Hari ini saya telah menerima buku yang dipesan dari negara salji. Dua buku tersebut ialah Malta 1565: The Last Battle of the Crusades dan The Arab Revolt: Lawrence Sets Arabia Ablaze . Kedua-dua buku ini diterbitkan oleh Osprey Publishing dan sukar didapati di Malaysia. Kebetulan pensyarah saya, Sdri Afidalina Tumian kembali ke tanah air baru-baru ini dari United Kingdom, maka saya mengambil peluang untuk memesan buku dari sana yang jauh lebih murah. Terima kasih kepada beliau :)
Buku Malta 1565: The Last Battle of the Crusades menyaksikan penceritaan secara terperinci penaklukan pulau Malta di Laut Mediterranean oleh tentera Daulah Uthmaniyyah ketika pemerintahan Sultan Sulaiman Qanuni pada 1565. Angkatan ini dipimpin oleh seorang panglima ulung Laut Mediterranean, Laksamana Dargut Reis. Beliau telah diperintahkan untuk menawan pulau kecil itu yang telah menimbulkan banyak masalah kepada perairan serantau oleh lanun-lanun (Barat menyanjung mereka sebagai wira) Kesatria Biarawan St. John. Lanun-lanun ini telah menimbulkan kekacauan, lebih-lebih lagi merompak kapal-kapal umat Islam untuk ke Mekah menunaikan ibadah Haji. Angkatan tentera laut dan darat ini memuncak seramai 60,000 anggota dan lebih daripada 250 buah kapal perang Derya-i-Humayun.
Tentera Uthmaniyyah telah berhadapan dengan tentangan sengit daripada Kesatria Biarawan St. John dan penduduk pulau Malta. Tempo serangan bermula dengan agak baik, tetapi dengan syahidnya Laksamana Dargut Reis, serangan tentera Uthmaniyyah menemui jalan buntu. Ditambah lagi dengan ketibaan armada Kristian telah memukul tentera Uthmaniyyah dan akhirnya berundur. Meskipun tidak berhasil mengandalkan dengan penuh kekuatan, namun tentera Islam Uthmaniyyah masih digeruni dan disegani kerana berhasil berundur dengan baik, bukti kekuatan disiplin persaudaraan tentera yang terdiri daripada bangsa Arab, Turki, Afrika Utara, Balkan dan sebagainya.
Natijah daripada peristiwa ini ialah, Barat menggunakan kesempatan untuk membaharui semangat perang Salib yang didendami sekian lama. Simbolik atas kemenangan Kesatria Biarawan St. John yang merupakan saki-baki Order Hospitaller, maka dendam mereka terlaksana jua. Peristiwa ini telah dirakam dengan baik pada abad ke-16 dan propaganda diwar-warkan bahawa tentera Uthmaniyyah boleh dikalahkan. Dan, dendam perang Salib tetap diteruskan!
Saya kira buku The Arab Revolt: Lawrence Sets Arabia Ablaze merupakan rentetan daripada Perang Salib, penaklukan Malta 1565 seumpamanya. Ini tidak dapat dinafikan lagi, apabila Jeneral Allenby 'Armegeddon' telah tiba di pusara Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan MENYEPAKNYA, serapa berkata,
"Wahai Salahuddin! Bangkitlah! Kami di sini!"
Seorang lagi jeneral tentera Berikat, Jeneral Ghuri telah mengucapkan, "Hari ini adalah hari berakhirnya Perang Salib!" pada hari kejatuhan Baitul Maqdis ataupun Jerusalem pada 1917.
Buku ini mengisahkan bagaimana umat Islam berbangsa Arab telah mengkhianati saudara mereka sendiri dengan menikam dari belakang dalam Perang Dunia Pertama pada 1916. Orang Arab telah bangkit menentang bermula di kota Mekah dan merebak ke seluruh Hijaz. Pemberontakan ini telah melemahkan tentera Uthmaniyyah yang sedang berjuang di medan Sinai, Palestina, Iraq dan Kaukasus. Begitu mudah, mereka telah digula-gulakan dengan jaminan harta dan kekuasaan daripada musuh yang sentiasa mengintai mereka.
Pemimpin Arab, Syarif Hussein* telah berkomplot dengan British melalui seorang perisik British yang bernama T.E. Lawrence. Kerana lagenda Lawrence berjaya menghasut bangsa Arab bangkit menentang Daulah Uthmaniyyah, maka dia telah digelar 'Lawrence of Arabia'. Lebih memilukan, 'Pemberontakan Agung' ini telah dimulakan di Tanah Suci Mekah. Tentera Uthmaniyyah yang sedang berjuang di medan Sinai dan Palestina terpaksa pula mengalihkan sebahagian sumber perajurit, kelengkapan, bekalan dan lain-lain ke rantau Hijaz.
Kesan daripada 'Pemberontakan Agung' ini ialah terpisahnya Jazirah Arab daripada wilayah Daulah Uthmaniyyah. Syarif Hussein yang menyangka akan diberikan kekuasaan kerajaan di Hijaz dan seluruh tanah Arab oleh British. Tetapi akhirnya beliau telah kecewa apabila mendapati British tidak mengotakan janji mereka. Bahkan, lebih parah lagi, British telah mengisytiharkan Deklarasi Balfour pada 1917 yang menjanjikan orang Yahudi menubuhkan negara mereka di Palestina pada 1948. Itulah akibatnya, sudah terhantuk barulah terngadah. Apakan daya, nasi sudah menjadi bubur.
Natijah daripada pemberontakan ini juga ialah umat Islam telah terbahagi-bahagi kepada bangsa-bangsa Arab yang berpandukan kepada nasiolisme sempit yang berasaskan perkauman. Akhirnya, tertubuhnya negara-negara Arab moden sehingga pada hari ini, iaitu Mesir, Jordan, Arab Saudi, Iraq, Syria, Lubnan dan sebagainya. Walhal, konsep ini amat asing kepada umat Islam yang disatukan bawah satu panji akidah sejak sekian lama. Jauhnya daripada panduan al-Quran dan sunah, lemahnya iman, dangkalnya ilmu dan hausnya pimpinan rohani umat Islam telah menjerumuskan kepada kelemahan demi kelemahan sehinggalah pada hari ini...
Insya-Allah kita akan bincangkan pada suatu hari nanti....
*Terdapat sumber mengatakan bahawa salasilah beliau tidak bersambung kepada baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Apapun, hal ini perlu dikaji lagi. Allahu'alam...
Berjasa Kepada Masyarakat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol
"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...
-
*Artikel ini telah saya tulis sebagai alat bantu mengajar kelas KAFA untuk murid-murid Tahun 2 beberapa bulan yang lepas. Mohon teguran da...
-
Habib Mohamad bin Alwi al-Attas (kiri) dan Habib Izzuddin al-Idrus (kanan) Jika berbicara tentang dakwah, pemerhatian saya para guru A...
-
Bisikan Tanjung Lobang (1) Bisikan Tanjung Lobang (2) Bisikan Tanjung Lobang merupakan cetusan andaian ataupun simulasi kepada pertem...
No comments:
Post a Comment