BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Thursday, September 10, 2015

[BUKU] Mujaddid Dari India

Di Balik Tabir

Perjalanan ke Kuala Lumpur bagi menemani lawatan kerja isteri di sana telah membawakan satu hasrat: memiliki salah satu daripada dua buku, iaitu Route to IPB ataupun Mujaddid Dari India.

Ternyata apabila kedua-dua buku kecil itu berada di tangan, agak sukar untuk membuat keputusan. Bajet pembelian buku kian tipis menjelang hari kedua perjalanan, maka keputusan mesti dibuat. Berada di gedung buku Kinonuniya di KLCC, maka satu buku akan dibawa pulang ke Miri.

Terkenangkan intipati Majlis Haul Imam al-Haddad yang baru sahaja berlalu seminggu lepas di Miri, maka buku Mujaddid Dari India menjadi pilihan. Dengan berat hati, Route to IPB disimpan untuk bajet lain kali.

Dalam Majlis Haul Imam al-Haddad yang lepas, Habib Naqjamuddin al-Khered mengungkapkan sejumlah kalam para ulama, bahawa mengingati orang soleh membawa banyak manfaat. Antaranya adalah kata-kata seorang ulama sufi, Imam Sufyan bin Uyainah yang mengatakan bahawa menyebut nama orang soleh akan mengundang turunnya rahmat.

Terkenang juga kata-kata seorang lagi ulama sufi, iaitu Imam Junaid al-Bahgadadi, dengan kata-katanya:

“Kisah-kisah ialah salah satu daripada tentera-tentera Allah S.W.T yang dapat menguatkan sanubari orang-orang yang sedang berlatih menuju Allah.”

Imam Junaid al-Baghdadi menyandarkan kata-katanya kepada ayat 120 al-Quran Surah Hud:

Habib Naqjamuddin al-Khered di Masjid Darul Ehsan, Miri
ketika Haul Imam al-Haddad, 29 Ogos 2015
“Dan tiap-tiap berita daripada berita para Rasul itu Kami ceritakan kepadamu (wahai Nabi Muhammad s.a.w) untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.”[1]

Maka sandaran inilah yang telah memberati keputusan bagi menjadikan peneman diri untuk perjalanan balik nanti. Moga kisah orang soleh ini akan menghidupkan hati yang mati.

Mujaddid Dari India

Semoga Allah melimpahi dengan rahmat akan ruh insan yang dimaksudkan dalam Mujaddid Dari India, iaitu Mujaddid Alf Thani Syeikh Ahmad Sirhindi yang telah menabur bakti dan terpilih dalam menghidupkan agama. Terutama sekali keadaan di Benua Kecil India, situasi agama Islam tika itu ibarat bahaya di hujung tanduk, dirundung kegelapan dan diancam kepupusan, iaitu pada abad ke-17.

Bersesuaian dengan hadith Nabi Muhammad s.a.w bahawa dalam setiap 100 tahun akan dibangkitkan seseorang yang akan menghidupkan penghayatan agama (mujaddid), maka para ulama menobatkan Syeikh Ahmad Sirhindi adalah orangnya.

Mujaddid Alf Thani merupakan kekasih Allah yang begitu teliti dalam menjalani Sunnah serta meluruskan kefahaman pemerintah dan rakyat akan agama Islam. Sehingga dengan kegigihannya dalam menegakkan pancang kebenaran Islam, lahirnya pemerintah adil yang juga menegakkan Islam berkat kesungguhannya, iaitu Sultan Aurangzeb yang menerajui kekuasaan Mughal (kesinambungan daripada nenek moyang mereka berdarah Mongol).

Latar Belakang Mujaddid

Perjuangan yang berliku ini diungkapkan oleh penulis, iaitu Tuan Khairy Tajudin dengan padat dan ringkas. Beliau menerangkan latar belakang akan keadaan umat Islam yang amat runcing ketika itu pada era pemerintahan Sultan Akhbar Shah Khan, iaitu pemerintah Dinasti Mughal Ketiga. Kekurangan ilmu agama yang cetek pada sang sultan telah menimbulkan masalah kronik, iaitu timbulnya ajaran ‘Deen Ilahi’. Ini adalah satu daripada usaha sultan itu untuk menawan hati rakyatnya yang menganut agama Islam dan Hindu serta daripada ajaran lain. Bukan sekadar itu sahaja, faktor tersebut adalah dek kehjahilannya terhadap hakikat Islam.

