Pada beberapa hari yang lepas ketika memandu, terdengar sejenak radio Era.fm. Para DJ telah memihak kepada pasukan kegemaran masing-masing Piala Dunia 2010. Susana meriah apabila mereka ‘bergaduh’ dalam siaran, siapakah yang akan memenangi kejuaaraan itu kali ini.
Rasanya begitu cepat Piala Dunia Afrika Selatan 2010 berlalu. Perlawanan demi perlawanan, tekaan demi tekaan yang hangat diperkatakan semakin hari semakin meleset. Para peminat yang menumpahkan perhatian atas pasukan-pasukan yang dijangkakan akan memenangi hampa pula apabila ‘kuasa-kuasa besar’ bola sepak kehilangan taringnya, berbeza dengan fenomena Piala Dunia beberapa musim sebelum ini.
Tambahan lagi, satu entiti yang telah menjadi selebriti ialah ‘Sang Penilik Nasib’, iaitu seekor sotong kurita yang bernama Paul. Sotong tersebut telah menjadi perhatian sejak akhir-akhir ini kerana ‘tekaan’ yang dibuatnya mengena sekali. Terasa lucu sekali ramai orang ‘geram’ akan tekaannya (terutama sekali pasukan yang didamba tewas) mahu menuntut sotong itu dijadikan sebagai menu barbeque restoren di Jerman.
Sotong tersebut tentu sahaja ‘membawa tuah’ kepeada penjudi-penjudi yang menaburkan duit mereka yang bertimbun-timbun dalam pertaruhan. Hakikatnya makhluk tersebut menjadi bala kepada iman dan akidah umat Islam, seandainya beranggapan bahawa sotong tersebut mampu memberikan manfaat dan mudarat (termasuk menenung kemenangan), memberi rezeki, menentukan nasib dan sebagainya selain daripada Allah...
Apa yang menarik dalam ‘perdebatan’ sengit para DJ radio tersebut adalah pemanggil berebut-rebut membuat panggilan dan menyatakan sokongan kepada pihak masing-masing. Ada yang seorang DJ memihak kepada Sepanyol dan satu lagi Belanda yang telah bertarung dalam pusingan akhir Piala Dunia 2010 12 Julai yang lalu. Sorak sorai dan gema kemenangan pasukan Sepanyol dinobat sebagai juara di bibir-bibir peminat.
Entah mengapa terdetik, dalam keghairahan kita telah menyokong sama ada Sepanyol ataupun Belanda, kita telah dibutakan titik-titik gelap sejarah bangsa-bangsa ini yang pernah memeras, menindas, menjajah dan menzalimi umat Islam suatu masa dahulu. Limpahan kata-kata tahniah yang membanjiri kehidupan seharian akan kemenangan pasukan Sepanyol telah menutup tabir gelap atas duka lara umat terdahulu akibat kerakusan mereka.
Juara Piala Dunia 2010... Sepanyol
Kira-kira 1200 tahun yang lampau, berlatar belakangkan deru ombak selat Gilbratar, sekumpulan manusia berada di tepi pantai sedang menyaksikan kepulan-kepulan asap hitam yang mengisi ruang udara. Kapal-kapal mereka sedang terbakar. Seorang di kalangan mereka tegak berdiri, sambil berkata,
“Wahai saudara-saudaraku, lautan ada di belakang kalian, musuh ada di depan kalian, ke manakah kalian mahu lari? Demi Allah, apa yang kalian miliki hanya kejujuran dan kesabaran...”
