"Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik jika kamu mengetahui." (Surah al-Jumu'ah, 62:10)
Hari Jumaat merupakan Sayyidul Ayyam, iaitu penghulu segala hari. Pada hari Jumaat ini dikurniakan dengan pelbagai keberkatan dan kelebihan buat umat Islam khususnya. Istimewanya Hari Jumaat ini, sehinggakan Imam al-Ghazali mengungkapkan hari tersebut sebagai hari raya bagi umat Islam kerana akan kemuliaannya.
Syeikh Abdus Samad Falimbani menghuraikan sebanyak 20 adab yang perlu diperhatikan oleh setiap muslim untuk meraih keberkahan hari tersebut. Beliau menghuraikan kitab Imam al-Ghazali yang berjudul Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah). Dalam menghuraikan kitab amalan seharian bagi meraih taqwa zahir dan batin, iaitu Bidayatul Hidayah, Imam al-Ghazali mengungkapkan hari Jumaat sebagai:
"Ketahuilah olehmu bahawa hari Jumaat itu adalah Hari Raya bagi orang Islam. Iaitu hari yang mulia yang telah dikhususkan oleh Allah S.W.T kepada umat (Nabi) Muhammad s.a.w. Dan pada hari itu ada satu saat yang mustajab doa. Tiada membetuli akan saat itu oleh seseorang yang mukmin dengan doanya kecuali Allah akan memberi apa sahaja yang ia minta. Maka bersiaplah engkau menghadapi Hari Jumaat itu mulai dari petang hari Khamis lagi." (Bidayatul Hidayah, m/s 100)
Mungkin pada pandangan mata kita sebagai orang awam, hari Jumaat ini adalah yang lain daripada hari lain, kerana semata-mata perlu untuk menghadiri solat Jumaat dan mendengarkan khutbah. Terkadang, ada yang datang pada waktu azan dilaungkan. Ada juga yang tiba 'tepat pada masa' semasa akhir khutbah dan menunggu saat-saat solat Jumaat secara berjemaah.
Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam memberikan kuliah Hidayatus Salikin di Masjid Darul Falah, Subang USJ 9, 2009 |
Kehadiran penulis di kuliah kitab Hidayatus Salikin mendengar kupasan daripada Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam sekitar tahun 2009 telah memberi perspektif baru, bahawa betapa sunnah dalam penghayatan Hari Jumaat selama ini telah terabai buat sekian lama. Ya, kita sibuk dengan kerja seharian, sekolah, mahupun ke kuliah universiti, sehinggakan kita tidak merasakan betapa istimewanya pada hari tersebut. Bahkan, pada hakikatnya, keseluruhan hari Jumaat tersebut (bermula petang Khamis sehingga petang Jumaat) mengandungi keberkahan yang tiada tandingnya. Puas saya mencari nota syarah kuliah tersebut, tetapi belum menemuinya untuk dikongsi bersama. Tidak mampu berkongsi semua, memadailah sekelumit sahaja...
Suasana malam Jumaat di Madrasah al-Khairat, Kuching |
Mari kita mulakan amalan Hari (dan malamnya) Jumaat sedikit demi sedikit:
1. Membaca Surah Kahfi
Masjid Wan Alwi, Tabuan, Kuching |
"Barangsiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya diterangkan baginya daripada nur barang yang antara dua Jumaat itu." (Hadith Riawat Hakim dan Baihaqi, m/s 122)
2. Membanyakkan Selawat
Dalam adab ke-15, Syeikh Abdus Samad Falimbani menyarankan untuk berselawat atas Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w pada malam atau hari Jumaat:
"Sayugianya engkau banyakkan membaca selawat dan salam atas Nabi s.a.w pada hari Jumaat dan malamnya, iaitu terlebih daripada hari yang lain kerana kelebihan membaca selawat atas Nabi s.a.w pada hari Jumaat itu amat banyak. Dan sesetengah daripada kelebihan membaca selawat itu sabda Nabi s.a.w:
'Barangsiapa membaca selawat atasku di dalam hari Jumaat 80 kali nescaya mengampuni Allah Ta'ala baginya akan dosa 80 tahun.' (Hadith Riwayat Daruqutni)"
Dalam kitab Fadhilat Selawat oleh Muhadith Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari al-Hasani disebutkan hadith:
"Hari kamu yang paling afdal ialah hari Jumaat. Pada hari itu, diciptakan (Nabi) Adam dan pada hari itu juga nyawanya dicabut. Pada hari Jumaat juga, berlaku tiupan sangkakala dan Kiamat. Maka perbanyakkanlah ucapan selawat ke atasku pada hari itu kerana selawat kalian akan dihadapkan kepadaku.