Dalam pemahaman konteks perbahasan masakini, lebih dikenal sebagai pluralisme iaitu menyamaratakan agama Islam dengan ajaran yang lain. Hal ini membahayakan penganut fahaman ini tergelincir kepada lembah kekufuran kerana sudah bercampur baur iktikad (pegangan) yang benar dan batil.

Wilayah Dinasti Mughal
Kekacauan fikiran pemimpin Sultan Akhbar Shah Khan merebakkan gelombang kegusaran di kalangan para ulama dan masyarakat. Terdapat ulama jahat yang menjaga kepentingan mereka hanya menjadi pengampu dan menangguk di air yang keruh. Mereka mengiakan sahaja kerosakan yang berlaku tanpa berani bersuara atas perkara yang salah. Maka dalam kekelaman mendung ini, lahirlah seorang pembaharu semangat dalam beragama, iaitu mujaddid, iaitu Mujaddid Alf Thani Syeikh Ahmad Sirhindi.
Bagi memudah bicara, ingin saya memberikan rumusan penting buku ini:

1. Satu keunikan terpampang pada gelarannya oleh para ulama, iaitu Mujadidd Alf Thani, ataupun dengan mudah dikenal sebagai mujaddid dua milenia. Ini kerana beliau muncul pada akhir abad ke-17 dan awal abad ke-18.

2. Syeikh Ahmad Sirhindi muncul tika saat kegelapan umat Islam di Benua India. Ini lantaran timbulnya ajaran menyeleweng yang diasaskan oleh Sultan Akhbar Shah, iaitu Deen Ilahi. Keadaan ini menjuruskan kelemahan yang serius di kalangan umat Islam.

3. Daripada kisah Mujaddid Dari India ini, jalan pengamalan tariqat menjadi tumpuan. Tariqat adalah sistem pentarbiyahan (pendidikan) bagi seseorang yang berjalan menuju Allah menurut sistem tertentu yang dipandu oleh guru yang terbimbing (mursyid). Tariqat yang muktabar (diiktiraf) adalah tariqat yang murni dan mengambil pengamalan daripada Nabi Muhammad s.a.w, para Sahabat dan generasi Salaf as-Soleh melalui rantaian sanad yang diakui oleh para ulama. Fungsi tariqat dalam pemulihan sesuatu umat tidak dapat dinafikan lagi. Beberapa kali dalam lipatan sejarah membuktikan bahawa kaedah ini adalah kaedah yang berjaya mengembalikan pengamalan al-Quran dan Sunnah dalam masyarakat.

Kisah indah di India ini, mengaitkan Syeikh Ahmad Sirhindi sebagai pengasas kepada tariqat Naqsyabandi Mujaddidi. Peranan tariqat dalam mendidik umat begitu berkesan sekali, dan memberikan pengaruh kepada pembinaan jatidiri dan semangat menghidupkan agama di segenap lapisan masyarakat, termasuklah pemerintah sehinggalah kepada orang awam di India. Peranan ulama yang haq seperti Syeikh Ahmad Sirhindi memurnikan tariqat dan membersihkan daripada pengamalan yang bidaah dan tidak bertepatan dengan syariat.

Beberapa contoh unggul peranan tariqat dalam membantu memulihkan kehidupan agama umat Islam di samping kisah Mujaddid Dari India adalah:

Tentera Salahuddin, tahun 1187 (filem Kingdom of Heaven)

a.  Syeikh Abdul Qadir Jailani (pengasas tariqat al-Qadiriyah) yang telah memimpin rohani umat Islam pada era generasi Salahuddin al-Ayyubi. Hasil latihan kerohanian beliau telah membangkitkan kualiti beragama di kalangan umat Islam dan tidak hairan Kota Suci Baitul Maqdis (Jerusalem) kembali ke tangan umat Islam pada tahun 1187.

b. Syeikh Abu Hassan as-Syazili (pengasas tariqat Syaziliah) yang memimpin rohani umat Islam terutamanya di Mesir. Beliau telah meniupkan roh jihad di kalangan umat Islam dalam berjihad menentang penjajahan Raja Louis ke-16 atas Mesir.

c.  Syeikh Abu Abbas al-Mursi (anak murid Syeikh Abu Hassan as-Syazili) menyambung tugas gurunya dan memimpin rohani umat Islam dalam menghadapi gerombolan tentera Mongol. Akhirnya umat Islam berjaya mengekang kemaraan mereka pada bulan Ramadhan di Pertempuran ‘Ain Jalut pada tahun 1258.

d.  Syeikh Aaq Syamsuddin (tariqat Naqsyabandi) yang memimpin rohani umat Islam ketika era Sultan Muhammad II al-Fateh. Beliau telah memimpin tenteranya menawan Kota Konstatinopel pada tahun 1453 dalam merealisasikan sabda Nabi Muhammad s.a.w.

