BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Sunday, August 31, 2008

[Sempena Merdeka (1)] Saksi Pelabuhan Singapura

Berhampiran Pangkalan Laut Seletar,
Singapura
8 Disember 1941

Matahari panas terik. Sang mentari menyinari cahayanya ke serata jagat. Camar melayang melawan puput angin. Awan putih nan tebal berarak memenuhi ruang langit.

“Subhanallah, Maha Suci Allah. Apa yang terjadi?” Seorang pemuda berhenti seketika perjalanannya. Ia memeriksa basikal tuanya.

Si pemuda mengambil songkoknya dan meletakkan ke dalam bakul basikal. Katanya, “Ya Allah, rantai terlepas.” “Baik aku kemaskan kain pelikat, nanti terlepas, orang dapat tayangan percuma pula. Aku yang rugi dapat dosa,” bisiknya dalam hati.

“Kriing! Kriing!” sayup kedengaran loceng basikal. Bunyi itu semakin kuat menghampiri.

“Karim! Assalamualaikum!” Si pemuda disapa.

Ia menoleh, “Alaikumsalam. Oh, Usman. Apa khabar?”

“Khabar baik. Engkau apa khabar?”

“Alhamdulillah, Tuhan beri kesihatan. Masih hidup lagi.”

“Engkau tilik-tilik apa? Tilik gadis sunti?”

“Agaknya mata engkau rabun. Aku tilik basikal lah.” Kedua-dua mereka ketawa.

“Kenapa? Engkau dari mana?”

“Aku dari surau, solat Asar tadi. Engkau dah solat?”

“Aa... belum. Nantilah aku balik solat.”

“Bukankah solat berjemaah dapat 27 kali ganda daripada seorang-seorang? Bayangkan, aku dapat 27 pound, engkau dapat satu pound. Aku lebih untung daripada engkau.”

“Baiklah, baiklah,” Usman mengangguk rasa malu. “Karim, aku dapat sesuatu.” Usman mengeluarkan sekeping kertas mengandungi lukisan dari saku kemejanya.

“Apa?”

“Asia untuk Asia!”

“Macam pernah dengar slogan itu.”

“Lihat, seorang askar Jepun memimpin tangan seorang Melayu. Maksudnya untuk kita,” kata Usman.

“Hmm... boleh percayakah? Engkau dapat risalah ini daripada siapa?”

“Tadi ada satu perkumpulan orang berpidato. Pidatonya berapi-rapi. Ia mengatakan bahawa Jepun akan tolong kita. Jepun akan bebaskan kita daripada cengkaman orang putih. Jepun akan jadikan Asia adalah untuk Asia. Jepun juga akan pastikan kita dapat menikmati kemakmuran bersama,” jelas Usman.

Sambung Usman dengan semangat, “Kita kena bebas merdeka! Sudah lama kita terjajah! Jepun adalah harapan kita! Mereka sudah mendarat di Kota Bharu malam tadi.”
“Adakah engkau seorang mata-mata Jepun?”

“Ehh... tidaklah!” Usman menafikan. “Kita mesti ada rasa semangat membela kedaulatan bangsa, agama dan negara. Sudah lama kita terjajah oleh Inggeris. Cukuplah mereka merampas hasil bumi kita. Menjadikan kita porak peranda, hilang maruah dan hilang keyakinan pada diri sendiri.”

Balas Karim, “Jadi, engkau sokong Jepun?”

“Sudah tentu! Mereka akan penuhi janji ini. Asia adalah untuk Asia. Aku sangsi dengan engkau, engkau seperti seorang yang agungkan kuasa Barat!”

“Ada aku buat apa-apa kenyataan?”

“Hoooooonggg! Hooooongggg!” kedengaran bunyi kuat dari pelabuhan Singapura. Kedua-dua sahabat mengalihkan pandangan ke arah sumber bunyi. Sebuah kapal gergasi sedang belayar ke arah muara.

“Kriing! Kriing!” datang lagi seorang pemuda.

“Assalamualaikum!”Ia memecut ke arah Usman dan Karim. Kedua-dua mereka tidak menyedari kehadirannya. Bunyi locengnya tenggelam dek bunyi semboyan kapal.

“Besarnya! Kapal apakah ini?” kata pemuda tadi. Ia membetulkan kaca matanya berbingkai tebal.

“Alamak! Rambut aku! Kalau ada gadis, tidak ada yang terpikat nanti!” Ia mengeluarkan cermin kecil. Diambilnya sikat di poket seluarnya dan mula menyisir rambutnya.

“Ini baru hensem, moden. Malangnya tidak ada pembaris. Ini pun kira luruslah.” Rambutnya bersikat sebelah tepi dirapinya betul-betul.

“Ahmad! Bila kamu datang?” namun Usman dan Karim masih terpegun akan kapal yang memudik ke muara di hadapan mereka.

“Baru sahaja sampai. Kapal apakah ini?”

“Kalau tidak silap, ini adalah kapal HMS Prince of Wales. Kapal ini adalah kelas battleship. Bersama dengannya ialah HMS Repulse, kapal kelas battlecruiser, veteran Perang Dunia Pertama. Gabungan kedua-dua ini bersama empat pembinasa yang lain membentuk Force Z. Laksamana Philips akan mengepalai skuadron ini.”