Hari tersebut merupakan hari terbitnya harapan peradaban dan ketamadunan di tanah Eropah. Pada hari tersebut, kumpulan kecil penegak kebenaran dan keadilan telah berdiri teguh bak gunung memancang menghadapi ombak tentera Gothik Raja Roderiga yang zalim. Dan Tuhan telah mentakdirkan, tentera-Nya yang kecil bilangan telah mengalahkan tentera yang berkali-kali lipat kekuatan mereka. Sejak hari itulah bumi Andalusia diberkahi dengan kesan-kesan sujud manusia yang berjuang menegak kalimah-Nya. Kegelapan yang berlapis-lapis membelenggu Zaman Gelap Eropah ditusuk oleh cahaya ilmu dan keimanan kepada Tuhan yang satu. Andalusia, bumi berkat telah menjadi pintu harapan kepada Eropah.
Belum sampai 100 tahun telah wafatnya Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam melengkapkan misi menyebar rahmat seluruh alam, agama Allah, Islam telah tiba di ceruk paling Barat bumi. Dikatakan oleh seorang panglima (saya lupa nama beliau), ketika berada di gigi air Lautan Atlantik di Afrika Barat, katanya,
“Seandainya tidak ada lautan ini (Lautan Atlantik), nescaya aku akan terus mara sehingga agama ini tersebar ke serata alam.”
Berbekalkan keimanan yang kental, seorang bintang pahlawan Islam bernama Musa bin Nusair dan Tariq bin Ziyad telah menyeberangi selat yang memisahkan Tanjah (Tangier, Algeria) dan Semenanjung Gilbratar. Tapak pendaratan tersebut yang dahulu digelar sebagai Jabal Tariq sehingga kini dikenang sebagai Gilbratar.
Saya telah menceritakan suasana tamadun di Andalusia dalam novel saya Galaksi Muhsinin dalam bab yang pertama. Memetik daripada sumber-sumber sejarah, saya telah memasukkan suasana peradaban dan tamadun tersebut seperti yang berikut:
“Kota ini umpama sinar cahaya di Eropah. Eropah masa kini dalam kegelapan. Di sinilah sinar harapan. Cendiakawan dahagakan ilmu berduyun-duyun berkunjung di sini. Ketika bandar-bandar Eropah gelap gelita pada waktu malam, kota-kota Andalusia terang-benderang dengan lampu-lampu jalanan yang indah.”“Ketika orang Eropah mengalami masalah kebersihan dan dilanda penyakit, orang Islam dan rakyat Andalusia mempunyai jalan raya yang bersih dan adalanya kolam mandi. Penduduk Andalusia dapat menjaga kebersihan sehinggakan mereka bertukar pakaian dua kali sehari.”“Ketika raja-raja Eropah baru kenal huruf-huruf untuk tandatangan surat mereka, anak-anak kecil sudah pandai membaca dan mengira-ngira aljabar.”
Namun demikian, umat Islam Andalusia semakin kehilangan keagungannya, dek perpecahan, perebutan takhta, wilayah, pengaruh, harta dan kepentingan diri yang lain. Akhirnya, kudrat tenaga membebani amanah memimpin dan kesatuan yang retak menanti belah telah diambil peluang oleh dua kerajaan. Raja Ferdinand daripada kerajaan Castille dan Ratu Isabella daripada kerajaan Aragorn telah bergabung dan merampas Andalusia satu persatu. Mereka telah melancarkan kempen besar-besaran mengusir orang Islam dengan gerakan Reconquista. Akhirnya, wilayah Islam yang hanya tinggal sekangkang kera telah berakhir dengan jatuhnya kota Granada ke tangan mereka pada tahun 1492.
Sejak dari era tersebut bermulanya era kegelapan buat umat Islam. Pada awalnya, merekalah yang membawa obor. Kini obor tersebut telah hanyalah tinggal berbalam-balam sahaja, menanti masa untuk padam maraknya.
Dasar Inquistion telah dilaksanakan pada kemudian hari. Dasar tersebut telah menetapkan bahawa sesiapa yang tidak menganut agama Kristian Katolik, maka mereka akan dihapuskan. Maka, orang Islam yang digelar sebagai Moor dan juga orang Yahudi diburu, dibunuh diseksa dengan kejam dan harta dirampas seandainya mereka tidak mahu tunduk menyerahkan pegangan mereka. Oleh yang demikian, orang Moor dan Yahudi berbondong-bondong berhijrah meninggalkan Andalusia.
