BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Tuesday, September 28, 2010

Konvo (2): SUPER Senior

Nostalgia


Konvo (1): Syukur Alhamdulillah...

Ogos 2009
Convest Fiesta, IIUM 25th Convocation,
Bilik C4.4, Mahallah Siddiq
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,
Gombak, Selangor


Hari itu baik sahaja. Matahari menyinar cerah dengan gembiranya. Seceria itu juga akan kegembiraan ribuan insan berada di pelusuk Taman Budi dan Ilmu ini. Masing-masing meraikan kemenangan meraih segulung ijazah menamatkan pengajian rasmi menuntut ilmu menara gading. Mereka memakaikan jubah berwarna hijau bersulamkan benang emas dan mengenakan topi bersegi empat berwarna hitam. Mereka bergambar di sana sini, tersenyum simpul bersama orang tersayang. Senyuman menguntum di mana-mana bak mekarnya kuntum-kuntum bunga di Taman ini.

Nun jauh di ceruk sana, angin sepai-sepoi bahasa, menyapa lembut, meniup-niup tabir jendela sebuah bilik sepi di tingkat empat. Lambaian tabir itu mencuri perhatian seorang teman. Ia sepatutnya berada di CAC, Cultural Activity Centre mengenakan jubah yang membanggakan keluarga, topi hitam yang diidam Allahyarham datuknya dan bergambar bersama-sama ibu, ayah dan ahli keluarga tercinta. Baginya bukan untuk tahun ini.

“Bila?” desis hatinya.


“Orang sudah habis, aku terkandas di sini. Bila aku akan habis? Oh, bukan. Bilakah aku akan berambus dari penjara ini?”

"Penjara? Astaghfirullah!"

“Orang bergembira di luar sana. Aku.... seorang-seorang di sini. Hendak keluar, di manakah hendak diletakkan muka ini!”

Pasti akan lahir pertanyaan ini jika berada di luar:

“Supersenior!”

“Engkau bila lagi habis!”

“Tidak habis-habis lagi?”

“Engkau sudah habis? Sudah kerja?”


“Astaghfirullah! Pasti ketentuan ini ada hikmahnya!”



Hati insan itu berperang. Antara menenangkan hatinya yang patah, punah ranah ataupun sedaya upaya mengangkat semangat kembali. Kecewa, hampa, putus asa. Semuanya diadun sebati.

“Dahulu aku pandang serong kepada orang yang digelar supersenior. Sekarang, padan muka engkau. Engkau adalah golongan yang engkau pandang hina!”

Hendak ditangisi, tiada gunanya. Subjek yang dikejar tidak kesampaian, dikendong keciciran. Kini dalam kapasiti hanya termampu setakat lulus dan selesaikan sahaja. Dirinya mendapati, aliran disiplin ilmu itu tidak mampu digarapnya.

Tidak ada orang yang mendengar. Diharapkan lulus semuanya dalam ujian semester yang lepas, tetapi ada tiga yang 'menyangkut.' Baki subjek ditambah lagi dengan subjek gagal memusnahkan harapan untuk menyelesaikan segalanya dalam masanya.



“Adakah salah aku mahu belajar, mahu lulus cara bersih?”

“Mengapakah ada yang memegang ijazah di luar sana, yang banyak meniru, mereka selamat, lepas, lulus? Aku di sini terkandas!”

“Astaghfirullah...”

“Adakah tiada cara lain untuk meraih ilmu melainkan dengan cara-cara itu? Mengapa mereka pula yang beroleh kejayaan?”

“Hanya sedikit sahaja lagi. Sikit sahaja lagi. Habiskan sahaja!”

“Buat apa? Belajar macam mana pun, tetap akan gagal, gagal, gagal, gagal dan gagal.”

“Adakah ada jawapan lain?”


“Sepatutnya dahulu buat macam mereka! Ataupun aku tukar bidang. Boleh dapat ijazah sekarang.”

“Astaghfirullah!”

Pandangannya dibuang jauh-jauh ke jendela. Hatinya keluh resah, akan kecamuk di dadanya.

