BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Saturday, September 11, 2010

Syawal 1431H (2): Peristiwa yang Mustahil Aku Lupa...


Tika Syawal menjelma, pasti hati ini terkilan. Masakan tidak, terjadi satu peristiwa yang amat memilukan, memalukan, menghenyak benar akan kesombongan dan kebodohan diri mempertahankan pendirian yang berlandaskan pemikiran dangkal. Maklumlah, orang ‘sekolah tinggi’ (universiti) kata orang, pastilah ahli keluarga memandang tinggi seorang yang belajar di institusi yang dimasuk nama 'Islam' kepadanya. Ikuti kisah benar yang berlaku kepada seorang teman ini, beberapa tahun yang lepas, tika jalan masih gelap...

1 Syawal 1426H (2005)
Pujut 10, Miri,
Sarawak


Saat itu 1 Syawal yang hening, indah, cerah sinar surianya lagi dihembus lembut angin bayu yang sentiasa menemani tanah air Miri. Ada pun seorang teman, ia kebanggaan ayahnya. Masakan tidak, anaknya sudah berada di universiti yang dipandang orang, yang diharapkan membimbing mereka.

Sudah menjadi rutin keluarga sebelah ayahandanya mengadakan bacaan Yaasiin dan tahlil pada pagi 1 Syawal. Tidak lain tidak bukan, adalah kerana kasih yang tidak terhingga buat orang-orang tua mereka yang telah pergi. Iaitu insan-insan yang hanya tinggal kenang-kenangan; tidak ada harapan dan cara lain melainkan dengan mendoakan kesejahteraan mereka serta menyedekahkan amalan-alaman buat mereka di alam barzakh.

Namun demikian, seorang teman ini persepsinya sudah berubah. Sekian lama dididik dengan amalan baik tersebut sejak kecil, tetapi apabila sudah ‘mengaji’ di sebuah universiti ISLAM, maka saat itu ia tanpa disedari kaum kerabatnya, adalah seorang yang menolak sekeras-kerasnya amalan mulia tersebut.

Bertahun-tahun menuntut ilmu di perantauan, ia telah mengenal bahawa amalan tersebut adalah bida’ah. Dalam pengertian ini bermaksud amalan-amalan baru yang tidak diamalkan oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam serta tidak ada dalil-dalil dalam al-Quran dan Sunnah baginda, maka amalan-amalan tersebut adalah bid’ah lagi tertolak.

Telah terhunjam dalam benak hatinya pemikiran tersebut berlandaskan satu hadith baginda rasul sallallahu alaihi wasallam:

“Setiap yang baru diada-adakan adalah bida’ah dan bida’ah itu adalah sesat dan setiap yangsesat itu berada di dalam neraka.” (Hadith Riwayat Abu Daud)


Tanpa ia sedar dalam memahami pengertian sebenar istilah bid’ah, suatu masa hatinya pernah berkata, “Sia-sia sahaja amalan ini diteruskan. Amalan ini Nabi sallallahu alaihi wasallam tidak buat. Kita pula yang pandai-pandai buat. Maka pasti akan tertolak.

Bah, mula tah (Baik, mulakan)!” ujar Wa Mat (ipar ayahanda) kepada beliau. Maka ayahandaku pun memulakan dengan bacaan Yaasiin. Beliau duduk hanya di sebelah anaknya.

Detik hatinya, “Oh, kalau Yaasiin, baca sahajalah. Baca semata-mata untuk dapatkan pahala membaca al-Quran. Bukan untuk niat yang lain.”

Yaasiin telah selesai dibaca. Ayahanda menghulurkan Wa Mat untuk meneruskan tahlil. Tetapi beliau menyambung kembali setelah Wa Mat menunjukkan isyarat menolak. Maka bacaan tahlil pula diteruskan.

Hati teman ini meronta-ronta, “Ya Allah, ahli-ahli keluargaku membuat bid’ah. Ini adalah perbuatan bid’ah yang akan mengheret ke neraka!!”

“Baik aku diam sahaja! Aku yakin, tapi aku tidak tahu mahu buat macam mana. Aku tahu, ini mungkar dan maksiat. Kalau aku bersuara sekarang, aku mahu kata apa? Aku tidak punya hujah.”