“Kamu dapat berita ini daripada mana?”

“Tentulah surat khabar, ” sambungnya lagi, “kita kena peka terhadap isu-isu semasa.”

“Ya. Khabarnya Jepun telah mendarat malam tadi di Kota Bharu. Tentunya mereka belayar untuk menentang Jepun. Jangan bimbang, Inggeris akan menang. Inggeris punyai empayar terbesar di bumi. Mereka mempunyai tentera yang kuat.”

“Kamu diracuni pemikiran penjajah! Kamu pengkhianat! Jiwa lemah! Penjajah sudah lama membelenggu kita!” Usman mengherdik Ahmad.

Wajah Ahmad tiba-tiba berubah, “Sial!” Ahmad menghayunkan penumbuknya kepada Usman.

“Sudah!” Karim menahan tangan Ahmad.

“Pengkhianat bangsa!” tuding Usman.

“Tidak guna! Mereka telah membawa kemajuan kepada kita. Engkau seorang yang biadap, tidak berterima kasih!” Ahmad berusaha menerkam Usman, tetapi dihalang oleh Karim.

“Sudah, mengucap kamu berdua! Minta ampun kepada Tuhan. Kita ini bersaudara.”

“Kamu Ahmad, agungkan Inggeris. Dan kamu pula Karim, agungkan Jepun. Kamu berdua sama sahaja!”

“Engkau cakap biar baik-baik, Karim. Sebelum penumbuk ini melayang ke muka engkau. Aku orang Melayu, pantang dicabar!” Usman mengancam.

“Engkau orang yang tidak bersyukur!” tuding Ahmad.

“Orang-orang yang kamu sokong, siapa sebenarnya?”

“Jepun, demi kedaulatan bangsa, agama dan negara. Mereka akan membebaskan kita daripada orang putih.”

“Tentulah Inggeris. Mereka kuat dan mempertahankan kita daripada orang-orang asing. Mereka membawa keadilan dan persaudaraan,” balas Ahmad dengan sinis.

“Aku rasa, jawapan kalian kurang tepat. Kalian adalah sama sahaja. Kalian menyokong orang-orang yang bukan Islam. Orang-orang yang apabila menjajah di suatu negeri, mereka akan menghancurkan orang-orangnya, merampas segala hasil bumi dan memperhamba bangsa yang lain. Fikir baik-baik.”

“Itu tidak benar! Jepun akan bantu kita merdeka!” balas Usman.

“Adakaha Jepun berlaku adil di China? Kenapakah mereka melancarkan peperangan? Bagaimana pula di Manchuria? Adakah penduduknya benci terhadap mereka?” Usman tunduk diam.

Karim beralih kepada Ahmad pula, “Dan kamu, Ahmad, tahukah kamu siapakah Inggeris?”

“Mereka orang-orang yang hebat. Membawa kebebasan, persamaan dan persaudaraan. Orang putih meletakkan beban dunia atas bahu mereka. Mereka maju. Kalau mahu maju, harus ikut seperti mereka.”

“Inggeris adalah lanun nombor satu dunia. Mereka porak perandakan dunia dengan penjajahan mereka. Mereka datang menjajah kita adalah untuk merampas segala kekayaan hasil bumi kita. Dan mereka jadikan penduduknya yang bermaruah hilang jati diri, jadi pak turut sahaja. Mereka memerah keringat kita dengan percuma dan menindas kita dengan seazab-azab tindasan. Jepun pun, lebih kurang juga.”

“Kita lihat mereka bergaya, pakai baju moden. Kita pun ikut sekali. Mereka minum arak macam minum air, kita pun ikut sekali. Mereka simpan perempuan, dan bertukar-tukar perempuan, macam ayam sahaja. Itu pun kita ikut sekali. Ke manakah adab dan nilai Islam dan ketimuran kita?”

Ahmad dan Usman tunduk sekali, tidak sepatah kata pun terpacul dari bibir mereka. “Kita ada agama Islam yang mengatur hidup kita. Sejarah membuktikan dengan Islam, sesuatu bangsa menjadi mulia. Lihatlah, bangsa kita merupakan bangsa yang hebat suatu ketika dahulu. Bangsa pelayar, pedangang, pahlawan dan pentadbir yang agung, apabila Islam mereka pegang.”

“Namun kini, kita orang Islam lemah kerana kita menjauhi ajaran Islam yang mulia. Dunia meratah menangis kerana kejatuhan umat Islam di persada dunia. Kita kehilangan kekuasaan yang kuat, Turki Uthmaniyyah yang menaungi kita. Sebab itulah dunia porak-peranda.”

“Tidak ada penjajah yang merosakkan bangsa lain, melainkan ‘penjajahan’ oleh orang Islam. Orang Islam menjajah di suatu negeri akan membawa kemakmuran. Allah telah berfirman dalam surah Namlun, ayat 34, ‘Dia (Balqis) berkata: ‘Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, nescaya mereka membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia hina dan demikian pulalah mereka akan perbuat.’”

