. Entah mengapa buku ini menggamit hati
untuk menyelaknya kembali. Buku itu adalah karya Kampung Boy: Yesterday
& Today oleh Dato’ Lat. Jika penulis karya klasik, Charles Dicken
dianggap perakam dokumen sosial masyarakat era Victorian Britain pada akhir
abad ke-19, maka saya merasakan karya Kampung Boy ini adalah dokumen
sosial masyarakat Melayu-Islam era pasca Perang Dunia Kedua.
Kampung Boy
When I was a
little boy in the kampong a long, long time ago there was no TV. Can you
imagine? ~Dato’ Lat, Kampung
Boy: Yesterday & Today

Jika dilihat dari sudut kehidupan moden hari ini, mungkin
agak mustahil anak-anak dapat merasai pengalaman hidup kanak-kanak zaman Dato’
Lat. Melainkan di kampung-kampung yang tidak begitu terusik dengan hiruk-pikuk
dan kecelaruan hidup di bandar. Saya sebagai guru di salah sebuah sekolah kampung
masih merasai ‘sisa-sisa’ pengalaman Kampung Boy dalam komuniti
tersebut. Pemerhatian penulis yang pernah melalui zaman televisyen dan gajet ‘pintar’,
terdapat perubahan gaya hidup yang drastik sekali. Anak-anak muda terlalu
banyak terdedah kepada gajet dan silau dengan ‘keajaiban’ apps game dan media
sosial. Malah tidak keterlaluan gajet telah menjadi tuan kepada si anak.
Ayah dan Kampung Boy

Mana tidaknya, kehidupan ayah juga mirip seperti Kampung
Boy. Terjun ke dalam sungai, menjala di sungai, membubu ikan, memanjat
pokok, membuat perahu daripada atap zink reban nenek, menjual aiskrim dan
paling dicemburui – main perang-perang dengan senapang buluh. Bahkan – beliau dan
rakan-rakan pernah dimarahi kerana bermain senapang raifal-bolt Arisaka atau
Lee Enfield yang dijumpai ditanam oleh pihak penjajah!
Saya dan
Anak-anak
Apabila direnung kembali zaman kanak-kanak, tiba masanya
saya pula kasihan dengan anak-anak saya. Di sebalik ‘kekecewaan’ tidak dapat
merasai pengalaman seumpama zaman ayah, sebenarnya dahulu masih ada sisa-sisa
kehidupan Kampung Boy – walaupun tidaklah dapat menandingi aktiviti
mereka.
Sebahagian daripada kehidupan saya membesar rumah datuk
di Kampung Pengkalan, Miri
dan menggamit kenangan terindah. Ketika itu masih
berpeluang untuk ke kebun, melawat kandang kambing, melihat ayam belanda,
membantu kenduri perkahwinan dan tahlil, dan memungut telur puyuh di reban pada
waktu pagi. Di sanalah saya, adik-beradik dan saudara-mara bermain dan membesar
bersama. Parit lurus yang kering dijadikan trek untuk perlumbaan kereta mini
Tamiya (era Dash Yankuro). Datuklah yang paling teruja melihat kami bermain. Habis
bateri, sanggup beliau bergegas untuk membeli bateri baru. Semoga Allah
mengampuni beliau dan nenek, meluaskan kuburnya sebagai taman syurga, dan
memasukkan beliau ke dalam syurga, amiin!
Namun terasa kasihan dengan anak-anak yang tidak lagi
dapat menikmati suasana itu, kerana kehidupan sudah berpusat di rumah di
kawasan perumahan. Zaman sudah berubah, dengan cepat sekali. Memetik kata-kata
Dato’ Lat di halaman terakhir Kampung Boy:
For one moment
his laughter took me back to my childhood days... the days when we were not
really in a hurry to grow up. We took our time...
Anak Zaman Sekarang
Kenangan lama biarlah ia mengusik sekali-sekala jiwa ini.
Tuhan dengan Qudrah (Maha Kuasa), Iradah (Maha Berkehendak) dan Ilmu-Nya
mengatur kehidupan dengan indah sekali. Ada insan tersayang sudah meninggalkan
kita. Dan kini generasi baru muncul dengan zaman yang baru. Sehingga disebutkan
oleh pakar, anak-anak zaman ini adalah ‘digital baby’. Mungkin kerana gaya
hidup hari ini sejak kecil lagi sudah berpaksikan kepada gajet. Dari satu
sudut, terdapat kebimbangan penggunaan gajet yang berleluasa memberikan lebih
banyak impak yang negatif kepada anak-anak berbanding positif. Pernah saya dan
isteri menghadiri satu kursus keibu bapaan oleh Tuan Ahmad Fakhri Hamzah dan
Puan Jamilah Samian pada tahun 2015, bahawa semua ibu bapa sepakat gajet adalah
kebimbangan nombor satu mereka terhadap anak-anak.
Anak-anak pada usia yang kecil lagi sudah disuap dengan
pelbagai video dan apps, adakala kepada tahap yang membimbangkan. Pelbagai anasir
luar mengisi akal dan jiwa mereka, justeru sebagai seorang guru, merupakan satu
cabaran untuk mendidik adab dan memurnikan konsep yang sudah bercampur aduk
dengan anasir luar ini.
Akhlak anak-anak yang terbiasa dengan tutur kata yang
kesat atau perangai yang tidak elok akan terzahir jua di sekolah. Dan tidak
syak lagi, berkemungkinan besar sudah terbiasa di rumah. Selain itu, penggunaan
gajet yang berlebihan membawakan mereka menghabiskan masa untuk bermain dan
meninggalkan perkara yang lebih mustahak iaitu ilmu. Sukar sekali bertemu
dengan anak-anak remaja dan belia yang rajin membaca buku yang bermutu tinggi. Oleh
itu dibimbangi terbit generasi yang rapuh kerana serba senang atau ambil mudah,
terlalu bergantung enggan berdikari dan lemah menghadapi cabaran zaman.
Renungan

Apapun, pentingnya fikir risau tentang keadaan iman kita,
keluarga, jiran dan masyarakat terutamanya masyarakat Islam. Banyak lagi
manusia yang belum menerima seruan Islam. Dalam zaman yang penuh pancaroba ini,
seringkali risau juga tentang bagaimana anak-anak akan membesar nanti. Hanya kepada
Allah kita berdoa, moga diteguhkan iman kita dan akhirnya hidup diakhiri dengan
Husnul Khatimah (kesudahan yang baik)... amiin.
Kita akhiri dengan sepotong hadith Nabi ﷺ:
Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda:
“Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap
iman) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang beriman pada waktu pagi,
kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau (syak perawi hadith)
seseorang yang masih beriman pada waktu petang, kemudian keesokan harinya dia
sudah menjadi kafir. Dia telah menjual agamanya dengan sedikit harta benda
dunia.” (Riwayat Imam Muslim)[1]
[1]
Hadith 28 dalam kitab Edisi Istimewa 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman
(2013) disusun oleh Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam an-Nadwi al-Maliki al-Banjari yang
dikompilasikan oleh penerbit Galeri Ilmu.
No comments:
Post a Comment