BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Monday, November 21, 2011

[Buku] Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’: Inilah Jawapannya


Buku Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’: Inilah Jawapannya ini telah saya dapatkan menjelang program Kuching Berselawat pada Mac 2011. Buku ini begitu simbolik sekali akan kemunculannya dengan sambutan Maulidur Rasul 1432H yang masih lagi hangat ketika itu. Hati ini begitu merindui menantikan saat indah itu berulang kembali.

Kuching Berselawat diadakan di Waterfront, Kuching pada 18 Mac 2011

Buku ini ditulis oleh seorang ulama muda, Ustaz Muhadir bin Joll, anak jati kelahiran Sarawak Bumi Kenyalang. Beliau merupakan pensyarah Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Petaling Jaya. Beliau juga merupakan calon kedoktoran (PhD.) di Universiti Malaya. Beliau saya kenali merupakan seorang yang rendah diri, tawadhuk dan berhikmah dalam menyampaikan ilmu beliau. Meskipun demikian, beliau amat menghormati pandangan orang lain dan terhadap para ulama.

Ustaz Muhadir memberikan tazkirah Maghrib ketika Kuching Berselawat

Buku yang agak tebal ini memuatkan pelbagai persoalan khilafiyyah (soal cabang-cabang ilmu agama) yang timbul di rantau kita ini. Soal-soal khilafiyyah ini hakikatnya telah ditekuni dan didalami oleh ramai ulama yang muktabar Ahli Sunnah wal Jamaah(ulama besar, keilmuan yang diakui tinggi) sebelum ini. Banyak permasalahan dan kekeliruan yang timbul telah dijawab dengan tuntas, berlandaskan panduan al-Quran dan Sunnah serta ulama terdahulu. Akan tetapi, persoalan yang sudah dijawab dengan mapan ini ditimbulkan semula oleh golongan tertentu yang akhirnya mengelirukan masyarakat. Buku ini sesuai untuk orang awam seperti saya yang dikupas dengan bahasa yang senang untuk difahami.

Ustaz Muhadir mengiringi Tuan Guru yang disayangi, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki ketika program Kuching Berselawat

Amalan masyarakat yang baik sudah dilangsungkan sekian lama dalam keadaan harmoni, cuba dirungkaikan kembali. Terkadang menimbulkan pertengkaran dan perpecahan, bahawa amalan-amalan tersebut tidak pernah dilakukan oleh baginda Sayyidina Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Dan mereka mendakwa yang demikian adalah sesuatu yang baru, yang bid’ah, yang sesat dan boleh menjerumuskan ke api neraka. Sikap begini adalah sesuatu yang berbahaya. Buku ini menjawab segala lemparan dakwaan tersebut. Apabila ditelusuri, amalan-amalan tersebut mempunyai dalil daripada sumber al-Quran dan Sunnah, diiringi dengan ijtihad para ulama.


Dua Tuan Guru yang disegani dan dihormati, Habib Mohamad bin Alwi al-Attas dan Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki ketika Kuching Berselawat

Buku ini memuatkan perbincangan mengenai permasalahan-permasalahan khilafiyyah yang timbul di sekeliling kita. Isu tersebut melibatkan dalam fekah, amalan-amalan baik dan juga merangkumi persoalan akidah. Keistimewaan buku ini adalah terdapat nota kaki yang lengkap menjelaskan istilah yang kurang difahami. Terdapat juga nota kaki yang menerangkan biografi para ulama dalam menukilkan pendapat mereka. Nota-nota kaki ini memberikan kelebihan dan kefahaman yang komprehensif dalam memahami kajian yang dijalankan. Adanya pengenalan terhadap ulama menimbulkan kekaguman seterusnya penghormatan mengenai ilmu dan jasa yang mereka telah curahkan selama hidup mereka.

Saya teringat satu ceramah oleh Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), iaitu Ustaz Hj. Khalidi bin Ibrahim (gambar atas) di Surau Bandar Baru Samariang Aman, Kuching. Beliau mengungkapkan analogi tentang segala ilmu yang telah disimpulkan oleh para ulama dahulu. Bayangkan kita mahu meminum air kelapa. Ada orang yang memanjat, memetik buah, memotong kulit dan menuangkan ke dalam gelas. Segalanya sudah terhidang untuk kita. Hanya kita minum sahaja. Ada pula orang lain yang tidak mahu meminumnya, tetapi mahu mengambil sendiri. Sudahlah tidak tahu memanjat pokok kelapa. Pasti ketika bergoyang-goyang memanjat, ada kerengga menggigit, batang licin ataupun angin yang kuat. Silap-silap, terjatuh ke tanah!

Slaid Ustaz Khalidi tentang syarat berijtihad (mengeluarkan hukum). Berijtihad tidak semudah yang kita sangka

Maksudnya adalah, ulama terdahulu telah menyediakan kesimpulan sesuatu ilmu itu, kita gunakan dan nikmati. Jika kita mahu juga berusaha sendiri terus kepada sumber al-Quran dan Sunnah secara sendirian, belum tentu kita dapat memahami dengan tepat dan yakin mengenai carian kita itu. Kita ini sebagai orang awam, perlukan petunjuk mereka. Bukannya semata-mata berguru dengan buku ataupun internet, yang juga menatijahkan ijtihad yang kita sendiri keliru.

Tetamu Kuching Berselawat, lebih 500 hadirin dan hadirat

Buku ini merupakan penjelasan yang amat terperinci dalam banyak hal mengenai isu kekeliruan khilafiyyah yang timbul dalam masyarakat. Penjelasan isu dikupas dengan bahasa yang mudah diiringi dengan nota kaki yang komprehensif. Dapatkan, bagi merungkai persoalan. Fahamilah dengan bimbingan guru. Jika masih bingung, tanyalah kepada mereka.

Allahu’alam, Allah Maha Mengetahui.

2 comments:

Nurul S Othman said...

Salam...lama benar tidak membaca kupasan dan mutiara kata dari laman sesawang ini. Lama tidak menjamu perbincangan ilmiah dari tuan rumah.Alhamdulillah. Teruskan usahanya

Azrul bin Jaini said...

Terima kasih atas sokongan...

Mohon teguran dan nasihat ;)

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...