Para sahabat bertanya, 'Bagaimanakah selawat kami akan dipersembahkan kepada kamu, sedangkan kamu telah binasa? Mereka memaksudkan sebagai binasa dimamah tanah.'
Maka baginda s.a.w bersabda, 'Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi daripada memakan jasad-jasad para nabi.' " (Hadith Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, al-Nasaie dan ibnu Majah)
Hadith yang lebih kurang sama daripada Abi Darda' juga dalam kitab tersebut. Imam Nawawi dalam kitab al-Azkar juga menyebut kelebihan membanyakkan selawat atas baginda Nabi s.a.w pada hari Jumaat. Syeikh Abdus Samad Falimbani juga menyebut agar membanyakkan tasbih dan istighfar bermula pada petang Khamis, kerana waktu tersebut sudah menyamai kelebihan pada Hari Jumaat.
Jika terdapat majlis zikir, selawat ataupun seumpamanya pada malam Jumaat, hadirlah ke majlis tersebut. Insya-Allah mendapat berkat daripada amalan-amalan tersebut. Alhamdulillah, saya diberikan nikmat untuk menghadiri Majlis Ratib al-Attas di Madrasah al-Khairat, Kuching secara rutin pada malam Jumaat.
Dalam majlis tersebut, dibacakan surah Yaasiin, susunan wirid Ratib al-Attas, doa-doa, himpunan selawat para ulama muktabar, Asma'ul Husna serta mengalunkan qosidah dan maulid indah berzikir kepada Allah dan berselawat atas Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w. Majlis tersebut dipimpin oleh mudir madrasah, Ustaz Syed Mohamad bin Awli al-Attas (digelar Habib Mohammad al-Attas). Bacaan tersebut terhimpun dalam kitab Kitab 'Pembuka Jalan Mendekatkan Diri kepada Allah' yang disusun oleh beliau.
2. Datang Awal ke Masjid dan Beriktikaf
"Barangsiapa pergi ke masjid kerana sembahyang Jumaat pada saat yang pertama maka seolah-olah ia menyembelih korban seekor unta. Dan barangsiapa pergi pada saat yang kedua maka seolah-olah ia menyembelih korban seekor lembu. Dan barangsiapa pergi pada saat yang ketiga maka seolah-olah ia menyembelih korban seekor kambing biri-biri yang bertanduk. Dan barangsiapa pergi pada saat yang keempat seolah-olah ia memberi hadiah seekor ayam. Dan barangsiapa pergi pada saat yang kelima maka seolah-olah memberi hadiah satu telur. Maka apabila keluar imam maka dilipat suratan dan diangkat akan qalam dan berhimpun segala malaikat pada sisi mimbar pada hal mendengar mereka itu akan zikir (khutbah)." (Hadith Mutafaq 'Alaih, m/s 120)
Saya terimbau, bahawa Syeikh Fahmi Zam Zam mengatakan 'saat' yang disebut dalam kitab Hidayatus Salikin bermaksud jam. Jika dihitung sejak subuh sehinggalah waktu zuhur pada hari tersebut, maka jaraknya dalam lebih kurang 6 jam. Barangsiapa yang datang awal untuk tujuan solat Jumaat, maka pahala diperoleh berdasarkan kadar pahala korban yang dimaksudkan dalam hadith tersebut. Syeikh Abdus Samad menghurai panjang tentang adab dan amalan ketika di dalam masjid.
Persoalannya, masakini, mungkin atas kesibukan memenuhi keperluan kerja, persekolahan atau aktiviti seharian terkadang mendesak menyebabkan kita lewat untuk tiba di masjid. Dari semasa ke semasa, marilah kita membaiki perancangan untuk Hari Jumaat dengan lebih baik, dengan menghadirkan diri ke masjid seawal yang mungkin.
