BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Monday, June 29, 2009

Kenang-kenangan Majlis Maulid Masjid Negara (1)

Sebenarnya malam itu juga pada 11 April 2009 aku karangkan nukilan ini, kerana bimbang mutiara hikmah alim ulamak hilang satu persatu dek lemahnya ingatanku. Syukur, dikurniakan kelapangan untuk melengkapkan entri ini. Mohon maaf entri ini terlalu panjang. Inipun terpaksa diringkaskan. Untuk mencatatkan ucapan para ulamak, memakan ruang 8 muka surat diari. Berikut merupakan kenang-kenangan majlis tersebut.

Atas: Ole-ole Majlis Maulid daripada Amanah al-Wariseen; kitab Qosidah al-Burdah (Imam al-Busairi, lahir 608H / 1212 M)

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Tuhan yang menjadikan langit dan bumi serta antara keduanya dengan Rahmat, Kebijaksanaan dan Kasih Sayang-Nya. Dialah yang mengutus rasul di kalangan sekalian manusia. Dan disudahi dengan penghulu sekalian Rasul, penyudah Nabi-nabi dan kekasih-Nya, Nabi Muhammad sallalllahu alaihi wasallam. Selawat dan salam atas baginda, ahli keluarga serta sahabatnya. Mudah-mudahan Allah melimpahi jua rahmat-Nya atas orang-orang yang menuruti jalan yang ditunjuki Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam sehingga Hari Kiamat, insya-Allah.

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan kehadrat Allah S.W.T., dengan izin-Nya, aku berkesempatan mengikuti satu majlis yang penuh barakah, Majlis Maulidur Rasul sallallahu alaihi wasallam dan Haul (Memperingati) Syeikh Abdul Qadir Jailani. Program dianjurkan oleh sebuah badan Amanah al-Wariseeen dengan kerjasama Kinverwell Sdn. Bhd. dan KSG Resources (M) Sdn. Bhd. Kedua-dua syarikat dipunyai orang Islam dan menjalankan perniagaan minyak dan gas. Badan-badan ini terlibat dalam aktiviti kebajikan dan menyebarkan kefahaman tentang Islam serta menyebarkan kecintaan terhadap Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

Syeikh Afeefuddin, wakil pihak penganjur merupakan salah seorang daripada ahli lembaga perniagaan tersebut dan merupakan salah seorang daripada keturunan Syeikh Abdul Qadir Jailani (lahir 470H / 1077 M). Syeikh Abdul Qadir Jailani diiktiraf oleh para ulamak sebagai sultanul auliya’ (penghulu bagi segala wali) [1]. Program adalah berbentuk ilmiah; ramai para ulamak, waris anbiya’ telah dijemput antaranya ialah:

Sheikh Prof. Dr. Rafi Al-Ani (Mufti Besar Iraq)
Sheikh Dr. Ibrahim Salem (Penasihat Majlis Tertinggi Islam Australia)
Sheikh Dr. Ahmed 'Umar Hashem bekas (Rektor Universiti Al Azhar)
Ustaz Uthman el-Muhammady, Fellow ISTAC (Institut Kebudayaan dan Tamadun Islam)
Prof. Dr. Ali Jum’ah (Mantan Mufti Besar Mesir)
Sheikh Habib 'Umar Hamid Al Gailani (Presiden Lembaga Amanah Universiti Al Ahqaf Yaman)
Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin (Penasihat Yayasan Sofa & Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan)


Sebenarnya ramai lagi ulamak yang hadir dalam majlis ini. Sesingkat pemerhatianku, mereka tidak ingin menjadi perhatian. Ada di kalangan mereka duduk bersahaja di saf-saf bersama jemaah yang lain, walaupun ahli jawatankuasa puas memujuk mereka untuk duduk di kerusi dif kehormat. Antaranya ialah Prof. Dr. Abdul Razak al-Hasani, pensyarah Jabatan Bahasa Arab UIAM. Alangkah tawaduknya!

