BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Monday, May 19, 2008

Resit Merah (1)

Bayu berpuput berlalu lembut. Hawa nan hangat menghembus meruangi tebing Sungai Kuching di Kampung Boyan. Alunan arus kelihatan mengalir tenang. Pantulan pencakar langit bandaraya Kuching jelas terpampang di balik permukaan sungai. Seorang insan menekan punat. Pintu keretanya dikunci.

“Ya Allah, hampir-hampir terlupa!”

Ia lantas menekan punat kunci dan membuka pintu Kancil kembali. “Alhamdulillah, ada pun,” ia menarik nafas lega. Ia mengunci keretanya kembali. Di tangannya sehelai kertas berwarna merah yang berlipat empat. Dimasukkannya kemas-kemas dalam poket sebelah kanan.

Si Insan berjalan ke arah tebing sungai. “Ada penambang,” katanya. Ia mengambil wang syiling untuk menaiki perahu penambang yang merentasi Sungai Kuching dari kampung ini ke pusat bandaraya Kuching di seberang sungai. Setelah melintasi sebuah jambatan kecil, akhirnya ia sampai di jeti penambang. Ia menuruni jeti itu. Dilihatnya penumpang-penumpang turun dari penambang.

Setiba Si Insan di gigi jeti, ia cuba menaiki. Sang pengayuh mendayung seraya memalingkan perahu penambang merahnya menjauhi jeti.

Si insan melemparkan senyuman, “Aii, kitak pegi siney? Kitak sik ngambik penumpang?” (Eh, tuan hendak ke mana? Tuan tidak ambil penumpang?)

Senyumnya dibalas, “Rilek lok. Nun kawan kamek sia. Kaktok kitak nait ngan nya,” (Tunggulah dahulu. Itu kawan saya. Selepas ini awak boleh ikut dia) balas si pengayuh lanjut usianya dimamah zaman. Ia mengalihkan perhatian Si Insan ke arah rakannya yang berada di penambangnya yang bercat warna kuning. Kelihatan seseorang sedang meneguk air daripada botol terpakai di sana.

Perahu penambang di hadapan Si Insan beredar perlahan. Sang pengayuh menghayun dayungnya dengan sederhana kuat.

“Dengar, nak. Suatu hari nanti mungkin engkau berpangkat besar bergelar pemimpin. Maka pada ketika itu janganlah engkau sombong dan lupakan orang-orang bawahan. Mereka adalah sebahagian besar daripada masyarakat. Rintihan dan keperitan mereka harus didengar. Janganlah engkau bina tembok penghalang antaramu dengan mereka.”

Kata-kata itu terngiang-ngiang bagai menyentak urat jantungnya. “Apakah yang sebenarnya maksud ayahku ini?” Si Insan tertanya-tanya. Perhatiannya tertarik melihat kehadiran penambang kuning.

Penambang itu bergerak keluar daripada bayangan pohonan di tepi sungai ke arah jeti.

“Maha Suci Engkau, ya Allah. Tentunya bekerja di tengah panas terik ini merupakan kerja yang perit. Berlindung daripada terik matahari pun berihsankan kepada bayangan pokok,” desisnya.

“Kalau tambang sekepala 30 sen, berapalah ia dapat sehari? Siapakah yang mendengar rintihan mereka? 'Pemimpin masyarakat' berkereta mewah? Ataupun orang yang duduk selesa di mahligai mengipas panas tengahari dengan helaian wang kertas? Ataupun si kolar putih bergaji besar? Siapakah yang mendengar rintihan mereka? Siapakah yang mendengar rintihan mereka kalau bukan manusia sepertinya juga?” penambang kuning semakin hampir.

"Tumbangkan egomu. Engkau mahasiswa harus berjasa kepada masyarakat. Bukannya berbangga dengan statusmu mengejar glamor 'elitis' penghuni menara gading. Bukannya mengejar kemasyhuran ketinggian melangit ilmu, tapi mendabik dada terhadap golongan terpinggir ini. Bergaul dan mendengar keluhan mereka ini, tidak sekali-kali akan menjatuhkan dirimu kepada kehinaan!"

