Kisah Imam Abu Hanifah berhadapan dengan Sang Atheis
Segala puji bagi Allah Tuhan sarwa alam. Selawat dan salam atas Junjungan Mulia Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w, Ahli Baitnya, para Sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti jalannya sehingga Hari Kiamat.
 |
| Wilayah Daulah Bani Umayyah (661 - 750M) |
Tersebutlah kisah di sebuah
kota Kufah pada zaman guru Imam Abu
Hanifah. Kerajaan umat Islam yang dipayungi oleh Daulah Bani Umayyah berada di
kemuncaknya. Kekuasaan Islam telah melebar ke benua India di Timur, Bukhara di
Asia Tengah bersempadanan China, dan sudah bertapak di Andalusia Sepanyol di
Barat.
Dahri Penyebar Keraguan
Ketika itu muncul seorang
yang terlanjur rosak akal dan imannya, digelar sebagai Dahri. Pada zaman ini digelar
sebagai atheis, orang yang tidak mempercayai atau ragu tentang tuhan. Si Dahri
menuntut semua alim ulama berhadapan dan berhujah kepadanya.
Si Dahri telah
mengemukakakan pandangan luar biasa pada ketika itu. Ia mencabar semua ulama
menjawab persoalan rumit itu. Katanya, “Katamu Allah itu ada. Kalau Ia ada, di
mana tempatnya? Tidak ada yang maujud (wujud) melainkan ada tempatnya?”
Seorang demi seorang ulama
di kota telah dikalahkannya. Maka Dahri menyeru kepada khalayak ramai, “Adakah
tinggal daripada ulama kamu semua?”
Jawab orang ramai, “Ada
lagi, iaitu Syeikh Hammad.”
Kata Dahri kepada wakil
khalifah, “Wahai khalifah, hadirkan aku orang itu
supaya aku boleh berhujah kepadanya!” pihak khalifah pun memanggil Syeikh
Hammad bin Sulaiman.
Syeikh Hammad pun menjawab,
“Berilah aku tempoh satu malam.”
Mimpi Petanda Kemenangan
Pada pagi keesokan harinya,
sang ulama besar ini amat dukacita. Macam mana tidak runsing, kesemua ulama
lain telah dikalahkan hujah mereka oleh seorang sesat digelar Dahri. Seandainya
dirinya yang terakhir pun tidak dapat menjawab, pasti aqidah pegangan murni
yang benar umat Islam dalam bahaya. Dahri akan terus bermaharajalela melebarkan
penyimpangannya kepada masyarakat.
Seorang anak murid Syeikh
Hammad merapati dan mendapati gurunya dilanda kerisauan yang mendalam. Si anak
murid ini masih lagi kecil. Namanya Nu’man bin Thabit. Suatu hari kelak ia akan
menjadi seorang alim ulama besar digelar Imam Abu Hanifah yang merupakan
pengasas Mazhab Hanafi.
Abu Hanifah bertanya kepada
gurunya apakah yang telah terjadi. Jawab Syeikh Hammad, “Bagaimana aku tidak
dukacita, khalifah telah memanggilku untuk berhujah dengan Dahri dengan
himpunan segala ulama.”
Katanya lagi, “Aku bermimpi
malam tadi di dalam tidurku akan sesuatu pemandangan yang sangat mungkar.”
Tanya Abu Hanifah, “Apakah
ia, tuan?”
Jawab Syeikh Hammad, “Aku
lihat ada satu dusun yang sangat luas lagi berhiasan (indah). Ada satu pohon
kayu yang berbuah. Maka keluar daripada satu penjuru kampung itu khinzir.
Haiwan itu habis memakan buah dan daunnya, hingga tinggal batang sahaja.”
“Maka keluarlah daripada
pohon kayu itu seekor harimau, khinzir itu ditangkap lalu mati.”
Kata Abu Hanifah, “Bahawa
Allah telah mengajar saya akan ilmu ta’bir (tafsir) mimpi. Mimpi ini baik bagi
kita tapi buruk bagi musuh kita. Jikalau tuan izinkan saya untuk menta’birkan
mimpi itu nescaya saya akan beritahu maksudnya.”