Sultan al-Fateh dan tenteranya, 1453
e.   Syeikh Imam Shamil (mursyid tariqat Naqsyabandi) yang memimpin rohani umat Islam di Chechnya dan berjihad selama 30 tahun. Bukan sekadar itu sahaja, beliau telah menegakkan syariat di kalangan kaumnya. Beliau akhirnya ditewaskan pada tahun 1857 kerana pengkhianatan orangnya sendiri. Tetapi dengan bantuan Sultan Uthmaniyyah, Kaisar Rusia telah membuang negeri ke Mekah. Beliau disambut sebagai bintang mujahid di sepanjang laluannya.

f.  Syeikh Abdul Qadir al-Jazair (tariqat al-Qadiriyah) memimpin rohani umat Islam di Barat Afrika, iaitu Algeria masakini. Beliau berjihad selama 17 tahun menghadapi penjajahan bangsa Perancis, pada 1830 sehingga 1847.

Sidi Omar Mukhtar dan para mujahidin
g.  Sidi Omar Mukhtar (tariqat Sanusiyyah) memimpin rohani umat Islam terutamanya di Libya. Pada saat kekuasaan Daulat Uthmaniyyah mulai pudar, beliau memimpin umat Islam di sana. Negara imperialis Itali mengambil kesempatan untuk menjajah Libya. Namun tidak semudah yang disangka, mereka menghadapi penangan jihad Sidi Omar Mukhtar dalam 30 tahun sehinggalah beliau ditawan dan syahid dihukum gantung pada 1933. Perjuangan Sidi Omar Mukhtar ini adalah kesinambungan Syeikh Muhammad Ali Sanusi yang memimpin tariqat Sanusiyyah di Libya. Sultan Abdul Hamid II, khalifah terakhir Daulat Uthmaniyyah amat mengagumi akan kesetiaan kaum Sanusiyyah. Kaum Sanusiyyah dengan sistem tariqat telah merombak keadaan di Libya yang penuh dengan perang antara kabilah dan menyatukan mereka. Sejarawan mengatakan, bahawa antara faktor Kristianisasi terhalang di Benua Afrika adalah kerana usaha gigih dakwah kaum Sanusiyyah.

Sejarah menjadi saksi bahawa jalan tariqat murni yang dipegang oleh kaum sufi yang lurus banyak kali telah menyelamatkan umat Islam dan berjihad menentang penjajah. Adalah tidak benar bahawa tariqat dan kesufian adalah perencat kepada pembangunan, meskipun tidak dinafikan terdapat segelintir tariqat yang menyimpang. Pokoknya, jalan ini telah sekian lama terbukti membentuk dan memandu umat lantas menyelamatkan mereka daripada terus jatuh hina. Tariqat yang saya sebutkan seperti al-Qadiriyah, Syaziliah, Naqsyabandiyah, Sanusiyah adalah antara tariqat muktabar yang masih terpimpin oleh para ulama sufi yang berwibawa sehingga kini. Terdapat juga tariqat muktabar lain seperti Ba'lawi (para Habaib), Chistiyyah, Syatthari.

4.  Daripada huraian penulis, kita dapat mengenalpasti bahawa di India terdapat ramai orang soleh di sana pada ketika itu. Kita dapat melihat bahawa orang soleh, secara khususnya para ulama yang benar sentiasa berdiri atas jalan yang haq dan seringkali mereka berkorban demi agama. Mereka menjadi guru kepada sebahagian yang lain. Bahkan, dengan rantaian sanad ilmu daripada para ulama yang benar, tidak hairan boleh melahirkan semula mujaddid yang akan menghidupkan semula penghayatan agama umat Islam.

