Monday, September 27, 2010
Manuskrip Tinggalan Lama... Armada Khazanah, Panji-panji Akidah
Sewaktu mengemas dan menyusun fail-fail penulisan, saya terjumpa ‘manuskrip lama’ penulisan saya suatu ketika dahulu. Kertas-kertas ‘manuskrip’ tersebut telah bertukar kepada warna kuning. Cerpen ini merupakan antara cubaan-cubaan awal untuk menulis secara serius. Bertarikh pada 30 Jun 2006, cerpen ini merupakan nukilan setelah karya pertama saya, Syuhada’ Awanan 1973 (setahun sebelum Galaksi Muhsinin ditulis pada pertengahan 2007) siap. Sebagai manifestasi kepada kecintaan kepada sejarah, maka cerpen berilhamkan latar belakang tamadun Islam Melaka mewarnai Armada Khazanah, Panji-panji Akidah...
Berikut merupakan teks asal ‘manuskrip’ tersebut tanpa diubah, melainkan sedikit sahaja penyesuaian dan beberapa pembetulan ejaan.
1409 Masihi
Pondok pemerhati Bukit Melaka
Pelabuhan Entreport Melaka
Daulah Kesultanan Melayu Melaka
Matanya tajam seperti helang. Hatinya cerah laksana mentari. Bijaknya laksana hakim. Di sisi pinggangnya senjata kebanggaan bangsa, keris warisan nenek moyang 7 lok ukurannya. Namun, bukan keris itu kuatnya, bukan tangkal tuahnya, tapi kuatnya kerana takut akan Tuhannya. Ia gagah berani mempertahan Daulah Melaka, kerana cintanya rakyat terpelihara, keamanan terjaga, da’i bebas melebarkan kalimah Tuhannya kepada umat Nusantara sekitar Selat Melaka.
Matanya teliti mengawasi Selat Melaka. Sesuatu yang ganjil melanda, luar biasa. Sudah lumrah, biasa baginya lancang Nusantara, layar Koromandel, tongkang Cina, safinah Arab, Parsi, Tanjung Harapan dan berbagai bentuk dan besarnya. Laksamana hairan mengapakah lainnya hari ini.
“Subhanallah, apakah tuan hamba lihat apa yang hamba lihat?” keluh resah Laksamana.
“Wahai Laksamana, hamba faham maksud Laksamana, apakah gerangan ini gerombolan Siam menawan Melaka?” jawab hulubalang di sisi Laksamana.
“Bukan, wahai hulubalang setia,” ujar Laksamana.
Sambungnya lagi, “Hamba lihat layarnya lain, besarnya lain, susun aturnya lain, tidak pernah hamba lihat seagung sebegini.”
“Namun demikian, apakah tuan hamba rasakan?” hulubalang ingin tahu.
“Hamba pernah lihat betapa kuatnya bala tentera laut Siam, tapi hamba tiadalah pernah terlihat, terasa yang setakjub sedemikian!” kagum Laksamana.
“Maha Suci Allah di seballik yang besar, ada yang besar dan yang sangat besar, adalah terlebih besar. Manusia hebat menumpahkan keringat. Banyak ia tiada ketahuan. Alangkah, sebilangan manusia tiada sedar ada yang Maha Hebat mengaturnya! Lekas! Hamba rasa ada utusan jejakkan kaki di Pelabuhan Melaka. Pasti agung seraya hebat orangnya!”
Bergegas dua pahlawan menuruni bukit. Tiada kereta kabel, tiada pacuan empat roda, ataupun helikopter menerbangkan mereka senang-lenang ke kota raya Melaka; pelabuhan Melaka. Atas dasar tanggungjawab memenuhi amanah pelindung daulah, kerana iman, apapun sanggup diredah.
Lamanya berjalan, tetapi dipercepat agar hajat tercapai. Selat Melaka luas terbentang. Pelabuhan Melaka sibuk belaka! Sukar diredah kerana ramainya manusia.
“Rempah!” laung saudagar Makasar.
“Beras!” (kedengaran) tawaran lumayan saudagar Siam.
“Pinggan!” (riuh) rundingan harga saudagar Tiong Hua.
Begitulah, masygulnya kota pelabuhan Melaka. Tumpuan pedagang seluruh dunia. Venice di Eropah tenggelam dek masyhurnya Melaka. Pendek kata, ia pusat pedagang dunia. Pedagang merentas laut bergelora, meredah benua, musafir bersakit-sakit ingin bertandang di kota Melaka.
Pengembara berangan-angan bagaimana gemilangnya Melaka. Tidak kurang, ada yang tiada puas hati, lantaran buta hatinya memendam dendam kesumat, inginkan kekayaannya, inginkan kemegahan, inginkan Islam, agama fitrah manusia (itu) lupus, terpadam dalam sejarah umpama dikoyakkan, dilonggokkan ke dalam tong sampah, luputnya daripada lembaran sejarah, bakal penjajah Ferenggi, Portugis laknatullahi alaihim dari ceruk Andalusia.