Balas gurunya, “Ta’birkan,
wahai Nu’man!”
Kata Abu Hanifah, “Dusun
yang luas dan berhiasan itu adalah agama Islam. Dan pohon kayu berbuah itu
adalah ulama. Batang kayu yang tinggal itu adalah tuan. Dan khinzir itu adalah
Dahri. Dan harimau yang membunuhkan khinzir itu adalah saya.”
“Maka tuan berjalanlah, saya
akan bersama tuan. Dengan berkat himmah (kewibawaan) dan berkat hadrat tuan,
saya berkata-kata kepadanya dan saya patahkan hujahnya.”
Dahri Memperlekeh Si Kecil
Syeikh Hammad berasa gembira
akan kata-kata anak muridnya dan mereka berjalan menuju Masjid Jamek. Turut
hadir di sana adalah khalifah dan himpunan orang ramai. Anak muridnya Abu
Hanifah berdiri di hadapan gurunya.
Dahri pun tiba di sana. Ia
naik ke mimbar masjid dan bertanya kepada khalayak ramai, “Ada sesiapa yang
akan menjawab soalan aku?”
Sahut Abu Hanifah, “Apakah
persoalanmu, beritahulah kepadaku! Orang yang mengetahui akan menjawab segala
pertanyaanmu itu!”
Kata Dahri dengan nada
angkuh, “Siapakah engkau, hei kanak-kanak? Siapa engkau bercakap dengan aku?
Beberapa orang yang mempunyai kemegahan dan orang tua-tua dengan serban
besar-besar dan memakai kain kemegahan dan lengan baju yang luas-luas?” Dahri
memaksudkan para ulama pada zaman itu.
Ujar Dahri lagi, “Mereka
semua lemah daripadaku. Betapa engkau bercakap denganku, padahal umurmu mentah?
Kamu seorang yang hina!”
Abu Hanifah menjawab, “Allah
tidak melihat kerana ketinggian dan kebesaran orang-orang yang beserban besar,
kain kemegahan dan baju yang luas, tetapi Allah menilai ulama itu seperti
firman-Nya:
“... nescaya Allah akan
mengangkat (darjat) orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu
beberapa darjat.”
(Surah al-Mujadalah, 58:11)
Dahri berkata, “Engkaulah
yang akan menjawab soalanku.”
Balas Abu Hanifah dengan
yakin, “Bahkan. Saya akan jawab soalan awak dengan taufik Allah!” Bermulalah
pertembungan antara kebenaran dan kebatilan. Bakal Imam, Abu Hanifah tampil
membela agama. Manakala si Dahri berada di pihak yang batil.
Soalan Pertama
Dahri :
“Adakah Allah itu maujud (wujud, ada)?
Abu Hanifah : “Ya.”
Dahri : “Di mana Ia?”
Abu Hanifah : “Tiada bagi Allah itu bertempat (berada di
satu tempat).”
Dahri :“Bagaimana pula sesuatu yang majud tapi
tidak ada di satu tempat?”
Abu Hanifah : “Dalilnya ada pada diri kamu.”
Dahri : “Di mana buktinya?”
Abu Hanifah : “Adakah kamu tidak ada nyawa?”
Dahri : “Ya, ada.”
Abu Hanifah : “Di mana terletaknya nyawa kamu? Adakah di
kepala? Atau di perut? Atau di kaki?
Dahri : “…” (diam, tercengang tidak dapat berkata
apa-apa)
Abu Hanifah : “Satu dalil lagi adalah air susu. Adakah air
susu mempunyai lemak?”
Dahri : “Ya, sudah tentu.”
Abu Hanifah : “Di mana bahagian yang ada lemak? Adakah di
atas, atau di bawah?