"Mereka inilah yang Buya HAMKA kira-kira maksudkan; orang-orang yang berada di dalam lembah kehidupan. Mereka menangis jauh di dalam lembah yang terpencil. Tidak terdengar suara mereka... aku menuliskan warkah ini (Di Dalam Lembah Kehidupan) kerana aku asal usulku dari sana juga. Kepada orang-orang yang berada, ingatlah, bahawa di ceruk kehidupan ini ada manusia yang susah. Dan kepada orang-orang yang asalnya sepertiku juga, janganlah kalian bimbang, kerana rintihan kalian akan didengari jua..."

"Ya Allah, janganlah engkau biarkan aku jadi seorang yang sombong..."

Pengayuh penambang kuning berbaju hijau lusuh menghayun dayung sekuat hatinya. Kulitnya berkedut. Badannya kurus. Terpampang di wajahnya raut keletihan membanting tulang seharian. Kepalanya dibasahi titik peluh. Ia mendayung di bahagian hadapan perahunya. Akhirnya ia sampai juga di jeti.

"Ilmu ini tidak akan ada di kuliah ataupun perpustakaan. Dan tidak akan hina darjatku bersapa dengan orang susah ini!"

“Assalamualaikum, apa kaba tek?” Si Insan melontarkan senyuman.

“Alaikumsalam, sehat.” Senyumnya dibalas. Si Insan menjejakkan kakinya ke dalam penambang. Perahu itu bergoyang-goyang. Dia cuba masuk ke dalam dan duduk di kerusi kayu penambang. Akhirnya perahu itu stabil.

“Inilah peluang untuk aku berkenalan dengan datuk ini,” desisnya.

Baru sahaja ia merapati sang pendayung, tiba-tiba datang sepasangan remaja menaiki penambang. Si Insan mengensot atas kerusi kayu ke bahagian dalam lagi penambang.

“Ini pelajar sekolah. Muda, tidak mungkin mereka suami isteri. Wajah ‘si jejaka’ masih lagi keanak-anakan. ‘Si ayu’ pula auratnya tidak sempurnya dilindungi. Daripada raut wajah dan cara perbualan, mereka ini Islam,” katanya dalam hati.

“Aku mesti buat sesuatu. Aku tidak mahu maksiat yang boleh kutegah di hadapan mata berlalu lagi begitu sahaja. Serik, kali pertama aku menaiki penambang dahulu sejak tiba di Kuching, sepasangan anak muda bercanda dalam penambang."

"Aku merasakan umur dua orang ini jauh lebih muda daripadaku. Oleh yang demikian, lebih mudahlah aku menghadapi mereka. Demi mencegah mereka berdua daripada bercanda, aku harus lakukan sesuatu.

Tapi, bagaimana?” katanya dalam hati.

“Aku sudah berlatih untuk ini. Abbas Siisy dalam bukunya pernah berpesan, untuk berkenalan akan seseorang untuk menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran, gunakanlah segala sumber yang ada untuk memulakan perbualan.”

“Tapi, bagaimana?”

Sepasangan pelancong asing memasuki penambang dan menyebabkan keadaan bergoyang-goyang. “Ya Allah, satu lagi cubaan. Orang putih ini tidak cukup kainnya!” lantas ia menundukkan pandangannya.

Penambang mula bergerak merentasi Sungai Kuching. “Aku harus cepat. Sebelum segalanya terlambat. Lihat, mereka bergurau!”

“Resit. Ya, gunakan resit tadi!” ia mengeluarkan kertas merah berlipat empat dari poketnya.

Hatinya berdegup kencang, "Bagaimanakah harus aku mulakan?"

“Ya Allah, bukanlah aku yang memberi petunjuk, tetapi engkau memberi petunjuk kepada sesiapa yang engkau kehendaki...”

InsyaAllah bersambung...

No comments:

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...