BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Sunday, November 15, 2009

Aku di Persimpangan Jalan


Mengenangkan kini agak kamboh (kecoh) dengan penahanan seorang tokoh popular agama negara, inginku berhikayat sesuatu berkait rapat sekali dengan diriku. Kerana aku telah terkesan kepada aliran yang dipegangnya sejak awal pengajian universiti lagi. Kisah ini merupakan kisah benar yang telah aku lalui sepanjang beberapa tahun ini sehinggalah ditunjuki kembali ke persimpangan jalan. Sekalipun lencongan ke jalan lurus itu berada di penghujung keberadaanku di Semenanjung ini, namun aku yakin, semuanya telah ditentukan dengan hikmah oleh-Nya yang Maha Mengetahui segala rahsia.

11 Oktober 2009
11.30 malam,
Madrasah Hasaniah Yayasan Sofa Negeri Sembilan,
Majlis Haul Memperingati Syed Muhammad ibn Alawi al-Maliki al-Hasani


Majlis Haul Memperingati Syed Muhammad Alawi telah tamat. Perut pun sudah gembira menyantap nasi briani dan lauk daging. Kalau ada setalam lagi, tentulah nafsu dan perut mengiakan juga. Seolah-olah santapan itu telah menggugat pengisian rohani maulid Nabi Muhammad sallallahu alahihi wasallam dan kata-kata ulama baru sebentar tadi. Majlis ini dianjurkan oleh anak murid beliau, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki yang juga merupakan penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan. Syeikh Fuad juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan dan Nazir Masjid Taman TAR, Ampang Jaya.

Aku menunggu bersama seseorang (dengan panggilan Bang Adnan) untuk berangkat balik. Kami menaiki kenderaan yang sama ke sini pada petang tadi. Oleh sebab kami datang awal, maka perlu menunggu deretan kereta yang parkir di belakang.

Begitu ramai hadirin yang datang. Surau madrasah melimpah dengan manusia. Mereka hadir untuk meraikan ulama-ulama Ahli Sunnah wal Jamaah yang datang dari pelosok Nusantara.

Seketika menunggu, Bang Adnan bertanya, “Dah lama terlibat dengan aktiviti Syeikh Fuad?”

Mataku terbalik, kataku, “Tidaklah lama. Seingat saya Ramadhan pada 2007. Tetapi sejak beliau berpindah ke KL pada hujung 2008, barulah saya konsisten. Saya mula-mula tidak suka Syeikh dahulu.”

“Sebab apa?”

“Dahulu saya Wahabi.” Kemudian saya ketawa kecil.

“Wahabi?” wajahnya menunjukkan minat. Dia tersenyum.

Balasku, “Ya, syukurlah Wahabi tidak ikut sampai akidah. Setakat perkara-perkara khilafiah sahaja. Kadang-kadang terasa juga dah nak habis pengajian barulah ke pangkal jalan.”

“Tentu ada hikmahnya.”

Barisan ulama, 11 Oktober 2009

“Bagaimana boleh terlibat dengan mereka?” tanya beliau lagi.

Jawabku, “Saya seorang yang suka mencari dan berminat dalam mempelajari agama. Sebab itulah saya masuk UIA, antara sebabnya.”

“Dia Matrikulasi UIA, belum banyak saluran pengajian. Tetapi ketika itu ada seorang ustaz yang agak popular yang mengajarkan hadith. Begitu ramai yang terlibat, sehinggakan dewan kuliah yang besar penuh. Tidak cukup kerusi, mereka duduk di atas tangga.”

“Ketika itulah diselit-selitkan unsur-unsur yang mempersoalkan amalan-amalan baik dalam masyarakat, dengan mempersoalkan tiada dalil dalam al-Quran dan hadith seperti tahlil, wirid kuat selepas solat dan sebagainya. Oleh sebab itu sahajalah pengisian yang ada dan lebih-lebih lagi ustaz itu berkelayakan, maka saya terima bulat-bulat.”

Madrasah Hasaniyah, Bukit 9, Rembau

“Syukurlah, setakat itu sahaja, tidak sampai kepada perkara akidah aliran ini. Saya merasakan bahawa perlunya saya kembali kepada Quran dan sunah dalam erti kata sebenar. Itu sesuatu yang baik. Tapi saya telah tercicir satu perkara yang amat penting: mengambil kira para ulama yang menghubungkan kita kepada dua sumber itu.”

