Sunday, August 3, 2008
Terakhir.... Resit Merah
Resit Merah (1)
Resit Merah (2)
“Makseh (terima kasih),” dihulurnya 30 sen.
Ia terus menaiki jeti. Resit merah di tangannya dilipat kembali dan dimasukkan ke dalam poket. Sekali ia melihat kepada sang penambang tua.
“Ya Allah, tergamaknya aku beri 30 sen sahaja!” Amanah menuntut barang daripada resit merah harus diteruskan. Kedai itu akan tutup sebelum pukul lima petang.
“Tidak ada masa lain lagi. Mesti cepat. Petang ini harus melapor diri untuk KAFI di Seketariat PERKEPIS. Hujung minggu yang lain sudah tentu sangat sibuk.”
“Masalahnya tempat sebenar masih tidak pasti. Malu bertanya sesat jalan. Walau apapun, amanah mesti ditunai!”
Waterfront di hadapan. Kedai itu ada di rantau ini. Jalan bukan miliknya seorang. Banyak ragam manusia harus ditempuh. Ia cuba-cuba mencari-cari pasangan tadi.
“Itu dia!” dilihatnya si ayu bersama kelompok rakan yang lain. Manakala Si Jejaka pula menyimpang bersama teman yang lain.
“Ya Allah, bukanlah aku yang memberi petunjuk. Tetapi Engkaulah yang memberi petunjuk kepada orang yang Engkau kehendaki. Tunjukilah aku, adik-adik tadi dan adik-adikku yang lalai di tempat ini. ameen.”
“Oh, resit. Di mana kedai itu ya?” Ia mengambil kertas berwarna merah berlipat kemas daripada saku seluarnya.
“Jalan China? China Street? Ya Allah, boleh sesat.” Ia melangkah meneruskan perjalanan.
“Mesti ikut laluan ini. Susah benar jaga mata kalau lalu di sana,” dilihatnya sekumpulan anak muda duduk di bangku Waterfront. “Daripada raut wajah, mereka orangku. Mereka orang Islam. Maha Suci Engkau ya Allah, mereka mempamerkan perhiasan yang dilarang ditayang! Jika aku nahi mungkar dan amar makruf seorang-seorang, mungkin mudarat jadinya. Insya-Allah, ada kekuatan pada lain masa.”
Si Insan berada di tepian jalan. Ia menoleh ke kiri untuk melintas. Tetapi sebuah kereta menuju laju. Ia berundur sedikit.
“Sekarang!” Ia terus berjalan cepat ke deretan kedai.
“Jalan sepanjang bangunan kedai bertentangan dengan Waterfront. Jalan sehinggalah menemui bangunan berwarna ungu. Dari sana, belok kiri. Kedai itu berada di lorong itu,” arahan kakaknya terngiang-ngiang di telinganya.
Si Insan berjalan menyelusuri deretan kedai kraftangan. Ramai orang lalu lalang di sepanjang koridor kedai. Ia memperhatikan gelagat manusia di hadapannya. Ada pelanggan yang tawar-menawar dengan peniaga. Ada yang membelek-belek lampit, kuak kumbu ataupun kek lapis Sarawak. Tidak ketinggalan juga pengunjung yang lalu lalang membawa plastik yang penuh dengan kraftangan.
“Kebanyakannya orang dari Semenanjung. Tentunya pelancong. Mereka senang sekali dikesan melalui raut wajah dan bahasa. Terkecuali orang putih. Memang ugak-ugak bukan orang Malaysia,” desisnya.
“Ya Allah, di manakah kedai itu?” Ia menatap kembali resit merah di tangannya.
“Kedai itu akan tutup pukul lima,” suara itu kedengaran. Kakinya bertambah tangkas melangkah.
“Mad’u dakwah bukan sahaja di kalangan orang Islam. Tetapi juga orang-orang yang di luar lingkungan kita. Bagaimanakah mahu menghadapi mereka? Fahami bahasa mereka, supaya mereka senang berbicara,” desisnya. “Orang Cina! Masuk sahaja!” Tetapi hatinya teragak-agak.
“Engkau malu untuk bertutur dengan mereka? Alangkah malunya!” ancam dirinya.
“Hai!” sapa Si Insan.
“Ya, ada apa?” kata seorang peniaga kedai kraftangan.
“Saya mau pegi kedai ini lo. Tapi tidak tau jalan. Macam mana maok pegi sana?” ia menunjukkan resit itu kepada perempuan Cina itu.
“Oh,” perempuan Cina itu melihat resit sambil membetulkan cermin matanya.
Ia menggeleng, “Saya sik tauk. Mungkin kedai ini ada sana, di China Street.”
“Jaoh ka?”
“Belakang sana saja baa. Jalan sikit, nanti lu jumpa la.”
Si Insan mengangguk. “Terima kasih,” ia melangkah dengan hati yang ragu. “Siney ndak ka ya (Di manakah sebenarnya)?” Ia melihat jam tangannya. Ia harus mengambil amanah ini sebelum masanya.
