BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Wednesday, November 25, 2009

Kelibat Aneh Makhluk Tuhan


Suatu hari, saya bersama beberapa orang rakan di Seketariat PKPIM di Anjung Rahmat, Gombak. Usai solat Maghrib di surau tingkat 3, kami membentuk satu halaqah (duduk dalam bulatan) dan mula membaca al-Ma’thurat.

Al-Ma’thurat merupakan himpunan zikir-zikir yang ma’thur daripada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wassalam; sama ada suruhan baginda membaca ayat-ayat tertentu ataupun doa yang diajarkannya kepada para sahabat yang mulia. Amalan ini mengandungi ayat-ayat al-Quran dan Rasulullah sallallahu alahiwasallam yang disarankan untuk mengamalkan pada awal pagi dan lewat hari (Asar ataupun Maghrib).

Sedang kami membaca beramai-ramai seirama, tiba-tiba muncul seekor makhluk Tuhan yang tidak diundang. Tanpa kami sedari, makhluk itu telah mencuri masuk dan terus meluru ke ruang solat. Terkadang perhatian kami agak terganggu. Makhluk itu mengendap, menguis-nguis, berlari ke sana ke mari ataupun menggesel-geselkan badannya. Pendek kata, makhluk itu tidak tentu hala karenahnya.



Bagi sesiapa yang biasa berinteraksi dengan makhluk ini, kadang-kadang ‘mood’nya boleh di’baca’. Sama ada ia lapar, gembira ataupun sebaliknya. Pada fikiran diri ini, makhluk ini ‘mood’nya ‘bahagia.’ Lihatlah sahaja ia seolah-olah terlalu gembira (euphoria) sehinggakan apa sahaja jadi perhatiannya. Kami pun kadang-kadang tersenyum berpandangan sesama sendiri bersimpati dengan rakan yang terpaksa mengalihkan diri kerana makhluk itu sering melompat-lompat kepadanya.


Selesai pembacaan al-Ma’thurat, makhluk itu ‘ternah’ (duduk diam). Seorang yang berdekatan dengannya mengusap-ngusapnya.

Seorang sahabat berkata, “Lihatlah, kucing ini sangat gembira berada di majlis berzikir mengingati Allah. Kita beriman dengan perkara ghaib meyakini bahawa malaikat berpusu-pusu melingkungi kumpulan manusia dalam satu majlis zikir.”
Seorang sahabat menambah lagi, “Allah memberikan keistimewaan kepada makhluknya seperti binatang dapat melihat perkara-perkara ghaib.”

Balas sahabat tadi, “Tentulah. Inilah buktinya. Orang hari ini ada yang sibuk menegah masyarakat daripada berzikir beramai-ramai. Bid’ah kononnya. Mahu lihat bukti jelas, lihatlah kucing ini. Sudah tentu ada yang menyebabkannya terlalu aktif ketika zikir dan tenang semula selepas itu.”

Apabila satu kumpulan duduk berzikir kepada Allah Azza wajalla malaikat akan mengelilingi mereka dan mereka akan dinaungi rahmat, mereka akan dilimpahi ketengangan dan Allah akan menyebut-nyebut nama mereka kepada sesiapa yang ada di sisi-Nya. (Hadith Riwayat Muslim)



Selalu juga saya berfikir tentang hal ini. Ya, nampak kecil dan remeh kisah seekor kucing. Mungkin tidak perlu dibincangkan pun. Tidak nampak ilmiah ataupun mendatangkan sedikit keuntungan wang ringgit pada pandangan mata kasar. Namun peristiwa tersebut telah menjadi titik tolak untuk memerhati gelagat makhluk Tuhan yang istimewa ini. Kita kaji dua lagi pemerhatian.

Satu pemerhatian lazim ialah ketika berada di surau Mahallah Siddiq UIA. Surau ini adalah antara banyak surau yang sentiasa hidup. Terletak berada di tengah-tengah laluan mahallah lain, surau ini menjadi tempat persinggahan. Di kala sibuknya penuntut kelang-kelus (lalu lalang) keluar dan masuk surau, ada juga makhluk Tuhan ini datang bertandang.

Pemerhatian saya, makhluk Tuhan ini selalunya akan berada di surau pada waktu solat. Kadang-kadang ia melenggang kangkung di depan saf, menyelinap di sebalik kangkang makmum ataupun duduk pula di tempat sujud! Selalunya makhluk Tuhan ini akan mengiau-ngiau ketika makmun berbaris di saf masing-masing.

Pemerhatian lain ialah, makhluk Tuhan ini sering mengunjungi orang-orang yang sedang solat ataupun mengaji al-Quran. Pemerhatian ini bukan terhadap seekor sahaja, tetapi berbagai ekor (hitam, belang, bulu tiga warna).



Satu pemerhatian lagi ialah di Surau al-Jariyah, Pujut 9 Miri. Di sana ada sekeluarga makhluk Tuhan ini yang ‘berbangsa Siam’. Bulunya putih, bahagian sekitar mulut, matanya yang biru dan dahinya bertompok coklat. Ia selalu juga mengenakan ‘stoking’ warna perang di keempat-empat kakinya dan ekornya juga berwarna coklat pekat. Ia selalu sahaja mengunjungi makmun ketika solat ataupun yang sedang membaca al-Quran.



Pernah sekali jemaah sedang berkumpul untuk bertakbir Hari Raya Idulfitri 1430H yang lepas. Saya tiba agak lambat dan bersolat di sebalik tabir ruangan solat di belakang. Sedang berdiri menghadap kiblat, tiba-tiba muncullah sentuhan yang hangat daripada jasad berbulu. Kemudian terasa pula geli digesel-geselkan buku lali! Terpaksalah beralih beberapa kali kerana makhluk itu suka berada di tempat sujud! Makhluk itu ternah pula duduk di belakang sewaktu kami asyik mengalunkan takbir menyambut kemenangan kembali kepada fitrah; Idulfitri...

Berdasarkan pemerhatian ini, tidak dinafikan ada kebenarannya. Bahkan, seharusnya kita mencontohi makhluk-makhluk Tuhan ini yang dijadikan berbangsa-bangsa , sentiasa berzikir kepada Allah tetapi dengan bahasa dan cara yang kita tidak mengerti. Andai makhluk yang tidak berakal seperti ini tuntuk kepada ketentuan-Nya dan sentiasa berzikir kepada-Nya, ini kan pula kita yang berakal; yang boleh membezakan antara baik dan buruk sesuatu perkara.



Sudahlah kita umat akhir zaman ini malas dan miskin dalam berzikir dan berselawat, inikan pula menegah orang yang mengamalkannya?


Fikir-fikirkan...

Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang (al-Ahzab, 33:41-42)


Aku mengikut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Jika dia menyebut nama-Ku dalam dirinya, Aku akan menyebut namanya dalam diri-Ku dan jika dia menyebut nama-Ku di khalayak ramai, Aku akan menyebut namanya di khalayak yang lebih baik daripada mereka itu. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)


Berjasa Kepada Masyarakat


Rujukan:

Imam Hassan al-Banna, (2003). Himpunan risalah imam Hassan al-banna edisi bahasa melayu. Pustaka Salam: Batu Caves

1 comment:

afidalina said...

salam azrul, comelnya kucing tu!!

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...