Di hujung jeti Melaka, nyata dihadiri pelawat yang luar biasa. Seseorang, aneh pakaiannya, seperti jubah Arab tetapi bukan jubah Arab. Di kepalanya seperti serban tapi ia bukan serban. Siapakah dia ini? Dia laind daripada yang lain. Paras rupanya seperti orang di belakangnya. Sepet matanya, nipis keningnya, putih-putih kulitnya. Sedangkan Melayu sawo-matang... Dialah Laksamana Cheng Ho ataupun Zheng He.
Ia merupakan Laksamana Armada Khazanah daripada Tanah Besar China, Dinasti Ming. Agama laksamana ini, ia tanpa malu segan akan menjawab, “Tiada Tuhan selain Allah, Muhammad (s.a.w) pesuruh Allah.” Dirinya seorang yang patuh kepada Tuhannya, berhati mulia dan bercita-cita tinggi. Kerana tinggi amanahnya, ia mampu mengendali Armada Khazanah ataupun Treasure Fleet yang jumlah kapalnya menjangkau 300 buah kapal pelbagai jenis. Bersamanya seramai dua puluh tujuh ribu kelasi daripada pelbagai bangsa dan agama. Ia membawa hajat perutusan Maharaja Tanah Airnya dengan menawarkan keamanan dan menjalin hubungan mesra sesana daulah, Daulah Melaka dan Dinasti Ming. Sudah tentunya tererat jalin kerana Laksamana Cheng Ho seakidah dengan Sultan Daulah Melaka.
Rendah diri Laksamana Cheng Ho katanya, “Assalamualaikum, syukur dengan nama Allah, Ia izinkan kami belayar atas ketentuan-Nya. Samudera yang luas ini ketiadaan izin Allah, maka kami tiada sanggup merempuhnya.”
“Alaikumsalam, syukur kepada Allah, saudaraku! Hamba berbesar hati, apakah hajat gerangan kedatangan tuan hamba sekalian?” sambut Laksamana Melaka.
“Besar hajat hamba, sekalian hamba ingin mengadap sultan, menawatkan, menyebarkan keamanan segenap rantau yang luas ini. Hamba ingin hulurkan hajat Maharaja hamba serta siratulrahim buat Sultan Daulah Melaka,” jelas Laksamana Cheng Ho.
“Daulah Melaka berbesar hati mengurus kalian mengadap Paduka Sultan, sudilah tuan hamba sekalian,” jemput Laksamana Melaka.
Maka mengadaplah perutusan Dinasti Ming, penguhulunya Laksamana Cheng Ho. Paduka Sultan yang sedang masygul bersemayam di balai istana memikir, adilkah daulah berasa girang serta lapang dada menerima tawaran dan kunjungan duta Maharaja China.
Maka terjalinlah persahabatan dua daulah yang punyai sama akidah, musuh mendatang bakal terima padah dan kesatuan umat tiadalah goyah. Rakyat terbela nasib, sentosa akidah, selamatlah umah!
Cukup ketentuan, armada yang agung belayar pergi. Nakhodanya tahu ke mana ia pergi, Makkah ataupun Tanjung Harapan, siapa tahu, tiadalah yang mustahil bagi hamba Allah bernama Cheng Ho yang berangan-angan besar da ia cekal berusaha meredah gelombang arus taufan, mehnah dan tribulasi laut, bahkan pelayaran kehidupan.
Pondok pemerhati Bukit Melaka...
“Khabarnya tuan Laksamana pertimbangkam di manakah gerangan Laksamana Cheng Ho yang mulia berada? Mungkinkan ia tiba di Kota Makkah seperti yang ia impikan? Sudah sepurnama berlepas ia dari Kota Melaka,” rindu hulubalang buat saudara seagamanya kepada Sang Laksamana Melaka.
“Tuhan yang Esa Maha Tahu. Hamba tahu ia mukmin yang tabah dalam agamanya. Hamba yakin ia bukanlah manusia yang mudah terpedaya noda dunia, sebagaimana yang hamba dengan daripada Kitab yang mulia, Surah Yunus tempatnya, kalau hamba tiada tersilap, ayat dua puluh dua, mafhumnya:”
“Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan, belayar di lautan. Sehingga kamu berada di dalam bahtera, dan meluncurkan bahtera itu membawa orang-orang yang ada di dalamnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka bergembira kerananya, datanglah angin badai, dan apabila gelombang segenap penjuru menimpanya, dan mereka yakin bahawa mereka telah terkepung, maka mereka berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata. Mereka berkata: ‘Sesungguhnya jika Engkau menyelamatkan kami daripada bahaya ini, pastilah kami termasuk golongan yang bersyukur.’”
“Allah sambung lagi kesudahan ayat yang kuujarkan kepada tuan hamba, dalam ayat yang terkemudiannya:”
Atas: Perbezaan saiz antara Kapal Khazanah Laksamana Cheng Ho dan kapal Christopher Columbus.
“Maka tatkala Allah menyelamatkan mereka, tiba-tiba mereka membuat kezaliman di muka bumi tanpa alasan yang benar.”