“Ah... baik baca Ma’thurat sahajalah,” maka beliau pun membaca Ma’thurat, himpunan zikir daripada al-Quran dan hadith yang ada dalil daripada dua sumber tersebut, disusun oleh Imam Hassan al-Banna.

Benak teman tersebut merasa tenang, “Ini barulah sunnah!”

Tiba-tiba.... ayahandanya berhenti. Tanpa diduga, buku tahlil tersebut mendarat atas sabok (samping)nya.

Kata ayahandanya, “Bah, kitak sambong (Awak tolong sambung).”

Ia tunduk terdiam seribu bahasa. Seperti gunung hendak menghempap kepala. Desis hatinya menangis, “Ah, tidak mungkin! Masakan aku merelakan membuat sesuatu yang mungkar!!”

Bah, bacalah,” kata ayahandanya tersenyum. Begitu juga ahli keluarga yang lain.

Terbit daripada hatinya lagi, “Kalau aku kata tidak pandai baca, aku sudah membohongi mereka. Masakan, seorang mahasiswa universiti ISLAM yang bacaan seperti ini mudah bagi mereka, tidak pandai pula?”

“Ataupun, jika diterima, maka aku membuat sesuatu yang mungkar yang Allah akan murka!!”
Entah daripada mana tiba-tiba berkata lintasan hati, “Katalah sahaja engkau tidak biasa. Jadi, tidak lancar bacanya!”

Sik dapat, pak, sik besa mbaca tok (Tidak dapat, saya tidak biasa membaca tahlil ini).” Ujar si anak.

Si ayah masih mengharapkan anak kebanggaannya, “Baca jak lah. Bukannya susah tok (Baca sahajalah. Bukannya susah).”

Berkali-kali tarik menarik umpama bertarik tali dengan hasrat masing-masing. Si ayah mahukan permintaan yang sangat mudah bagi puteranya. Si anak pula, merasakan ia akan bersengkongkol akan perbuatan berdosa yang akan menjerumuskan diri dan keluarganya ke api Jahannam, lantaran Nabi sallallahu alaihi wasallam tidak pernah buat dan tiada dalil dalam al-Quran dan sunnah!

Acara ‘tarik tahlil’ berlangsung agak lama. Mungkin juga lebih 5 minit. Beberapa ahli keluarga sudah kehairanan menunggu. Dilema yang menakutkan itu menghantui si anak.

Salah seorang mereka berkata, “Bah, batahkan menunggu. Indak apa Jini, sambong tah kau (Sudah lama menunggu. Tidak mengapa, Jaini, awak sambung sahaja).”

Si ayah akhirnya mengalah.... jelas sekali raut wajahnya yang ceria berubah 180 darjah penuh kecewa.

Si ayah menelan dia menyambung bacaan itu kembali. Rasa malu, terkilan, bersalah menjalar lagi merebak ke seluruh hati. Tidak pernah rasa bersalah sedemikian, telah mengecewakan permintaan si ayah. Sehingga hari ini hati ini terkilan sekali...
Bermula daripada hari itu, saya mempersoalkan; adakah selama saya berada di jalan yang betul? Adakah berpegang kepada suatu kebenaran yang tidak tahu mana hujung pangkal kebenarannya sehingga menyinggung perasaan seorang ayah dan berdalih dengan tidak benar itu betul?

Pendirian bertahun-tahun yang telah dipertahankan sekian lama mulai goyah. Adakah pemikiran sebegini sesuatu yang benar? Diri mencari jalan. Jauh di sudut hati merasakan.... ada sesuatu yang tidak kena...

Syukur kepada Allah, Dia telah tunjukkan jalan... setiap sesuatu pasti ada hikmahnya. Akan tetapi, terbit pula rasa bertahun-tahun telah merugi dan malu kerana diri ini begitu mudah terikut-ikut sesuatu yang lantang dan tampak benar, tetapi sebenarnya lain sekali.

