BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Thursday, June 21, 2012

Menjejak Khazanah Dalam 'Gua' Ramadhan


Saya terkenangkan Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam al-Banjari memberikan analogi menarik tentang mentaliti sebelum Ramadhan. Huraian tersebut diketengahkan beliau ketika mensyarahkan kitab Sairus Salikin (karangan Syeikh Abdul Samad Falimbani), pada tahun 2009 (Masjid USJ 9 Subang) kira-kira bermaksud:


"Memasuki Ramadhan umpama kita memasuki gua yang penuh dengan harta. Bayangkan kita berada dalam satu pertandingan untuk masuk ke dalam gua tersebut dan mendapatkan apa sahaja yang dijumpai dan dimiliki sepenuhnya tanpa bayaran. Akan tetapi, masa yang diberi amat terhad.
Pertandingan telah dimulakan. Ada yang mengetahui batu zamrud dan permata tanpa ragu-ragu mengambilnya. Ada pula yang membuang masa baru hendak bertanya, adakah itu berlian ataupun kaca. Apatah lagi orang yang masuk tidak tahu apa-apa mengapa ia masuk, maka tidak ada apa-apa yang diperolehinya."
Kitab Sairus Salikin, Jilid 1, versi Jawi
Beliau menyambung:
 

"Begitulah kita menjelang bulan Ramadhan. Bulan berkat tersebut mengandungi banyak rahsia dan ganjaran yang berharga. Beruntunglah kepada sesiapa yang mengetahui nilaian harta tersebut. Oleh yang demikian, TUNTUTLAH ILMU tentang Ramadhan SEBELUM memasuki bulan mulia tersebut."
   
Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam merupakan seorang ulama daripada Banjar, Kalimantan Indonesia. al-Banjari merupakan gelaran tempat kelahiran beliau. Manakala an-Nadwi pula merupakan gelaran yang diberikan oleh guru beliau, Syed Abul Hassan ali Nadwi (ulama besar India) semasa menuntut di Naudatul Ulama, Lucknow, India. Manakala gelaran al-Maliki merupakan gelaran yang diberikan oleh gurunya Syed Muhammad Alawi al-Hasani (ulama besar Mekah, keturunan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam) ketika menuntut di Makkah.

Kenang-kenangan kami bersama Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam
(5 dari kanan) beserta dengan beliau, Syeikh Yusuf Bakhour,
Mufti Besar Kanada (dan merangkap Khalifah Thoriqah 
Syaziliah  sedunia, 6 dari kanan),  diikuti oleh Syeikh Baba Aziz
dan Syeikh Rohimuddin al-Banteni di Ba'alawi KL, 2009
~Semoga Allah merahmati mereka~
Kitab ini merupakan kitab paling tinggi di Nusantara ini dalam konteks kerangka perbahasan karya Imam al-Ghazali, Ihya' Ulumuddin. Kitab ini ditulis 200 tahun yang lepas. Syeikh Abdul Samad al-Falimbani juga menulis Hidayatus Salikin(Hidayah Bagi Orang yang Berjalan). Syeikh merupakan seorang ulama yang menabur jasanya kepada umat. Berbekalkan dengan keberkatan ilmu yang dibawanya, beliau telah berdakwah di serata Nusantara, sebagaimana ulama-ulama lain. Beliau juga merupakan seorang mujahid yang berjuang di jalan Allah. Pendapat mengatakan bahawa beliau telah syahid ketika mempertahankan Patani daripada serangan tentera Siam pada suatu masa dahulu. Kitab ini merupakan khazanah yang tidak ternilai untuk kita semua. Ajarannya masih segar dan relevan, walaupun setelah 200 tahun kewafatannya. 

Moga ada manfaatnya pertemuan kali ini. 


Selamat berlatih untuk mendepani Ramadhan al-Mubarak!


No comments:

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...