Dahri : “…” (tercengang lagi tidak dapat berkata
apa-apa)
Abu Hanifah : “Sebagaimana roh (nyawa) tidak bertempat di
mana-mana bahagian tubuh dan lemak berada di satu bahagian dalam air susu,
seumpama itu juga Allah tidak bertempat di dalam alam ini.”
Soalan Kedua
Dahri : “Apa yang ada dahulu sebelum Allah. Dan
apa ada selepas daripada Allah?”
Abu Hanifah : “Tidak ada sesuatu sebelum daripada Allah dan
juga selepas-Nya. Buktinya ada pada badan kamu sendiri.”
Dahri : “Apakah dalil engkau?”
Abu Hanifah : “Apakah yang ada sebelum ibu jari kamu?
Apakah yang ada selepas daripada jari kelingking kamu?"
Dahri : “Tentulah tidak ada sesuatu selepas ibu
jari dan tidak ada sesuatu pun selepa jari kelingkingku.”
Abu Hanifah : “Demikian itu juga Allah Taala. Tidak ada
sesuatu sebelum-Nya dan tiada sesuatu selepas daripada-Nya.”
Soalan Ketiga
Dahri : “Tinggal lagi satu pertanyaan untukmu.”
Abu Hanifah : “Engkau nyatakan saja, insya-Allah Taala.
Dahri : “Apakah kelakuan Allah sekarang ini?”
Abu Hanifah : “Sekarang perbuatan engkau terbalik. Yang
menjawab berada di atas mimbar, dan yang bertanya di bawah mimbar. Jika engkau
turun dan aku naik, nescaya aku akan jawab soalan engkau.”
Mereka pun bertukar tempat.
Dahri turun ke bawah, dan Abu Hanifah pula yang berada di atas mimbar lalu
duduk di sana.
Dahri : “Sekarang engkau jawab soalanku!”
Abu Hanifah : “Kelakuan Allah sekarang ini menggugurkan
yang batil seumpama kamu daripada atas ke bawah. Dan Allah menaikkan yang
sebenar umpama aku dari bawah ke atas.
Dahri : “…”
(putus hujah tidak dapat berkata apa-apa)

Tamat….
Begitulah Allah telah mentakdirkan seorang daripada umat Nabi Muhammad s.a.w yang membela, mempertahan dan memperkukuhkan agama-Nya. Sungguhpun ketika itu Imam Abu Hanifah seorang anak yang kecil, Allah telah memberinya keberanian, tinggi tawakal kepada-Nya, kelebihan menta’bir mimpi dan kepintaran akal mengalahkan hujah kebatilan. Ini adalah satu isyarat besar pada zaman itu bahawa beliau bakal menjadi bintang alim ulama.
Pengarang kitab, Syeikh
Zainul Abidin memuatkan hikayat ini dalam kitab agung beliau Aqidatun Najin,
akan keperluan belajar dan mengajar aqidah. Dalam bidang aqidah, kita wajib
fardhu ain belajar untuk keluar daripada taqlid dengan mengetahui secara umum
(ijmali). Manakala fardhu kifayah adanya orang yang alim belajar secara
terperinci (tafsili) bagi menjelaskan keraguan dan kekeliruan yang timbul dalam
masyarakat.
Dalam era berleluasanya
kejahilan dan keraguan, kepentingan mempelajari ilmu usuludin atau ilmu kalam
Ahli Sunnah wal Jamaah iaitu aliran Asya’irah-Maturidiyah (atau disebut di Alam
Melayu sebagai Sifat 20) semakin terserlah. Aliran Asya’irah-Maturidiyah yang dipelopori oleh Imam
Abu Hasan al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur
al-Maturidi ini menurut Dr. Mohd Farid
Shahran ‘bercirikan kepada ‘keutamaan dalil wahyu dalam penghujahan di samping
memperkukuhkannya dengan hujahan akal’ yang merupakan ‘gabungan antara hujah
akal dan naqal’ (sumber Quran dan Hadith).
