BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Saturday, July 16, 2011

Rasa-rasanya sudah 9 Tahun Tidak Hadir


Suatu petang, aku menyapa isteriku, merangkap co-pilot memandu,“Rasa-rasanya memang lama sudah tidak ke majlis malam Nisfu Syaaban. Kalau tidak silap kali terakhir adalah sebelum tahun 2002.” Kami dalam perjalanan ke Masjid at-Taqwa, di Kampung Pinang Jawa. Ataupun terkenal dengan jolokan ‘Masjid Gita.’ Hari sudah senja, menandakan berakhirnya sehari, dan bermulanya hari yang baru. Hanya tinggal beberapa minit sahaja untuk sampai ke destinasi.

Tanya isteriku, “Kenapa?”

“Entah.”

Sakat isteriku, “Saya tahu, mesti sebab Wahabi, bukan?”

Aku memulas stereng Kancil 650 yang agak keras membelok ke simpang sebelah kiri. Soalan itu seakan-akan memulas perut yang belum lagi lapar.

“Errrrr... sebahagian sebab, boleh terimalah.”

Syukur kepada Allah, dikurniakan nikmat untuk melangkah dan hadir ke sebuah majlis mengingat Allah, Tuhan Rabbul Jalil, yang Maha Kasih, yang Maha Pemurah, yang Maha Pengampun. Hadirnya kita ke majlis zikir mengingat Tuhan, bukanlah dengan kudrat ataupun hati kita. Bahkan itu adalah taufik dan hidayah daripada Allah jua. Dialah dengan Kekuasaan dan Iradah-Nya berkehendakkan kita hadir ke majlis tersebut. Lebih-lebih lagi pada malam yang penuh barakah, rahmat dan kasih sayang-Nya yang tiada terhingga, pada malam Nisfu Syaaban. Iaitu malam yang menandakan tidak lama lagi, satu fajar temasya ibadah bakal menyinsing.

Masya-Allah, masjid pada malam ini tadi teramat meriah. Hadirnya manusia yang mencecah ratusan orang. Terharu diri melihat mereka bersama-sama satu suara membacakan jantung al-Quran, iaitu Surah Yaasiin dan menadah tangan memohon doa kepada-Nya. Syukur kepada Allah, masih ramai lagi umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wassallam yang peduli akan pegangan agamanya. Ini baharu Masjid Gita, belum lagi di tempat-tempat lain.

Kemudian, setelah solat Isyak, jemaah telah menikmati juadah bersama-sama. Kebiasaannya, diri ini tidak rajin beratur dan bersesak-sesak di ruang yang terhad untuk mendapatkan hidangan selepas selesai sesuatu majlis. Tetapi apabila mengenangkan pesan guru, Habib Mohamad bin Alawi al-Attas, maka beraturlah untuk merasa walaupun sedikit. Kerana Habib Mohamad sering berkata, santapan usai majlis zikir banyak berkatnya, insya-Allah.

Andai kata kita terkesan dengan kata-kata segelintir manusia yang mengatakan bahawa majlis malam Nisfu Syaaban ataupun seumpama ini adalah bid’ah yang mengheret yang hadir ke neraka, maka apakah jadinya kepada masyarakat dan masjid? Tentunya lengang. Maka malam yang penuh barakah akan dirugikan dengan aktiviti-aktiviti yang sia-sia. Sungguh, ini adalah sesuatu yang melampaui batasan.

Berbalik kepada persoalan kami suami isteri dalam perjalanan ke masjid. Saya tidak dapat mengenan kembali bilakah kali terakhir menghadiri majlis yang mulia ini. Hendak dikatakan disebabkan fahaman Wahabi, tidak dapat diberikan markah 100%. Mesti ada peratusan untuk kesalahan diri sendiri kerana tidak peka dan mengambil berat akan keutamaan malam Nisfu Syaaban, walaupun pernah jadi Wahabi.



Tidak dinafikan, fahaman Wahabiyah yang meresap dan mengakar dalam diri telah memberikan kesan jangka masa panjang. Sekalipun ‘insaf’ seputar tahun 2007, proses untuk menyaring fahaman tersebut memakan masa yang agak lama. Semenjak berada di menara gading bermula tahun 2003, tanpa disedari fahaman tersebut telah mulai hinggap pada diri ini dan sedikit demi sedikit fahaman itu mengukuh dan mengeras.