“Setelah menyambung pelaran di UIA Gombak, saya masih berpegang dengan aliran ini dan menjadi penyokongnya. Lebih-lebih lagi, rakan-rakan juga daripada lingkungan yang sama.”



Kemuncaknya ialah apabila tiba Hari Raya Idulfitri. Seingat saya, ketika itu pada tahun 2005. Keluarga sebelah ayah saya akan membuat bacaan Yaasiin dan tahlil serta mendoakan orang-orang tua kami.”

“Itulah peristiwa yang paling memilukan hati saya. Sampai sekarang saya masih terkilan. Oleh sebab telah terpengaruh dengan aliran itu, maka saya menganggap bahawa amalan tersebut adalah bida’ah, dengan berpegang bahawa setiap yang baru adalah bida’ah. Bida’ah itu adalah sesat dan sesat itu adalah neraka.”

“Dan, hujah yang saya faham juga, tidak akan sampai sedekah amalan-amalan tersebut kepada si mati. Sia-sia sahajalah amalan ini jika diteruskan.”



“Ketika membaca Yaasiin, saya baca Yaasiin. Tetapi ketika mereka membaca ayat-ayat, selawat, zikir dan doa lain, saya membaca Ma’thurat, kerana merupakan (salah satu) himpunan zikir Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam oleh Imam Hassan al-Banna. Dalam majlis itu, ayah saya mengepalai bacaan.”

“Suatu ketika, ayah saya berhenti, lalu menyerahkan buku tahlil itu kepada saya. Dia mahu saya menyambung bacaaannya. Saya serba salah. Hendak dibaca, nanti bida’ah pula, sebab Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam tidak buat dan tidak ada dalam al-Quran. Kalau tolak, nanti menipu ayah dan seluruh keluarga pula. Masakan saya tidak tahu membaca, sedangkan mereka maklum bahawa saya daripada UIA; sudah tentunya mengerti mengaji?”



“Mereka menunggu beberapa lama. Mungkin lebih 5 minit. Beberapa ahli keluarga sudah kehairanan menunggu. Saya berulang kali beralasan bahawa ‘saya tidak biasa’ dengan bacaan tersebut. Terdetik di hati saya rasa sedikit bersalah. Kerana merasakan diri berpegang kepada kebenaran.”

“Melihat wajah ayah yang nampak sekali kecewa, dia menyambung bacaan itu kembali. Saya terasa bersalah sekali, perasa betul menjadi luntur.”

“Bermula daripada hari itu, saya mempersoalkan; adakah selama saya berada di jalan yang betul? Adakah berpegang kepada kebenaran sehinggakan menyinggung perasaan seorang ayah dan berdalih dengan tidak benar itu betul? Adakah amalan yang baik ini dikira bida’ah? Membaca suatu surah yang mulia dan berzikir pada Hari Raya, serta mendoakan orang tua; merupakan bida’ah lagi sesat? Astaghfirullah!”

“Pada masa itu ialah gelombang ‘Tajdid’ yang begitu meyakinkan saya. Tetapi inilah titik betapa pentingnya seorang rakan. Sahabat saya, oh, dia tidak ada pada malam ini. Dialah yang banyak sedarkan saya. Melalui usrah, beliau banyak timbulkan usaha sesetengah golongan yang mengaku membawakan ‘Tajdid’ ini."

“Barulah saya mengerti sepenuhnya kenapa tahlil Hari Raya tersebut boleh berlaku. Tergamak sekali perbuatan saya pada hari tersebut. Astaghfirullah!”

Bang Adnan mengangguk. Aku menyambung lagi, sambil tersenyum, “Saya dahulu alergik kepada Syeikh Fuad.”

“Sebab apa?”

Syeikh Muhammad Fuad, di Haul Imam Habib Alwi al-Haddad, Ampang

Aku tertawa kecil, “Kali pertama saya menghadiri pengajian Syeikh ialah di Taman TAR, Ampang Jaya.”

“Saya dengan sahabat datang agak lambat. Kami duduk belakang. Pada malam itu, Syeikh mahu mengupas berkenaan sebuah hadith.”

“Apa masalahnya?”

“Sebelum mengupas hadith, beliau menyebut perawinya, satu persatu. Bukan setakat sebut sahaja, tetapi juga perkenalkan siapakah mereka. Disebabkan beliau banyak ceritakan berkenaan banyak karamah perawi-perawi tersebut, saya berasa ‘mual’. Sebab saya terdidik dengan aliran ini, yang alergik dengan perkara ini (pengalaman dan pemahaman saya).”

