Tuesday, October 28, 2008
Kembara Tanah Air (2): Bersama Saudagar Cencaluk
Kembara Tanah Air (1): Permulaan yang Keliru
“Kitak sik boleh drep (awak tidak boleh memandu),” kata Si Ibu.
“Kenak?” bersuara bukan tanda protes. Tetapi Si Anak inginkan penjelasan.
“Iboh kitak nok bulak. Kol brapa kitak tido malam tadik? Mak tauk kitak tido aher (Jangan nak mengelak. Mak tahu awak tidur lambat).”
“Aok,” jawab Si Anak tanpa bersoal lagi. Ya, memang dia telah tidur lambat, kerana menyiapkan kerja-kerja yang diperlukan untuk diemel kepada editor. Syukur kepada Tuhan, butiran terakhir untuk Galaksi Muhsinin sempat dihantar sebelum bertolak ke Kuching. Perjalanan pastinya jauh dan memenatkan. Tanpa rehat yang cukup, memandu bukanlah pilihan yang baik.
“Biar bapak jak yang derep. Bila-bila kitak bertukar dengan nya (Biar ayah yang pandu. Bila-bila dalam perjalanan boleh bertukar).”
“Aok (ya).”
Barang-barang rupanya telah dimasukkan ke dalam kereta. “Ah... memang ayah bersemangat. Belum sempat saya bertindak, dia sudah bergerak cepat,” kata Si Insan dalam hati.
Dia membantu ayahnya di garaj rumah. “Sekejap lagik kita dah boleh jalan. Nang ngangkut rumah lah kita tok (Sekejap lagi kita dah boleh jalan. Memang kita ini seperti berpindah rumah),” kata Si Ayah sambil ketawa.
“Dapat ndak Kancil tok jalan jaoh dengan barang banyak tok (Mampukah Kancil ini bertahan untuk perjalanan yang jauh)?” desis Si Insan.
“Kitak drepkah?” tanya Si Ayah.
“Mak sik nyuroh.”
“Boleh nak, kitak drep ke Bakam jak. Sia kita singgah. Bapak drep dari sia (Boleh saja, awak pandu ke Bakam sahaja. Kita singgah di sana. Ayah pandu dari sana).”
“Kenak singgah sia?”
“Kita ngambik Pakcik Musa."
“Pakcik Musa? Sapa nya?”
“Aih, nya sedara kita, sebelah Melano. Kitak sik pernah jumpanya. Kelak nya nunjok jalan ke Kuching. Bah, lekas kitak. Aher kelak (Dia saudara kita, sebelah Melanau. Nanti dia tolong tunjukkan jalan ke Kuching. Jangan berlengah, cepat bersiap).”
“Aok.” Si Insan mengemas dan memeriksa barangnya. Jika tertinggal, maka tetap akan ditinggalkan selama dua bulan lebih. Tidak ada yang akan sanggup menghantar ke Kuching. Si Insan sujud menghadap Tuhan. Mungkin inilah Duha yang terakhir di rumah ini. Tiada siapa yang tahu.
Berat hati tika melangkah pergi. Berat hati bagi Si Ibu yang telah mengandungkannya selama sembilan bulan. Lebih-lebih lagi dahulu si anak ini telah dilahirkan pada saat yang getir: tanpa bekalan elektrik. Perjalanan bukannya sekaki dua, sekilometer dua, tetapi lebih daripada seribu kilometer. Jalan bersimpang siur, terpencil. Apa-apa berlaku, mungkin tiada siapa yang tahu.
Namun hati bercampur baur. Berat pun ada, girang pun ada. Berat hati, kerana baru sahaja menjejakkan kaki pulang, kemudian pergi jauh untuk praktikal industri. Tidak sempat lama bersama keluarga. Hati merasa girang, kerana pengembaraan yang jauh akan memperlihatkan tanah airku sendiri. Bagaimana orangnya, bagaimana hidup mereka, bagaimanakah budi dan warna-warni umatku. Dan hatinya girang, dia bakal bersama orang yang selalu didengar khabarnya tanpa penat lelah berjasa kepada masyarakat, siang dan malam. Dia sangat menantikan saat itu.
