Monday, April 7, 2008
Mukaddimah
Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, Maha Penyayang
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Tuhan yang menjadikan langit dan bumi serta antara keduanya. Tuhan yang menentukan hidup dan mati. Tuhan yang menguasai hari pembalasan. Tuhan yang menguasai hari yang tidak berguna segala anak pinak, isteri dan harta, melalui rahmat-Nya. Tuhan yang empunya sifat Pengasih dan Penyayang, Maha Bijaksana serta berkuasa atas segala-galanya.
Selawat dan salam atas junjungan, manusia-manusia mulia yang diutuskan dengan wahyu untuk memimpin umat manusia, iaitu para nabi dan para rasul. Semoga Allah sentiasa melimpahi mereka dengan rahmat-Nya atas kasih sayang dan pengorbanan yang mereka lakukan demi umat tercinta. Selawat dan salam dipanjatkan kepada penyudah segala utusan, penyudah segala risalah dan penyudah kepada kenabian, iaitu junjugan mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihiwasallam. Semoga Allah mencucuri baginda dengan rahmat tidak terhingga, beserta ahli keluarganya, para sahabat, warisnya iaitu para ulamak, orang-orang yang ikhlas berjuang serta orang-orang yang mengikutinya sehingga hari kiamat.
Semoga Allah melimpahi rahmat dan kesejahteraan kepada ayah dan ibunda tercinta. Kerana asbab merekalah Dia menjadikanku wujud di alam fana ini. Kerana berkat kasih sayang dan keikhlasan yang mereka tumpahkan kepadaku dan sekeluarga, aku adalah aku pada hari ini. Syukur yang tidak terhingga kepada-Mu ya Allah, kerana nikmat yang engkau beri aku selama ini. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku ketika kecil... kerana dengan kalimah-Mu yang menyuruhku berbuat baik kepada mereka; dan Engkau telah pahatkan firman itu di dalam hatiku, maka amat zalimlah diriku mengkhianatinya.... tentulah aku tergolong bersama orang-orang Bani Israel yang engkau laknati kerana kekufuran mereka... Jadikanlah aku bersama orang yang menepati janji... amiin...
Segala puji bagi Allah, yang menjadikanku sedemikian sekarang. Cukup anggota badan. Mata yang boleh melihat, telinga yang mampu mendengar, mulut yang bisa berkata-kata, tangan yang kuhayun dan kaki yang melangkah. Dan akal yang mampu berfikir dan hati yang diberi hidayah agama yang benar, Islam ad-deenul haq, insya-Allah. Engkau sejahterakanlah juga guru-guruku. Limpahilah rahmat-Mu sebagaimana janji-Mu akan ganjaran ilmu yang bermanfaat. Semoga Dia senentiasa menunjukiku dan mereka semua sehinggalah ke nafas terakhir, amiin...
Beribu-ribu kemaafan penulis pohon kepada insan-insan yang telah kujemput ke blog ini, suatu ketika dahulu. Secara jujur, dalam sebulan ini, bebanan kerja kuliah terlalu banyak untuk diselesaikan. Peperiksaan yang menjelang jugan menjadi perhatian. Maka, kemas kini blog ini terbengkalai.
Seketika rakyat Malaysia ghairah menghadapi bahang Pilihanraya Umum ke-12 negara, penulis duduk berkipas meneroka dunia blogging. Apakan daya, diri di perantauan, sedang peti undi jauh di bumi Kenyalang. Memang, di sana bahang tidak begitu dirasa di Semenanjung, kerana sifat dan sepak terjangnya begitu berbeza. Bukanlah maksud blog ini untuk membicarakan semua itu. Kerana penulis bukanlah orang yang arif. Dan penulis serahkan kepada rakan-rakan yang tajam akalnya, luas pandangannya dan jauh andaiannya. Terima kasih kepada rakan dan taulan yang memberi sokongan. Jikalau tidak kerana berkat dorongan kalian, maka mungkin hasrat blogging ini akan terbengkalai sampai bila-bila.
Segala amalan hanya akan diterima Allah seandainya menepati segala peraturan-Nya. Begitu juga menulis dalam blogging. Nabi Muhammad mengatakan bahawa segala amalan disertai dengan niat. Jika seseorang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka ia akan berhijrah kepada keduanya. Barangsiapa yang berhijrah kerana dunia ataupun wanita yang ia ingini, maka ia akan dapat apa yang ia kehendaki (hadith diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim). Tidak perlu penulis ulas mengenai maksud hadith ini, kerana merasakan maklum pada semua.
Ikhlas adalah kunci kepada diterima amalan atau tidak oleh Allah. Para ulamak tidak jemu memperingat umat mengenai kepentingan ikhlas. Imam Bukhari dan Muslim mendahulukan ikhlas dalam kitab mereka. Imam Nawawi juga meletakkan ikhlas dalam keutamaan. Kitab Riyadhus Salihin, bab ikhlas sebagai bab pertama. Hadith 40, juga begitu. Sehinggakan dalam kitabnya "Bustanul Arifin" (Taman-Taman Orang-orang yang Arif), beliau hanya membicarakan pentingnya ikhlas. Imam al-Ghazali dalam Ihya' Ulumuddin (Menghidupkan Agama) meletakkan ikhlas sebagai bab pendahuluan. Ibnu Battutah, seorang pengembara yang agung memulakan pengembaraannya dengan niat yang ikhlas kerana Allah sebelum berangkat dari kota Fez di negeri Tanjah. Menariknya dalam "Hikayat Abdullah" oleh cendiakawan ahli Bahasa Melayu abad ke-19, Munsyi Abdullah meluruskan niatnya semata-mata kerana Allah. Kerana keikhlasan mereka, maka Allah menjadikan mereka 'hidup' pada setiap zaman. Karya agung yang dikarang beratus-ratus tahun sampai kepada kita hari ini.