“Itu pun, masa hanya dihabiskan dengan menceritakan perawi sahaja, belum lagi syarah hadith!”

Dia tergelak. Katanya, “Selepas itu, bagaimana pula boleh terlibat semula?”
“Sekian lama, saya semakin mengenali beliau, gurunya Syed Muhammad ibn Alawi dan ulama-ulama yang juga anak murid Syed Muhammad Alawi.”

“Sebelum itu, saya sudah mula ikut pengajian Hikam Syeikh Fahmi Zam Zam dan Syeikh Nuruddin.”

“Bermula Ramadhan 2007, barulah saya kembali menyambung pengajian bersama beliau.”

Hadirin, Rembau, 11 Oktober 2009

Majlis tersebut dihadiri oleh ramai ulama. Mereka adalah antara ribuan anak-anak murid dan sahabat karib kepada Syeikh Syed Muhammad ibn Alawi al-Maliki. Beliau telah meninggalkan legasi yang amat berharga buat umat Islam. Di tangannya, lahir ribuan para ulama. Beliau telah menulis banyak kitab, merantau untuk berdakwah bertahun-tahun di negeri orang. Di Indonesia sahaja, beliau telah membina 30 madrasah dalam masa kurang dua tahun keberadaannya. Perkara yang mengejutkan diri ini, bahawa beliau dan rombongan keluarganya yang seramai 5 orang adalah orang pertama yang membawa qosidah (nasyid) Tola’al Badru ‘Alaina di negara ini sehingga kini.

Begitu rapat Syeikh Syed Muhammad Alawi kepada umat di Sarawak ialah, beliau merupakan seorang sahabat kepada seorang tokoh ulama Sarawak, Ustaz Awang Pon bin Awang Sebon. Syeikh pernah menziarahi Ustaz di kediamannya di Kuching.

Dua sahabat

Kedua-dua sahabat ini adalah rakan sebaya; mereka lahir pada 1946. Ketika tahun 1970 (25 tahun), Ustaz Awang Pon menamatkan pengajian ijazah beliau dan kembali ke Sarawak di Universiti al-Azhar. Syeikh Syed Muhammad Alawi pula, menyelesaikan Ijazah Kedoktoran beliau dalam bidang hadith dari universiti yang sama dengan taqdir mumtaz (cemerlang).


Syed Ahmad ibn Muhammad ibn Alawi al-Maliki (kanan) dan Syeikh Afeefuddin al-Kailani (kiri)

Dan, saya dan rakan-rakan pernah berguru dengan salah seorang murid kanan beliau, Ustaz Muhammad Alawi al-Attas (Habib Muhammad) yang menetap di Gita’. Syeikh Muhammad Alawi pernah difitnah oleh suatu pihak yang berkepentingan. Namun kesungguhan beliau mempertahankan Ahli Sunnah wal Jamaah dan melahirkan ramai ulama’, ulama masa kini menobatkan beliau sebagai seorang mujaddid (pembaharu, penguat) pada abad ke-21 ini. Beliau wafat pada 15 Ramadhan 1425H / 29 Oktober 2004. Majlis ini memperingati jasa dan ajaran beliau. Oleh sebab itu, putera beliau, Syeikh Syed Ahmad ibn Muhammad ibn Alawi al-Maliki telah dijemput.



Malam yang indah itu terasa begitu cepat sekali berlalu. Namun ada lagi perjalanan yang harus ditempuh. Rembau ke Gombak, bukanlah jarak yang dekat. Diri ini bimbang juga kepenatan keesokan harinya. Kerana ada dua program akan dilangsungkan; pada sebelah paginya ialah Wacana Pemikiran Syed Muhammad ibn Alawi dan sebelah petang-malamnya pula ialah penutupan kepada keseluruan Majlis Haul di Masjid Taman TAR (Tunku Abdul Rahman) di Ampang Jaya.


Mudah-mudahan, perjalanan ini memberikan kekuatan ampuh untuk meniti jalan yang jauh, panjang dan penuh dengan ranjau. Aku bersyukur sudah berada di persimpangan jalan...


Ikuti cerita penuh 'Peristiwa yang Mustahil Aku Lupa' yang menjadi titik perubahan dalam hidup ini dalam mengoreksi kembali jalan kehidupan yang ditempuh. Klik di pautan ini.

3 comments:

SignsOfGod said...