Barang telah diperiksa. Semuanya telah dipadatkan dalam Kancil yang kerdil. Bak kata Si Ayah, umpama berpindah rumah. Si Insan memeriksa bahagian bonet. Kadang-kadang ketawa berbaur haru dalam hatinya. Periuk, prenpan, beras, gula, garam dan bermacam-macam barang dapur. Begitu semangat Si Ayah bertungkus lumus demi puteranya.
“Nah, kitak drep.” Si Ayah menyerahkan kunci.
“Mak sik nyuroh tek (Mak tidak benarkan).”
“Sik apa, sik jaoh ya. Sampei Bakam jak (Tidak mengapa, tidak jauh. Pandu sampai Bakam sahaja).”
Enjin dipanaskan. Tali keledar dipasangkan. “Sayang, Kak Zura dah pegi awal tek. Ya pun jumpanya ngantok-ngantok jak (Sayang Kak Zura sudah pergi awal. Itu pun jumpa dia dalam keadaan mengantuk).”
“Kakak kitak ya nang rajin. Pagi-pagi dah ke kedei (Kakak awak memang rajin. Pagi-pagi lagi dah ke kedai).”
“Morni Bakery...” desis Si Insan.
“Sik apa, nya pegi Kuching lagik kelak (Tidak mengapa, nanti dia ke Kuching).”
Si Insan mengundurkan kereta dari garaj. Si Ibu memerhatikan dari beranda rumah, beserta Si Adik. Jelas di raut wajah Si Ibu seribu satu kebimbangan. Si Insan tahu, hatinya sentiasa berdoa kepada Tuhan, agar dua mutiara hatinya selamat pergi dan pulang.
“Kirum salam ngan urang sinun (kirim salam dengan semua orang di sana),” kata Si Adik dari beranda tersenyum simpul.
“Napakah senyum ya (Senyuman awak bermaksud)?”
“Apa? Kirum salam ngan urang sinun, ” katanya dengan senyuman yang mencurigakan abangnya.
“Insya-Allah,” balas Si Insan dengan senyuman.
“Pegi lok mak (Pergi dulu, mak).”
“Bait-bait (baik-baik).”
Pedal minyak terasa ditekan dengan berat, hati juga demikian. “Udah jumpa Ngah tek (Sudah jumpa Ngah)?” tanya Si Ayah. Kereta Kancil sarat muatan meluncur ke hadapan.
“Dah.”
“Ya Allah, ya Tuhan. Peliharalah hamba-hamba-Mu ini. Selamatkanlah perjalanan mereka pergi dan pulang. Engkau redhakanlah perjalanan ini, pemergian ini. Tiada daya dan kuasa kami melainkan dengan izin dan rahmat-Mu.”
“Kita singgah Bintulu lok. Kita solat Jemat sia. Kakya kita singgah bermalam di Sibu. Mun terus ke Kuching, malam baruk sampei (Kita singgah Bintulu dahulu. Kita solat Jumaat di sana. Selepas itu kita bermalam di Sibu. Kalau mahu terus ke Kuching, agaknya malam baru sampai).”
“Aok. Paling-paling pun 12 ke 13 jam (Ya, sekurang-kurangnya 12 ataupun 13 jam).”
Perjalanan dimulakan. Si Insan masih punya kekuatan. Perjalanan diisi dengan perbualan pelbagai topik. Perjalanan ke Bakam melalui Miri Bypass, kemudian Lapangan Terbang Miri, Luak dan akhirnya di simpang Maktab Perguruan Sarawak. Dari simpang itu, melalui jalan pesisir yang disambut dengan lambaian ombak Laut Cina Selatan. Laut membiru dan jernih bak kaca-kaca kristal. Tentunya terasa nikmat kedaimaian akan belaian bayu laut ini.