 5. Pada akhir buku ini, saya telah mendapati ada keselarian antara Mujaddid Alf Thani Syeikh Ahmad Sirhindi dengan seorang lagi mujaddid, iaitu al-Imam Ghazali rahimahullah. Persamaan ini begitu serupa dengan peribadi, keadaan sekitar dan hasilnya. Beberapa analisa amatur ingin dibicarakan:

a. Syeikh Ahmad Sirhindi muncul ketika era kegelapan umat Islam di Benua India. Manakala Imam al-Ghazali. Pada zaman Imam al-Ghazali di Timur Tengah, terdapat perpecahan dan rusuhan di kalangan mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah yang merebakkan kepada kesan perpecahan politik, kekacauan keamanan, kemunduran ekonomi dan mudahnya musuh mengganyang dari luar. Natijahnya pada zaman beliau, sempat mendengarkan kengerian jatuhnya Kota Baitul Maqdis ke tangan kaum Salib.

Namun keadaan pada zaman Syeikh Ahmad Sirhindi (pada pengamatan saya) agak lebih kronik kerana terdapat pencemaran agama yang dianjurkan oleh Sultan Akhbar Shah dalam konsep pluralisme agama Deen Ilahinya. Ajaran tersebut mungkin tampak benar bagi orang yang jahil dan menganutnya. Keadaan yang serius ini boleh melenyapkan langsung agama Islam daripada India jika keadaan kekacauan fikiran ini tidak dibendung.

b.  Imam al-Ghazali pernah dikritik kerana tidak menggunakan pendekatan politik dan berjihad melalui ketenteraan. Namun demikian, beliau mengambil jalan yang lebih penting dan lebih ampuh, iaitu menyusun fikiran yang benar dalam agama, meluruskan akidah, mendidik rohani dengan ajaran tasawuf dan menyatukan antara syariat dan hakikat. Beliau mendidik anak-anak muridnya sehingga menjadi ulama. Dan mereka akan menyambung tugas kenabian tersebut sehinggalah lahir beberapa lapisan generasi ulama. Dan ulama ini yang mendidik umat dengan pendidikan yang lurus sehingga lahirlah generasi Salahuddin. Beliau tidak sempat melihat generasi tersebut yang telah membebaskan kota Baitul Maqdis.

Serupa juga dengan Syeikh Ahmad Sirhindi, beliau terlebih dahulu membersihkan fikiran umat Islam daripada fahaman akidah yang menyeleweng yang berleluasa pada zaman tersebut. Beliau giat menyebarkan sistem tarbiyah (pendidikan) tariqat beliau dengan zikir dan nasihat-nasihat serta pengalaman Sunnah. Beliau adalah pengamal Sunnah terulung pada zamannya. Berkat dengan kesungguhannya, keadaan pemerintah dan masyarakat bertambah baik meskipun perlahan. Begitu juga beliau, seperti Imam al-Ghazali, tidak sempat melihat perkembangan kemuncak pengamalan dan tegaknya syariat Islam pada era Sultan Aurangzeb.

c. Imam al-Ghazali dan Syeikh Ahmad Sirhindi menggunakan pendekatan berhikmah dan sabar dalam menghadapi pemerintah. Mereka tidak melancarkan penentangan terbuka, atau revolusi atau demonstrasi dan seumpamanya. Sebaliknya mereka menggunakan cara yang telah diamalkan oleh para ulama sebelumnya.

Sekian sahaja ulasan ringkas berkenaan buku Mujaddid Dari India ini. Satu usaha murni dan kerja keras penulis dalam mengetengahkan tokoh yang berjasa kepada masyarakat. Saya ingin memohon maaf jika tersilap bicara yang menyinggung ataupun dengan fakta yang tidak tepat. Mohon diperbetulkan.

Sesungguhnya kisah orang-orang yang soleh dan kekasih Allah seperti Mujaddid Alf Thani Syeikh Ahmad Sirhindi ini sepatutnya kita baca, ketahui dan hayati kehidupan mereka. Ini tidak lain tidak bukan adalah kerana mereka adalah orang yang berjaya di sisi Allah dan Rasullah s.a.w. Semoga Allah merahmati beliau dan mengampuni, menunjuki orang-orang yang pernah mengkisahkan riwayat beliau. Semoga Allah melimpahi diri dengan rahmat daripadaNya kerana keberkatan mengenal dan berusaha mencintai orang-orang soleh dan Kekasih-Nya... Amiin.



[1] Dipetik oleh Syeikhul Hadith Hazrat Maulana Muhammad Zakariya Kandahlawi rahmatullahi ‘alaih dalam mukadimah Hayatus Sahabah (Kisah-kisah para Sahabat). Syeikhul Hadith Hazrat Maulana Muhammad Zakariya Kandahlawi (2013). Fadhilat amal: Kisah para sahabat, m/s iv. Era Visi Sdn. Bhd.

No comments:

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...