Alangkah beruntungnya berada di dalam majlis yang mulia ini, duduk di dalam majlis yang memperingati Tuhan dan menyemai rasa rindu terhadap baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam. Dan daripadanya, diisi jiwa yang sentiasa kering ini dengan curahan kata-kata yang menyentuh diri, agar kembali kepada Tuhan dalam erti yang sebenar. Walaupun pada mulanya terasa berat mungkin akan terkorban pada malam itu untuk persediaan peperiksaan minggu hadapan, namun tidak tergamak terlalu zalim terhadap diri ini melepas peluang keemasan begitu sahaja. Peluang tidak ternilai; mengutip mutiara kata-kata hikmah daripada Quran dan Hadith dihuraikan oleh para ulamak.



Dan syukur, Tuhan mengizinkan. Cuma aku kesal, golongan ulamak ini yang harus diberi perhatian ilmu mereka, terpinggirkan dan tidak diendahkan oleh arus perdana. Lebih mendukacitakan, golongan-golongan yang kurang adab mengherdik para ulamak, ataupun lebih parah mendabik dada diri mereka sebagai ‘ulamak’ yang sebenar-benarnya mencintai Nabi Muhammad sallallahu alaihiwasallam. Walaupun ramai yang hadir, namun aku merasakan, nisbah yang hadir terlalu sedikir berbanding nisbah umat Islam yang ada sekarang.

Majlis bermula pada 5.15 petang. Pada ketika itu, semakin ramai jemaah yang memasuki masjid dan memenuhi saf-saf yang kosong. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat Quran yang penuh barakah, daripada seorang saudara bernama Abdul Rahman Bozan daripada Turki. Beliau merupakan johan musabaqah di Eropah. Ya Allah! Ini suatu yang menakjubkan! Moga-moga sinar-Mu terus menembusi hati-hati manusia di sana!



Sebagaimana kebiasaan, aku membawa buku diari dan dua batang pen; pen hitam dan pen biru. Harapanku, ilmu yang disampaikan oleh para ulamak ini dapat kutulis, kusimpan, ku amalkan. Andai aku mampu, aku sampaikan. Sesungguhnya, aku merasa tanggungjawab yang besar kepada insan yang tidak hadir. Juga aku perhatikan, jarang sekali ada yang membawa buku catitan dan mencatat isi-isi yang disampaikan. Kecuali tiga orang adik (aku doakan mereka menjadi ulamak umat suatu hari nanti) yang comel, berserban gigih mencatit kata-kata ulamak (insya-Allah, aku ceritakan tentang mereka lain kali). Mudah-mudahan catatanku ini seperti yang dimaksudkan oleh para ulamak yang aku dengar. Dan mudah-mudahan, aku dan sesiapa yang membaca entri ini akan mendapat kefahaman yang sama. Aku pohon maaf atas kekuaranganku. Aku bermohon ampun kepada Allah dan semoga Dia menunjukiku. Allahu’alam.

Berikut merupakan isi ucapan tiga ulamak terakhir dalam menyampaikan ucapan mereka (yang paling menyentuh hatiku):

Prof. Dr. Ali Juma’ah, Mufti Besar Mesir (dalam bahasa Arab):


Prof. Dr. Ali Jum’ah telah dibantu oleh Ustaz Syed Ali Zainal Abidin (ataupun digelar juga Habib Ali) untuk menterjemahkan ucapannya di sisinya. Cara penyampaian dalam bahasa Arab diselang-seli dengan terjemahan bahasa Melayu adalah lebih berkesan dari segi makna, walaupun memakan masa yang panjang. Dari segi rekod penulisanku, bahagian beliau merupakan yang paling banyak dicatit.

Prof. Dr. Ali Jum’ah memulakan ucapan beliau dengan selawat yang disusun oleh Imam Syafie dengan maksud:


“Semoga Allah melimpahkan rahmat atas Nabi kami, Muhammad, setiap kali orang-orang yang mengingatinya dan orang-orang-orang yang melupakannya (p. 52).” [2]


Kami telah menyusul lafaz selawat tersebut sebanyak tiga kali setelah beliau menyebut selawat tersebut. Kemudian Ustaz Ali menterjemah, “Setelah dimulai dengan hamdalah dan selawat, telah diriwayatkan oleh Imam Syafie dalam kitab pertamanya.”
Kemudian Dr. Ali Juma’ah berucap kembali dan diterjemahkan, “Sejak hari kelahiran Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, baginda sentiasa mendapat penjagaan daripada Allah S.W.T.”

