“Jadikanlah membaca buku tauhid itu wirid kamu.” ~Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki
Segala puji dan syukur kepada Allah, Tuhan Sarwa Alam. Selawat dan salam atas Junjungan Mulia, Sayyidina Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan ahli keluarga baginda. Semoga Allah melimpahi rahmat-Nya atas sahabat baginda serta orang-orang yang ikhlas menuruti jalan yang lurus sehingga Hari Kiamat.
Begitulah ungkapan nasihat yang disampaikan oleh Tuan Guru yang dihormati dan disayangi, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki (gambar atas). Mesej tersebut ditujukan kepada hadirin dalam satu kuliah tauhid yang pernah saya hadiri dahulu di Masjid Taman TAR, Ampang. Beliau berpesan agar menjadikan buku tauhid itu wirid ataupun bacaan amalan harian untuk peringatan dan pedoman yang berterusan. Sebaiknya adalah buku tersebut dibaca bagi mengukuhkan pemahaman kita dalam proses berguru mengenal akidah akan Allah Tuhan Pencipta alam semesta.
Sdr. Syed Abdul Hamid, mantan Yang Di-Pertua PERKEPIS sekarang penuntut di bumi ulama Hadhramaut, Yaman. Gambar ini sewaktu beliau memberi latihan dalam Kursus Asas Fasi (KAFI) 2010
Telah sampai kepada saya melalui sahabat saya sdr. Syed Abdul Hamid bin Wan Yusuf (beliau berguru) yang telah berkongsi kepada saya, akan peri pentingnya ilmu tauhid ini. Ilmu tauhid tergolong dalam kerangka ilmu fardhu ain ataupun ilmu asas wajib dipelajari oleh semua orang Islam. Ilmu tauhid ini adalah tunjang kepada dua lagi cabang ilmu fardhu ain, iaitu ilmu syariat (fekah) dan ilmu akhlak (tasawuf). Amat penting ilmu tauhid kerana ilmu tersebut memperkenalkan manusia kepada Tuhannya, agar ia kenal dan beribadah dengan-Nya dengan lurus. Jika pincang ilmu akidah bercampur-campur dengan faham yang bertentangan dengan hakikat keTuhanan, maka kita dalam bahaya segala amal dan akhlak kita akan tertolak. Kerana menurut beliau, ‘permulaan yang salah akan diakhiri dengan pengakhiran yang salah.’ Alangkah molek kita memahami ilmu akidah tersebut dengan bermula dengan permulaan yang benar, agar hidup kita ini terpandu dan diredha Allah.
Kenang-kenangan bersama para ulama di Madrasah al-Hasaniyah Yayasan Sofa, Rembau, Negeri Sembilan pada Oktober 2009 ketika program sambutan Haul (Memperingati) Syeikh Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani
Syukur kepada Allah, sebagai menzahirkan sedikit nikmat ilmu yang Dia berikan kepada saya, pelajaran tauhid ini sempat ditadahi sebentar sahaja melalui Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki dan Dr. Farid Shahran. Syeikh Muhammad Fuad merupakan penasihat kepada Yayasan Sofa Negeri Sembilan. Manakala Dr. Mohd. Farid pula merupakan mantan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Ilmu Wahyu UIAM, sekarang sebagai felo di Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM). Semoga Allah menunjuki, menolong dan memperteguhkan perjuangan mereka, amiin.
Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin dalam program Kuching Berselawat, 18 Mac 2011
Saya berkesempatan menimba sedikit ilmu daripada mereka tentang dasar akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang kini lebih dikenali sebagai kaedah mengenal akidah Sifat 20. Sistem pelajaran akidah ini telah panutan umat Islam berabad lamanya, disusun Imam Abu Hassan Asya’ari (w. 323H) dan Imam Abu Mansur Maturidi (w. 333H). Ilmu susunan kedua-dua ulama muktabar ini menjadi benteng kemurnian tauhid daripada diganggu gugat oleh kemelut fahaman dan falsafah mengancam akidah pada zaman tersebut. Bahkan, ancaman tersebut masih mengasak sehingga kini dengan faham yang sama, tetapi dalam wajah yang berlainan. Telah terbukti kerangka Sifat 20 ini berdaya tahan melindungi akidah umat Islam daripada fahaman asing.