Bukanlah ruang ini membicarakan hal bid’ah dan bagaimanakah perbincangan-perbincangan yang mencerahkan maksud tersebut. Saya ini bukanlah ahli dalam bidang ini, tetapi atas nikmat menghabiskan sisa-sisa di perantauan yang Allah telah berikan dengan mengamalkan pengajian berguru, telah memberikan satu jalan yang insya-Allah selamat.

Antara masalah yang berlaku kepada diri ialah; hanya merujuk kepada seorang dan membaca tanpa guru. Ini adalah suatu yang berbahaya. Membaca hal agama terutamanya, tanpa panduan guru akan mudah untuk mentafsirkan sesuatu yang di luar kefahaman kita dengan pengetahuan kita yang cetek. Ada sesetengah pemahaman yang melangkaui yang agak sukar difahami melainkan dengan berpandukan kepada guru-guru yang mursyid (terbimbing oleh guru-guru mereka).

Satu kecenderungan yang berbahaya pada pandangan saya ialah anak-anak muda yang bersemangat untuk mencari kebenaran dalam agama cenderung mengambil tindakan sendiri dengan berguru hanya dengan buku. Ataupun lebih parah, gurunya adalah Syeikh / Ustaz Google yang tidak diketahui mana hujung mana awalannya.

Terlalu banyak maklumat sehinggakan kita sendiri cenderung untuk keliru. Silap-silap, ‘Syeikh Google’ yang pertama dan dijadikan rujukan utama adalah pemikiran yang begitu mudah membid’ah, menolak amalan-amalan baik tanpa perbincangan yang komprehensif, mencela para ulama yang tidak sehaluan dengan mereka, malah sehingga tahap mengkafirkan ulama-ulama yang telah banyak jasa mereka! Astaghfirullah....

Syukur kepada Allah, kegelinciran fahaman saya hanya menjunam setakat kepada perkara-perkara khilafiyyah (ranting) yang melibatkan perbezaan pendapat, tidak mengakar sehinggalah kepada fahaman akidah aliran tersebut.

Berbalik kepada persoalan Yaasiin dan tahlil tersebut, saya mengajak kita berfikir.
Apakah yang terkandung dalam amalan tahlil? Dalamnya terdapat susunan ayat al-Quran, zikir, selawat dan doa yang dengan hajat disedekahkan kepada si mati. Kita mengadakan tahlil untuk menghadiahkan yang tersebut dan mendoakan dengan penuh ikhlas kepada Allah memohon ampun kepada mereka yang hadir dan khas keampunan dipohon buat orang-orang yang mereka amat sayangi. Adakah kita menyangka, Allah akan mengazab orang-orang yang mengadakan sedemikian? Adakah itu sesuatu yang waras? Sedangkan Allah telah berfirman dalam ayat 10 surah al-Hasyar:

“Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshor), mereka berdoa: "Ya Tuhan kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Tuhan kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.”


Adakah Allah akan mengazab orang yang memohon ampun kepadanya, memohon ampun orang-orang yang mereka sayangi pada hari yang mulia tersebut? Adakah dengan membacakan surah Yaasiin, ayat-ayat al-Quran, berzikir membesarkan-Nya, berselawat atas baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan mendoakan dengan ikhlas kesejahteraan si mati.... sedangkan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam mengatakan bahawa:

“Terputus amalan anak Adam, melainkan tiga. Iaitu ilmu bermanfaat yang diajari daripadanya, harta yang ia sedekahkan dan doa anak yang soleh.”


Kita fikir lagi. Adakah amalan tergolong dalam perbuatan bid’ah yang menghunjam ke neraka? adakah ini sesuatu yang logik pada fikiran akal?? Allah Maha Lembut Perhitungan-Nya. Allah Maha Berkuasa. Allah Maha Pengampun....


Kita harus mengerti bahawa baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam tidak pernah mengajarkan tahlil buat si arwah kepada sesiapa pun. Kita harus menganggap bahawa amalan tersebut merupakan amalan yang baik yang pada pandangan ulama membuahkan banyak manfaat di peringkat ahli keluarga dan masyarakat. Ya, terdapat perselisihan pandangan di kalangan ulama-ulama yang muktabar,adakah sampai atau tidak amalan kepada si mati.