Perjalanan tidak terasa bosan. Sentiasa ada cerita daripada Si Ayah. Dan Si Insan sebenarnya memerhati sekeliling perjalanan. Sekolah Menengah Sains Miri, Sekolah Menengah Agama Miri, Kem PLKN Sungai Rait dan tidak lama kemudian tiba di kampung Bakam di pinggiran jalan. Banyak rumah besar; ataupun mahligai milik orang-orang kaya di kanan dan kiri jalan. Boleh dikatakan inilah kawasan elit, tempat orang-orang kaya. Ya, orang-orang kaya daripada bangsa lain.
“Masok rumah ya. Rumah puteh ya rumah Pakcik Musa kitak (Masuk rumah yang itu. Rumah putih itu rumah Pakcik Musa awak).” Mereka sudah tiba di Kampung Bakam, kira-kira 10 kilometer dari Bandaraya Miri. Kampung Bakam didiami oleh orang Melanau, Melayu dan Kedayan. Masyarakat majmuk Islam dan bukan Islam hidup dalam suasana harmoni.
“Siapa nya pak?” Si Insan bertanya lagi. Dia membelok Kancil ke rumah bersaiz sederhana yang ditunjuki ayahnya.
“Kitak belom kenalnya. Kaktok kita berjalan tok kitak kenalnya lagik (Awak belum kenal dia. Nanti sepanjang perjalanan, awak akan kenal lagi).”
Seorang lelaki separa umur keluar dari rumahnya. Badannya sederhana tinggi, agak kurus. Raut wajahnya menampakkan bahawa ia seorang yang garang. Ia menyapa Si Ayah, “Toklah Azrul tek?” sambil bersalaman dengan Si Insan.
“Aok. Ya lah nya, nya praktikal di Kuching kelak, duak bulan lebih nak, Rol (Ya. Nanti dia praktikal di Kuching, dua bulan lebih, bukan, Azrul)?”
“Aok.”
“Ada barangkah yang kau mbak (Ada barang yang dibawa)?”
“Aih, ada. Begku sik gilak. Tapi ada sigek kotak maokku angkut. Kaktok aku ngambik (Ada. Beg saya tidaklah besar sangat. Tapi ada satu kotak yang mahu dibawa. Nanti saya ambil).”
Pintu bonet dibuka. “Muatkah ndak tok pak (Adakah muat bonet ini)?”
“Padat ajak.”
“Apa ya pakcik?”
“Cencaluk.”
“Pakei apa kitak, merik urang ka (Untuk apa, mahu beri kepada orang)?”
“Sekda eh. Pakei berjual. Berdagang kamek eh (Tak adalah. Untuk dijual. Saya nak berdagang di sana).”
“Sempat juak kitak.”
“Ada belacan Bekenu juak (Ada belacan Bekenu juga).”
“Ya lah dicarik urang (Itulah yang dicari-cari orang).”
Terasa keamanan tika berada di rumah Pakcik Musa. “Rol, ya jeti rumah tok. Belakang ya sungei. Sebelah nun pantei Bakam. Sinun muara sungei tok (Azrul, itu jeti rumah ini. Belakang ini ada sebatang sungai. Sebelah sana pantai Bakam. Di sana pula adalah muara sungai ini).” Bayu laut berpuput, menambah rasa damai. Alangkah indah, dapat berada di sini selama-lamanya.
Pakcik Musa sibuk berulang alik menguruskan keperluannya sebelum bertolak. “Rol, sidak tok tiap ari makan kedak makan hotel (Azrul, orang kampung ini setiap hari makan seperti makan di hotel).”
“Apa?”
“Sidak tok nelayan, salu ke laut. Tanggar ajak oleh sidak. Nang beroleh ikan jenis makan hotel. Kalah urang kaya (Mereka ini nelayan, mereka selalu ke laut. Lihat sahaja mereka. Mereka memperoleh ikan seperti makanan di hotel. Mengalahkan orang kaya).”