Salaam.
Makseh atas perkongsian. Sik tauk apahal entry tok mena2 molah mek berfikir. (sepjg hari mek mikey..huhu..) Fikir tentang jalan apa nok kmk ambik. Apa hala tuju mek & sbnrnya apa manhaj nok mek pegang. Sik pasal2 terus beli buku berkaitan tek.

Terus terang, mek sik pernah bena2 fahamkan ttg Wahabi. Mungkin sbb dr awal di Kuantan tok, dah di'set'kan dlm palak, Wahabi ya cuma label nok orang merik. Hakikatnya, seknya cuma golongan nok mok mengamalkan Quran & Sunnah dlm ertikata sebenar. Ya lah nok selalu dipadah penceramah2 sitok. Lagikpun, UIA kuantan, nang kuat ngan isu2 'beramal dgn nas or dalil yg sahih' (which is good i think). Isu ttg bida'ah pun jelas masa ya. Bida'ah ya harus diperangi. Tapi, perlu dengan hikmah. Orang yang menyeru kpd memerangi bida'ah ya pd masa yg sama menyeru kpd hikmah. Menyeru kpd persatuan umat. Tok dari matric gik Ust suka madah.

Prinsip ke-11 dlm Risalah Ta'alim (Hassan Albanna) "Segala bentuk bid'ah dlm agama yg tidak memiliki dasar pijakan, tetapi dianggap bagus oleh hawa nafsu manusia, baik berupa penambahan mahupun pengurangan, adalah kesesatan yang wajib diperangi dan diberantas dgn menggunakan CARA YANG PALING BAIK. Cara yang tidak menimbulkan keburukan yang lebih parah."

Hmm.. dlm keadaan masyarakat yg byk ngan adat @ budaya yg agak berbeza ngan syariat Islam, selalunya, perlukan keputusan yg pantas & bijak + hikmah dlm mendidik sidak. Contoh tahlil tek, mun diikutkan dlm Islam, sebenarnya, pihak yang kematian ahli keluarga, sik perlu molah semua ya. Maksud kmk, molah majlis & jamu org. Sedangkan, hak sidak untuk ditolong. sidak sepatutnya sik molah pa-pa, makanan pun sepatutnya muslim lain yg tolong sediakan masa2 kedak ya & hak sidak utk dibantu. Mungkin perkara kedak tok sik terasa oleh sidak nok berkemampuan, tapi, utk sidak nok hidup susah... dah lah kematian insan tersayang, terpaksa gik molah majlis & jamu org makan (melainkan disponsor). Riso juak mun ada yang mikey molah majlis ya wajib..Ya contoh kecik jaklah. Gine Islam ya sik mok menyusahkan umat.

Tapi, pada masa yang sama, realitinya, bukan senang utk mengubah kefahaman yg dah lamak menular dlm masyarakat. So, 'stand' kmk, cuma berik kesedaran ngan orang yg mudak2 supaya kefahaman yg salah ya sik terus sampe ke generasi seterusnya.. (Masih mencari petunjuk tok.. isk2.. gine mok molah). Generasi lamak, lebih kpd mghormati sidak & pelihara hak2 sidak... (hmm, tapi kamek sik teruji gik sbb dilahirkn dgn mak ayah yg tertarbiyyah & fhm Islam)

Apa2 pun, kpd Allah juaklah kta mohon petunjuk. Kamek yakin semua yg sdg berusaha utk embak Islam, sik kira siapa n dr aliran apa, ada petunjuk Allah yg menyinari seknya. Semua dilahirkan dlm lingkungan berbeza. Cara didikan berbeza. Menyebabkan cara masing2 pun berbeza. Tapi, pasti akidahnya sama. (Akidah Wahabi ya gine? Bukan sama jak kah? huhu.. kelaklah mek cari).

Cuma, memandangkan kita hidup sik lamak.. kmk kedirik, mun ukur umur standard (60 thn), ada lam 35+ tahun gik kat dunia tok. Semestinya dlm masa yg singkat ya, kta perlukan strategi yg TERBAIK dlm mendidik umat & embak da'wah tok. Dah alang2 molah da'wah, polah bena2. Biar kita jadi rantai2 penyambung da'wah utk generasi seterusnya. Bukan yg terputus di tengah jalan dek persiapan & strategi yg tidak teratur (fuh, berani mek nulis tok, betapa berat bebannya sik terkata). Sbb ya juaklah penting nangga kesan2 peninggalan tokoh2 da'wah sebelum tok. Ttg sejarah. Apa kesilapan nok dah dipolah, sik boh diulang. Apa strategi2 sidak nok menjadi, ya lah nok kita mok ekot.

