Kuliah telah tamat. Terasa agak panjang meskipun hanya sebuah mukaddimah. Cahaya kepuasan bersinar daripada wajah para penuntut. Sungguhpun pada awalnya masih dalam kesamaran, para penuntut cuba menyesuaikan ataupun ‘tuned’ akan mukadimah ‘pengajian tadah kitab’ sesi pertama ini, kitab psikologi oleh seorang ulamak, yang berjudul Tuhfatul Maudud di Ahkam Maulud.
Penuntut kuliah mula beredar. Di sebalik hiruk-pikuk perbualan para penuntut, seseorang menyandang sebuah beg hitam, katanya, “Wan, udah minjam tek (Wan, sudah pinjam buku itu)?”
“Minjam? Buku ne (Pinjam? Buku apa)?”
Dia mengeluarkan sebuah buku tebal kulit keras berwarna merah lembut. Buku itu sama judul seperti yang dipinjam oleh Wan cuma berbeza tahun penerbitan. Katanya, “Aih, yang kita tangggar ria (Yang kita lihat pada tempoh hari).”
Balas Wan, sambil dahinya berkerut, “Aok, udah (Ya, sudah).”
Ia tersenyum, “Apahal? Ada sik kenak kah (Kenapa? Ada apa-apa yang tidak kena)?”
“Buku nok kitak tunjok ria eh, bias ada jak (Buku yang awak tunjuk hari itu sangat bias).”
“Bias? Kamek baca ok jak. Bahagian ne yang kitak baca(Bias? Saya baca tidak ada apa-apa masalah. Bahagian mana yang awak baca)?” Dia membelek kandungan bukunya. Ia menunjukkan perkara dalam kandungan, War of Independence 1948.
Katanya, “Mun bahagian awal ya, mungkin biasnya kuatlah. Sebab ya asal usul konflik bah (Kalau bahagian awal, mungkin biasnya agak kuat. Kerana itu adalah asal usul konflik).”
Wan menyoal, “Nya kah? Kamek mbaca bias gilak (Betul? Saya baca terlalu bias).”
Jawabnya, “Kamek mbaca yang Perang 1973, agak seimbang juak. Ada ncerita sebelah Mesir juak (Saya baca bahagian perang 1973, (perbincangan) agak seimbang. Ada menceritakan sebelah pihak Mesir juga).”
Tanya Wan sambil tersenyum, “Tauk kitak sapa penulis buku ya (Awak tahu siapa penulis buku itu)?”
Ia mengusap janggutnya, matanya berpinar ke siling, “Nama ya kedak urang Israel (Namanya seperti orang Israel).”
Wan menunjukkan bukunya, bahagian belakang, “Presiden Israel, Chaim Herzog.”
Matanya terbeliak, “Astaghfirullah. Sik sedar kamek.”
Segala puji bagi Allah, Tuhan sarwa alam. Dialah yang telah menciptakan alam ini dengan kasih sayang-Nya yang tidak terhingga. Dialah yang mengutus sekalian para rasul membimbing umat manusia agar kembali menyembah kepada-Nya yang Esa. Dan utusan risalah itu telah dilengkapkan oleh penghulu segala rasul, penyudah para nabi, khatamal anbiya’ junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Selamat sejahtera atas baginda, keluarganya, sahabatnya, serta orang-orang yang ikhlas mengikutinya sehingga Hari Kiamat.
Pertama sekali saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini entri ini. Pejam celik, rupa-rupanya tahun ini telah melangkah kepada bulan kedua; bulan Safar 1430H dan bulan Februari 2009. Syukur kepada Allah, masih diberi nafas, masih diberi tenaga dan nikmat beribadah kepada-Nya dengan aman.
Blog ini telah ‘sepi tanpa bunyi’ selama lebih daripada sepuluh hari. Kira-kira seminggu yang lepas, puncak Gunung Angsi setinggi 2500 kaki, di Kuala Pilah telah ditawan bersama-sama 6 bersaudara meskipun seolah-olah perjalanan itu tiada penghujung. Agar diri ini telah menyedari hakikat bahawa hidup ini adalah musafir satu perjalanan. Satu perjalanan yang di hadapannya onak dan duri lagi curam pula. Agar diri ini sedar bahawa adanya ganjaran yang disedia Tuhan. Ganjaran itu diyakini memang ada. Jauh daripada tampak di mata, namun tetap ada terukir di hati. Akhirnya, tiba di puncak jaya, segala kesukaran perjalanan itu dilupakan! Bukan dinikmati seorang-seorang, tetapi dinikmati bersama-sama!