“Oleh yang demikian, sama sahaja siapakah yang akan datang. Baik Jepun yang baru sahaja datang, saya pasti mereka akan menindas kita. Kerana mana-mana penakluk yang tidak beriman, mereka akan membuat seperti yang Allah katakan dalam ayat tadi. Baik Inggeris, baik Jepun. Baik siapa-siapa pun yang bertindak luar daripada cara Islam, maka keputusannya adalah sama: kesengsaraan.”

“Lihatlah, sahabat-sahabat keluar daripada jazirah Arab menduduki wilayah-wilayah di sekitarnya. Dalam sekelip mata, Parsi, Syam, Palestine, Mesir telah jatuh ke tangan mereka. Kira-kira kurang 100 tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad sallallahu alaihiwasallam, wilayah Islam tersebar dari Andaulusia di Laut Atlantik dan ke negeri China. Mereka datang bukanlah untuk merampas kekayaan. Tetapi misi mereka adalah untuk membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia kepada penghambaan kepada Allah semata-mata. Pembebasan manusia daripada kehidupan dunia yang sempit kepada kelapangan hidup akhirat. Mereka mengejar akhirat, sehinggakan dunia bertumpuk di bawah kaki mereka. Tetapi apabila kita ini mengejar dunia, maka akhirat akan tinggalkan kita!”

“Tidak ada lagi yang tertindas apabila manusia mengabdi diri kepada Tuhan. Kerana semuanya menghadap kepada Tuhan. Maka tidak ada lagi perebutan yang boleh menyebabkan sesiapa pun tertindas.”

“Aku mahu kita bebas merdeka. Tetapi kita fikirlah, kita mengharap merdeka kepada Allah. Kita ingin merdeka daripada cengkaman Inggeris. Dan kita tidak mahu penjajah baru menyusahkan kita sekali lagi. Kita harus merdeka, tetapi biarlah kita merdeka dengan acuan kita sendiri. Kita tidak perlu merdeka daripada ‘pembebas’ yang menyembah maharaja dan matahari. Itulah pembebas yang masih terjajah!”

“Terima kasih, Karim. Engkau sedarkan aku. Kita ada Islam, tetapi kita abaikannya. Aku berharap Tuhan ampunkan aku. Tidak sepatutnya aku mengharap kemerdekaan daripada penjajah yang tidak beriman.”

“Terima kasih, Karim. Aku tidak tahu mahu ucap macam mana. Agaknya akau harus tukar style aku. Baik cara hidup, cara fikir, cara penampilan. Barulah lebih Islam dan lebih Melayu.”

“Usman, Ahmad, Segala yang baik hanyalah daripada Allah. Ahmad, indahnya Islam, tidak mensyaratkan pakaian bagaimana, tetapi haruslah memenuhi syarat-syarat tertentu. Itu pun syaratnya tidaklah seberat mana,” kata Karim sambil tersenyum.
“Penjajah baru sudah mendarat! Ayuh kita pertahankan agama, bangsa dan negara kita!” seru Usman.

“Ayuh!” laung mereka bertiga. Laungan mereka tidak kedengaran oleh orang lalu lalang di jalanan pelabuhan Singapura. Laungan mereka tenggelam dalam kebingitan semboyan kapal kebanggan Inggeris: HMS Repulse. Kapal ini belayar mengekori HMS Prince of Wales keluar daripada Selat Johor. Keberangkatan Force Z disaksikan oleh tiga pemuda berjiwa kental cintakan agama, bangsa dan negara.

Major Jeneral Takumi memimpin detasmen Rejimen ke-56 Divisyen ke-18 Tentera Darat Imperial Jepun telah mendarat di Kota Bharu pada 2.20 pagi waktu tempatan, 8 Disember 1941. Tentera Jepun mara dengan pantas di tanah Malaya. Force Z pula dihantar oleh tentera Inggeris menghalang ketumbukan Tentera Laut Imperial Jepun. Adakah misi mereka berjaya?

Insya-Allah, bersambung.... Nasib Force Z



Sumber gambar: Carian internet dan www.osprey-publishing.com

2 comments:

Puan Ainon Mohd. said...

Sdr. Azrul,

Bakat saudara besar!

Apabila nama-nama negara digantikan dengan nama-nama simbolis, maka kesannya kepada pembaca adalah lebih berdaya-imaginatif, semantiknya lebih berlapis-lapis, pentafsirannya lebih dinamis, tidak ada pentafsiran yang 'betul' mahupun yang 'salah', semuanya mungkin 'betul' mungkin 'salah'....

SignsOfGod said...

salaam..
baca entri tok, teringat suatu ketika dolok di kolej(masa ktk merik talk ngan jr. sik silap), ktk pernah mention yg ktk interest lam games 'perang'... (",)
hmm..yg bestnya, interest ya dpt dikembangkan n dpt dimanfaatkan dlm penulisan.
alhamdulillah! teruskan usaha menulis. Bakat ktk besar! Moga Allah limpahkan kesabaran dlm menolong agama-Nya. Amiin.

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...