Menurut guru kami Ustaz Syed
Izzuddin bin Kamaldin, beliau menjelaskan bahawa aliran al-Asya’irah ini
merupakan metodologi yang dirumus dengan menyeluruh dan sempurna (jami’ dan
mani’) daripada kajian seluruh dalil al-Quran dan Hadith. Ilmu ini bertujuan
membersihkan akal kita daripada berfikir akan sesuatu yang tidak layak bagi
Allah dan menetapkan yang selayaknya bagi Allah. Sifat 20 bukannya Allah terhad
kepada 20 sifat sahaja, akan tetapi 20 Sifat itu adalah seminima perkara untuk
manusia memiliki pegangan yang lurus dan benar, terkeluar daripada taqlid
(percaya buta tuli).
Akan tetapi menurut beliau,
untuk sampai kepada Allah dalam perjalanan menuju-Nya melalui jalan
membersihkan hati melalui pengamalan ilmu tasawuf atau kesufian.
Oleh itu, belajarlah, dan
carilah guru yang benar dapat membimbing aqidah kita dengan jalan yang selamat.
Sekilas tentang Imam Abu
Hanifah
Nama beliau adalah Nu’man
bin Thabit bin Zutha. Beliau dilahirkan di kota Kufah pada 80H dan merupakan
anak bangsawan dan saudagar kain. Beliau dianggap sebagai tabi’in kerana pernah
berjumpa dengan beberapa orang Sahabat Nabi Muhammad s.a.w seperti Hazrat Anas
bin Malik radhiyallahu’anhu. Dikatakan beliau belajar daripada 4,000 orang
guru. Syeikh Hammad bin Sulaiman dalam cerita ini adalah salah seorang daripada
guru beliau.
Imam Abu Hanifah dikhabarkan
berkecimpung awalnya dalam bidang usuludin (aqidah), kemudian beliau
menyelami bidang fekah. Keluasan ilmu, ketinggian
taqwa dan cinta kepada Nabi Muhammad s.aw. mengangkat darjat beliau menjadi
ulama mujtahid mutlaq atau mustaqil yang merupakan salah empat pendiri Mazhab
yang agung.
Beliau merupakan seorang
yang amat suka beribadah. Diberitakan, beliau mengerjakan solat Isyak dan Subuh
serta bangun solat malam dengan wuduk yang sama selama 40 tahun. Dikatakan, beliau
mengkhatamkan al-Quran pada setiap malam dalam satu rakaat. Dalam kehidupan, beliau
mempunyai keperibadian dan akhlak yang mulia, menjauhi ahli dunia dan sangat
berhati-hati berurusan dengan hukum Allah. Beliau wafat pada 150H dan
dimakamkan di kota Baghdad. Beliau hidup ketika pemerintahan Daulah Bani
Umayyah dan kemudian Daulah Bani Abasiyah. Beliau sempat berada pada zaman
Khalifah Umar bin Abd. Aziz, yang ulama menobatkan beliau layak digandingkan
sebagai Khulafa’ ar-Rasyidin.
Semoga Allah berterusan
merahmati beliau sungguhpun sudah lama di alam kubur. Dan semoga kita ini orang
awam meletakkan adab sewajarnya kepada para alim ulama berwibawa yang sangat
alim ilmu dan makrifat, pengenalan kepada Allah, dan hidup sepenuhnya bawah
lembayung Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Amat biadab kita orang awam mengaku lebih
penahu akan Quran dan Sunnah daripada para alim ulama, terutama imam besar
seperti Imam Abu Hanifah dan pendiri Mazhab agung yang lain. Ukurlah baju di
badan sendiri.
Moga kita diberikan rezeki
oleh Allah untuk selamat, bersih aqidah kita daripada perkara yang boleh
membinasakan iman kita. Dan semoga Allah memberi ilmu dan kefahaman dalam
mengamalkan agama dengan sempurna, amiin…
Sayyidina Muawiyah r.a
berkata saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang Allah inginkan
kebaikan untuknya maka Allah kurniakan kepadanya kefahaman agama. Saya hanyalah
pembahagi dan Allah lah yang mengurniakannya.”(Hadith Riwayat Imam
Bukhari)