Puncak Angsi telah ditawan, konflik di Gaza baru sahaja ‘berakhir’, buat masa ini. Namun perjuangan umat Palestina masih diteruskan. Buat penghuni seluruh dunia, mereka melepas rasa lega apabila kepungan zalim berbaur bacul selama tiga minggu telah berakhir. Tetapi perjuangan perit dilalui oleh saudara-saudara di Gaza. Selama ini kadang-kadang merasakan pertumpahan darah di sana seolah-olah sama sahaja. Rundingan demi rundingan. Seorang demi seorang dimamah peluru. Tidak ada penghujungnya. Konflik itu telah mencetuskan sesuatu dalam diri ini: Di mana silap kita sebagai umat Islam? Ataupun diri ini?
Mengapakah kita tidak mampu berbuat sesuatu yang konkrit apabila gergasi pengecut berhati dingin Yahudi melanggar Gaza? Di manakah silap kita? Apakah akar kepada masalah yang berlaku?
Atas: Pesawat pengebom-pejuang tentera udara Mesir, Sukhoi Su-7
Timbul ilham dalam diri ini, membuatkan hati dan tumpuan lebih teralih kepada permasalahan Palestina. Mungkin juga faktor ini, saya memilih untuk diam sebentar. Teringin benar mengikut jejak langkah Imam Ghazali. Berkat tulisannya, ia telah membina sebuah generasi yang unggul. Terasa terlalu kecil diri ini, hanya mampu mengikut jejak langkahnya... sekurang-kurangnya.
Apakah yang boleh aku lakukan? Suatu ketika konflik Gaza memuncak, saya terkenang. Tiga tahun yang lepas, saya pernah menulis sebuah novel fiksyen sejarah, tentang perjuangan merebut Palestina. Pada asalnya hanya ingin ditulis sebuah cerpen dalam lima hingga enam muka. Tetapi akhirnya telah berkembang kepada 50 muka! Novel itu telah dihantar kepada Puan Ainon, tetapi telah disarankan agar novel itu ditebalkan lagi. Insya-Allah, inilah masanya tepat disambung kembali!
Mungkin ada hikmahnya penulisan hanya sekerat itu sahaja. Antaranya ialah sumber pada ketika itu kurang sekali. Cakupan perspektif yang seimbang pula amat terhad. Alhamdulillah, masa berlalu. Buku-buku perpustakaan UIAM sebenarnya mempunyai sumber yang mencukupi untuk tujuan ini.
Novel tersebut diberi judul: Syuhada Awanan 1973, mengisahkan perjuangan seorang juruterbang pesawat pejuang tentera udara Mesir, MiG-21MF (buatan Kesatuan Soviet). Watak beserta rakan seangkatan bertarung nyawa menghadapi tentera udara Israel yang mempunyai taktik, pesawat dan persenjataan yang jauh lebih baik daripada segala yang mereka ada. Novel ini berlatarkan Perang Ramadhan yang berlaku pada Ramadhan 1393H ataupun pada tahun 1973. Perang ini juga dinamakan Perang Oktober ataupun Perang Yom Kippur, yang merupakan lanjutan daripada konflik antara Israel dan jiran-jirannya berbangsa Arab. Orang Arab, juga umat Islam seluruhnya telah kalah dalam tiga perang yang besar. Perang ini berlaku pada 1948 (Perang ‘Kemerdekaan’ Israel), 1956 (Perang Suez) dan 1967 (Perang 6 Hari).
Atas: Kokpit pesawat Mikoyan-Guverich MiG-21
Perang Ramadhan menyaksikan kemenangan besar pada pihak tentera Mesir dan tentera Syria ketika fasa awal serangan. Israel telah diasak dengan mengejut dari arah utara dan selatan. Mereka membalas, tetapi telah berjaya dikekang oleh tentera Arab.
Dengan bantuan Amerika, tentera Israel berjaya menjadikan kemenangan berpihak kepada mereka. Israel telah menyeberangi terusan Suez dan mengancam untuk mencapai Kaherah. Setelah 19 hari bertempur, akhirnya gencatan senjata yang ditaja oleh Amerika berjaya ditandatangani. Orang Arab kalah, sekali lagi Israel menang. Ya, kekalahan orang Arab. Juga kekalahan umat Islam. Nasib orang Palestina terus terabai sehingga kini.