Kebesaran Allah ini terlukis di 4 penjuru awanan ketika bacaan tahlil sebelum Maghrib semasa program Kuching Berselawat. Keagungan Allah ini disaksikan juga oleh beberapa orang teman.
Sifat 20 ini memperkenalkan manusia kepada 20 sifat yang minima dan wajib diketahui sebagai pegangan orang Islam. Sudah tentu Allah yang Maha Berkuasa bersifat lebih daripada yang tersenarai itu. Akan tetapi, para imam tersebut telah menyimpulkan dengan terbaik berdasarkan dalil wahyu disepadukan dengan panduan akal. Kita perlu bersangka baik kepada mereka kerana para ulama terdahulu ini amat berhati-hati dalam mengemukakan pandangan mereka yang berpandu kepada keimanan dan ketaqwaan yang tinggi kepada Allah.
Dr. Farid Shahran menyampaikan slot beliau dalam Seminar Pengukuhan Pandangan Islam dan Wacana Pemikiran Prof. Dr. Syed Naquib al-Attas pada Disember 2009
Kepentingan mempelajari Sifat 20 ini pernah diungkapkan oleh Dr. Farid Shahran dalam kuliah tauhid yang sempat saya hadiri ketika menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau melontarkan persoalan, mengapakah umat Islam pada zaman ini begitu goyah dalam pegangan akidahnya? Adakah kita mendengar atau membaca statistik ramai orang Islam yang murtad (keluar daripada agama Islam) pada zaman dahulu? Ataupun kita mendengar ramai orang murtad apabila Melaka dijajah oleh Portugis? Ataupun pada zaman penjajahan British, adakah kita mendengar ramai orang Melayu yang murtad? Mungkin kita menjawab: “Rasanya jarang sekali kita dengar...”
Mengapakah isu murtad di kalangan orang Islam pada masa kini semakin meruncing? Beliau menjawab kembali, bahawa inilah bukti peranan ilmu Sifat 20 ini yang disebarkan oleh para ulama dalam membentengi umat Islam. Beliau berkata, bahawa kerangka akidah yang kukuh adalah faktor penyumbang kepada kekuatan akidah umat Islam terdahulu.
Saya terimbau huraian menarik oleh Syeikh Muhammad Fuad. Penjelasan beliau berkait rapat dengan senario yang diajukan oleh Dr. Farid Shahran. Mafhum beliau melontarkan bahawa jika datuk nenek (generasi terdahulu) kita di kampung mendengar ceramah yang mengatakan dakwaan bahawa Allah duduk bersemayam di Arasy, maka mereka tidak mudah percaya dengan dakwaan tersebut. Berbanding dengan kita di bandar ini yang kurang belajar agama, mungkin juga kita percaya bulat-bulat.
Bacaan Mawlid ad-Daiba’ dan alunan qosidah memuji Allah dan berselawat atas Sayyidina Rasulullah s.a.w ketika Kuching Berselawat
Beliau menghuraikan bahawa generasi terdahulu yang begitu lama belajar ilmu tauhid Sifat 20 tidak begitu mudah terpengaruh dengan dakwaan seperti itu. Kerana secara automatik mereka akan mengatakan dengan hujah bahawa Allah itu bersifat Mukholafatuhu lil Hawadith, iaitu Allah itu bersalahan dengan sesuatu yang baharu. Maksudnya, mustahil Allah itu sama seperti makhluk-Nya, sedangkan Dia yang menciptakan makhluk itu. Ini adalah berpandukan dengan maksud al-Quran daripada Surah as-Syuura, ayat 11:
"Tidaklah Dia seperti sesuatu pun"
Juga beliau menyambung, mereka juga berhujah berdasarkan metodologi Sifat 20, bahawa Allah itu bersifat Qiyamuhu Binafsihi, iaitu Allah ‘berdiri dengan sendirinya.’ Maksudnya, Allah tidak berhajat kepada sesuatupun daripada ciptaan-Nya. Sedangkan Arasy itu diciptakan bagi tanda Keagungan-Nya, bukan untuk duduk. Mustahil Allah itu duduk di atas Arasy, sedangkan duduk itu adalah sifat yang lemah. Analoginya ialah, kalau kita lama-lama berdiri tentu kita penat. Mengapa? Kita berasa penat. Kenapa wujud rasa penat? Kita ini serba kekurangan. Kekurangan itu adalah kelemahan. Maha Suci Allah daripada bersifat lemah walaupun seketika. Maka kepentingan mempelajari Sifat 20 adalah kita memahami zat dan sifat Allah berdasarkan kerangka akidah yang benar. Dan metodologi ini akan menyelamatkan kita daripada terjerumus memahami Allah dengan tidak sepatutnya.