“Sebagai natijahnya, Allah mengingatkan amarannya, lantaran ayat tadi disudahi:”
“Hai manusia, sesungguhnya kezalimanmu akan menimpa dirimu sendiri, hasil kezaliman itu hanyalah kenikmatan hidup duniawi, kemudian kepada Kami-lah kembalimu, lalu kami khabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”
Ujarnya Laksamana lagi, “Demikianlah, janganlah sekali-kali kufur kepada Tuhan sekalian alam, Allah, wahai tuan hamba!”
“Hidup ini ibarat pelayaran, kita lahir ke dunia sebagai nakhoda bahtera hidup. Kampung kita syurga dan kita belayar di lautan kehidupan. Suatu ketika, bahtera hidup selamat bersinggah memunggah bekalan di pulau dunia. Persinggahan dikau tiadalah kekal. Tuan hamba wajib belayar kembali ke kampung halaman kita sekalian, syurga abadi,” bermadah sebentar Sang Laksamana Melaka.
Sang hulubalang menyahut, “Benar wahai Laksamana. Dalam sekembalinya ke tanah air, pastinya bahtera hidup dipukul ombak ujian Tuham, angin nafsu dan kemaksiatan.... andailah nakhoda tiada hati kental, maka tenggelamlah ia di lautan kehidupan dunia yang hina dina!”
“Wahai Laksamana, besar sungguh pengajaran Tuhan. Disuruh-Nya lihat bagaimana belayar, bagaimana hidup ini sebenarnya. Sudah lumrah kebiasaannya, bertambah takjublah diri manusia tika ia melihat besar anugerah Tuhan melalui alam. Benarlah kalimah nenek moyang kita, jauh perjalanan, luas pemandangan.”
Sambil membelek keris tujuh loknya, Sang Laksamana teliti mendengar sahabat setianya, seraya bibirnya memulai sesuatu, “Benar ujaran tuan hamba. Tuhan sayangkan kita. Tuhan berikan nikmat teragung buat hati-hati kita. Tuhan kurniakan nikmat Islam dalam kalbu kita. Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam penunjuk jalan kita. Tuhan jadikan kita mulia kerana agama yang Ia kurnia, bukan kerana bangsanya, bukan kerana gagahnya, bukan kerana kerisnya. Bahkan bukan sekali-kali kerana tuah tangkalnya!”
Tersentak Sang Hulubalang yang tadi asyik mendengar temannya di pondok pemerhati kota pelabuhan Melaka. Bayu laut Selat Melaka meenghembus sepai sepoi bahasa.
“Kita sepatutnya bersyukur, kerana Tuhan bebaskan kita daripada kegelapan kekafiran kepada hidayah yang cemerlang gemilang sinarnya. Ditembusi hamba-hamba-Nya dengan arus fitrah agama-Nya atas dasar kasih sayang-Nya.
Namun demikian, jikalau tiada (asbab) saudagar-saudagar, maulana-maulana seakidah kita sekarang, nescaya samalah akidah kita dengan nenek moyang kita, sembah pokok, gajah, unggas, sekalipun peliknya menyembah patung-patung buatan tangan mereka sendiri!” jawab Sang Hulubalang.
Tergelincir matahari. Bayang tegak di kaki pondok mulain membesar dan menjulur ke timur, waktu Zuhur bagi kota Melaka. Belum ada beduk, belum ada bang kedengaran. Sang Laksamana faham, sampai waktu mengadap Tuhan, Raja segala Raja.
“Wahai sahabatku yang setia, syukur kita pada Tuhan, kita wajib patuhi anjurannya serta kita jauhi larangannya. Kita sebaik-baik umat. Kita seru kebaikan, seraya kita halangi kemungkaran. Islam seagung, semulia-mulia nikmat, kita syukuri Tuhan dengan kita sayangi agama pilihan ini, kita pertahankan, dengan iman, tiadakan Islam hilang Islam di dunia.”
“Buk! Buk! Buk! Allahu Akbar Allahu Akbar!”
Kedengaran bunyi beduk dan seruan bang yang hebat dari kota Melaka. Dua pahlawan itu tahu kewajipan mereka. Sesudah solat Zuhur terlaksana, maka berehatlah sebentar berjumpa insan-insan yang menempati hati mereka, isteri solehah yang setia menemani kekasihnya dan anak-anak yang mewarisi perjuangan ayahnya, bakal pahlawan-pahlawan dan serikandi agama! Allahu Akbar!
Jam 0002-0218
30 April 2006
Kuching
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol
"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...
-
*Artikel ini telah saya tulis sebagai alat bantu mengajar kelas KAFA untuk murid-murid Tahun 2 beberapa bulan yang lepas. Mohon teguran da...
-
Segala puji bagi Allah, Tuhan Sarwa Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w serta para ahli keluargany...
-
Tika Syawal menjelma, pasti hati ini terkilan. Masakan tidak, terjadi satu peristiwa yang amat memilukan, memalukan, menghenyak benar akan k...
No comments:
Post a Comment