Pada permulaan, memang penulis teruja dengan fenomena yang berlaku di sekeliling penulis: ramai rakan taulan sudah bertapak dalam dunia blogging. Lebih menjadikan penulis 'geram' ialah, adik-adik yang lebih muda sudah mantap dalam blogging. Penulis berasa tercabar. Insya-Allah, itulah 'geram' yang positif. Tetapi semestinya lebih daripada itu: kerana penulis ingin menyusuri jejak langkah para ulamak. Kerana ulamak adalah waris para anbiya. Ulamak adalah bintang-bintang yang bersinar menuntun umat mengikuti baginda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Merekalah benteng terakhir umat menghadapi musuh-musuh-Nya. Bukanlah penulis ini merasakan dirinya ulamak, tetapi sekadar mampu mengikuti jejak langkah mereka.
Penulis terkesan dengan penulisan seorang pendidik, Talib Samat dalam bukunya "Berjihad Melalui Tulisan". Beliau mengatakan bahawa para penulis menggalas beban yang berat di bahu mereka. Mereka bertanggungjawab atas segala tulisan mereka. Ibarat seorang presiden adalah memimpin negaranya, maka penulis memimpin umat dengan fikirannya. Tajamnya pena sehingga Syed Qutb digatung oleh Gamal Abdul Nasir presiden, Republik Sosialis Mesir. Berkuasanya kata-kata pena, takhta ratu Inggeris bergegar.
Begitulah, tidak dinafikan, penulisan mampu memberi perubahan yang penting kepada suatu umat. Dan umat yang terbaik inilah yang telah memulakan langkah-langkah, sehinggalah Eropah ‘lahir semula’ keluar daripada kepompong Zaman Gelap dan muncul Renaissance. Puncanya siapa? Berkat kerajinan dan ketekunan para ulamak zaman berzaman. Jikalau tidak penulis wahyu menuliskan Quran pada pelepah-pelepah tamar, maka mungkin Quran akan hilang dari ingatan. Jikalau tidak khalifah agung Umar bin Abdul Aziz mengarahkan hadith Nabi Muhammad ditulis, mungkin kita tidak mengenal lagi Rasullullah. Jikalau tidak dengan usaha gigih Imam Abu Hanifah, Imam Maliki, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hambal menuliskan fatwa mereka dalam kitab, maka mungkin kita berbalah dan celaru sehingga hari ini. Maju mundur sesuatu umat ditentukan oleh rajin atau malasnya umat itu untuk mencintai ilmu. Ingatlah, jika kita hendakkan dunia, maka kita perlukan ilmu. Jika kita hendakkan akhirat, perlu juga ilmu. Maka jika kita mahu bahagia, kedua-duanya juga diperlukan.
Blog ini hanyalah sebagai wadah untuk menyampaikan idea. Oleh itu, blog ini bukanlah segala-galanya. Blog umpama pisau. Jika digunakan untuk mempermain peribadi orang, maka akan ada orang yang menanggung malu. Jika digunakan untuk kebaikan, insya-Allah akan mendatangkan rantaian manfaat. Blog ini sebagai pelengkap kepada rakan-rakan blog yang lain. Pendek kata, blog ini akan memperkatakan mengenai perkongsian pengisian hati, peringatan perbincangan ilmiah dan perbincangan mengenai dakwah berkait dengan isu semasa.
Penulis merasakan bahawa perlu ada inisiatif lebih daripada blogging. Kerana blogging hanya dicapai melalui alam maya. Adakah budak-budak melepak di jalanan membuka komputer dan berminat menuntut ilmu darinya? Kita jawablah sendiri. Pendek kata, blog hanya akan dibaca oleh golongan tertentu sahaja. Mungkin banyak perspektif sejarah diselitkan, kerana penulis lebih banyak terdedah kepada pembacaan bahan sejarah. Ayuh, kita perbetul diri dan sama-sama kita berganding bahu beriman kepada Allah, menyuruh kepada yang kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Kerana itulah sebaik-baik formula umat akhir zaman ini!
Kalau bukan kita, siapa? Kalau bukan sekarang, bila? Fikir sebelum terlambat...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol
"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...
-
*Artikel ini telah saya tulis sebagai alat bantu mengajar kelas KAFA untuk murid-murid Tahun 2 beberapa bulan yang lepas. Mohon teguran da...
-
Habib Mohamad bin Alwi al-Attas (kiri) dan Habib Izzuddin al-Idrus (kanan) Jika berbicara tentang dakwah, pemerhatian saya para guru A...
-
Bisikan Tanjung Lobang (1) Bisikan Tanjung Lobang (2) Bisikan Tanjung Lobang merupakan cetusan andaian ataupun simulasi kepada pertem...
1 comment:
Salam,
Sangat terkesan dengan blog ini dan insyaallah akan menjadikannya blog wajib setiap hari.Syabas dan teruskan menabur isi hati,moga berupaya menawan hati untuk kembali mangagungkan ilahi...
Post a Comment