Sebuah Pemerhatian Peribadi
12 Rabiul Awal 1430H yang mulia...
Musolla Siddiq
Hari itu hari yang tenang lagi permai. Kebeningan subuh membugar rasa kesyukuran kepada Tuhan, lebih-lebih lagi pada permulaan hari. Mungkin hari ini bertambah lagi mulia, lantaran kelahiran seorang yang mulia, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.
Selesai sahaja imam memberi salam, tidak lama setelah itu bangkit seorang hamba Allah, orang Nigeria. Sangkaanku, pasti akan ada pengisian pada waktu subuh ini. Desisku, “Mungkin orang ini ingin berkongsi tentang Nabi sallallahu alaihiwasallam.”
Satu budaya di Musolla Siddiq ialah, masing-masing boleh bangun dan berkongsi menyatakan suara mereka. Kadang-kadang memberi peringatan atau teguran. Kebiasaannya, perkara ini dipelopori oleh mahasiswa-mahasiswa master. Lazimnya, mereka ini terdiri daripada mahasiswa antarabangsa, terutama Afrika.
Orang Nigeria ini pernahku sekali dengar pengisiannya. Pembacaanku, ia seorang yang berterus terang, analisanya kritikal lagi mengena. Kelebihan ada padanya adalah ia seorang yang berani dan yakin bersuara dan suaranya yang nyaring.
Pengisian diberi dengan bersemangat sekali dalam masa kira-kira 20 minit. Pada permulaan ucapannya, ia telah menyatakan hasratnya, masa cuti umum Maulidur Rasul sekurang-kurangnya terisi dengan mengingati Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Penyampai berkali-kali menyatakan, kita seharusnya menjadikan baginda sebagai contoh tauladan, terutama dari segi aspek amanah baginda. Beliau tidak ingin bercakap lebih lanjut lagi, kerana niatnya mahu berkongsi lagi tentang baginda pada waktu solat yang lain.
Selesai saudara tersebut berucap, imam lantas bangkit. Pada permulaannya, ucapannya agak kurang jelas maksudnya. Tapi dalam benak hatiku berkata, “Mungkinkah ia berhujah ‘kerana itu’”?
Penyampaian imam kuamati dengan sabar. Mungkin juga makmum lain demikian juga. Aku sudah mengagak dan menantikan kesimpulan daripada ucapannya. Kerana ada masanya, beliau menggunakan dalil yang ‘disahihkan’ oleh ‘al-Bani.’
Setelah beberapa waktu, imam telah berada di hujung ucapannya. Kesimpulannya ialah, menyambut hari ‘kelahiran’ Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam adalah bidaah dan terlarang.
Makmum Nigeria yang berucap awal tadi bangkit lantas bersuara dengan lantang, sambil menunjukkan jam dinding, “Lihat, berapa lama awak ambil masa untuk katakan yang ini sahaja?”
Mula terjadi perbalahan. Pengucap awal tadi terkenal dengan teguh pendirian dan seorang yang bersuara lantang.
Katanya dengan nada marah, “Mengapa awak mahu ungkitkan perkara ini?”
Rakan imam seraya membantunya, dan berhujah serta menenangkannya. “Sekalipun orang kebanyakan menyambut Maulid pada hari ini, dan saya tidak menyambut seperti mereka, apa salahnya masa cuti yang ada kita gunakan untuk mengingati Nabi!?”
Imam tadi tetap bertegas dan mengeluarkan dalil yang lain. Rakannya menegaskan bahawa menyambut hari keputeraan baginda adalah terlarang. Melihat keadaan yang semakin runcing, aku keluar menggeleng-gelengkan kepala. Hendak menyahut, rasanya tidak layak berhujah. Mereka adalah mahasiswa aliran agama. Tentunya hujahku dengan senang dipatahkan.
Pertengkaran berlaku hingga menyebabkan keadaan menjadi tegang. Aku berasa malu kepada tetamuku, Amad yang baru sahaja tiba dari Melaka. Kami kembali ke bilik dan bersarapan di Kafetaria Siddiq. Kami mendapati bahawa, perbalahan itu tidak terhenti setakat itu sahaja. Tetapi telah berlarutan sehingga pukul 8.30 pagi (setelah lebih kurang sejam berlalu).
Demi ‘mempertahankan’ sunnah, berbalah pula jadinya....
Maulidur Rasul yang dijadikan cuti sehari dikatakan terlarang, lagi bidaah. Di Arab Saudi, menjadi satu kesalahan menyambut Maulidur Rasul pada 12 Rabiul Awal. Bahkan, mengambil cuti pada hari tersebut juga dilarang. Pelik... ‘Minggu’ memperingati Muhamad bin Abdul Wahab di Arab Saudi, boleh pula ya??
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol
"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...
-
*Artikel ini telah saya tulis sebagai alat bantu mengajar kelas KAFA untuk murid-murid Tahun 2 beberapa bulan yang lepas. Mohon teguran da...
-
Habib Mohamad bin Alwi al-Attas (kiri) dan Habib Izzuddin al-Idrus (kanan) Jika berbicara tentang dakwah, pemerhatian saya para guru A...
-
Bisikan Tanjung Lobang (1) Bisikan Tanjung Lobang (2) Bisikan Tanjung Lobang merupakan cetusan andaian ataupun simulasi kepada pertem...
No comments:
Post a Comment