Pilihan sudah ada, sama ada kita mahu menerima ataupun tidak. Bukannya memandang jijik ataupun memaksa orang lain supaya setuju kepada kita sama ada sampai ataupun tidak. Akhirnya mengundan kepada perbalahan dan perpecahan. Adakah ini yang kita mahu??

Sebagai pencerahan, mari kita dengar huraian ringkas mengenai amalan daripada Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki, seorang ulama dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan yang digelar sebagai al-Azhar al-Thani (al-Azhar Kedua) lantaran ketinggian ilmu beliau:



Lihatlah sesuatu kebenaran dari mata hati kita. Temuilah ia dengan jalan-jalan yang sebenar, iaitu jalan berguru. Janganlah mudah mengikuti satu fahaman tanpa usul periksa yang mendalam. Jika kita temui pandangan-pandangan yang agak janggal, tanyalah kepada ahlinya. Bukanlah kita orang awam ini begitu mudah membid;ah, mencela ulama terdahulu, bahkan mengkafirkan sebilangan umat Islam. Pemikiran sebegini harus dihindari...

Baiklah, bagi mengakhiri entri kedua khas Syawal ini, marilah kita renung ‘amalan bid’ah’ yang dibuat oleh sahabat baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, Bilal bin Rabah. Beliau merupakan salah sorang sepuluh sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah tanpa perhitungan hisab.Beliau terkenal akan keteguhan imannya dijemur di tengah panas membakar padang pasir. Darjatnya diangkat menjadi muazzin (orang yang melaungkan azan) bertama umat Islam. Sehinggakan, begitu tinggi penghormatan atas beliau, di Nusantara ini muazzin digelar sebagai ‘Bilal.’


Bilal bin Rabah, merupakan orang rutin hidupnya mengejutkan baginda sallallahu alaihi wasallam pada waktu subuh di rumahnya. Pada suatu hari, baginda berkata kepada sang muazzin, “Wahai Bilal, apakah yang engkau buat dalam hidupmu, sehinggakan aku mendengar tapak-tapak kakimu di syurga?”

Bilal bin Rabah, yang sosok tubuhnya yang hitam legam, adalah hamba abdi yang hina dina asalnya di pandangan manusia telah didengar tapak kakinya di syurga! Mendengar khabar gembira tersebut, menjawab, “Wahai Rasulullah, saya sentiasa membaharui wudhuk saya. Apabila wudhuk saya batal, maka saya akan mengambil semula wudhuk saya.”

Nabi sallallahu alaihi wasallam mengiakan perbuatan Bilal, yang baginda sendiri tidak pernah menganjurkan amalan tersebut kepada sahabat-sahabat pada sebelumnya. Bertitik tolak kepada hadtih riwayat Abu Daud tadi, adakah kita sanggup mengatakan Bilal, yang telah dijanjikan syurga, yang tapak-tapak kakinya kedengaran oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam adalah orang yang membuat sesuatu yang baru, yang menyesatkan dan mengheret beliau kepada neraka?

Siapakah kita mengatakan sedemikian? Fikir-fikirkanlah...

Pautan berguna:
1. Kertas kerja Pengertian Sebenar Bid'ah: Pengertian Sebenar dalam Islam bersempena Multaqa Ahli Sunnah Wal Jamaah Anjuran Yayasan Sofa Negeri Sembilan 13 Safar 1429 bersamaan 29 Februari 2008 di pautan ini.

2. Gerakan Tabdi' / Membid'ah oleh Allahyarham Ustaz Awang Pon Awang Sebon, murabbi keluarga besar ABM-PERKEPIS-ABIM Negeri Sarawak di pautan ini.

3. Pengalaman saya, di Aku di Persimpangan Jalan di pautan ini.



Berjasa Kepada Masyarakat

2 comments:

Ummu Fateh said...

LIKE

Siti Syazwan said...

salam. ingin tahu dan bertanya. mmg dr qardawi dan yg lain2 nya wahabi ker? ini soal akidah bukan? sy bdk br belajar. from byk2 blog, sy kdg2 jd keliru. plus, dr asri, kebykkannya apa yg dikeutarakan bernas juga. sy sbg org awam jd takut melihat org2 yg berilmu berdebat mgatakan masing2 betul dan salah. sekian.

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...