“Adakah aku dihukum kerana mahukan belajar mendapatkan ilmu cara bersih?”

“Astaghfirullah... aku telah berburuk sangka kepada kejujuran...”

“Ataupun aku gagal secara bermaruah?”


Hakikat itu ditelannya dalam-dalam. Jika diingat insan-insan yang tersenyum di luar sana, pasti pilu hati mengenangkan diri terkandas. Jika dikenang bilakah tamat, entah bilakah azab ini ke penghujungnya. Entah setahun. Entah dua tahun. Entah selama-lamanya! Gara-gara ingin belajar dengan bersih; tanpa meniru menyalin kerja-kerja kuliah (photo copy), meniru dalam peperiksaan, mengampu, dan segala macam karenah: dirinya terkandas sampai bila-bila.

“Ya Allah... beratnya ujian-Mu ini! Kesetiaanku teruji!”

Dirinya tidak tertahan menanggung pilu. Hanya kitab-kitab dan buku-buku perpustakaan yang tersusun atas katil menjadi temannya. Tidak cukup almari dan rak, separuh katil dipenuhi dengan semua itu. Ditelan semua rasa dukanya.

Entah datang ilhamnya, “Baik aku meluah kepada seorang teman.” Ia menghantar sms, dalam bahasa ibundanya:

[Apalah daya kamek tok terkandas di sitok selama-lamanya. Urang tengah gembira konvo di luar nun. Kamek tok sik abis-abis lagik (Apalah daya saya terkandas di sini selama-lamanya. Orang sedang bergembira di luar sana. Saya tidak habis-habis lagi)]


Lega dadanya merasa diluah. Ia menyambung bacaannya, tanpa mengharap sangat balasan. Berbunyi telefonnya, sebuah sms selamat tiba:

[...Azrul, jangan bosan mencarik hikmah daripada kehidpuan. Berapa banyak graduan yang boleh hasilkan buku sendirik ketika masih belajar? Berapa banyak jak ahli gerakan yang boleh hasilkan buku & menulis blog penuh dengan hikmah, yang kitak dapat daripada kehidupan? Kitak orang ghorib antara yang ghorib. Sik rami orang kedak kitak sekalipun kitak jadi SUPER senior.

Sebab kitak ada nilai tambah yang ramei orang lain sik ada hatta ahli gerakan. Kamek tauk berat mata memandang, berat gik bahu memikul. Teruskanlah kekal dalam stabiliti kehidupan sekalipun ada kekurangan di sia sitok. Kamek ada soalan, apart from your akademik, adakah kitak rasa bahagia dengan apa yang kitak polah ari tok? Mudahan Allah kekal bersama kitak...
]

Terkejut, terkesima, tiada kata terucap. Tersentuh atas jawapan yang diterima, tidak tertahan sebak menahan linangan air mata. Tuhan telah memberikan jawapan melalui insan yang banyak peduli akan teman seorang ini.

“Wahai Tuhan, terima kasih! Rahmatilah dan berkatilah sahabatku itu!”
“Astaghfirullah... aku harus bersangka baik kepada-Mu!”

Angin sepai-sepoi masih bermain-main dengan tabir jendela sepi. Diambilnya sebuah naskhah bersejarah... Galaksi Muhsinin. Naskah yang telah ditakdirkan bergandingan dengan Ramadhan 1429H. Terbitnya bersama-sama kehadiran Ramadhan. Ia baru teringat, akan ‘gaji’ pertamanya daripada penulisan yang sukar ditandingi, walaupun oleh graduan sepatutnya mula bekerja selepas graduasi.

“Ya Allah... tika orang sedang bergembira berkonvo yang masih menganggur... sebenarnya Engkau telah berikan kepadaku rezeki yang lain. Engkau berikan bakat kepadaku... Pasti ada rahsia hikmah lain yang Engkau tangguhkan!”

"Masih ada harapan... masih ada harapan... masih ada jalan yang lain... Dia telah sediakan jalan yang terbentang luas..."

