Tersebutlah kisah dua orang berjalan di pantai. Mereka berasa haus, lantas pergi ke sebuah teratak. Teratak tersebut dikelilingi oleh pohnan nyiur atau kelapa. Terdapat seorang yang sedang berehat di teratak itu. Kedua-dua mereka menghampiri orang itu.
Mereka menyapa orang itu, seraya salah seorang daripada mereka, "Tuan, bolehkah kami meminum air nyiur di kebun tuan?" Dengan rasa kasihan, orang itu pun menyediakan parangnya dan mula memanjat. Maka dilihatlah ketangkasan orang itu memanjat dan mendapatkan dua biji buah nyiur.
Usai turun tuan punya pohon, ia pun menetak-netak buah nyiur. Dalam keadaan yang penat, berpeluh dan terlihat pula terkadang ia digigit kerengga yang menumpang naik, tuan itu berkata, "Buah ini telah saya pilih yang sudah masak, dan enak dan berlemak pula." Ia berbual mesra sehinggalah nyiur itu terbentuk seperti yang sesuai diminum. Terakhir, ia meletakkan straw dan menyerahkan kepada mereka.
Seorang menerima. Manakala seorang lagi berkata, "Tidak mahu tuan. Saya mahu ambil sendiri!" herdiknya. Tuan itu pun tidak mahu bercakap banyak. "Naiklah," katanya.
Si kawan seorang itu mulanya teragak-agak. Tinggi nampaknya. Dipeluknya batang itu, dipautnya kakinya. Mulanya laju, kemudian perlahan-lahan dan kadang-kadang tergelincir. Baru ia tahu bahawa batang itu licin. Naik sedikit, batang itu bergoyang-goyang ditiup angin. Semakin tinggi, semakin kuat angin menghembus. Ia nekad untuk terus ke atas.
Setibanya di atas, ia dirayap pula dengan makhluk-makhluk kecil tetapi berbisa berwarna merah. Kerengga. Maka kesakitanlah ia digigit. Dalam keadaan yang kucar-kacir itu, ia melihat-lihat, manakah buah yang paling enak? Mana satu? Inilah kali pertama ia naik! Pergelutan dengan kerengga itu, diterpa oleh angin kencang, akhirnya ia terlepas... dan tersungkur di bumi...
Apakah pengajarannya?
Itulah ibarat kita pada dengan ulama pada hari ini. Tuan pohonan nyiur adalah laksana para ulama, iaitu ahli ilmu yang bijak pandai yang berwibawa telah memproses ilmu daripada dua sumber tertinggi, iaitu al-Quran dan Sunnah. Mereka telah bersusah payah untuk mengembara, mendidik, mengarang, menganalisa dan mempertahankan agama. Mereka telah menabur jasa yang besar kepada masyarakat. Dengan keberkatan keikhlasan mereka, segala ajaran mereka yang diturunkan dengan sanad dan ijazah ilmu kepada ahlinya serta kitab-kitab yang dinukilkan selamat tiba kepada zaman kita pada hari ini.
Orang pertama yang meminum air nyiur itu adalah ibarat orang awam yang beradab dengan ulama. Ia tahu bahawa ia tidak berkemampuan dan tidak menahu pun bagaimana memanjat, bertahan dengan cabaran dan buah yang paling ranum. Ia menerima nyiur itu yang hanya siap diminum.
Begitulah juga analogi dalam kehidupan, orang awam yang beradab tahu membezakan antara ulama dan orang awam. Orang awam menghormati yang dibahsakan oleh ulama dan memuliakan mereka lantaran amanah mereka kepada Allah dan Rasul. Oleh itu, ia bersangka baik bahawa para ulama itu berwibawa dan amanah, di sebalik kelemahan mereka.
Orang kedua yang enggan menerima nyiur adalah ibarat orang awam yang 'tidak ukur baju di badan sendiri'. Ia berlaku sombong bertindak sendiri tanpa mempercayai langsung usaha tuan pohonan nyiur. Justeru dengan keyakinan yang melulu, ia pun tergesa-gesa tanpa belajar terlebih dahulu. Meskipun ia sudah sampai di atas, ia masih lagi keliru mana satu buah yang sudah masak atau tidak. Entah sedap atau tidak. Dan kerana tidak tahan cabaran, maka kedangkalannya mengorbankan dirinya.
Begitulah hari ini ada segolongan manusia yang seperti ini, yang tidak melalui proses belajar yang sempurna, belajar sendiri tanpa berguru, maka ia sendiri menjadi keliru, bingung dengan kefahaman ceteknya sendiri. Ulama ataupun guru dicemuhnya lantaran tidak sehaluan dengan fahamannya. Oleh sebab tiada rujukannya melainkan kepada kitab ataupun juga guru yang juga keliru, maka terjadilah kehilangan adab yang membinasakan. Ia merasakan ia berada dalam kebenaran. Tetapi hakikatnya ia sudah tersasar jauh!
Jika kita sedar kita bukan ulama, maka jadilah kita orang awam yang beradab. Usah menjadi orang kedua yang tidak kenal erti budi bahasa...
Moga bermanfaat!
No comments:
Post a Comment