“Baginda diutus membawa rahmat kepada sekalian alam dan diberi kekuatan dengan mukjizat serta risalah kerasulannya.”

“Kerasulannya disaksikan ketika baginda hidup dan seluruh kehidupannya, manusia melihat mukjizat baginda. Ramai yang beriman setelah menyaksikan mukjizat tersebut. Para ulamak telah menyebutkan bahawa jumlah mukjizat tersebut mencapai 1000 mukjizat. Seorang ulamak Syeikh Yusuf Nabhani (bukannya Taqiuddin Nabhani pengasas Hizbu Tahrir) menuliskan bahawa mukjizat baginda sallallahu alaihi wasallam melebihi seribu mukjizat.”

“Sehinggakan dengan ini Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:
‘Bagaimanakah kamu akan keluar daripada agama ini sementara aku berada di tengah-tengah kamu?’”



Beliau menyambung lagi, “Kita pada hari ini meraikan juga Syeikh Abdul Qadir Jailani yang merupakan seorang auliya’ (wali). Allah telah menganugerahkan kekeramatan kepadanya, sebagai tanda, bukti bahagian mukjizat daripada para anbiya’.”

“Lebih daripada itu juga, kita hendaklah memahami bahawa Allah telah menutup para anbiya’ (nabi dan rasul) dengan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Kekuatan risalah itu, selain kerasulan merupakan risalah abadi yang dapat ditegakkan sepanjang zaman, supaya tidak bergantung kepada semata-mata mukjizat ataupun kekeramatan para wali walaupun benar apa-apa yang mereka (manusia sekitar mereka) saksikan.”

“Tetapi mereka (umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam) berpegang kepada mukjizat risalah dan mengajak manusia dengan dalil-dalil yang jelas dan membawa manusia agar mereka dapat membersihkan jiwa mereka.”

“Dengan mukjizatnya iaitu Quran, yang menjadi pegangan kita, manusia mendapat petunjuk. Mukjizat risalah, iaitu mukjizat kedua selepas mukjizat kerasulan ini, telah dijaga oleh Allah. Quran telah dijaga, tidak seperti yang berlaku kepada kitab-kitab yang lain, melainkan Quran.”


“Ramai kanak-kanak yang boleh menghafal Quran. Ini tidak mungkin berlaku kepada kitab-kitab yang lain, melainkan Quran sahaja. Mukjizat ini tampak jelas melalui bukti yang nyata; orang-orang Melayu di sini mampu menghafalnya walaupun tanpa memahami isi kandungannnya.”

“Ini merupakan ,mukjizat yang jelas atas Quran yang dijaga oleh Allah dalam tulisan, bentuknya, bacaannya. Ini baru sahaja membacanya, belum lagi memahami isinya yang merangkumi akidah, akhlak serta tuntutan-tuntutan yang lain-lain. Walaupun orang bukan Islam sendiri mengakui bahawa Quran itu sesuatu yang hebat, namun tidak ada kitab yang mampu menandinginya, kerana Quran telah dijaga oleh Allah, seperti yang termaktub dalam Surah Hijr, (15:9):

‘Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya’.”

“Allah juga menjaga sunnah baginda sallallahu alaihi wasallam dengan pelbagai sanad dalam meriwayatkan sunnah. Perawi (yang mengkhabarkan hadith) pada abad ke-5 Hijrah telah mencecah 20,000 orang perawi. Dengan sanad-sanad yang berbeza, sanad ini sampai kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Perkara ini tidak berlaku kepada orang lain di dunia ini, melainkan Nabi sallallahu alaihi wasallam.”

