Sudah terlalu lama diri ini tidak menyinggah di blog ini. Apalah lagi dalam penulisan, kekangan demi kekangan yang dihadapi, menjadikan ia sungguh, sunyi sepi. Andai kata betul-betul dunia maya ini seperti sebuah rumah, samalah ia seperti rumah yang penuh dengan sawang-sawang sang antropoda labah-labah berkaki lapan. Insya-Allah, semoga sawang-sawang itu dibersihkan, karat-karat digilap, debu disapu dan disusun kembali agar menjadi istana harapan yang hidup lagi bergemerlapan dengan sinar ilmu yang terang.
Sekembali dari Masjid Gita Kuching, diri ini terngiang-ngiang akan khutbah Jumaat yang telah disampaikan. Khutbah tersebut telah menggugah diri agar sentiasa ingat akan tanggungjawab terhadap umat, membentengi mereka daripada perpecahan, mencerahkan dengan ilmu dan membimbing mereka menuju Allah sedaya yang mungkin. Jika sejenak semenjak setahun dahulu, hampir setiap hari mendengarkan isu-isu umat yang kronik ini tika berada di menara gading. Iaitu mengenai fahaman dan kesatuan umat Islam.
Khutbah pada hari ini Jumaat 9 Safar 1432H / 14 Januari 2011 oleh Ustaz Hj. Khalidi bin Ibrahim. Beliau adalah lulusan Universiti al-Azhar yang merupakan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS). Beliau juga merupakan mantan Timbalan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak. Saya bawakan dalam blog ini ialah rumusan berdasarkan khutbah yang telah disampaikan tadi, buat tatapan kepada para pembaca yang tidak hadir khutbah tadi.
Saya berasa beliau cukup padan dan layak menyuarakan isu seperti ini, berdasarkan latar belakang ilmu dan kedudukan beliau dalam insititusi agama Islam di negeri Sarawak ini. Rumusan yang saya coretkan ini adalah imbasan kembali daripada khutbah yang telah didengar. Adakalanya saya menghuraikan rumusan tersebut dengan rujukan daripada buku-buku ilmuan. Jikalau ada tersilap bahasa, mohon maaf atas kecetekan dan kekurangan ilmu yang ada pada diri ini.
Berikut ialah rumusan khutbah yang disampaikan tadi:
1.Islam telah disampaikan melalui Rasulullah s.aw. kepada para sahabat, kemudian kepada para tabien, kemudian kepada generasi seterusnya melalui ulama-ulama muktabar yang mutawatir.
2.Oleh yang demikian, kita harus bersyukur Islam telah disampaikan sehinggalah kepada kita pada hari ini. Umat Islam khususnya di negeri Sarawak harus berasa bersyukur kerana dapat hidup dalam keharmonian dan kerukunan agama.
3.Namun demikian, Islam yang kita terima pada hari ini muncul dalam pelbagai bentuk fahaman, mazhab dan pendekatan yang berbeza-beza. Perselingkuhan dan persilangan pemikiran ini bisa wujud. Akan tetapi dewasa ini pertempuran pemikiran ini semakin berleluasa dan kian menjadikan masyarakat menjadi celaru dan keliru. Oleh yang demikian, kerap terjadi ulama-ulama muktabar telah menyenaraikan lima kategori besar golongan mazhab, fahaman dan pendekatan agama iaitu:
i. Golongan Radikalisme
ii. Golongan Tekstualisme
iii. Golongan Liberalisme
iv. Golongan Pluralisme
v. Golongan Ahli Sunnah wal Jamaah
4.Beliau menjelaskan secara ringkas golongan-golongan tersebut:
i.Golongan Radikalisme
Golongan berfahaman radikalisme umumnya bersifat Keras dan jumud. Kesannya adalah keganasan dan terorisme yang mencalarkan imej Islam, terutamanya berdasarkan terutamanya tafsiran berkenaan jihad. Sedangkan makna jihad dalam Islam adalah sangat suci dan besar maknanya. Ulama menggariskan bahawa jihad adalah membawa kepada islah yakni pembaikan. Sedangkan apa yang mereka bawa adalah sebaliknya, iaitu ifsad (kerosakan). Golongan ini mentafsirkan makna jihad atas nama amar makruf nahi mungkar. Akan tetapi malangnya bagi sesiapa yang tidak bersetuju dengan mereka akan ditentang, bahkan sehingga peringkat membunuh orang yang tidak bersetuju dengan mereka.
Sebagai contoh, peringkat awal fahaman dan gerakan Wahabiyah, gerakan tersebut telah membunuh orang-orang yang tidak sependapat dengan mereka, atas alasan memerangi ahli bid’ah. Fitnah yang berlaku pada abad ke-18 tersebut telah menggoncang dunia Islam dengan ramainya umat Islam yang menjadi korban dek tidak sealiran dengan mereka. Perkara ini disebut dalam buku Wahhabism: A Critical Essay oleh Dr. Hamid Algar, pensyarah Universiti California. Beliau membuat rumusan sejarah dan pemikiran fahaman tersebut yang menjadi fenomena sehingga hari ini.