Lahirnya kerajaan Sepanyol yang menyambung legasi Kekaisaran Romawi Suci (Holy Roman Empire), oleh raja yang berketurunan Hasburg. Sepanyol berlumba-lumba dengan Portugis mencari jalan ke Timur dengan tujuan: memonopoli perdagangan rempah; dan paling utama mahu menghapuskan orang-orang Islam di Timur. Tinggalan tamadun dan sikap gigih ingin tahu (inquiry) merupakan semangat yang telah ditinggalkan oleh orang-orang Islam Andalusia.
Mereka telah mereka kapal-kapal yang boleh belayar jauh dan mempunyai teknik navigasi (pelayaran) yang baik. Saya yakin, ini tidak lain tidak bukan, adalah segala yang dipelajari oleh cendiakawan Sepanyol daripada tamadun Andalusia. Begitu komited mereka belayar dan menjelajah, sehinggakan terkeluar isi hati Alfonso de Alburqueque, negarawan dan penakluk Katolik Portugis mengatakan:
“Aku akan memancangkan segenap ceruk bumi ini dengan palang-palang salib. Antara cita-citaku ialah kubur Muhammad akan ku selongkar, agar dapat ditukar ganti dengan Jerusalem (tempat kelahiran Nabi Isa alaihis salam)”
Saya pernah membaca sebuah buku “Penjajahan Portugis dan Sepanyol ke atas Asia Tenggara : Satu Pengamatan” nukilan Maruwiah Ahmat yang menggesa agar sejarah kedatangan Sepanyol dan Portugis ke Nusantara disemak kembali. Dalam buku tersebut, penulis telah mengkaji bahawa motif sebenar mereka yang utama bukanlah untuk memonopoli perdagangan, tetapi sangat bersifat keagamaan. Antara hujah yang dikemukakan ialah, rempah bukanlah bahan kritikal yang semakin berkurangan (seperti minyak pada zaman sekarang). Ini kerana perdagangan rempah wujud lama di laut Mediterranean sejak zaman Empayar Rom lagi. Tambahan lagi, ketika abad ke-16, perdagangan rempah bukanlah suatu masalah.
Mana mungkin sejak kemenangan Reconquista menakluk keseluruhan Andalusia pada 1492, gerakan mereka tiba-tiba bertukar arah dan terpadam begitu sahaja. Lebih-lebih lagi, ketika itu, pusat dan harapan kepada dunia Kristian, Kota Konstatinopel jatuh ke tangan Sultan Muhammad II al-Fateh pada 1453. Dan sebenarnya pada ketika itu sultan-sultan Daulah Uthmaniyyah berusaha sedaya upaya menggempur Eropah untuk menyelamatkan Andalusia.
Begitu pun, armada Daulah Uthmaniyyah di Afirka Utara yang dipimpin oleh adik-beradik ‘Barbarossa’, Uruj dan Khizr telah menyelamatkan ribuan orang Moor dan Yahudi keluar daripada Andalusia. Adik-beradik Barbarossa merupakan orang Kristian yang telah memeluk Islam dan akhirnya menjadi pelindung utama umat Islam. Mereka telah memimpin armada umat Islam menggempur armada Sepanyol, sehinggakan nama mereka digeruni di lautan. Akan tetapi, para orientalis dengan jalan mudah melabelkan pahlawan-pahlawan tersebut sebagai lanun untuk mengelirukan identiti umat Islam.