“Petang ini lapor diri untuk KAFI. Petang sebelum Asar mesti selesai. Tapi sudah berada di sini, mahu lepaskan peluang untuk berada di kedai buku POPULAR?” hatinya diselubungi dilema.
Ia pergi dari satu kedai ke satu kedai. Setiap kali itu ia cuba bertanya dengan orang yang bukan sebangsa dengannya. Akhirnya ia menemui jalan, iaitu jalan buntu. “Ney ndak kah kedei ya (Di manakah kedai itu sebenarnya)?”
Telefon bimbit dicapai. Ia membuat panggilan kepada kakaknya di Miri. Diterangkanlah kedudukan kedai itu. Rupa-rupanya ia sudah berada di lorong yang sebenarnya!
“Ya Allah, agaknya aku melihat ini dengan hidung?”
Ia melangkah menyelusuri Lorong ‘Jalan China’. “Tang! Tang! Tang!” kedengaran bunyi ketukan yang bingit.
“Alhamdulillah, bertemu juga!” hatinya lega. Ia berada di depan kedai. Seorang berbangsa Cina berbaju comot dan seluar pendek mencangkung memegang gandin memukul kepingan aluminium. Sekali-sekala ia kehairanan melihat seseorang membawa resit merah yang tercegat di depan kedainya.
“Hello. Ada apa?”
“Hello. Kakak saya pesan itu hari, sepuluh tin roti buat di sini.”
“Oh, ya kah? Ada resit?” Si Insan menghulurkan resitnya. “Oh, ya. Ada, ada!”
Peniaga Cina itu membawakan sebuah plastik berisi tin-tin acuan roti. Lalu ia menunjukkan dan mengira tempahan kepada Si Insan, “Ini, ini dan ini. Ada sepuluh semuanya. Terima kasih!”
Sambil mengangguk-angguk, Si Insan mengambil dan melangkah pergi, “Ah, cepatnya. Ingin sekali berbual sebentar bersamanya.”
“Alhamdulillah, ” hatinya lega. Lalu ia melangkah ke kedai buku POPULAR yang terletak di Wisma Tun Jugah.
“Dapat juga satu buku, walaupun bajet tidak mengizinkan,” sambil ia berjalan dari POPULAR. Ia melalui hotel Holiday Inn dan akhirnya tiba di jeti penambang. Penambang masih jauh. Kedengaran kebingitan suara nyanyian dan muzik di seberang sana.
Seorang lelaki menghampiri dan menuruni jeti.
“Mmm... sasaran!” desisnya. Hatinya berdetak mahu berkenalan dan membuka bicara. Mungkin ada kebaikan yang boleh dikongsi bersama.
Penambang berwarna kuning menghampiri, Si Insan dan lelaki menaiki jeti. Kata lelaki itu sambil menaiki penambang, “Apa ndak di seberang nun, pakcik (Apakah yang berlaku di seberang sana, pakcik)?”
“Ntahlah, berpesta ngkali. Ada jak lah sak tok (Entahlah, mungkin berpesta. Ada sahajalah mereka ini).”
Si Insan menaiki penambang. Ia mahu memula bicara dengan lelaki itu, tetapi lidahnya tiba-tiba kelu. Soalan-soalan bermain di kepalanya, “Apa ndak di seberang nun o (Apa yang berlaku di seberang sana)? Eh, kitak dari siney tek (Eh, awak dari mana)?”
Enjin dihidupkan. Penambang mengalun menentang arus sungai. Kebingitan bunyi enjin dan pesta karaoke di pinggiran sungai menyukarkan sebarang perbualan.
Penambang menghampiri jeti Kampung Boyan. “Syukur pada-Mu ya Allah, moga-moga hari ini hari yang bermanfaat,” ia keluar dan menghulurkan tambang.
“Pengajaran hari ini: manfaatkan segala yang ada, resit merah. Tuhanlah yang memberi izin. Tuhanlah memberi kekuatan. Tuhanlah yang menggerakkan hati-hati ini. Tuhanlah yang menunjuki atau mencelakai sesiapa yang Ia kehendaki. Dari Tuhan aku datang. Dari Tuhan juga aku kembali. Ke manakah berhak perginya kudrat ini, jika tidak kembali berbakti ke pangkuan ummah, juga amanah dari Tuhan?”
“Berjasa Kepada Masyarakat”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol
"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...
-
*Artikel ini telah saya tulis sebagai alat bantu mengajar kelas KAFA untuk murid-murid Tahun 2 beberapa bulan yang lepas. Mohon teguran da...
-
Habib Mohamad bin Alwi al-Attas (kiri) dan Habib Izzuddin al-Idrus (kanan) Jika berbicara tentang dakwah, pemerhatian saya para guru A...
-
Bisikan Tanjung Lobang (1) Bisikan Tanjung Lobang (2) Bisikan Tanjung Lobang merupakan cetusan andaian ataupun simulasi kepada pertem...
No comments:
Post a Comment