Dr. Hamid juga memasukkan catitan seorang ulama kontemporer yang hampir kepada zaman fitnah tersebut, iaitu tidak lain tidak bukan seorang guru kepada ribuan ulama, Syeikh Sayyid Ahmad Zaini Dahlan yang merupakan ulama di Masjidil Haram.
Catitan tersebut boleh dibaca melalui karya terjemahan Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki (terbitan Yayasan Sofa, 2009) yang berjudul Fitnah Wahhabi.
ii.Golongan Tekstualisme
Golongan ini mentafsirkan dalil secara harfiah iaitu memahami secara zahir teks sahaja. Golongan tersebut berpandangan apa-apa perkara yang tidak terdapat dalam nas al-Quran dan hadith adalah bid’ah. Ini adalah tidak benar, kerana sesuatu nas bukan sahaja difahami secara teksnya sahaja, tetapi memahami teks tersebut dengan pemahaman yang benar secara keseluruhannya.
iii. Golongan Liberalisme
Golongan liberalisme ialah golongan yang menuntut semua manusia diberikan kebebasan untuk mentafsirkan nas al-Quran dan Hadith tanpa berpegang kepada apa-apa ikatan / peraturan metologi yang telah digariskan dan disusun elok oleh para ulama muktabar. Golongan ini sesuka hati mentafsirkan kedua-dua sumber nas (dalil) tersebut berdasarkan kefahaman mereka. Hal ini menimbulkan kecelaruan yang membimbangkan.
iv.Golongan Pluralisme
Golongan ini adalah natijah kepada fahaman golongan liberalisme. Golongan pluralisme berfahaman bahawa semua agama adalah sama, hanya berbeza cara ritual (cara peribadatan) sahaja. Semua agama menuju kepada matlamat yang sama, iaitu kebenaran (ultimate truth). Fahaman ini jelas membahayakan dan menjadikan seseorang boleh terkeluar daripada akidah Islam. Sedangkan Allah telah berfirman:
“Sesungguhnya agama yang diredhai Allah adalah agama Islam” (ali-Imran, 3;19)
v.Golongan Ahli Sunnah wal Jamaah
Golongan Ahli Sunnah wal Jamaah ialah golongan yang paling selamat dan disebutkan oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam sebagai golongan yang paling ramai ataupun golongan arus perdana. Golongan ini disebutkan oleh Nabi Muhammad sallallahu alahi wasallam sebagai golongan majoriti yang paling ramai, iaitu as-sowadul ‘Azhom. Golongan ini berpegang kepada kesederhanaan.
5.Pengkhutbah menyeru agar umat Islam tetap berpaut kepada golongan Ahli Sunnah wal Jamaah yang akan membawa kepada kesatuan akidah umat Islam.
6.Berbeza dengan negara-negara beragama Islam yang lain, yang memberikan kebebasan kepada rakyat mereka untuk mengamalkan mazhab dan fahaman Islam.
7.Kita harus bersyukur akan suasana khususnya di negeri Sarawak ini, yang telah menetapkan umat Islam harus berpegang kepada Ahli Sunnah wal Jamaah dan mazhab as-Syafie.
8.Pengkhutbah mendoakan agar keharmonian kesatuan umat Islam terpelihara.
Semoga rumusan khutbah ini dapat memberikan panduan berguna buat kita menghadapi aliran pemikiran yang berselirat ini. Hendak dirungkai, memerlukan persiapan ilmu berpandukan guru, agar kita dapat menilai dengan benar dan berhati-hati terhadap kebatilan. Perlu adanya segolongan di kalangan yang terpelajar memahami dan mendalami bidang ini, agar menjadi penapis yang berguna apabila fikiran yang berkelodak dapat dibersihkan. Kesemua ini menuntut pengorbanan masa, kerajinan menelaah, analisa, perbincangan dan ketahanan kesabaran untuk terus istiqamah (konsisten) untuk kebaikan masyarakat.
Mohon maaf atas segala khilaf dan kekurangan. Jika isi artikel menyimpang daripada maksud yang sebenar daripada yang dimaksudkan oleh sang pengkhutbah, maka itu berbalik kepada kelemahan diri ini yang tidak mampu memahami segala yang telah disampaikan.
Ketinggian pemikiran menuntut generasi muda untuk menggunakan keluasan ilmu mereka untuk beranjak ke peringkat seterusnya. Bukan hanya sekadar mempunyai ilmu, tetapi berupaya menggunakan ilmu untuk kecemerlangan umat. Kebijakan dalam menggunakan ilmu adalah suatu kemahiran yang amat didambakan umat untuk mengeluarkan umat daripada belenggu kejahilan yang melantun-lantun dek kerana sifat ananiyah yang menebal.
(En. Khairul Anwar Shazali, “Mencipta Generasi Pemangkin Kecemerlangan Umat”, Ucapan Dasar Muktamar PERKEPIS ke-14 )
"Lihatlah Kebenaran dengan Mata Hatimu"
2 comments:
aSSalamu'alaikum.. Terima kasih atas perkongsian ilmu ini.. Sungguh bermanfaat.. (^_^)
fahamna..
Post a Comment