“Kadang-kadang, ada urang kaya reta, hatinya miskin. Tapi ada orang siklah berapa ne idupnya, tapi hatinya kaya (Kadang-kadang, ada orang kaya harta, tetapi hatinya miskin. Tapi ada orang, sederhana hidupnya, tetapi hatinya kaya),” jawab Si Insan sambil tangannya di dalam poket.
“Biar benar nya ngembak cencaluk ya pakei berjual. Banyak ya. Kedak saudagar ajak (Saya macam tidak percaya dia bawa cencaluk itu untuk dijual. Macam saudagar).”
Si Ayah ketawa kecil, “Sedaranya rami di Kuching. Lagikpun rami urang dikenalnya. Sekejap jak abis (Saudaranya ramai di Kuching. Lagipun, dia ramai kenalan. Tentu sekejap sahaja habis).”
Pakcik Musa sudah bersedia. Dia menghampiri Si Insan dan ayahnya. “Khairul, mun kitak balit kelak, singgah sitok. Makan sitok bah. Tanyak jak, kitak mok makan apa (Khairul, kalau awak balik nanti, singgah sini, makan-makan. Tanya sahaja, awak mahu makan apa).”
Si Ayah ketawa kecil, “Ya aku madahnya tek, torang tok, ari-ari makan hotel (Itulah saya beritahu tadi, kamu di sini setiap hari makan makanan hotel).”
“Azrul, bukan Khairul. Insya-Allah, boleh jak,” jawab Si Insan sambil melemparkan senyuman.
“Bah, bertolak kita. Kita ke Bintulu lok. Kita pakei bypass, singgah di Niah lok (Ayuh, mari bertolak. Kita di Bintulu dahulu. Kita lalu bypass, kemudian singgah di Niah).”
“Pak...” Si Insan menyerahkan kunci kepada ayahnya.
Lebih kurang pukul sembilan pagi. Ketiga-tiga insan menaiki Kancil meluncur laju. Sejak awal perjalanan, kedua-duanya rancak berbual. Mula-mula, tentang joran. Kemudian, kemudian, kemudian... seolah tidak ada penghujungnya.
Perjalan masih jauh. Si Insan duduk belakang. Ia memerhatikan perjalanan. Bypass Bakam-Bekenu tidak ada apa sangat yang menarik. Jalan yang lurus, dan kiri dan kanan adalah tanah tanah kosong yang terbiar. Di sebelah kanan pula, terkadang dapat melihat panorama indah Laut Cina Selatan – luas membiru.
Si Insan lama-kelamaan kebosanan. Diambilnya buku, dibeleknya. Gegaran kereta agak kencang, sukar baginya untuk fokus membaca. Mata semakin kantok. Bayangan semakin kabur. Perbualan rancak diselang seli dengan gelak ketawa semakin suram kedengaran di gegendang telinganya.
Tiga pengembara meluncur ke destinasi yang sama. Perjalanan yang cukup jauh. Umpama dari Bukit Kayu Hitam sehinggalah ke Johor Bahru. Seorang Si Insan ditemani ayahnya dan dipandu oleh sedarah daging yang dikenalnya; Sang Saudagar Cencaluk, Pakcik Musa.
“Ya Allah, selamatkanlah perjalanan tok... ” fikirannya berada di dimensi yang lain...
Berjasa Kepada Masyarakat
Insya-Allah akan datang, Kembara Tanah Air (3): Pilu di Simpang Niah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol
"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...
-
*Artikel ini telah saya tulis sebagai alat bantu mengajar kelas KAFA untuk murid-murid Tahun 2 beberapa bulan yang lepas. Mohon teguran da...
-
Habib Mohamad bin Alwi al-Attas (kiri) dan Habib Izzuddin al-Idrus (kanan) Jika berbicara tentang dakwah, pemerhatian saya para guru A...
-
Bisikan Tanjung Lobang (1) Bisikan Tanjung Lobang (2) Bisikan Tanjung Lobang merupakan cetusan andaian ataupun simulasi kepada pertem...
No comments:
Post a Comment