Ilmu Sifat 20 ini banyak dikarang dalam kitab-kitab oleh para ulama silam. Mungkin sekarang agak sukar kita memahami karya tersebut kerana faktor bahasa dan tulisan yang agak klasik. Itulah pentingnya mencari guru, yang juga pernah berguru dalam ilmu tersebut.
Ingin saya syorkan, sebuah buku yang membicarakan Sifat 20 dengan gaya bahasa dan huraian yang boleh difahami pada aras pemikiran masyarakat awam. Buku tersebut dikarang oleh orang yang berkecimpung dalam bidang tersebut, iaitu Ustaz Raja Ahmad Mukhlis. Beliau merupakan lulusan Univerisiti al-Azhar yang telah berguru dengan ramai ulama. Buku beliau bertajuk Menjiwai Tauhid, Memurnikan Hati, diterbitkan oleh penerbit Pelima Media Sdn. Bhd. Di Sarawak, lazimnya buku ini boleh didapati di rangkaian kedai buku POPULAR ataupun MPH.
Huraian mengenai Sifat 20 boleh difahami dengan baik, berpandukan ilmu yang dipelajari sebelum ini. Istimewa buku ini adalah, beliau menggabungkan penghayatan ilmu tauhid secara teori dengan amali sekali. Maksud saya ialah, beliau menghubungkaitkan bagaimanakah kita menghayati sifat-sifat 20 tersebut dalam kehidupan seharian kita dalam membentuk akhlak kita. Buku ini merupakan persediaan yang baik bagi orang-orang yang ingin memulakan perjalanan. Saya ingatkan, jika timbul kekeliruan, cepat-cepatlah bertanya kepada ahlinya agar hati menjadi tenang dan teguh setelah permasalahan dirungkaikan.
Jejak kasih... bersama rombongan kepulangan Syeikh Muhammad Fuad usai Kuching Berselawat
Mempelajari agama pada zaman ini amat mencabar. Ia memerlukan kesungguhan yang tinggi untuk meraihnya. Ini kerana, zaman ini begitu sibuk dengan pelbagai urusan kerja dan sebagainya. Sehinggakan, terkadang pelajaran agama itu menjadi terpinggir dalam hidup kita. Marilah mengenal Allah dengan menuntut ilmu daripada ahlinya. Mungkin ahlinya itu semakin sukar dicari, tetapi itulah kemanisan yang bakal dikecapi, akan nikmat ilmu itu dengan kepayahan. Jika kita sanggup bersusah-payah untuk kesenangan dunia, maka terlebih lagi wajar kita mengimbangi dengan bersusah-susah untuk akhirat. Indah sekali pepatah orang Melayu:
Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ke tepian;
Bersakit-sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian.
Entri ini saya ingin kongsikan mungkin sebagai membuka pintu jalan sahaja, bukan segalanya. Sekurang-kurangnya, jika masa saya sudah berakhir, ada manfaatnya bagi orang mencari maklumat dengan laluan internet. Saya ingin memohon maaf atas kekeliruan yang mungkin timbul akan sebab kecetekan ilmu diri ini. Dan saya juga memohon maaf jika ada tersalah, terkasar bahasa dalam perkongsian ini. Semoga Allah mengampuni dosa ini. Amiin...
No comments:
Post a Comment