Monday, May 5, 2008
Kembara Tanah Airku (1) : Permulaan Yang Keliru
“Ya Allah,” keluh seorang hamba Allah. Ia berada dalam biliknya. Besok pagi ia akan berangkat menghadapi perjalanan yang sangat jauh.
“Mana satu?” ia menggaru-garu kepalanya.
“Aku di sana dua bulan setengah. Ini bukan di rumah. Bukan di UIA, tapi di tempat yang baru.” Si hamba Allah ini kekeliruan. “Kalau di rumah atau di UIA, tidak ada masalah kerana bekalan sentiasa ada.”
“Mahu pilih yang mana satu?” katanya lagi.
“Ah, semuanya penting!” ia menggaru dengan lebih deras, walaupun tiada kelimumur.
Ia mencekak pinggangnya sambil menuding ke arah benda yang ia ingin bekali. “Ini penting. Ini lagi penting. Ini tidak kurang penting. Ini walaupun tidaklah penting mana, tapi memang penting. Ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini!”
“Kalau boleh, aku bekali semua. Aku dah kata, semuanya penting!” keluhnya lagi. Ia duduk sebentar di atas tikar rotan bilik. Berfikir-fikir kalau timbul di mentol fikirannya cahaya yang terang benderang memilih yang terbaik.
“Ya Allah, kerja aku untuk editor belum selesai. Malam ini mesti hantar. Besok sudah mula perjalanan,” desisnya lagi.
"Untunglah Abang datang. Bolehlah Abang beri pengisian. 15 minit pun boleh,” suara itu terngiang-ngiang di gegendang telinganya. Wajah si pemilik suara itu samar-samar di mindanya.
“Berapa lama Abang di sini?” persoalan itu seolah-olah menusuk jantung hatinya. Hasratnya kembali ke tanah air adalah untuk berkhidmat kepada umat sendiri semampu yang boleh. Tetapi aturan Si Pencipta yang Maha Tahu, menempatkannya jauh dari adik-adik ini.
“Besok saya berangkat ke Kuching. Praktikal engineering di sana dua bulan setengah,” katanya. Hatinya menangis. Hanya kerana ramai orang, jikalau tidak, run-run ia menangis. Jika tidak, mahu sahaja ia berkhidmat bakti kepada mereka.
“Kita cukup bertuah kerana seorang Abang berada di sini. ” Ia kuatkan hatinya. Ia mesti memberikan yang terbaik dalam selang masa yang singkat. Permintaan si adik Persatuan Pelajar Islam Kolej dipenuhinya dengan sedaya yang mungkin.
“Ya Allah, semoga engkau meneguhkan hati-hati mereka. Mereka bersemangat. Namun terkadang tanpa pembantu di sisi memungkinkan mereka buntu. Syukur kepada Engkau ya Allah, Engkau pertemukan aku dengan adik-adik yang ikhlas ini dalam ziarah tadi dengan penuh makna.”
Si hamba Allah bangkit. Keputusan mesti dibuat. Semuanya penting. Kerja editor masih berlambak.
“Hanya satu sahaja untuk setiap kategori. Tafsir al-Azhar, jilid akhir. Kerana kebiasaan masyarakat awam terbiasa dengan surah lazim.”
“Apa boleh buat. Barang memang banyak yang perlu dibawa. Terpaksalah memilih terpenting antara yang terpenting.” Lalu ia menyediakan sebuah kotak yang kecil.
“Maksima yang akan dibekal nanti adalah berapa muat semuanya dalam kotak ini.” Dengan hati yang berat, ia harus pasrah.
“Ya Allah, moga-moga perbekalan ini adalah yang terbaik untukku dan umatku di sana nanti.” Malam sudah lewat. Ahli keluarga masing-masing dalam persiapan ke alam syahdu. Dirinya keseorangan kebingungan mencatu bekal penting untuknya nanti...
“Tafsir al-Azhar, juzuk 28, 29 dan 30,” katanya sambil meletakkan jilid itu dalam kotak. Katanya lagi, “Tafsir ibnu Kathir juzuk 1, 2, 28, 29 dan 30.”
“Hadith? Oh, ya. Hadith 40, susunan Imam Nawawi. Kitab tasawuf, Nasihat Iman dan Agama; karangan seorang ulama tersohor, Habib Abdullah Alawi al-Haddad. Untuk rujukan pembikinan novel, sekian dan sekian buku.”
Lalu ia bergegas menyiapkan tugasannya yang harus dihantar sebelum berangkat. Ia tidak pasti apakah perasaannya. Bergelut dalam keliru berbaur gembira, keesokannya jika dengan izin Tuhan, ia akan menempuh perjalanan yang bukan selangkah dua, tetapi melangkaui 1000 kilometer...
Bersambung, insya-Allah di Kembara Tanah Air (2): Bersama Saudagar Cencaluk
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol
"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...
-
*Artikel ini telah saya tulis sebagai alat bantu mengajar kelas KAFA untuk murid-murid Tahun 2 beberapa bulan yang lepas. Mohon teguran da...
-
Habib Mohamad bin Alwi al-Attas (kiri) dan Habib Izzuddin al-Idrus (kanan) Jika berbicara tentang dakwah, pemerhatian saya para guru A...
-
Bisikan Tanjung Lobang (1) Bisikan Tanjung Lobang (2) Bisikan Tanjung Lobang merupakan cetusan andaian ataupun simulasi kepada pertem...
2 comments:
udah jadi macam novel bersiri surat khabar utusan pulak blog abang azrol ni
Hehehe
Post a Comment