3. Membaca 4 Surah 7 Kali Usai Solat Jumaat
Dalam adab ke-17 kitab Hidayatus Salikin, Syeikh Abdus Samad Falimbani mengusulkan amalan membaca surah:
al-Fatihah x 7 kalial-Ikhlas x 7 kalial-Falaq x 7 kalian-Naas x 7 kali
sebelum berkata-kata dan angkat daripada duduk. Saya juga telah mendengar amalan ini daripada Dato' Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki dalam satu kuliah pada tahun 2009 dahulu. Beliau mengatakan bahawa amalan tersebut merupakan amalan para ulama sejak zaman-berzaman. Namun demikian, seseorang harus langsung membaca surah al-Fatihah sehinggalah an-Naas sebelum berkata-kata yang lain dan masih duduk sediakala daripada tahiyat akhir.
Menurut Syeikh Abdus Samad Falimbani, amalan tersebut 'memeliharakan ia daripada segala kejahatan daripada satu Jumaat kepada Jumaat yang lainnya, dan lagi memeliharakan bagimu daripada syaitan.'
4. Ada Saat Mustajab Doa Hari Jumaat
Pada hari Jumaat terdapat masa doa mustajab. Ada pendapat mengatakan daripada Sayyidatina Fatimah az-Zahra' binti Rasulullah s.a.w, bahawa menurut beliau doa mustajab pada hari Jumaat adalah pada waktu Asar sehinggalah maghrib pada hari Jumaat tersebut. Berkata Syeikh Abdus Samad Falimbani dalam Hidayatus Salikin beliau:
"Sayugia membanyakkan berdoa pada hari Jumaat itu pada beberapa waktu iaitu pada:
i. waktu terbit matahari
ii. waktu gelincir matahari
iii. waktu masuk matahari
iv. waktu iqamat
v. waktu khatib naik ke mimbarvi. ketika beriri manusia kepada sembahyang,kerana segala waktu yang demikian itu sangat diharap akan mustajab."
Allahu'alam, Allah Maha Mengetahui. Ini adalah pendapat para arifin yang dibukakan mata hati mereka oleh-Nya. Adalah tidak mustahil jika mereka dikurniakan kelebihan mengetahui rahsia-rahsia-Nya seperti saat doa mustajab ini. Tidak layaklah membandingkan diri kita orang awam mutakhir seperti kita ini ini berbanding dengan orang-orang yang mempunyai darjat taqwa yang tinggi di sisi Allah.
Sebagai kesimpulan, memadailah saya mengungkapkan kata-kata Imam al-Ghazali tentang keistimewaan Hari Jumaat dalam kitab Bidayatul Hidayah:
"... dan jadikanlah hari ini dalam minggumu sebagai hari yang engkau khususkan bagi akhiratmu. Mudah-mudahan ia menjadi kifarat (penebus) bagi hari-hari yang lain dalam minggu itu."
Wallahu'alam. Mohon pencerahan dan teguran atas segala salah dan silap.
Daripada rancangan 'Fattabioni' Habib Mohammad as-Seggaf dalam TV HIJRAH:
NOTA: Hidayatus Salikin (Petunjuk Jalan Bagi Orang yang Takut Kepada Allah Taala) merupakan sebuah kitab huraian daripada kitab Bidayatul Hidayah (sebuah karangan ringkasan kepada kitab Ihya' Ulumuddin karangan Imam Ghazali).Hidayatus Salikin ditulis oleh Syeikh Abdus Samad al-Falimbani. Kitab ini ditulis oleh ulama ini bagi membolehkan masyarakat Nusantara dapat memahami pemikiran Imam Ghazali secara lebih dekat, sejak 200 tahun yang lampau. Kitab ini disunting dan disempurnakan oleh Syeikh Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki.
NOTA: Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam merupakan seorang ulama daripada Banjar, Kalimantan Indonesia. al-Banjari merupakan gelaran tempat kelahiran beliau. Manakala an-Nadwi pula merupakan gelaran yang diberikan oleh guru beliau, Syed Abul Hassan ali Nadwi (ulama besar India) semasa menuntut di Naudatul Ulama, Lucknow, India. Manakala gelaran al-Maliki merupakan gelaran yang diberikan oleh gurunya Syed Muhammad Alawi al-Hasani (ulama besar Mekah, keturunan Nabi Muhammadsallallahu alaihi wasallam) ketika menuntut di Makkah.
1 comment:
Terima kasih untuk info yang terbaik
http:..metrobestmom.blogspot.com
Post a Comment