“Allah juga menjaga dan memelihara nama-nama sahabat baginda. Sehingga dikatakan oleh ulamak, bahawa jumlah para sahabat mencapai 10,000 orang merawikan hadith daripda baginda. Tidak ada dalam dunia ini di kalangan nabi-nabi, wali-wali, ataupun raja-raja yang mempunyai pengikut yang dijaga nama sahabatnya melainkan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.”

“Allah juga memelihara barang-barang milik Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam seperti pakaian, rambut, pedang-pedang dan sebagainya yang berkaitan kepada baginda. Barang-barang tersebut telah dijaga sehingga hari ini sampai kepada kita untuk mengambil barakah daripadanya. Bahkan, ada orang yang telah menyaksikan keajaiban berlaku kepada barang-barang tersebut. Percaya atau tidak,” syeikh mengungkapkan, “daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.”

“Nabi sallallahu alaihi wasallam telah dijaga dan dikuatkan oleh Allah S.W.T dalam namanya dan sebutannya. Allah S.W.T berfirman dalam Surah al-Insyirah, ayat 4:

“Dan Kami tinggikan sebutan (nama)mu.”

"Dan Surah al-Kauthar,”

“Sungguh, Kami telah memberimu (Muhammad) nikmat yang banyak; Maka laksanakanlah solat kerana Tuhanmu; Sungguh, orang-orang yang membencimu dialah yang terputus (dari rahmat Allah).”

Allah S.W.T menjaga akan kerasulan baginda sallallahu alaihi wasallam. Allah menjaga kuburnya dan tidak ada nabi dijaga seperti kuburnya (lazimnya kubur nabi-nabi terdapat khilaf di kalangan ulamak tentang tempatnya). Allah menjaga jasad baginda daripada diapa-apakan. Masakan tidak, kerana cinta kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam, khalifah Turki Uthmaniyyah telah memutuskan hubungan dengan kerajaan Portugis kerana mereka telah berniat jahat untuk mengambil jasad baginda.”

“Allah S.W.T juga menjaga sirah, kiblat, ahli keluarga, umatnya kitabnya dan menjaga daripada menyembah baginda, namanya dan sesuatu yang disebut oleh baginda. Oleh yang demikian, apabila kita ingin menyebutkan kedudukan Nabi sallallahu alaihi wasallam, adalah perlu untuk kita berselawat atasnya. Bahkan, seharusnya setiap saat kita memperingati baginda sallallahu alaihi wasallam.”

“Di akhir kalimat, hati-hatilah kamu untuk mendengarorang-orang yang tertutup hatinya daripada mengagungkan baginda sallallahu alaihi wasallam. Tidak ada jalan untuk sampai kepada Allah, melainkan baginda sallallahu alaihi wasallam adalah pintu kepada Allah. Orang-orang yang keras hatinya adalah orang-orang yang ditutup hatinya. Merekalah yang tidak akan dapat merasakan air Telaga Kauthar.” Nota berakhir di sini.

Sheikh Habib 'Umar Hamid Al Gailani (dalam bahasa Arab):


Ucapan Sheikh Habib 'Umar Hamid Al Gailani yang telah disampaikan dalam bahasa Arab telah diterjemahkan oleh Ustaz Syed Ali Zainal Abidin:

“Dalam mukaddimah beliau (Sheikh Habib 'Umar Hamid Al Gailani ) tadi, ‘Seandainya saya boleh bercakap dalam bahasa Melayu, sungguh saya akan bercakap dalam bahasa Melayu. Namun apakan daya, saya tidak dapat berbuat demikian. Saya terpaksa meringkaskan ucapan saya dalam bahasa Arab.’”

“Walaupun pada malam ini (majlis tersebut) panjang (lama), tetapi tentunya kita diselimuti dengan sakinah, ataupun ketenangan dan ketenteraman. Buktinya adalah kita mampu duduk dengan lapang dada kerana masing-masing bersabar walaupun majlis ini panjang. Dan kita tidak bosan kerana lama mendengar.”

“Buktinya ialah sakinah dalam majlis ini. Berapa banyaknya kita dengar nama baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam disebut-sebut dan ini merupakan kurnia Allah yang turun dalam majlis ini, berzikir dan mengingati Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.”