Dan, selama-lamanya, kpd Allah juaklah kita mohon petunjuk agar ditetapkan jln menuju-Nya.

Maaf slh silap.
Makseh skali gik atas perkongsian.
Really, it is an eye-opener.

By the way, Ayat tok.

Azrul bin Jaini said...

Salam

Ayat...

-_-" tok la komen terpanjang seumor kamek berblog. Hohohoho... Apapun, makseh atas kesudian kitak.

Kamek tertarik dengan perbincangan kitak, pendapat lazim apabila mengenal Wahabiyah. Kamek bukanlah ahli dalam hal tok. Tapi adalah belajar dikit daripada empunya autoriti.

Antara masalah yang berlaku (tahlil contohnya) adalah amalan ya dah menjadi adat. Jadi, selalunya apabila kedak ya, maka orang akan ngekot molah apabila sampei masanya. Amalan2 bait tok memang Nabi saw atau dalam Quran sekda dibincang. Pendapat kamek, amalan2 bait ya ada sandarannya daripada nas Quran dan sunah, dan diterjemahkan oleh para ulama terdahulu dalam konteks masyarakat zaman ya. Tentu ada ijtihad sidaknya menganjurkan amalan2 kedak ya.

Kita nanggar, bandingkan kita dengan para ulama zaman dolok tok, mun kita mok mempertikaikan pendapat sidak:

1. Banding dengan kita, jaoh sekali kehidupan kita. Sidaknya dah menuntut daripada dada para ulamak, bahkan mencapai ratusan guru. Dan lagik, sidak telah hidup dengan sunnah ya. Banding dengan kita, siapakah kita tok?

2. Kita kaji riwayat hidup para ulamak, kadang2 menitiskan air mata. Betapa gigih sidaknya, hatta ada yang syahid berjuang, Islam ialah sampei kepada hari tok. Aok, mungkin susunan amalan ya adalah ijtihad dan usaha sidaknya. Tapi, apa yang kita polah pada hari tok?

Sejak datang ke universiti, kesedaran yang berharga buat kamek ialah pentingnya kembali kepada Quran dan Sunnah. Dan perkara tok, difahami dari banyak sudut. Aok, kita kembali kepada Quran dan sunah, tapi kita sebaiknya mengambil sumber ya daripada yang berautoriti (ulama, atau murid ulama terutamanya). Andai kita ngambik terus daripada Quran dan sunnah, ada kecenderungan kita akan mentafsirkan dengan akal kita dirik. Dan akhirnya kita jadi keliru@mendapat pemahaman yang sik sama kedak orang yang faham.

Ataupun, fenomena kamek dirik sebelom tok, ingin terus kepada sumbernya dan merujuk kepada buku dan kitab. Akhirnya, kamek dirik keliru sebab tanpa bimbingan daripada guru.

Sigek lagik, setelah kamek mengikuti majlis-majlis talaqqi (berdepan dengan guru) tok ialah, kita menghargai orang-orang terdahulu, yang telah merantaikan dirik kepada Nabi Muhammad saw dengan susur galur sanadnya. Toklah yang mahal. Kita dah banyak terputus daripada rantaian tok...

Hohoho... melelat pulang. Jadi entri baru pulang. Sebenarnya hal tok memerlukan masa juak. Insya-Allah kita sama2 carik. Apapun, kitak tanyak ngan Abang kitak Nur Addin. Banyak dah kamek cerita ngannya. Kamek berik juak nya video2 kuliah berkenaan hal tok daripada Syeikh Nuruddin al-Banjari sebelom raya dolok. Kitak tanyak nya lah =)

*Talaqqi=>metodologi yang unggul telah melahirkan ramai ulamak besar sejak zaman berzaman. Medologi inilah yang telah dilaksanakan sejak zaman Nabi saw, sahabat, tabiin dan sehinggalah hari ini. Metod inilah yang telah menghasilkan beberapa generasi unggul; Generasi Salahuddin di tangan Imam al-Ghazali dan Syeikh Abdul Qadir Jailani. Untuk memahami perkara ini, sila ke entri saya sebelum ini; "Generasi yang Kudamba": http://mujahidnusantara85.blogspot.com/2009/07/generasi-yang-kudamba.html

MiraculousSigns said...

(^_^)

Makseh atas respon yang "setimpal"
JZKK

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...