Benihnya ditanam di kuliah oleh pensyarah yang dikenal ramai di universiti. Benih itu ditanam dengan melontarkan persoalan-persoalan, adakah masyarakat selama ini berada di jalan yang betul? Adakah amalan-amalan mereka ada dalil tentangnya? Adakah mereka selama ini hanya ikut-ikutan sahaja? Adakah mereka sedang bergelumang dengan amalan-amalan yang boleh mengheret mereka ke neraka? Maka terngiang-ngianglah hadith yang mulia ini sebagai sandaran:

“Setiap yang baru diada-adakan adalah bida’ah dan bida’ah itu adalah sesat dan setiap yangsesat itu berada di dalam neraka.” (Hadith Riwayat Abu Daud)


Persoalan itu berlegar:

“Marilah kita kembali kepada al-Quran dan sunnah.”

“Di manakah dalil tentang amalan ini?”

“Menghidupkan satu bid’ah, akan membunuh satu sunnah!”


Lalu si anak muda seperti diri yang jahil ini telah terpengaruh akan fahaman ini. Ia mengakar dan mengeras umpama simen yang mulanya lembut lama-kelamaan menjadi keras kematu. Kebenaran menjadi tampaknya batil. Dan yang batil tampak benar. Hilangnya adab telah meletakkan sesuatu yang tinggi menjadi rendah. Yang indah tampak lusuh.

Syukur kepada Allah, rakan bertindak sebagai pembimbing tanpa jemu memberikan nasihat dan bimbingan. Bahawa, kebenaran itu tidak diukur semata-mata dengan lantangnya hujah, banyaknya cakap. Tidak ada jalan singkat untuk mendalami dan memahami kebenaran agama, melainkan ada jalannya yang tersendiri.

Bukannya mempelajari agama ini sekadar banyaknya jilid kitab yang kita baca, ataupun berbuih bibir menghafal dalil, ataupun lantangnya kita mengeluarkan hujah apabila berdebat. Akan tetapi satu-satunya jalan adalah dengan menuntut ilmu dengan berguru. Berkenaan dengan ini, Habib Mohamad berpesan agar kita mencari guru yang benar.

Antara kecelaruan dan simpang-siur pemikiran kita umat Islam pada hari ini adalah kerana kita tersalah memilih guru. Dengan berguru, kita memperoleh bimbingan guru, yang dengan tunjuk ajarnya membantu kita menyaring yang benar daripada yang hak. Tambahan pula, berguru mendidik kita menghiasi diri dengan adab yang terpuji. Hanya dengan kerendahan dan bersihnya hati, barulah layak kita memperolehi ilmu.

Seandainya buku dan internet semata-mata jalan untuk memperoleh ilmu, maka Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam terlebih layak menggunakan media tersebut. Akan tetapi ilmu, nur yang benar itu (agama) diperturunkan hati ke hati; guru kepada anak-anak murid dan disebarkan sedemikian rupa. Mohon tunjuk kepada ahlinya dalam menerangkan hal ini.

Berbalik kepada hal menghidupkan malam Nisfu Syaaban, terdapat golongan yang mempertikaikan amalan menghidupkan malam tersebut. Terutama sekali masyarakat Melayu, mereka berhimpun dan membacakan Surah Yaasiin sebanyak tiga kali disertai dengan doa. Saya teringat ketika di UIAM dahulu (2009), akan khutbah Prof. Dr. Abdul Razak Sa’adi. Beliau merupakan pensyarah Bahasa Arab. Beliau menyeru hadirin untuk tidak meragui agar berusaha menghidupkan malam Nisfu Syaaban. Beliau mengatakan bahawa memang benar, kebanyakan dalil adalah tarafnya daif. Akan tetapi, hadith diriwayatkan dalam jumlah yang banyak. Oleh yang demikian, kerana bilangan yang banyak itu menguatkan lagi hujah untuk beramal.

Seorang ulama di Kuching, Habib Mustafa al-Haddad menyeru dalam kuliah beliau di Masjid Wan Alwi, Tabuan, Kuching dalam kuliah Isnin yang lepas mafhumnya:

“Marilah kita hidupkan malam Nisfu Syaaban pada malam Ahad ini. Itulah malam yang mulia, yang di dalamnya ada pengampunan yang besar daripada Allah. Adapun membaca Yaasiin itu adalah amalan inisiatif para ulama, agar masyarakat dapat beramal. Kalau hendak membaca lebih, silakanlah. Akan tetapi kita harus faham, bahawa amalan ini bukan diwajibkan.”