“Tentunya apabila seseorang cuba mengingati sepenuhnya peribadi Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, namun itu pun belum cukup untuk memenuhi peribadi Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.”



“Akan tetapi, Allah telah mengkhususkan kita sebagai umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang dipilih oleh Allah daripada kalangan umat manusia. Oleh yang demikian, sepatutnya kita merasa bersyukur dan memuji Allah kerana terpilih diberikan keistimewaan daripada sekalian manusia dan makhluk. Kita sebagai umat tengah, sebagai saksi umat terdahulu.”

Beliau menyeru, “Wahai sekalian umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, berselawatlah atas Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, tunjukkanlah rasa syukur kepada Allah dengan berselawat (atas baginda sallallahu alaihi wasallam). Semoga kita berada di bawah naungan bendera baginda dan mewarisi peribadi baginda.”
“Sesungguhnya antara insan yang menjadi penerus Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam ialah orang yang diraikan, iaitu Syeikh Abdul Qadir Jailani yang namanya disebut di mana-mana. Sesungguhnya ini adalah kehendak Allah namanya disebut (dimuliakan).”

“Syeikh Abdul Qadir Jailani, selain karamat yang diberikan seperti para auliya’ (wali-wali) yang lain adalah sebagai penguat, bukannya para wali tersebut bertujuan menunjukkan karamat mereka. Namun apa yang perlu dipelajari daripada (Syeikh Abdul Qadir Jailani) ialah kehidupannya dalam mengislah (membaiki) dan mendamaikan umat Islam yang bertelagah pada ketika itu. Walaupun telah berlalu 900 tahun, para cendiakawan sentiasa mengkaji peranan beliau sewaktu umat berselisih pada zaman tersebut.”

“Ini kerana Syeikh Abdul Qadir Jailani telah mendamaikan manusia yang berselisih pada zaman tersebut yang beliau juga mengikut jejak langkah datuknya Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.” Nota berakhir di sini.


Entri ini dicatit berdasarkan catatan dan yang didengari pada hari tersebut. Mohon andai ada salah dan silap.

Dikira-kirakan entri ini terlalu panjang. Insya-Allah akan disambung dalam entri seterusnya....


Berjasa Kepada Masyarakat



NOTA: Syeikh Abdul Qadir Jailani merupakan seorang ulamak besar yang pernah hidup pada suatu masa dahulu. Susur galur beliau terjalin terus kepada baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam melalui nasab Hassan bin Ali bin Abi Talib [1]. Beliau telah digelar sebagai sultanul auliya’ ataupun penghulu bagi para wali-wali. Beliau merupakan kesan langsung daripada tarbiah (pendidikan) pemikiran Imam al-Ghazali. Antara sumbangan besar beliau ialah secara langsung melahirkan satu generasi pilihan Allah, generasi Salahuddin al-Ayyubi yang bakal membebaskan Baitul Maqdis (Jurusalem) daripada cengkaman tentera Salib. Kesan perjuangan Imam al-Ghazzali serta munculnya Syeikh Abdul Qadir Jailani dan generasi Salahuddin telah dikaji dengan teliti oleh seorang ulamak, Dr. Majid Irsan Kailani [1]. Khabarnya beliau merupakan salah seorang daripada keturunan Syeikh Abdul Qadir Jailani.


Rujukan Tambahan:
[1] Dr. Majid Irsan Kailani, (2000). Kebangkitan generasi salahuddin dan kembalinya jurusalem ke pangkuan Islam. Thinkers Library: Gombak.

[2] Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki al-Hasani, (2009). Salawat pilihan. Sofa Production: Ampang.

[3] Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, (2008). Rahsia ketuhanan dalam syarah Hikam Syeikh Ibnu Atoillah al-Sakandari. Sofa Production: Ampang.

[4] al-Imam al-Hafiz Abdur Rahman ibn al-Daiba’ al-Syaibani, (2009). Ringkasan Sirah Nabawiyyah. Sofa Production: Ampang.

1 comment:

Shamsiah Mahli said...

Allahu Akbar! Majlis ilmu yg ku dambakan ada ditanah airku sendiri!

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...