Syuhada Awanan sekarang sedang disusun, ditambah dan diperelok kandungannya. Nyata saya merasakan menggalas bebanan yang berat. Fakta harus disampaikan dengan tepat dan benar. Kerana setelah mendalami sedikit sebanyak analisis fakta, konflik Palestina sebenarnya sangat kompleks. Salah satu berkait rapat dengan yang lain.
Sumber rujukan pula, banyak dihuraikan dalam bahasa Inggeris daripada sumber Barat. Dan sumber Barat tidak dapat dinafikan, mereka memperoleh maklumat daripada Israel, seperti yang dimaklumkan oleh saudara Wan pada awal-awal tadi. Sumber daripada pihak Arab (penulis Islam) pula sangat kurang, mungkin kerana tidak ramai yang mengkaji secara mendalam. Tambahan pula, kelemahan saya menguasai bahasa Arab membatasi diri ini untuk mendapatkan maklumat dalam bahasa Arab. Fakta-fakta ini harus diteliti agar dapat mengawal aliran persepsi Barat. Tidak dinafikan, terdapat juga buku dan laman web dan buku (tulisan Barat) yang mengkaji selain daripada sumber Israel, seperti David Nicolle dan Tom Cooper.
Penulis Islam pula, kadang-kadang terasa bahang emosi pada tulisan mereka. Apapun, insya-Allah sumber-sumber setakat ini sudah mencukupi. Perkara yang perlu ialah mengimbangi dan menapis fakta yang akan dimuatkan dalam novel kelak.
Saya mengambil keputusan untuk meneruskan novel ini dan menangguhkan seketika penulisan novel saifai. Ini disebabkan fiksyen sejarah memerlukan penelitian fakta yang tepat. Tambahan lagi, memandangkan pengajian saya akan selesai dalam tahun ini – insya-Allah – dan banyak sumber berharga tersimpan di perpustakaan UIAM. Saya harus menyiapkan novel ini sebelum kembali ke Sarawak. Berbanding dengan penulisan saifai, sebenarnya lebih mudah ditulis kerana saifai adalah dunia yang diciptakan dalam fikiran ini dan tidak memerlukan tumpuan fakta yang banyak sebagaimana fiksyen sejarah.
Mungkin inilah usaha sekelumit diri yang kerdil ini. Tidak layaklah jika dibandingkan dengan hebatnya Ihya’ Ulumuddin. Berkat akan keikhlasan Imam Ghazali,karangan beliau itu secara tidak langsung telah melahirkan generasi ulung yang membebaskan al-Aqsa daripada tentera Salib. Iaitu generasi yang cemerlang dengan ilmu disertai dengan indahnya amalan. Iaitu generasi pada masa yang sama amat teguh imannya, amat terkesan ibadahnya. Iaitu generasi Salahuddin al-Ayyubi, bintang bersinar yang menyelamatkan umat. Imam Ghazali tentunya sangat ingin melihat al-Quds kembali aman. Namun ketika tangan-tangan berdosa ditumpaskan dan dikembalikan kepada tangan-tangan yang berjasa, Imam Ghazali telah tiada. Kita harapkan ia bahagia di alam baqa!
Dikau berbunga di hatiku,
Berkembang mekar abadi selamanya,
Engkau yang kukenang dan kurindu,
Bagaimana dapat kubuktikan cinta,
Aku merana lihat engkau derita,
Angkara durjana dikau digenang darah,
Dirimu saksi perjuangan Anbiya’,
Amanmu sebentar cuma,
Telah takdir engkau pusara Syuhadaa’,
Tiada yang bermakna melainkan merdeka,
Ku yakin inilah saatnya...
Ku yakin inilah waktunya...
Syahid impianku engkaukan bahagia...
Buatmu Al-Quds...
Wahai Tuhan! Kuharapkan Palestina akan damai bahagia satu hari kelak!
1 comment:
salam...
Syabas dengan usaha yg telah, sedang dan yg akn dilakukan biarpun 'hanya mengikut jejaknya...'. Semoga usaha anta diberkati Allah swt...insyaAllah.
Post a Comment