Saya mendengar daripada radio ikim.fm, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri pada Jumaat 14 Julai 2011 (14 Syaaban 1432H) menjawab tentang amalan Nisfu Syaaban, adakah terdapat dalil untuk beramal. Beliau membahaskan bahawa sejak zaman tabien lagi, para ulama mula menghidupkan/meraikan malam Nisfu Syaaban.

Akan tetapi, para ulama berbeza pendapat. Segolongan mereka menganjurkan untuk mengadakan majlis di masjid. Segolongan pula mereka yang memakruhkan dengan mengadakan secara jamaie di masjid, tetapi lebih afdal diadakan secara fardi (sendiri). Berkenaan dengan amalan membaca Yaasiin sebanyak tiga kali, beliau mengatakan berdasarkan nas-nas yang ada bahawa tidak salah untuk beramal sedemikian. Akan tetapi dengan ada empat perkara (saya ingat, dua sahaja) yang perlu diberi perhatian (mafhumnya, jika ada ralat, kiranya mohon maaf):

1.Membaca Yaasiin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Syaaban tidak pernah dibuat oleh baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wassallam. Oleh yang demikian, ia tidak disyariatkan. Tidak ada nas yang menunjukkan amalan khusus seperti ini. Bermaknanya, kita tidak seharusnya membataskan amalan ini sahaja pada malam tersebut.

2.Dalam kita berdoa (selang antara bacaan Yaasiin), adalah elok disarankan kita memohon doa bukan semata-mata untuk panjang umur, murah rezeki dan sebagainya, akan tetapi berdoalah juga untuk kebaikan dan kemaslahatan kaum muslimin dan muslimat.


Apapun, tika masa masih ada, masih bernafas dan diberikan kurnia dalam lingkungan keimanan, marilah kita tanpa ragu menghidupkan malam Nisfu Syaaban. Malam tersebut digelar dengan pelbagai gelaran yang mulia lagi agung. Seorang ulama besar al-Azhar abad ke-8 Hijrah, al-Muhadith al-Hafiz Syeikh Salim al-Sanhuri al-Maliki dalam kitab beliau “Kelebihan Malam Nisfu Syaaban” menyenaraikan, bahawa malam Nisfu Syaaban digelar sebagai malam pengampunan, malam barakah, malam mustajab doa dan malam pembebasan api neraka. Antara dalil kelebihan malam tersebut adalah:



Antaranya, diriwayatkan oleh Imam Ahmad r.m.h dalam Musnad beliau, Rasulullah saw bersabda:

"Sesungguhnya Allah menilik kepada hambaNya pada malam Nisfu Syaaban, maka Allah mengampunkan penduk bumi, melainkan dua golongan manusia, iaitu musyrik (orang menyekutukan Allah) dan musyahin (orang yang bermusuhan)."


Diriwayatkan oleh al-Dailami daripada Abu Umamah r.a (marfu’):
Lima malam yang tidak ditolak pada malam tersebut suatu doa, ialah malam pertama bulan Rejab, malam, malam Nisfu Syaaban, malam Jumaat dan dua malam hari raya.

Disebutkan juga, menurut para ulama, dianjurkan menghidupkan malam tersebut dengan menunaikan solat sunat tasbih...

Sekadar sedikit perkongsian untuk kita renungkan bersama. Moga kita beroleh barakah dan keampunan Allah, dibukakan hati dan diri kita untuk ikhlas menghadap-Nya. Ramadhan al-Mubarak sudah hampir. Marilah bersedia dari sekarang.

Allahu’alam... mohon segala salah dan silap...

1 comment:

Hj Azrul said...

Benar, saya pun paling sedikit, terkena juga tempias-tempias fahaman wahabi. Alhamdulillah, dengan adanya rakan-rakan yang telah pergi mendalami ilmu agama, dengan rahmat Allah SWT dan teguran daripada mereka, saya sendiri pun terfikir kembali... semua amalan asal hukumnya boleh sehingga jelas ianya wajib atau sunat dengan asbab dan jelas menjadi haram atau makruh dengan asbab.

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...