Aku merangkak di lorong yang gelap,
Aku meraba dalam gelita,
Terkadang tersadung batu,
Terluka dek duri,
Terhantuk dahan,
Di manakah sinar yang ku lihat tadi?
Lanteranya padam,
Atau dipecahkan?

Aku merangkak di lorong yang gelap,
Aku meraba dalam gelita,
Benarkah laluan ku ini?
Tadi terang gemerlap bercahaya,
Tiba-tiba hitam pekat durjana,
Ku tahu aku tidak buta,
Ataupun adakah salahku lupa membawa obor,
Andai padam semarak lantera,

Aku merangkak di lorong yang gelap,
Aku meraba dalam gelita,
Mencari hala,
Namun tiada berjumpa,
Pangkal hujungnya,
Benarkah tuju ku ini?
Benarkah pergi ku ini?
Benarkah jalan ku ini?

Aku merangkak di lorong yang gelap,
Aku meraba dalam gelita,
Mataku terkesan satu kemilau,
Adakah itu pangkal hujung,
Jalan ini?
Rasa indah terbit,
Harapan membunga,
Setidaknya kelihatan jalan,
Sekalipun kelam.

Aku merangkak di lorong yang gelap,
Aku meraba dalam gelita,
Bagai kaca hempas ke batu,
Begitulah hatiku,
Rupanya cahaya itu tiada nyata,
Namun ada di seberang sana,
Harapanku tetiba terbit menjulang:
Aku harus keluar dari jalan ini!

Aku harus keluar dari jalan ini,
Meski merangkak,
Meski tersadung,
Meski terluka,
Meski terkorban,
Mungkin kini hampir benar,
Dengan simpang harapan,
Agar diri upaya membelok,
Keluar dari jalan ini,
Buat selama-lamanya...

Tuhan, tunjuki aku!


Allah Maha Adil. Bukan sekadar rezeki itu sahaja. Ketenangan luar biasa. Angin sepai sepoi menyapa mendendangkan irama orkestra alam. Air matanya diseka.


PENGAJARAN: Pilihlah jalan betul-betul pada permulaan perjalanan, agar tercapai yang dihajati dengan sepenuh-penuh kudrat kekuatan. Kuatkan tekad, bulatkan matlamat. Apabila tumpuan kita pudar, kita sering kehilangan peluang-peluang berharga yang muncul dalam arus hidup. Andai kata terdapat jalan yang lebih baik, maka tempuhlah jalan itu. Teruskan perjalanan...

6 comments:

Shaz said...

Tahniah! and all the best in the future!

Ibnu Ghazali said...

Mabruk 'alaik..
Abg Azrul,t kasih atas pkongsian yg barangkali jiwa ini juga pernah merasa keperitan 'mahu belajar dgn cara bersih'..
..diri ini masih berjuang,perlukan kekuatan jiwa..
Allahu Allah..

SyukraNs said...

I like this post...

Alhamdulillah

<- super senior juak.. orang dah habis degree...kamek baruk nak mengorak langkah ambik ijazah..sekarang, menangguh gik pengajian Ijazah kamek..

apa-apapun jalan kita pilih, di hujungnya adalah penentuan..
Di antara jalan ke hujung, pasti ada yang terlepas bicara, terlebih rasa..

Ala Kulliy Hal

Semoga semua kita berjaya dunia dan akhirat

Serikandi Yaya said...

nice,....tersedar dari alam angan-angan kmk lepas baca cerita tok..lamak tok malar jak x puas hati kenak belajar subject yang x disuka,but after reading your article it opens my eye that everything we do,there is hikmah behind everything..which is up to us to take it as opportunity or burden.thanks anyway for the story you share...

SignsOfGod said...

Salaam. Alhamdulillah.
"Ya Allah, limpahkanlah kpd kami kesabaran dlm menempuh ujian hidup ini!"

Keep on going abg azrul!

psst.. mun ada "berita gembira", maklum2kanlah kt kmk k (",)

Nor Athirah bt Md Sharif said...

perancangan Allah itu Maha Hebat...

syukur bertunas redha.

redha berbuah ikhlas.

moga Allah permudahkan urusan kita semua.. ameen.

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...