Abad ke-16 merupakan kemuncak kepada pertarungan dua blok kuasa besar; iaitu Islam dan Kristian. Barnaby Rogerson yang menulis The Last Crusaders merakamkan pertualangan selama lebih seratus tahun kedua-dua kuasa bertarung melebarkan kuasa di pusat dunia ketika itu; iaitu Daulah Uthmaniyyah yang dipimpin oleh Sultan Sulaiman al-Qanuni dan Raja Henry V yang mengepalai Kekaisaran Romawi Suci Hasburg. Orang Eropah menggelarnya sebagai ‘Magnificient’ ataupun yang ‘Agung.’ Daulah Uthmaniyyah yang memayungi umat Islam mencapai zaman keemasan keluasan wilayah dan kekuatan tentera yang ampuh. Kedua-dua pemimpin merupakan figur karismatik agama masing-masing yang menjadi juara di kalangan rakyat mereka.
Meskipun demikian, Daulah Uthmaniyyah pada abad ke-16 bertempur sengit di Eropah Timur dan laut Mediterranean. Beberapa kali pihak Portugis cuba mengepung kota Haramain (Mekah dan Madinah), akan tetapi berjaya dikekang oleh Daulah Uthmaniyyah. Namun demikian, dalam menghadapi serangan bertubi-tubi dari segenap penjuru, Daulah Uthmaniyyah tidak mampu untuk menyelamatkan wilayah-wilayah (imrah-imrah kerajaan Islam) di Timur, terutamanya Asia Selatan dan Asia Tenggara.
Syaikh Zainuddin Makhdum, anak murid kepada Syeikh Ibnu Hajar Haitami telah menuliskan kitab Tuhfat al-Mujahidin yang menghuraikan kepentingan jihad dan merakamkan peristiwa perjuangan umat Islam menghadapi Portugis di Lautan Hindi. Beliau telah menceritakan bagaimana wilayah di India seperti Calicut dan Goa telah ditawan oleh Portugis.
Manakala dalam Sejarah Umat Islam nukilan Buya Hamka, Melaka serta kerajaan-kerajaan Islam Melayu yang lain seperti Demak, Cebu dan Makasar menjadi sasaran. Di utara pula, kerajaan Islam Melayu Brunei mula digempur oleh Sepanyol dan merampas Manila.
Dikhabarkan, pihak Melaka telah menghantar utusan kepada baginda Sultan dan ekspidisi armada Daulah Uthmaniyyah telah dihantar. Akan tetapi, setelah mengetahui Melaka telah jatuh pada 1511, armada tersebut berpatah balik. Acheh setelah kejatuhan Melaka juga menghantar utusan meminta bantuan kepada Daulah Uthmaniyyah dan berkekalan sehinggalah abad ke-19.
Berbalik kepada Sepanyol, kerajaan tersebut telah mencapai keagungannya cuba mengejar perkembangan Portugis yang telah mendahului mereka. Di Nusantara, kerana telah lambat tiba berbanding Portugis, Sepanyol telah tiba di Filipina dan Brunei melalui jalan Lautan Pasifik. Rombongan pertama tiba di Filipina oleh Ferdinand Magellan. Rombongan yang dipimpin beliau didakwa yang pertama telah mengelilingi dunia.
Ketika Sepanyol tiba di Manila, Filipina, Kerajaan Melayu Brunei merupakan kuasa besar di Borneo dan Filipina. Setelah beberapa pertembungan antara Sepanyol dan Brunei, maka Sepanyol telah menawan ibu kota Brunei. Kejatuhan Brunei hanya bertahan selama 72 hari. Sultan dan rakyat Brunei kembali dengan semangat jihad yang tinggi, sekaligus mengusir keberadaan Sepanyol dalam Perang Kastila (1588).
Memerhati senario seperti perbualan antara DJ yang disebutkan pada awal artikel, mungkin juga perbualan-perbualan seumpama tersebut berlaku dalam kehidupan seharian kita dengan terluputnya imbauan masa lampau. Mutiara sejarah bagaikan harta yang tersorok berhabuk dalam peti. Marilah kita gilap kembali mutiara tersebut, letakkanlah di tempat sewajarnya agar berkilau menjadi hiasan yang menjadi kenangan sepanjang masa.
No comments:
Post a Comment